CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 6-10-2012 12:13 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

Orang tua itu melakukan sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang sunat dia duduk di satu sudut masjid dan terus berzikir dengan khusyuk. Bila datuk berhenti membaca Quran dan orang tua itu berhenti berzikir. Datuk segera menemuinya, mereka bersalam-salaman. Waktu datuk dan orang tua itu bercakap-cakap, saya segera menjauhkan diri. Duduk bersendirian dekat pintu masjid. Beberapa minit kemudian, orang tua tersebut melintas di hadapan saya. Dia terus memukul beduk (kerantung) menandakan waktu zuhur sudah tiba.

"Siapa nak azan (bang) saya atau awak?" Tanya orang tua itu pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum memandang pada saya.

"Biarlah orang muda yang membuatnya," balas datuk.

"Siapa orangnya?"

"Cucu saya," jawab datuk dan orang tua itu memandang ke wajah saya dengan senyum yang menarik.

Dia menghampiri saya lalu menepuk-nepuk kepala saya dua kali berturut-turut.

"Tunaikan permintaan datukmu, mendengar cakap orang tua untuk jalan kebaikan, diberkati oleh Allah," bisik orang tua itu pada saya.

Dua kali saya menarik nafas bagi menghilangkan rasa darah gemuruh dalam diri.

"Cepat Tamar," jerit datuk.

Saya pun memulakan azan dengan suara yang amat lantang, saya mahu suara saya didengar oleh semua penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran dengan masjid. Selesai saja saya mengerjakan azan, saya dapati lima enam orang penduduk sudah berada dalam masjid. Sembahyang Zuhur itu diimamkan oleh orang tua tersebut. Selesai saja sembahyang dan berdoa orang-orang kampung pun meninggalkan perut masjid menuju ke rumah masing- masing. Datuk menyandarkan badannya ke dinding masjid. Dia menggigit lidah sambil meraba-raba kening kirinya berkali-kali.

"Orang tu, tak datang tuk," bisik saya pada datuk.

"Tak apalah, agaknya dia ada hal, malam nanti dia tentu datang mencari kita," balas datuk dengan tenang.

Orang tua yang sejak lepas sembahyang duduk di tempatnya, segera bangun. Dia menghampiri datuk.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-10-2012 12:14 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Awak jangan ke mana- mana, saya nak balik dulu. Lepas tu saya datang jumpa awak lagi."

"Apa halnya?"

"Awak tunggulah sampai saya datang," balas orang tua itu sambil melangkah bendul masjid.

Datuk kembali membaca Quran. Saya mula mengelabah kerana perut mula terasa lapar. Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk menyatakan pada datuk yang diri saya cukup lapar. Saya tidak berani mengganggu datuk yang sedang membaca Quran, memang pantang datuk nenek tujuh keturunan bagi datuk, kalau ada sesiapa yang mahu menahan atau mengganggu dia membaca Quran. Akhirnya, saya terus baring di dalam masjid dengan harapan bila berbuat demikian saya akan tertidur. Memang susah mahu tidur, kalau perut kosong. Golek kiri, golek kanan. Menelentang meniarap mata tidak juga mahu rapat.

"Assalammualaikum." terdengar suara dari luar masjid.

Saya segera bangun dan menerpa ke pintu. Orang tua yang berjanji dengan datuk tadi sudah tiba. Dia membimbit mangkuk tingkat berwarna kebiru-biruan.

"Masuk pakcik," kata saya.

Orang tua itu terus masuk dan berdehem dua kali berturut- turut. Dtuk segera menoleh ke arahnya sambil menutup Quran. Orang tua itu meletakkan mangkuk tingkat dan terus duduk bersila di hadapannya.

"Mari kita makan, ini rezeki awak sama cucu awak, mari," orang tua itu terus membuka mangkuk tingkatnya.

Diletakkannya berderet atas lantai. Datuk pun datang dan terus duduk bersila.
"Perbuatan begini tidak digalakkan dalam Islam," datuk bersuara dengan tiba- tiba.

Orang tua itu merenung muka datuk.

"Maksud awak?"

"Orang Islam tidak digalakkan makan sedekah, Islam menyuruh umatnya berusaha kerana itu nabi besar kita Muhammad S.A.W. pernah bersabda, tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima, ertinya umat Islam disuruh berusaha."

"Saya faham maksud awak tu, satu perkara yang harus awak kaji dan fikir, awak tidak duduk di masjid sepanjang masa membuat amalan kemudian hidup atas sedekat orang, perbuatan tidak terpuji. Awak musafir dan saya mahu memberi awak makan, kalau tak ada saya, awak pun boleh makan."
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-10-2012 12:15 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Awak orang tua yang hebat."

"Saya tidak hebat, yang hebat dan berkuasa ialah Allah. Niat saya mahu makan bersama awak," orang tua itu pun menyorongkan nasi ke hujung lutut saya dan datuk.

