Pekerja pembersihan cedera kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/forensik_alam_1739059509.jpg)
[size=14.399999618530273px]Anggota forensik menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi kejadian tembakan di sebuah kompleks beli belah Setia Alam malam tadi. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
[size=14.399999618530273px]
SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang lelaki pekerja pembersihan cedera ditembak oleh suspek dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku sebelum pusat beli belah itu ditutup, semalam. "Mangsa disahkan selamat tetapi cedera terkena beberapa das tembakan. Mangsa ditembak oleh suspek. "Suspek sudah melarikan diri dipercayai seorang sahaja setakat ini. "Tempat ini selamat untuk orang awam dan esok (hari ini) boleh beroperasi seperti biasa. Sekarang pihak forensik masih menjalankan pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian," katanya kepada media di lokasi kejadian, awal pagi tadi. Mohd Iqbal berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan penuh sebaik sahaja siasatan di lokasi selesai. Sementara itu, BERNAMA melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa yang cedera terkena tembakan adalah seorang warga asing berusia lingkungan 30-an dan telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dan dilaporkan stabil. Beliau berkata suspek yang juga warga tempatan dipercayai tiba di pusat beli-belah itu kira-kira jam 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan. "Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa menggunakan pistol," katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Selepas melepaskan tembakan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit. "Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis," katanya. Berikutan itu katanya polis kini giat menjejaki suspek di lokasi terakhir dia dilihat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata pasukannya baru tiba di lokasi. "Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes," katanya ketika dihubungi.
Tular di media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas dalam sebuah pusat-beli belah di Setia Alam. Terdahulu, lebih 10 wartawan yang berkumpul di luar pusat beli-belah itu dibenarkan masuk dengan diiringi polis untuk melihat situasi dan lokasi kejadian dari dekat. Tinjauan mendapati lima anggota forensik sedang melakukan kerja pemeriksaan secara terperinci sambil beberapa anggota polis berkawal untuk mengawasi keadaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1359085/pekerja-pembersihan-cedera-kes-tembakan-di-pusat-beli-belah-di-setia-alam
|