Seorang anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa membunuh Nur Farah Kartini pada Julai lalu.
KUALA KUBU BHARU β Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 10 Disember depan bagi sebutan kes bunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Suspek dalam kes itu, seorang anggota polis berpangkat, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa melakukan perbuatan tersebut.
Hari ini, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menangguhkan prosiding selepas dimaklumkan pihak pendakwaan masih lagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat yang belum diperoleh.
Kata Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt, pihaknya perlukan tarikh baharu.
Peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh tidak membantah namun memohon tarikh sebutan yang lebih lama.
Tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian hadir dalam prosiding hari ini.
Muhammad Alif yang bertugas di Perak itu didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Ahli keluarga Nur Farah Kartini turut hadir prosiding kes hari ini.
Suspek hadir memakai baju biru dan kelihatan tenang ketika berada di kandang bicara.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian. β MalaysiaGazette sumber
|