Kami pun makan bersama. Bila selesai makan saya terpaksa membersihkan mangkuk tingkat orang tua itu di telaga. Mangkuk tingkat yang sudah dibersihkan itu, saya susun seperti asal lalu saya serahkan pada orang tua tersebut. Saya kira orang tua itu akan pulang, setelah saya serahkan mangkuk tingkat padanya, rupa-rupanya dia tidak mahu pulang. Dia mengajak datuk duduk di serambi masjid dan terus bercerita panjang dengan datuk. Orang tua itu memberitahu datuk, dia berasal dari Bangkahulu.
Bila berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dia menetap di sebuah kampung di dalam kawasan Batang Kali yang dikenali dengan nama Genting Malik. Dalam zaman pemerintahan Jepun, dia telah membunuh tiga orang tentera Jepun dengan parang panjang yang mahu merogol seorang gadis jirannya.

"Saya lari malam, bila tentera Jepun mengamuk dan menyeksa orang-orang kampung akibat perbuatan saya itu, saya sampai ke Kerling sesudah mencukur rambut dan dan menyamar sebagai orang asli," orang tua itu mula membuka lipatan sejarah silamnya.

Menurutnya, semasa di Kampung Genting Malik, dia dikenali sebagai Ujang Silat. tetapi, bila menetap di Kerling namanya segera bertukar menjadi Mahyuddin.

"Pada mulanya saya tinggal jauh di pendalaman, kemudian bila orang putih memerintah Malaya kembali, saya dibawa oleh anak angkat saya tinggal berhampiran masjid ini," katanya lagi.

"Awak tak ada isteri?"

"Tak ada, tapi kaya dengan anak angkat."

"Badan awak bertuah," ujar datuk berjenaka.

Orang tua itu turut ketawa. Mungkin kerana terasa jemu duduk di anjung masjid, orang tua itu mengajak datuk berjalan di halaman masjid. Kemudian mereka duduk di atas sebatang kayu, sambil menikmati suasana petang yang begitu tenteram dan damai.

"Sejak awak datang subuh tadi, saya dapat meneka yang diri awak ni ada isi dunia akhirat," orang tua memaut bahu kanan datuk. Matanya dengan mata datuk berlaga.

Datuk tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh orang tua itu. Daruk macam mahu menyembunyikan sesuatu dari orang tua itu. "Saya tak ada apa-apa," jawab datuk.

"Tak apalah, saya sekadar bertanya dan meneka," balas orang tua itu.

Dia menggigit bibir dan terus juga menepuk- nepuk bahu datuk. Selepas menunaikan sembahyang Asar, orang tua itu menjemput saya dan datuk ke rumahnya. Jemputan itu kami penuhi dengan rasa bangga. Rumah orang tua itu, terletak kira-kira sepuluh rantai dari masjid, kedudukannya agak terpisah dari rumah-rumah yang lain. Tidak beberapa kecil berbumbung limas dan berdindingkan papan lidah. Rumah itu mempunyai dua bilik, satu bilik tidur dan satu bilik sembahyang. Apa yang menarik hati saya tentang bilik sembahyangnya, kerana di dalamnya terdapat kitab- kitab agama yang tersusun rapi atas rak. Manakala di sebelah kanan sudut bilik itu terdapat , beberapa bilah senjata seperti lembing, pedang, keris dan parang panjang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-10-2012 12:16 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Parang itulah yang membunuh askar Jepun," katanya sambil menatang parang panjang yang terdapat kesan darah kering bercampur dengan karat.

Datuk dan saya pun anggukkan kepala. Kemudian, tanpa diminta oleh orang tua itu, datuk pun menceritakan tujuan sebenarnya, kenapa dia menginap di masjid.

"Niat awak baik, tapi jangan terkejut bila kerja awak selesai, apa yang awak fikirkan tidak sama dengan apa yang awak alami," kata orang tua itu.

"Apa maksud awak?"

"Tak payah saya terangkan jawapannya akan awak tahu sendiri," balas orang tua itu, saya dan datuk berpandangan orang tua itu tetap senyum memandang kepada kami.

Tiba-tiba saja datuk minta diri, macam ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya. Orang tua itu mengizinkan permintaan kami. Sebaik saja kaki kami memijak bumi, orang tua itu terus terjun ke tanah dan menghalang perjalanan datuk.

"Orang yang meminta pertolongan, kau tu namanya Dumba, tetapi orang-orang di sini mengenalinya sebagai Jahid atau Lebai Jahid," kata orang tua itu.

Belum pun sempat datuk mengemukakan sebarang pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup cepat dia bergerak, saya tidak sedar masa bila dia memijak anak tangga. Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Sebaik saja sampai dekat pokok besar berhampiran masjid, lelaki berketayap putih muncul dari balik pkok. Pandangannya semacam saja melihat kami. Datuk terus menyapanya. Sayang sekali, teguran datuk tidak dijawabnya, kecuali mengganggukkan kepala saja.

"Kau baru balik dari rumah Mahyuddin?" Tanyanya.

"Ya, kenapa?"

Tapi, saya syak dia yang membuat perkara tak baik ni," lelaki berketayap putih melahirkan apa yang ada dalam hatinya.

Datuk terdiam. Saya pula menggigit lidah. Lelaki berketayap putih kelihatan cukup tenang.

"Jangan mudah menaruh syak wasangka pada seseorang, kalau tak ada buktinya," jawab datuk.

