CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 19-10-2012 10:37 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah


Saya terus menekup mata, bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi-tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual. Semua orang di situ mengeluh, ada pula yang memalingkan muka ke arah lain. Tidak sanggup melihat darah dan lengan yang terputus dua.

“Yaaaakkk,” saya terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa- apa.

Semuanya sunyi sepi. Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan telapak tangan yang menutup mata saya. Aduh, sungguh mengkagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik atas muka tunggul. Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ. Sedang penjual ubat asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata kapak, lalu mengkapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati. Semuanya tidak mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok dengan minyak. Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol. Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam. Ia menikam perutnya dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.

“Orang Melayu mana ada kuat macam saya,” ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang- langgang.

Ia merenung satu- satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan. Seorang Cina tempatan menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari Taiwan, supaya jangan berbuat demikian. Perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu di tempatnya. Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.

“Eh, lu jangan ingat orang Melayu tak kuat,” saya segera menoleh ke kanan.

Saya lihat Haji Salim melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyinsingkan lengan bajunya. Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa. Orang ramai yang ada di situ resah. Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi. Cina tempatan segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut sekali.

“Haji tolong jangan gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat,” pujuk Cina tempatan.

“Saya tahu, fasal dia bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat,” balas Haji Salim.

Saya mula terasa kecut dan cemas.

“Pak Haji tak usah Pak Haji, ini merbahaya,” pujuk saya pula.

“Tak apa Tamar,” balas Haji Salim dengan tenang.

Ia menyuruh saya keluar gelanggang. Penjual ubat dari Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.

“Sekarang kalau lu boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu kasi,” penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.

Saya lihat muka Haji Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya bersabar dan bertenang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-10-2012 10:38 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Tak usah kasi apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu,” ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.

“Nanti lu punya tangan putus macam mana?”

“Tak apa.”

“Betul ni.”

“Betul, semua orang boleh jadi saksi.”

“OK, kita mula.”

“Ayuh.”

Penjual ubat dari Taiwan pun mengambil parang bermata lebar. Lengan Haji Salim ditetaknya dengan sekuat hati. Ia terkejut, lengan Haji Salim tidak putus dua atau pun berdarah.

“Silakan, tetaklah seberapa banyak yang kamu suka,” kata Haji Salim.

Muka penjual ubat jadi merah padam. Tanpa membuang masa, ia terus menetak sebanyak tiga kali berturut- turut. Semuanya tidak mendatangkan kesan. Penjual ubat itu merenung orang yang mengelilinginya.

“Sekarang lu kasi pukul saya punya tangan,” penjual ubat bersuara.

“Jangan marah kalau luka,” balas Haji Salim.

“Tak marah, gua kuat.”

“Silakan.”

Penjual ubat dari Taiwan itu terus duduk mencangkung. Lengan kanannya diletakkan atas tunggul kayu khas. Ia menarik dan menahan nafas, perutnya kelihatan kempis, kiri kanan pipinya kelihatan kembung, macam monyet menyembunyikan makanan dalam mulut. Haji Salim mengambil parang bermata lebar. Berdiri dengan tenang dekat penjual ubat itu. Kedua belah bibir Haji Salim kelihatan bergerak-gerak. Saya kira ia sedang membaca ‘Bismillah’ untuk melakukan pekerjaan itu. Semua biji mata orang ramai tertumpu pada Haji Salim yang memakai serban putih, berseluar kuning dengan baju putih berbutang lima. Ada di antara orang ramai itu berbisik sama sendiri. Mereka bagaikan tidak percaya lelaki yang bertubuh kurus dengan janggut sejemput itu boleh mencederakan lengan penjual ubat dari Taiwan. Dalam keadaan orang ramai yang termanggu-manggu itu. Haji Salim pun menjatuhkan parang bermata lebar ke atas penjual ubat.

“Wahhhhh….,” suara penjual ubat meninggi.

