Rezeki berkahwin
Sementara itu, pasangan pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura pula meraih perhatian apabila mereka membawa pulang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dalam kategori online sebagai Pasangan Serasi Bersama. Kesemua kemenangan tersebut adalah impak persembahan cemerlang mereka menerusi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella. Menurut Fattah, kemenangan yang diterimanya pada ABP31 kali ini cukup bermakna, apatah lagi drama Hero Seorang Cinderella mempertemukan jodoh mereka sehingga bergelar pasangan suami isteri. “Memang sangat bermakna sebab drama tersebut yang mempertemukan jodoh dan buat kami menang. Tambahan, menang sebagai pasangan suami ini boleh dikatakan sebagai rezeki kahwin,” tutur Fattah yang berjaya mempertahankan kategori Pelakon TV Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut. Kemenangan Fatah secara tidak langsung membuktikan pembubaran kelab peminat Fattah The FA Team langsung tidak menggugat statusnya sebagai salah seorang bintang popular di Malaysia. Sokongan umum terhadapnya masih padu meskipun tanpa kelab peminat rasmi. “Sebagai isterinya, saya melihat sendiri kesabaran dan keikhlasan Fattah dalam menghadapi pelbagai dugaan. Kemenangan ini membuktikan, 10 orang peminat hilang ia berganti dengan 10,000 lagi pengikut setia yang menyokongnya tanpa sebarang syarat,” jelas Fazura. Fazura yang setia di sisi suaminya juga terkejut apabila pertama kali membawa pulang anugerah Pelakon TV Wanita Popular. Menerusi acara yang sama pada tahun lalu, Fazura membawa pulang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular. “Sudahlah saya berlakon sebuah drama 10 tahun sekali sahaja, apabila menang dengan sebuah drama, saya rasa cukup bertuah dan berterima kasih kepada peminat. Maknanya, drama Hero Seorang Cinderella benar-benar meninggalkan impak kepada peminat,” kata Fazura sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk bergandingan bersama suaminya dalam sebuah drama terbaharu tidak lama lagi. Source: kosmo online
|