Dari wajahnya, ternyata lelaki berketayap putih amat kecewa dengan jawapan dari datuk itu. Kerana lelaki berketayap putih itu semacam memaksa mengajak datuk ke rumahnya, dengan alasan memudahkan datuk datang bila dijemput pada sebelah malam nanti, datuk segera menunaikan permintaannya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-10-2012 12:17 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Saya akan pergi ke rumah awak. Tetapi, saya tidak akan naik ke rumah dan minum."

"Kenapa?"

"Itu sebahagian dari petua, saya tidak akan makan atau minum di rumah orang yang memerlukan pertolongan dari saya."

"Tak apalah," lelaki berketayap putih memberikan persetujuan.

Saya dan datuk pun mengekorinya dari belakang. Sepanjang jalan ke rumahnya, saya senyum sendirian kerana syarat yang datuk kenakan padanya, adalah syarat yang sengaja diadakan-adakan oleh datuk, mungkin datuk berbuat demikian dengan tujuan tertentu. Sebaik saja sampai di rumahnya, perkara pertama yang datuk lakukan ialah berdiri di pangkal tiang seri rumahnya. Kemudian mengelilingi kawasan rumahnya dua kali sambil memetik daun hati-hati yang ditanam tiap penjuru rumah.

"Kami balik dulu," datuk memberitahu lelaki berketayap putih.

"Silakan, tapi bila awak mahu datang untuk membantu saya?"

"Malam ni saya datang."

"Pukul berapa?"

"Tengok gerak hati tapi yang tentunya dengan izin Allah saya akan datang malam ini."

Ketika kami meninggalkan rumah Dumba (lelaki beketayap putih), matahari sudah condong benar. Bayang pokok pinang yang tumbuh di kiri kanan jalan kelihatan memanjang atas daun lalang tua. Sebelum sampai ke jalan raya Kuala Lumpur - Tanjung Malim, kami terpaksa mendaki bukit kecil yang agak curam. - HILANG - Macam selalu, lepas sembahyang Maghrib dan Isyak, datuk akan menghabiskan masanya dengan membaca Quran dan berwirid panjang.

Saya terus menelentang dekat dinding masjid memikirkan sesuatu yang saya kira agak ganjil telah berlaku dalam masjid tersebut. Pada hemat saya, datuk sendiri pun menyedari hal tersebut tetapi dia sengaja tidak mahu memberitahu pada saya. Waktu sembahyang Maghrib tadi Mahyuddin (orang tua) ada datang tetapi, Dumba (lelaki berketayap putih) tidak datang. Bila Dumba datang untuk menunaikan sembahyang Isyak, ada perselisihan perbadi yang tidak mudah dapat dikesan oleh orang lain. Tepat jam dua pagi, datuk mengejutkan saya dari tidur. Dia suruh saya membasuh muka. Bila saya selesai membasuh muka di perigi, saya dapati datuk sudah berada di halaman masjid. Siap berpakaian serba hitam dengan kain merah terlilit di kepala.

"Siap Tamar," katanya, saya segera menghampirinya.

Datuk segera meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri saya. Secara mendadak saja badan saya menggeletar. Bila datuk angkat tangannya. Rasa menggeletar itu segera hilang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-10-2012 12:17 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Pegang hujung baju aku dan pejamkan mata," katanya.

Cakap datuk saya patuhi. Saya tidak sedar apa yang berlaku setelah itu. Saya rasa badan saya melayang-layang. Bunyi angin berdengung-dengung menolak gegendang telinga saya. Tiba-tiba saya terasa macam ada sesuatu yang menarik sepasang kaki saya. badan saya terhumban atas rimbunan pokok yang tidak dapat saya tentukan. Muka saya terkena pada sejenis daun yang agak kesat dan miangnya.

"Tamar, buka matamu, kita diperdayakan," saya terdengar suara datuk.

Dan kelopak mata pun saya buka. Pertama yang saya lihat ialah langit dan awan malam. Saya renung kiri kanan, saya dapati diri saya dan datuk berada dalam rumpunan lalang tua. Datuk segera bangun sambil menepis-nepis dedaun lalang yang lekat di bajunya.

"Bangun Tamar," katanya pada saya sambil menarik tangan kanan saya yang terasa sakit kerana dicucuk oleh tunggul lalang.

Dalam keadaan yang serba sulit itu, (maklumlah malam terlalu pekat) saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan, bergerak saja, kaki sudah tersepak kayu atau terpijak tunggul lalang. Aneh juga, tunggul lalang di situ cukup tajam, boleh menembusi tapak sepatu getah cap tiga bintang yang saya pakai.

"Tamar, pejamkan matamu," perintah datuk saya ikuti.

"Buka matamu sambil mengucap dua kalimah syahdat dan selawatkan nabi tiga kali, kemudian kau baca ayat dari Surah Ibrahim waktu nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya," beritahu datuk lagi.