Mukanya kelihatan berkerut menahan kesakitan. Urat-urat hijau nampak menonjol menolak kulit. Dalam saat-saat begitu, bahagian daging yang membengkak itu menjadi merah dan akhirnya bertukar menjadi hitam kebiru-biruan. Kawan penjual ubat segera menyapukan minyak. Hasilnya tidak ada apa-apa. Makin disapu dengan minyak, makin besar bengkaknya dan penjual ubat beransur lemah. Ia tidak terdaya menggerak- gerakkan tangan yang kena tetak itu. Ia cuba bangun, usahanya itu gagal juga. Haji Salim segera menghampirinya. Bahu penjual ubat itu disentuhnya dengan jari kelingking kiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2012 10:42 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Lu bangun,” kata Haji Salim.

Penjual ubat itu terus bangun tetapi, lengan yang kena tetak itu kelihatan terkulai dan terus bengkak. Mukanya terus berpeluh. Haji Salim terus menjamah jari telunjuk kanan penjual ubat. Jari itu direntapnya hingga berbunyi. Beberapa minit kemudian bengkak yang membatas di lengan beransur kurang dan akhirnya terus pulih seperti sediakala. Kesan mata parang masih kelihatan seperti satu garisan di lengan penjual ubat. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu tercengang. Beberapa orang anak muda menghampiri Haji Salim, mereka bertanya sesuatu pada Haji Salim yang berbadan kurus itu.

“Lu memang kuat,” penjual ubat itu merenung muka Haji Salim.

“Ini semua tuhan punya kuasa,” jawab Haji Salim pendek.

Penjual ubat itu segera menghulurkan wang lima ratus ringgit pada Haji Salim. Dengan wajah yang tenang Haji Salim menolak.

“Tak mahu.”

“Apa fasal, kita sudah janji.”

“Saya bukan mahu lawan itu macam, saya panas hati bila lu cakap orang Melayu tak ada kuat dan tak boleh lawan sama lu.”

“Saya sudah banyak tempat pergi, belum ada orang Melayu berani lawan, jadi saya ingat orang Melayu memang tak kuat.”

“Lu silap, orang Melayu tak suka tunjuk-tunjuk kuat itu macam, tapi kalau sudah lu cakap besar, saya mau cuba.”

“Lu betul punya haji, bukan main-main punya haji, badan kurus tapi hati banyak kuat.”

“Sudahlah kawan.”

“Sekarang saya tak mahu cakap itu macam lagi, lu serupa saya punya saudara,” penjual ubat itu terus bersalam dengan Haji Salim.

Penjual ubat itu terus mengemaskan semua bahan- bahan perniagaan. Disumbatkan ke dalam kereta Morris Minor berwarna hitam.

“Kita kawan, tak mahu lawan-lawan,” kata penjual ubat itu dan terus masuk ke kereta.

Ia meninggalkan tempat itu menuju arah ke Tapah. Saya dan Haji Salim meninggalkan tempat tersebut. Kami menuju ke tempat motorsikal yang diletakkan berhampiran dengan warung penjual kopi. Bila sahaja Haji Salim memegang motosikalnya, cina tempatan yang menegah ia beradu kekuatan tadi datang menghampirinya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2012 10:42 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Terima kasih, lu sudah ajar itu orang. Dia cakap tak baik, macam dia saja yang kuat. Lagi satu, dia cakap selalu kata Melayu tak kuat, dia macam suruh Melayu sama Cina gaduh,” kata Cina tempatan itu.

“Tak apa, saya ingat dia mesti terus balik Taiwan dan tak mahu datang ke sini lagi.”

“Saya harap juga begitu, dia bukan Cina Malaysia, dia tak tahu kita di sini, tak kira Melayu, Cina India semua mahu hidup baik-baik dan satu hati.”

“Sudahlah lu siapa nama?”

“Saya nama Lim Kim Seng, lu siapa nama?”

“Haji Salim.”

“Baik, terima kasih.”

“Sama-sama.”

Cina tempatan itu meninggalkan saya dan Haji Salim, ia menuju ke arah kiri jalan. Saya lihat ia naik basikal menuju ke arah kawasan perlombongan yang tidak berapa jauh dari pekan Temoh. Bila Haji Salim menghidupkan enjin motorsikal, beberapa orang pemuda menghampirinya. Mereka terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Haji Salim. Enjin motorsikal terus dimatikan. Haji Salim terus berdiri di tengah kumpulan para pemuda yang berjumlah antara lima hingga tujuh orang.

