SATU dekad berada di negara orang bukan satu tempoh masa yang pendek. Tentu sahaja bagi Miller Khan menetap dan mengembangkan bakat di Jakarta, Indonesia merupakan antara perkara yang tidak pernah diimpikan berlaku sejak mula menceburi bidang seni.
Semuanya berlaku secara tidak sengaja, dia akhirnya reda yang rezekinya kini lebih tertumpu di sana berbanding dengan negara sendiri. Tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu kerugian, ini fasa untuknya terus membuktikan yang dia juga mampu berjaya mengejar impian. “Ya, kehidupan saya semakin selesa di sana. Sehari demi sehari saya belajar perkara baharu dan dalam tak sedar rupanya sudah sepuluh tahun saya berada di sana. Ini fasa yang penting buat saya.
“Apa lagi yang tak lalui di sana? Hampir semua perkara sudah saya buat semata-mata mahu memperkenalkan nama Miller Khan kepada masyarakat di sana. Nampaknya semuanya berjalan baik sehingga ke hari ini,” kata Miller yang fasih berbahasa Indonesia. Bercerita mengenai kehidupan terkini, dia mampu menarik nafas lega tatkala kebanyakan penerbit di sana sudah mula mempercayai pada bakat yang ada dalam dirinya. Seperti yang diketahui, industri seni di Indonesia cukup besar yang pastinya sering membuka peluang untuk bakat-bakat baharu. Walaupun terpaksa bersaing dengan ratusan muka baharu dan lama, perkara berkenaan tidak pernah menyekat rezekinya Bakal terlibat dalam filem Petak Umpet Minako, Buffalo Boy dan beberapa filem lain tidak lama lagi, tentu sahaja perkara berkenaan mampu memberikan kelebihan kepadanya untuk terus mengukuhkan nama di sana. “Bila terlibat dengan filem, jadualnya padat tapi tidak terlalu lama. Bila habis sahaja penggambaran, saya boleh berehat berbanding dengan sinetron (drama bersiri) yang ‘mencuri’ banyak masa. “Dahulu saya banyak terlibat dengan sinetron. Setiap hari berada di lokasi penggambaran sampaikan waktu tidur pun di situ. Ada kala saya jatuh sakit tetapi terpaksa bertahan disebabkan komitmen yang ada. “Semuanya saya hadapi memandangkan ini yang saya mahukan. Bertahun-tahun juga saya ‘berumah tangga’ di sana dan sekarang rasanya tidak lagi. Sebab itu saya memilih untuk berlakon filem sahaja,” katanya yang popular dengan sinetron Dia Bukan Anakku.
Rezeki MENJADI lelaki yang dipilih oleh Neelofa untuk membintangi filem pendek sempena kempen raya Naelofar Hijab kali ini, sudah pasti perkara berkenaan membuatkan dia berbesar hati dapat menyumbangkan sesuatu buat semua. Dia sendiri sudah lama tidak terlibat dengan produksi di sini dan tentunya kempen raya bertemakan True Love itu membuka jalan buatnya kembali memperkenalkan nama di sini. Paling membanggakan apabila True Love juga sudah ditonton lebih sejuta pelayar di YouTube setelah dua minggu dilancarkan kepada semua. “Sejak diberikan tawaran, saya optimis yang kempen raya ini akan memberikan sesuatu buat semua. Ya, Neelofa sendiri sudah idea tentang apa yang dia mahukan manakala saya pula cuma menterjemah ke dalam visual. “Walaupun ini merupakan pertemuan kali pertama antara kami, saya tiada masalah untuk berganding dengannya. Rupa-rupanya banyak peluang lain yang terbuka selepas itu,” kata Miller berterus terang. Paling mencuri perhatian apabila dia menerima banyak tawaran daripada pelbagai produksi yang mula nampak pada bakatnya melalui True Love. Menyifatkan perkara berkenaan sebagai satu kelebihan, dia bagaimanapun masih berfikir tentang kesemua peluang. Selain perlu memikirkan komitmen yang sudah ada di Jakarta, Miller pasti akan menerima tawaran tersebut sekiranya ada kelapangan.
|