Semua kemahuan datuk itu saya penuhi. Bila saya membuka mata kawasan sekeliling itu jadi terang- benderang, macam cahaya bulan yang mengambang penuh. Saya dan datuk keluar dari kawasan tersebut dan cahaya yang terang itu terus ghaib. Baru saja tiga langkah datuk dan saya melangkah untuk menuju ke rumah Dumba, sekumpulan anjing liar segera mengelilingi kami. Anjing-anjing itu cukup garang dengan mulut separuh terbuka menjelirkan lidah, bersedia untuk menerkam pada saya dan datuk.

Setapak kami bergerak, selangkah anjing-anjing liar itu merapati kami. Ketika itu juga suasana di situ berubah keadaan, kami bagaikan berada di hutan tebal, terdengar bermacam-macam suara bersama dengan titik- titik hujan yang kasar. Angin juga bertiup cukup kuat, dedaun yang jatuh mengeluarkan bunyi yang menggaum bila terkena bumi. Saya terpandang dari celah- celah pokok-pokok besar tersembul lembaga yang tidak menentu rupa bentuknya, menyapu bumi, giginya juga kelihatan ganjil. Gigi bahagian atas cukup panjang dan terkeluar menutup bibir bahagian bawah, hidungnya juga panjang dan lembik berjuntai hingga atas gigi. Lembaga-lembaga itu memegang tali yang terikat pada leher anjing.

Telinga saya mula dihujani dengan suara orang ketawa dan menjerit, saya lihat rambut lembaga yang panjang itu bagaikan terpacak ke atas dan badan lembaga tanpa kaki itu terangkat dan bergerak di awang-awangan, mengikuti tiupan angin.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 6-10-2012 12:18 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 47 ~
Bila syaitan datang menguji

"Matilah kita tuk," saya mengeluh.

"Ini permainan syaitan, kita berdua diperdayakan, kita harus berusaha," bisik datuk pada saya, ketika itu wajahnya saya lihat cukup cemas.

Datuk melangkah ke depan setapak, anjing-anjing liar pun mara, kian dekat dengan kami, begitu juga dengan lembaga yang bergantungan, mempamerkan gigi seolah- olah ketawa pada kami. Datuk terus memeluk tubuh sambil menahan nafas. Matanya merenung tajam ke arah seekor anjing yang bentuk badannya lebih besar dari anjing yang lain-lain, bulunya juga berbeza dengan anjing-anjing lain. Anjing besar itu berbulu hitam berkilat, sedangkan anjing-anjing yang lain bewarna kekuningan. Tenungan mata dari datuk itu dilawan oleh anjing tersebut dengan matanya yang bagaikan tersembul. Anjing itu terus menggaum.

Dalam saat-saat begitu saya terlihat batang tubuh Mahyuddin melintas di hadapan kami dan hilang dengan sekelip mata. Datuk segera menjatuhkan kedua belah tangannya. Datuk menggenggam penumbuk, tetapi jari kelingking kiri dan kanan tidak dilipatkan, kedua-dua jari itu menunjuk ke bumi. Bibir datuk bergerak-gerak, sebaik saja bibirnya berhenti bergerak, dengan pantas datuk menepuk tangan, ketika itu juga terdengar satu ledakan yang amat kuat macam bunyi petir. Seluruh kawasan itu dipenuhi dengan kabus bercampur asap tebal, tidak ada satu pun yang dapat dipandang. Saya segera memeluk pinggang datuk dengan sekuat hati.......
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-10-2012 12:24 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-10-2012 12:35 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

Hidung dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung- menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau. Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk. Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.

"Tamar.. kau cucu tuk," saya terdengar suara datuk cukup jelas.

Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.

"Cucu tuk harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.

Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengkedutkan kulit dahi. Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan. Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.

"Tuk, apa dah jadi," tanya saya.

"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri.

Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkukkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus. Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran. Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia. Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda. Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit. Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan. Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu. Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting.

Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit. Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk. Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat. Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya. Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak. Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:36 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit. Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang. Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang. Seluruh tubuh dauk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata : Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut. Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang- kunang itu hilang. Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakkan. Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu paam. Saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.

"Kita pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada saya.

Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan sikap datuk kali ini. Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan pulang jadi cepat. Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya pejamkan mata sambil memaut bajunya. Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

“Cara itu dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut suka hati,” tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya.

Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu apa yang tersurat dalam hati. Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh. Kokok ayam sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya dan datuk.

“Melihat pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul empat pagi,” kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke jalan raya.

Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan kami.

“Apa benda tu tuk?”

“Kau diam.” Saya terus menggigit bibir.

Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana. Dalam keadaan yang serba pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal, matanya merah menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas, mempamirkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib dalam sekelip mata.

“Sudahlah, tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri kita, bukankah kita ini hamba Allah,” saya terdengar suara datuk bercakap ke arah tempat bayang-bayang manusia dan kucing hitam itu ghaib.

Bila datuk selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Kali ini langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk menyamakan langkah saya dengan langkah datuk. Hasilnya, saya termengah- mengah dan badan terus berpeluh dalam dingin subuh. Datuk dan saya sampai ke kaki tangga masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil air sembahyang, selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran hingga terentak waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:38 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

“Bangun, jangan tidur bertemankan syaitan,” datuk goncang badan saya yang tersandar di tiang masjid.

Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung sudah berada dalam masjid. Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.