“Kami mahu menuntut ilmu dari Pak haji,” salah seorang daripada pemuda itu menyampaikan hasrat hati.

Saya, mereka tidak pandang langsung. Saya bagaikan tidak wujud di situ. Haji Salim merenung wajah mereka satu-satu dengan tenang.

“Minta maaf, aku bukan orang handal,” jawab Haji Salim.

“Tak usah jadi harimau menyembunyikan kuku, kami sudah lihat kemampuan tuan haji tadi,” balas jurucakap pemuda itu.

“Semuanya dengan izin Allah. Kalau mahu mencari sesuatu kau pelajarilah isi Quran. Ingat, sebelum itu kau harus mengenali Allah lebih dahulu.”

“Maksud Pak Haji.”

“Kalau diizinkan oleh Allah semua perkara boleh berlaku. Tetapi kalau kamu tidak mengenalinya, bagaimana kamu mahu minta pertolongan dariNya.”

“Kami mahu mengenali Allah dengan pertolongan tuan haji.”

“Carilah ilmu itu. Tetapi, bukan pada saya. Ingat, menuntut ilmu atau belajar itu memang dituntut oleh agama Islam. Hukumnya fardhu kifayah.”

Haji Salim menepuk baju pemuda yang menjadi jurucakap kumpulan itu. Saya lihat pemuda itu resah tidak menentu sambil merenung wajah kawan-kawannya yang lain.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2012 10:44 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Tamar kita pergi sekarang,” kata Haji Salim pada saya.

Ia terus menghidupkan enjin motorsikal. Ia duduk atas motorsikal dan Haji Salim mengangkat tangan kanannya sebagai tanda selamat jalan. Akhirnya, bahagian depan warung dan kumpulan pemuda itu kami tinggalkan. Kami terus menuju ke Kampung Haji Ariff. Sepupu Haji Salim menyambut kami. Tengahari itu, kami makan di rumah sepupunya. Kira-kira pukul empat, kami kembali ke kampung dengan membawa benih durian dari jenis yang baik. Dekat waktu senja kami pun sampai di rumah. Haji Salim memberikan saya dua pokok benih durian. “Kau tanam dekat rumah.” Kata Haji Salim.

“Masa kau menanamnya, bacalah Bismillah dan selawatkan nabi tiga kali.”

“Ya Pak Haji, saya faham.”

Saya pun meninggalkan rumah Haji Salim menuju ke rumah nenek. Waktu itu, hari sudah beransur gelap. Saya melangkah dengan cepat sekali. Sampai dekat pokok besar, langkah saya tidak serancak mula melangkah tadi. Hati saya berdebar. Saya menoleh ke kiri. Saya terpandang tubuh manusia berdiri di balik pokok besar. Kerana pandangan pertama tidak berapa jelas. Saya memandang untuk kali kedua. Saya lihat datuk berdiri di situ. Bila saya panggil namanya, datuk terus menghilangkan diri. Rasa cemas mula menguasai diri saya. Mustahil waktu menjelang Maghrib datuk mahu berada di situ? Kalau datuk, bila namanya dipanggil, dia pasti menyahut. Aneh, kenapa setelah namanya disebut datuk menghilangkan diri. Timbul pertanyaan dalam diri saya. Saya terus renung ke arah pokok besar untuk kali yang ketiga. Di tempat saya melihat datuk berdiri tadi, diganti oleh seorang perempuan yang memakai serban putih. Perempuan itu mengamit saya, menyuruh saya menghampirinya.

Kali ini, saya sudah dapat memutuskan bahawa apa yang saya lihat itu bukannya manusia. Tetapi, syaitan yang menyerupai manusia. Saya terus membaca ayat al-kursi. Sampai tamat ayat itu saya baca, perempuan yang memakai serba putih masih juga tersenyum. Kerana takut yang terlalu kuat menguasai diri, saya terus berlari dengan sekuat hati. Benih durian saya campakkan.

