|
tahniah Seladang....
Perak layak
PEMAIN Pahang, Teafort Bennet (tengah) dikepung dua pemain Kedah pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Juara musim 2000, Perak menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas berjaya mengikat Selangor 1-1 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Juara terbanyak Piala Malaysia, Selangor pula kini memerlukan sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan terakhir menentang MK Land untuk mengiringi Perak ke suku akhir.
Perak, juara Piala Malaysia empat kali, kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan dan tidak mampu dipintas oleh dua lagi pasukan, MK Land dan Public Bank manakala Selangor di tangga kedua dengan lapan mata.
Skuad Seladang mendahului 1-0 pada minit ke-52 menerusi jaringan Keita Mandjou tetapi Mohd. Shukor Adan menyamakan kedudukan pada minit terakhir untuk Selangor meraih satu mata berharga.
Public Bank mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan MK Land 3-1 di Stadium Selayang tetapi sudah terkeluar daripada persaingan ke suku akhir.
Dua gol jaringan Mohd. Fareed Shah pada lewat permainan memberi tiga mata berharga buat Public Bank selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga minit ke-82.
Amir Shahrin Mubin membuka jaringan untuk Public Bank pada minit ke-49 tetapi MK Land menyamakan kedudukan menerusi Shahrin Majid minit ke-82 sebelum dua gol Fareed minit ke-84 dan 90 menggembirakan kem Public Bank.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hajat juara bertahan, Perlis untuk muncul pasukan pertama layak ke suku akhir terbantut setelah tewas kepada Terengganu 1-0.
Gol Sapian Wahid pada minit ke-71 hasil tendangan gunting di depan gawang memusnahkan impian Perlis. Bagaimanapun, pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu masih cerah untuk ke suku akhir dengan kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan 10 mata.
PKNS turut berpeluang ke suku akhir selepas menang 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Igor Tonich menjaringkan dua gol untuk PKNS pada minit ke-87 dan 90 selepas Roman Shamelo membuka jaringan untuk pasukan pelawat minit ke-54.
Henry Saimpon menyamakan kedudukan untuk Sabah empat minit selepas itu.
Persaingan Kumpulan B semakin sengit selepas Pulau Pinang menundukkan pendahulu, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bandaraya untuk melonjak ke tangga teratas dengan lapan mata.
Pemain import, Viatcheslav Melnikov muncul wira Pulau Pinang dengan menjaringkan kedua-dua gol minit ke-66 dan 78 selepas Christian Dekamengo mengejutkan pasukan pelawat dengan jaringan minit ke-58.
Telekom Melaka turut memintas Negeri Sembilan selepas menundukkan Kuala Lumpur 3-0 di Stadium KLFA menerusi jaringan Tengku Hasbullah (1), Munir Amran (65) dan Khairulzal Azmi (89).
Persaingan Kumpulan C pula menyaksikan dua pasukan teratas, Pahang dan Kedah terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Begitupun, MPPJ memungut tiga mata untuk berkongsi kedudukan dengan Kedah dengan lapan mata selepas mengatasi Johor FC 2-0 di Stadium Petaling Jaya.
Gol MPPJ dijaringkan oleh Ben Katana minit 21 dan 45.
Pahang di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas empat perlawanan. |
|