“Saya mimpi tuk.”

“Mimpi apa?”

“Saya terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tuk.”

“Ah, yang kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air sembahyang,” sergah datuk.

Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan fardhu Subuh.

“Hebat juga awak malam tadi,” ujar Mahyuddin.

“Saya tak faham dengan apa yang awak cakap.”

“Tak faham atau sengaja tidak mahu faham,”

Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah pulang. Saya yang berdiri dekat datuk segera kedutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata- kata Mahyuddin itu? Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan diri Mahyuddin. Saya juga tidak dapat mempastikan antara Dumba dengan Mahyuddin siapa yang lebih awal datang ke masjid, saya juga tidak tahu adakah mereka bertegur sapa antara satu sama lain.

Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan. Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.

"Kau tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki tangga.

Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.

"Aku sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam mengeluh di hadapan saya.

Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju tetap selamat dan diberkati. Di bawah sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tidah saya ketahui arah tujuannya. Bila saya dapati datuk tidak melencung dari jalan tanah merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai Dumba. Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi. Dumba menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:39 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

"Saya sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di depan datuk.

Saya lihat datuk mempamirkan senyum. Sepasang matanya meraut seluruh wajah Dumba. Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain. Dia bagaikan tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu. Dumba menarik datuk ke dalam kedai tanpa mahu mendengar jawapan dari datuk atas pertanyaan yang diajukan olehnya.

"Jangan duduk di sini, mari kita masuk ke bilik saya." ujar Dumba ketika datuk menarik bangku untuk duduk dalam ruang kedainya.

Datuk renung ke arah bilik yang ditunjukkan oleh Dumba dengan jari telunjuknya. Bilik tersebut terletak di bahagian dapur kedai yang dipisahkan oleh satu ruang khas selebar empat kaki. Pintu bilik dibuat dari papan yang sudah diketam tanpa palang zig-zag. Ada dua pasu bunga terletak di kiri kanan pintu yang ditanam dengan pokok daun hati-hati serta lidah buaya. Dumba buka pintu. Kami pun masuk dan duduk bersila di lantai menghadapi sebuah meja panjang yang rendah. Bentuk meja itu hampir menyerupai meja yang digunakan oleh orang Jepun untuk minum teh. Tiang meja dibuat dari buluh, begitu juga dengan bahagian permukaan meja dianyam dengan buluh yang terlalu indah dan seni pembuatannya. Beberapa pokok buluh aur, buluh betung dan buluh lemang ditanam dalam pasu besar pada setiap sudut bilik menjadikan suasana dalam bilik itu cukup tenang dan aman tetapi, agak seram. Seorang pekerjanya masuk lalu meletakkan tiga cawan kopi bersama tiga pinggan kecil nasi lemak. Dumba duduk bersila di sebelah meja buluh tersebut.

"Minum dan makanlah ini yang ada untuk awak berdua," kata Dumba.
Saya pun memperkemaskan sila lalu membongkok untuk memegang tangkai cawan. Secara mendadak datuk mendehem sambil menepuk pangkal paha kanan saya. Saya tidak jadi memegang tangkai cawan.

"Minum jangan segan-segan," suara Dumba cukup ramah.

Datuk anggukkan kepala sambil menyeluk saku bajunya. Datuk mengeluarkan secebis kain merah yang selalu digunakan untuk mengikat kepalanya, kain itu datuk genggam. Datuk tarik nafas panjang-panjang. Sepasang mata datuk merenung air kopi di dalam cawan dengan renungan yang amat luar biasa sekali. Saya terkejut, cawan di hadapan saya dan datuk kelihatan merekah dan akhirnya terus pecah berkecai, air kopi melimpah atas meja buluh. Pinggan nasi lemak terbalik dengan sendirinya. Dumba terus memegang bibir meja, suasana cerah dalam bilik segera bertukar menjadi agak kelam, macam hari mahu hujan. Saya tidak berbuat apa- apa. Punggung saya bagaikan terpaku di lantai. Tidak boleh bergerak walau seinci pun. Kerongkong saya tiba-tiba terasa sakit dan pedih untuk menelan air liur. Antara datuk dan Dumba bagaikan ada pertarungan secara kebatinan. Masing-masing menggunakan tenungan kekuatan kuasa mata. Saya lihat datuk meletakkan ibu jari kirinya atas muka meja. Ibu jari itu datuk tekan hingga bahagian yang ditekan itu mengeluarkan asap serta berlubang.

"Saya senang berhadapan dengan asak Dumba, kita boleh mencari kejujuran di sini," suara datuk parau.

Urat matanya kelihatan merah tersembul. Dumba berhenti memegang bibir meja, bahagian bibir meja yang dipegangnya kelihatan hitam. Dumba termenung sejenak.