Sampai di rumah saya lihat nenek dan datuk berada di muka pintu menanti kepulangan saya. Mereka tidak bertanya bila melihat muka saya pucat. Datuk menyuruh saya mandi. Baju yang saya pakai dilarangnya untuk dibawa masuk ke rumah. Saya tidak bertanya kenapa datuk dan nenek melarang saya membawa masuk baju ke rumah. Apa yang saya alami sebentar tadi, tidak saya nyatakan pada datuk. Saya kira, peristiwa itu adalah kecil dan tidak wajar di beritahu pada mereka. Mungkin apa yang saya lihat itu memang betul, mungkin tidak. Sebabnya, bila seseorang itu sudah dikuasai rasa takut, tunggul pun disangka hantu. Selepas makan malam, apa yang saya alami bersama Haji Salim di Temoh itu, saya ceritakan pada datuk. Aneh, saya tidak nampak datuk merasa terkejut dengan apa yang telah saya alami itu.

“Kerana itu, aku suruh kau ikut dia. Kau harus sedar Tamar, orang yang berilmu tidak pernah mahu menunjukkan ilmunya pada sebarang orang dan sebarang tempat.”

“Untuk apa ilmu itu, kalau tidak ditunjukkan pada orang tuk?”

“Ilmu bukan untuk ditunjuk pada sesiapa, ilmu untuk menolong orang dan untuk kegunaan sendiri.”

“Saya faham.”

Datuk tersenyum mendengar cakap saya itu. Bagaikan faham, bila saya berkata begitu, ertinya saya tidak mahu mendengar ceramahnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2012 10:44 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Bila aku mahu menerangkan sesuatu, kau cuba melarikan diri dari mendengarnya,” rungut datuk.

Saya terus bangun masuk ke bilik. Saya menatap majalah hiburan sambil berbaring di atas katil. Saya terdengar suara datuk membaca Yasin dengan lantangnya. Makin lama makin sayup terdengar suara datuk. Dan akhirnya saya tidak terdaya untuk menahan sepasang kelopak mata saya dari bercantum.

KUBUR
Saya merasa pelik, bila Haji Salim sembahyang Maghrib di rumah datuk. Lepas sembahyang Maghrib mereka membaca Quran. Bagi nenek perkara itu merupakan sesuatu yang ganjil.

“Ada apa rancangan. Haji Salim dengan datuk kamu?” tanya nenek.

“Petang ni, petang apa nek?”

“Petang Jumaat dan malam ni malam Jumaat.”

“Nek tahu datuk dan Haji Salim nak pergi ke kubur lama tengah malam ini.”

“Kubur lama? Nak buat apa?”

“Itu kenalah tanya datuk.”

Nenek terdiam. Matanya, tajam merenung muka saya. Saya pasti, nenek tidak akan bertanya pada datuk berhubung dengan hal tersebut. Bukan perangai nenek mahu mengambil tahu tentang gerak-geri seorang suami.

“Untuk apa datuk dan Haji Salim pergi ke situ Tamar,” begitu lembut suara nenek.

Renungan matanya, cukup redup meraut seluruh paras saya.

“Dia orang nak tengok, kerana orang puja kubur lama.”

“Nak tangkap orang tu ke?”

“Entahlah, saya pun tak tahu.”

“Bagus juga tu, menghalangkan orang membuat maksiat,” balas nenek.

Ia terus bangun menuju ke dapur. Tentu nenek membuat air kopi untuk Haji Salim dan datuk. Lebih kurang pukul dua belas malam. Datuk dan Haji Salim berhenti membaca Quran. Datuk terus menepuk bahu saya dengan kasar.

“Orang baca Quran tak ikut sama, tersengguk-sengguk, macam burung hantu,” kata datuk.

Haji Salim ketawa sambil menghirup air kopi. Saya lihat ada enam cawan kosong di situ. Ini bererti datuk dan Haji Salim terpaksa berhenti dari membaca Quran sebanyak enam kali, kerana minum kopi.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 19-10-2012 10:45 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Haji Salim ni mengikut petua datuk. Biasanya datuk kalau minum kopi ia tidak akan menggunakan cawan yang sama. Ia akan menukarkan cawan setiap kali menuang air kopi yang baru.”

Cara itu datuk lakukan, bila ia mahu melaksanakan sesuatu tugas yang dianggapnya terlalu berat dan sukar.

“Sudah sampai masanya untuk kita berangkat,” datuk renung muka Haji Salim.