"Saya bukan orangnya untuk awak jadikan musuh," tambah datuk sambil berdiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:40 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

Dada saya terasa panas macam ada bara api di dalamnya. Saya cuba bangun tetapi, tidak berdaya, punggung terasa berat. Dumba terus duduk bertafakur, kedua belah ibu jarinya didekatkan ke lubang hidung. Datuk mula bersikap kurang ajar. Datuk pijak dada meja yang dibuat dari buluh. Dumba tidak juga bergerak dari tempatnya. Perlahan- lahan Dumba meletakkan tangan kanannya di atas meja, ketika itu juga cahaya panas mula masuk ke dalam ruang bilik. Batang tubuh datuk yang berdiri mencipta bayang yang memanjang di atas lantai. Dumba bangun bagaikan kilat lalu melintasi bayang datuk sambil menghembuskan nafas dengan sekuat hati pada ibu jari kirinya yang terlekap di hidung.

"Dumba jangan khianati aku," pekik datuk sambil menundukkan badan.

Hembusan angin dari hidungnya tepat mengenai tiang bilik. Tiang itu berasap dan berlubang. Saya kira kalau hembusan angin dari hidung Dumba kena pada tubuh datuk, tentu tubuh datuk berlubang dari belakang hingga ke dada. Bila asap di tiang itu hilang, saya lihat di lantai pangkal tiang ada habuk dalam bentuk abu yang berkilat-kilat. Datuk menepuk dadanya dengan tangan kiri. Habuk yang terkumpul segera berselerak menjadi dua bahagian. Bahagian pertama menjadi serbuk kaca yang halus, manakalan bahagian kedua terdiri dari miang-miang buluh bercampur dengan sejenis getah dari pokok Ipoh. Dumba tersandar di dinding bilik. Dia kelihatan tidak bermaya. Kemudian jatuh perlahan-lahan dan terduduk di situ. Seluruh mukanya berpeluh.

"Mengakulah Dumba, semua kejadian yang berlaku di sini, puncanya dari kau. Aku tahu kau mahu menguju aku, sebab itu kau kenakan pemandu lori balak yang minum di kedai kamu," datuk meluahkan perasaannya.

Dumba tidak berkata walau sepatah pun. Saya menarik nafas dengan rasa lega yang amat sangat kerana saya boleh bergerak dan bangun. Dada saya yang terasa panas kembali normal.
"Demi Allah yang Maha Besar, kalahlah aku tahu niat kau dari mula-mula dulu, aku tidak akan berjanji mahu menolong kau. Apakah daya keikhlasan dan kejujuran hatiku sudah kau salah tafsirkan, kau mahu memperdayakan aku Dumba," datuk terus mengeluh, wajahnya kelihatan muram, penuh dengan rasa hampa dan kecewa yang amat sangat.

Sinar Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik. Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati. Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahu Dumba. Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru- biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung. Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima- lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh- peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya. Saya terkejut dan hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Kelima-lima jari datuk merekah dan retak seribu. Dari rekahan itu keluar air jernih menitik atas lantai. Beberapa saat kemudian, keadaan kelima-lima jari datuk kembali dalam keadaan biasa. Wajah Dumba kembali berdarah, tidak pucat macam wajah mayat.

"Dumba aku mahu kau berterus terang dan marilah kita mencari sesuatu yang baik untuk diri kita dan orang lain," nada suara datuk merendah.

Dahi Dumba digosoknya berkali-kali. Datuk terus duduk bersila di hadapan Dumba.

"Kau ada masalah? Sila terangkan, kalau boleh aku atasi aku akan membantu kau," datuk renung muka Dumba.

Saya lihat Dumba kedutkan keningnya. Sepasang mata Dumba menatap tiap sudut bilik, bagaikan mencari sesuatu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:41 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

"Sebenarnya, aku benci semuanya ini, tetapi aku tidak ada cara lain untuk mengatasinya, sama ada aku mahu atau tidak aku terpaksa melakukannya."

"Apa yang awak cakapkan ini?"

"Hal yang kau lihat."

"Ilmu santau yang kau amalkan ini."

"Ya ilmu yang aku tuntut ini mengikat diri aku, kalau aku tidak melakukan dengan apa yang aku janjikan ketika menuntut dulu, anak bini aku jadi korban."

"Kerana sayangkan anak bini, orang lain kau korbankan."

"Ya aku terpaksa."

Datuk menggigit bibir. Dia masih kurang yakin dengan apa yang dikatakan oleh Dumba. Dia merasakan kata- kata itu merupakan satu perangkap bagi Dumba untuk menguji sejauh mana kekuatan diri datuk. Sesungguhnya, datuk tidak mahu dirinya diuji atau dicuba. Datuk tahu dia serba kekurangan. Apa yang ada pada dirinya sekadar cukup untuk melindungi dirinya sendiri.

"Maafkan aku Dumba, apa yang terjadi bukanlah niat aku untuk mencabarmu, semua yang aku lakukan kerana mahu menolong kau."

"Aku faham," suara Dumba parau.

Dia pun bangun sambil mengajak datuk duduk di satu sudut bilik berdekatan dengan pokok buluh aur yang ditanam dalam pasu besar. Pada mulanya, datuk memang keberatan untuk memenuhi permintaan Dumba itu. Tetapi, setelah Dumba sendiri mengubah kedudukan pasu besar yang ditanam dengan pokok buluh aur itu ke tempat lain, barulah datuk memenuhi permintaannya.

"Ingat Dumba yang kita cari kebaikan, bukannya pergaduhan."

"Saya faham."

"Kalau kau sudah faham, penuhi syarat dari aku."

"Apa syaratnya."

"Duduk berhadapan, kedua- dua kepala lutut kau bertemu dengan kepala lutut aku, tangan kanan aku menindih tangan kanan kamu. Apa kamu setuju?"

"Setuju."

Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik. Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya. Sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri. Saya tahu, bila datuk mempertemukan kepala lututnya dengan kepala lutut Dumba, secara tidak langsung datuk menguncikan pergerakan Dumba yang dikiranya akan bermula dari gerakan kaki. Bila datuk menindih tangan kanan Dumba dengan sendirinya racun santau yang berada di celah kuku Dumba akan menjadi tawar. Cukup bijak datuk bertindak kali ini. Dia tidak mahu diperdayakan, fikir saya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:42 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

"Apa masalah kamu Dumba," datuk renung biji mata Dumba.

"Aku merasakan saat kematian aku sudah hampir, boleh jadi dalam tempoh sebulan dua lagi."
"Macam mana kau tahu semuanya ini?"

"Mengikut firasat ilmu yang aku tuntut, menunjukkan ada tanda-tanda yang aku akan mati."

"Salah satu daripada contohnya Dumba?"

"Aku selalu menangis bila mahu menunaikan janji yang aku buat ketika menuntut dulu. aku takut dengan ilmu yang aku amalkan dan aku merasakan diri aku terlalu jauh dengan Allah yang mencipta diriku dan Alam."

Datuk memejamkan kelopak matanya. Saya terdengar bunyi daun pintu diketuk orang. Datuk menyuruh saya membuka pintu. Bila pintu dibuka, tidak ada manusia di luar. Tengkok saya mula terasa seram. Pintu saya rapatkan kembali. Bila saya mahu duduk, terdengar lagi ketukan di pintu tetapi, kali ini datuk memberi isyarat pada saya supaya jangan memperdulikan ketukan itu. Aneh, pintu itu terbuka dengan sendiri dan tertutup dengan sendiri.

"Ceritakan apa yang terniat dalam hatimu Dumba."

"Begini, aku tidak akan menurunkan ilmu ini pada keturunan aku, kerana tidak menguntungkan tetapi, bila ku mati, salah seorang daripada anak aku akan mewarisnya dengan secara tidak langsung, perkara itu terjadi diluar pengetahuan meraka dan kerelaan aku."

"Kalau mereka menolak bagaimana?"

"Mereka akan jadi korban, aku harap kau dapat menolong aku, aku sudah menguji kamu, aku tahu kau boleh berusaha ke arah itu." cerita Datuk menarik nafas panjang.

Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya. Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai. Ayahnya bekerja di ladang cengkih kepunyaan Belanda. Tuan punya ladang tersebut mempunyai beberapa orang ketua pekerja yang terdiri dari orang-orang Indonesia yang tidak bertimbang rasa, selalunya menyiksa para pekerja. Akibat dari perbuatan ketua-ketua pekerja di situ membuat ayahnya masuk ke hutan dan bertapa dalam sebuah gua dengan tujuan menuntut ilmu. Bila ayahnya keluar dari tempat pertapaan, Ayahnya terus membalas dendam dengan menggunakan ilmu santau. Akhirnya, ayahnya mengambil upah membunuh orang dengan ilmu yang dituntutnya.

"Walaupun ayah saya handal tetapi, dia mati juga ditikam orang dengan ranting buluh tumpat," kata Dumba dengan wajah yang sedih.

"Itu saja ceritanya Dumba."

"Ada lagi, kerana menuntut ilmu itu adik perempuan saya jadi korban, ketika ayah menuntut adik saya di panah petir dan mayatnya terus hilang, menurut ayah, adik saya memang dijadikan makanan syaitan tempat ayah menuntun ilmu."

Datuk menggaru kepala yang tidak gatal. Sekali-sekala datuk menjeling ke arah saya sambil mengerutkan dahinya. Saya tidak tahu apa yang datuk fikirkan. Suasan dalam bilik yang tadi cerah tiba-tiba menjadi agak gelap. Saya segera bangun dan membuka tingkap kecil di sudut bilik melihat ke langit. Ada awan mendung bertompok-tompok tetapi, matahari masih bersinar, saya juga terlihat titik-titik yang halus turun dari langit, Jam ketika itu saya kira baru pukul sembilan pagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:43 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

"Macam mana dengan kau?" soal datuk.

"Bila ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Perlis sambil mengamalkan ilmu yang diajar oleh ayah pada saya, tujuannya untuk mempertahankan diri tetapi....," Dumba terus berhenti bercerita, matanya merenung sayu pada datuk dan saya.

Datuk, tidak putus asa, dia terus mendesak Dumba bercerita. Kata Dumba, sampai di Perlis dia menetap di Kuala Perlis dan bekerja dengan kapal kecil yang berulang alik dari Kuala Perlis ke Setul (sebuah tempat di Selatan Siam), bila ada orang-orang Siam yang bersikap kasar dan menyakitkan hatinya, dia menggunakan ilmunya untuk membinasakan mereka.