Perlahan-lahan Haji Salim anggukkan kepala tanda setuju. Datuk terus sarungkan baju hitam serta seluar hitam ke tubuh. Kepalanya dililitkan dengan kain kuning sebesar dua jari. Haji Salim tidak menukarkan pakaiannya. Ia memakai seluar Melayu berkaki besar. Bajunya dari kain batik Jawa yang terpamer lukisan wayang kulit. Songkok putihnya terletak kemas di kepala. Golok pendek terselit di pinggang.

“Kalau kau nak ikut Tamar, mari,” suara datuk merendah.

Kain pelikat saya gantikan dengan seluar kuning. Baju T merah saya tukarkan dengan baju Melayu cekak musang. Datuk menyelitkan rotan semambu yang panjangnya kira dua depa ke celah ketiak. Ada tugas baru yang datuk berikan pada saya. Saya disuruh membawa lampu suluh. Tanpa banyak cakap kami pun turun dari rumah. Berdiri di halaman rumah sebentar.

“Kita melangkah sekarang,” datuk mengeluarkan arahan.

Kami pun melangkah menuju ke arah kubur lama. Datuk mengarahkan pada saya, jangan memasang lampu kecuali arahannya sendiri. Memang tidak selesa berjalan dalam belukar waktu tanpa menggunakan lampu. Dua tiga kali saya tersepakkan tunggul dan akar kayu. Saya tidak berani membuat bantahan. Malam itu, keadaan langit cerah. Gumpalan awan hitam nampak berarak lembut menuju ke arah barat daya. Saya kira tidak lama lagi hujan pasti turun. Hal itu saya bisikkan pada Haji Salim.

“Mengikut pengalaman aku yang sudah-sudah, hujan akan turun menjelang subuh,” balas Haji Salim perlahan-lahan.

Datuk terus meredah hutan. Sesekali kelihatan cahaya kilat menangkap di kaki langit. Deru angin malam terus juga menampar-nampar gegendang telinga. Terdengar ngiau kucing jantan mencari kucing betina. Suara jampuk dan burung hantu terdengar sayup-sayup. Begitu juga dengan suara anjing menyalak sesuatu di malam yang dingin. Angin malam yang menyentuh kulit muka dan leher membuat saya terasa seram. Selalunya, kalau berjalan malam saya terasa takut. Tetapi malam itu rasa takut itu tidak terjadi dalam diri saya. Apa yang ada ialah rasa berani dan tabah.

Cara kebetulan pula saya berjalan di tengah. Di depan saya datuk, di belakang saya Haji Salim. Haji Salim terus menyuluh ke arah pangkal pokok yang bergoyang dalam suluhan lampu picit. Serentak dengan itu terdengar suara ngauman yang memanjang. Belum pun sempat datuk bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, satu lembaga menerpa ke arah datuk bersama ngauman yang cukup kuat. Datuk rebah ke bumi.


“Rimau Kumbang Haji,” pekik datuk.
Haji Salim mendekati datuk. Dengan tangkas, ia menendang badan harimau yang mahu menggigit lengan datuk. Dengan sekali tendang sahaja harimau itu terpelanting dan terus hilang. Kesannya tidak dapat dicari.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2012 10:46 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~63 ~
Nesan berdarah

“Bangun,” kata Haji Salim.

“Ke mana dia pergi.”

“Biarkan dia.”

“Pelik,” rungut datuk sambil bangun.

Perjalanan diteruskan lagi. Kami bertiga menyeberangi anak sungai. Airnya terasa cukup sejuk sekali. Haji Salim menyuruh saya melangkah perlahan-lahan. Ia tidak mahu air sungai yang diranduk itu mengeluarkan bunyi. Langit sudah kelihatan tidak cerah lagi. Di mana-mana kelihatan awan hitam bertompok- tompok. Angin terus bertiup agak kencang dari tadi. Dahan- dahan mati terus jatuh, bunyinya macam orang berlari. Semuanya datuk dan Haji Salim buat tidak kisah. Kami sampai ke tebing dan terus memanjatnya. Dari situ kami mula tercium bau kemenyan yang cukup hebat dibawa angin.

“Jalan perlahan ke arah kubur lama,” perintah Haji Salim.

“Ya,” jawab datuk pendek.

Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke kubur lama, kami melihat cahaya api di atas kubur. Kami juga terdengar suara orang bercakap yang disertai dengan suara tahlil. Datuk menyuruh saya dan Haji Salim merangkak seperti dirinya. Kami pun merangkak menuju ke arah kubur lama. Lebih kurang dua kaki mahu sampai ke kawasan kubur lama, datuk menyuruh saya dan Haji Salim duduk sambil merenung ke arah kubur lama.

Dengan pertolongan cahaya api dari pinggir kubur itu, saya dapat melihat dengan jelasnya kira-kira sepuluh orang sedang mengelilingi kubur yang berbatu nisan tinggi dan besar. Mereka semuanya memakai kain hitam dan kepala mereka juga bertudung dengan kain hitam. Di bahagian kepala nisan terdapat tempat perasap dengan bara yang merah menyala. Ada orang yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara. Saya tidak dapat mempastikan dengan tepat, apakah orang yang duduk sebelah kanan atau sebelah kiri yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara itu. Ada orang yang ditugaskan untuk menjaga api di pinggir kubur. Orang itu memegang kayu panjang untuk menolak tunggul-tunggul kayu ke dalam api. Dengan itu api tersebut terus menyala sambil mengeluarkan bunga-bunga api yang halus terbang ke atas. Salah seorang daripada mereka terus bangun, menatang seorang kanak- kanak kecil. Kanak-kanak itu didekatkan pada api tersebut. Tiba-tiba kanak-kanak itu menangis.

“Pulangkan pada aku, dia anakku,” terdengar suara perempuan.

“Aku boleh pulangkan, tetapi….,” suara orang yang menatang kanak-kanak itu adalah orang lelaki.

“Tapi apa?” tanya orang perempuan.

“Biar aku potong lehernya.”

“Untuk apa?”

“Ini janji kita dulu.”

“Nanti ibunya marah, aku cuma menjaganya saja.”
“Jadi, ini bukan anak kamu, kamu curi dari ibunya.”

“Ya.”

“Dia hak aku,” suara orang lelaki itu meninggi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 22-10-2012 01:55 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara kanak- kanak menangis. Lelaki yang menatang kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.

“Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul,” beritahu datuk pada Haji Salim.

“Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk,” tanya saya.

“Itu bukan suara kanak- kanak tu Tamar.”

“Habis suara siapa tuk?”

“Suara itu datang dari dalam kubur.”

Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama. Saya lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak- kanak itu melalak. Saya lihat darah dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang menikamnya. Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar. Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang perempuan mengilai bersahut- sahutan dari angkasa. Orang- orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut hilai ketawa dari udara. Lebih kurang lima minit suara ketawa dan mengilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa sepi. Orang lelaki yang menikam kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap kelawar.

“Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta keturunan kamu disimpan,” suara lelaki itu meninggi.

Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima. Lelaki berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan semahu-mahunya. Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga besar dan tinggi melintas di depan kami.

“Jangan tegur apa yang kamu lihat,” datuk memberi pesan.

Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan. Berdiri di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan melutut di depannya. “Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat,” orang berlutut bersuara.

“Apa syaratnya?”

“Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam Jumaat,” selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 01:57 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

Tidak ada orang yang mahu menolong membangunkannya. Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang berdiri.

“Syarat dari siapa?” tanya lelaki yang berdiri.

“Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara,” suara perempuan yang halus dan lunak.

Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya. Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang separas bahu. Orang lain yang mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri. Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan perlahan-lahan. Berhenti merangkak bila berada di belakang orang- orang yang mengelilingi kubur lama itu. Malam yang kian jauh memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok kecil yang tumbuh sekitar kawasan itu nampak bergoyang disentuh angin. Cengkerik dan katak puru terus melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang menyerang kami. Mungkin nyamuk takut dengan sinaran api yang marak itu.

“Bukan orang sini,” bisik datuk pada Haji Salim.

“Aku rasa pun begitu,” jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke tanah.

Saya menggaru cuping telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas dalam keadaan meniarap. Bau tanah menyucuk lubang hidung. Kalau ada semut yang merayap di pipi, tak boleh ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan atas daun-daun kering.

“Apa yang mereka buat tuk?” tanya saya pada datuk.

“Memuja kubur.”