"Saya akhirnya menikah dengan orang Kuala Perlis dan berpindah ke Alor Setar dengan azam untuk membuang ilmu tersebut, tetapi usaha saya tidak berjaya, kerana saya berazam mahu meninggalkannya, anak pertama saya mati muntah darah, sejak itu saya terus mengamalkannya," kata Dumba. Saya dan datuk terus memasang telinga.

"Dari Alor Setar saya pindah ke Perak iaitu di Air Tawar, dekat Sitiawan, ke Gopeng dan Hutan Melintang, setiap tempat saya bernaung memang ada manusia yang jadi korban yang kadang- kadang berpunca dari perkara yang kecil-kecil, saya dan keluarga saya jadi kera sumbang."

"Kemudian apa yang kamu lakukan?"

"Saya pergi ke Pahang dan akhirnya menetap di sini, saya tidak sanggup lagi nak jadi pembunuh, paling kurang setahun mesti seorang saya korbankan dengan santau kalau tidak diri saya akan jadi korban, saya tersepit sekarang," Dumba berterus- terang dengan datuk.

Datuk terus memisahkan kedua-dua kepala lututnya yang bertemu dengan kepala lutut Dumba. Begitu juga dengan tangannya yang menindih tangan Dumba. Datuk mengisut kebelakang hingga terjadi ruang jarak selebar dua kaki antara Datuk dan Dumba. Di luar hujan rintik-rintik segera bertukar menjadi hujan panas yang agak lebat. Tempiasnya masuk ke dalam bilik. Datuk tidak mengetahui isi hati Dumba sampai ke akar umbinya. Bila semuanya perkara sudah diketahui akan memudahkan kerja datuk.

"Awak bermusuh dengan Mahyuddin?" soal datuk.

"Ya, salah seorang anak sahabat karibnya jadi korban saya, perkara itu terjadi secara tidak sengaja, ketika itu janji saya dengan ilmu yang saya tuntut sudah cukup tempohnya, saya harus memberikan satu nyawa, orang yang saya pilih adalah orang luar tetapi, ketika saya melepaskan santau dari kuku, anak sahabat karib Mahyuddin melintas dan muntah darah."

"Mahyuddin tahu hal ini?"

"Dia tahu tetapi, usahanya untuk membinasakan saya tidak berjaya saya dilindungi oleh ilmu saya."

"Kau sebenarnya mahu membunuh aku pagi itu, kerana aku dapat tepis angin yang datang pemandu balak itu jadi korban."

"Ya, saya mengaku, awak orang luar dan saya kira awak adalah mangsa saya, sayangnya sangkaan saya tidak tepat, rupa-rupanya awak tidak berjalan dengan lidah dan gigi saja, awak ada isi."

Mengeluh datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh. Dumba hanya melihat apa yang daruk lakukan dengan mulut separuh terbuka.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-10-2012 12:44 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 48 ~
Bertemu ibu santau

"Kau mahu memisahkan dirimu dengan ilmu Santau Dumba?" soal datuk.

"Ya."

"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi.

Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan. Bila tiang meja dari buluh itu dipecahkan, seluruh lantai bilik itu dipenuhi dengan kaca- kaca yang halus, rambut dan serbuk dari miang buluh.

"Ini ibu santau?" tanya datuk.

Dumba anggukkan kepala. Datuk tidak berani menjamah benda-benda itu. Datuk seluk saku baju sebelah tangan. (bersambung)....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 12:48 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua saluran darah jadi rosak

terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu berpusing- pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, terdengar bunyi suara ledakkan yang tidak berapa kuat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:16 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil bibirnya bergerak-gerak. Perlahan- lahan datuk membuka tapak tangan kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali- kali di tapak tangan. Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus, dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.

"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang yang kau santau ibu santau ini akan bcrtambah, bila tidak ada orang yang kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba.

Saya lihat Dumba anggukkan kepala.

"Kau mahu melupa dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini Dumba?"

"Ya."

"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?" "Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya." Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya.
Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin, apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil Dumba.

"Kau ikhlas Dumba?"

"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.

Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik, tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak mendengar bunyi ledakan petir. Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali. Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota- anggota pengakap saja. Mereka bangun perlahan- lahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka.

Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang mata. Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba. Dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh. Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan kiri datuk. Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya. Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan berpeluh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:18 AM | Show all posts

Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"

"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."

"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapal merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"

"Dari sebelah kanan."

"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari sebelah kanan badan kau Dumba."

"Ya."

Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk terus duduk bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat. Perlahan-lahan daluk merenung dinding bilik, macam mencari sesuatu. Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui. Datuk menggamit saya yang masih berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.

"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia untuk angin masuk ke dalam. Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?", suara datuk meninggi.

Dia tidak merenung ke wajah Dumba.

"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.

Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali, bagaikan setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu. Datuk meluruskan badannya seketika. Perlahan- lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan dengan dinding rumah.

"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk aku", kata datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding.

Dumba bangun dan mematuhi cakap datuk.

"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung datuk lagi sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba.

Dumba sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-1-2025 07:21 AM GMT+8 , Processed in 0.056326 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list