“Tujuannya untuk apa tuk.”

“Ada bermacam-macam, mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin mereka mahu mengamalkan ilmu salah.”

“Apa yang harus kita buat tuk?”

“Menghalau mereka dari sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti kita yang susah. Syaitan yang dipuja tu akan ganggu kita semua.”

Saya terdiam. Tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada datuk. Biji mata saya arahkan pada dua orang yang berada di tengah kubur. Saya lihat orang yang duduk berlutut sudah berdiri. Ia mengeluarkan botol besar dari dalam kain hitamnya. Botol itu diserahkan pada orang di depannya. Bila lelaki itu mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya pada batu nisan. Serpihan botol itu diambilnya dan diserahkan pada orang yang baru bangun dari melutut itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 01:58 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Untuk raja,” katanya.

“Terima kasih, kau pula harus melutut,” orang yang berdiri segera melutut.

Dan orang yang dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya dengan kain hitam.

“Apa yang aku mahu adalah darah kamu semua,” orang yang dipanggil raja itu terus bersuara.

Ia menyerahkan kembali serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah seorang daripada orang yang mengelilingi kubur lama itu bangun. Ia meletakkan baldi kecil di depan orang yang melutut. Dengan tenang orang yang melutut itu melukakan lengan tangan kirinya. Ia membiarkan darahnya menitis dalam baldi. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur lama. Bila semuanya sudah menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja itu terus minum darah. Bila selesai berbuat demikian, baldi itu diserahkan pada orang lain untuk menikmati rasa darah dalam baldi. Bila upacara ganjil itu selesai. Darah yang masih ada dalam baldi dicurahkan pada batu nisan. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus bertepuk tangan.

“Makan,” kata orang yang dipanggil raja.

Semua orang yang mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari celah ketiak lalu diletakkan di depan. Orang yang dipanggil raja itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang tersusun di depan orang- orang yang mengelilingi kubur lama.

“Makan,” katanya.

Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan sesuatu dari daun keladi ke mulut. Upacara itu berlangsung kira-kira lima minit sahaja.

“Apa lagi yang kamu mahu?” tanya orang yang dipanggil raja dan terus duduk.

Belakangnya disandarkan kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah orang yang mengelilingi kubur lama.

“Ilmu yang bertentangan dengan hukum agama hukum akal, tidak mengenal belas sesama manusia,” jawab orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu serentak.

“Baik, setiap kamu yang ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti, kemudian bila lidah itu sudah ada di sini, aku tawarkan untuk memperdaya semua manusia,” cukup tenang orang dipaggil raja itu memberikan jawapan.

Datuk dan Haji Salim terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau semua orang yang mengelilingi kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang dipanggil raja itu, padahnya akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 01:58 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Ini sudah merbahaya,” rungut datuk.

“Memang merbahaya,” jawab Haji Salim.

Saya hanya menggigit bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu bertindak dengan segera. Selain daripada itu, bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka sukar dilihat dengan mata kasar. Penjelasan datuk itu diakui oleh Haji Salim.

Bila semuanya sudah mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka duduk di tempat asal kembali dan terus bertepuk tangan. Orang yang pengsan di batu nisan tidak ada siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar sendiri. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat berbeza sekali. Kalau tadi kulitnya putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit wajahnya menjadi sawo matang dan keras, rambutnya digunting pendek macam tentera yang baru selesai menjalani latihan, di pusat latihan tentera di Port Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi kubur lama lalu duduk di situ

Saya menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian hebat menggigit kulit tubuh. Tanpa diduga, Haji Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang mengelilingi kubur segera bangun. Mereka terus membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan kubur terang benderang. Kain hitam yang membungkus kepala mereka jatuhkan. Semuanya berambut pendek dengan wajah yang bengis. Dalam keadaan yang cemas begitu, datuk terus melompat dan berdiri tidak jauh dari mereka.

“Maksiat,” pekik datuk.

Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan kanan datuk. Pada mulanya kumpulan berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami. Tetapi, bila mereka melihat Haji Salim melambaikan tangan ke arah hutan tebal, seolah-olah memanggil orang lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu berpandangan sama sendiri.

“Apa yang kamu buat di sini,” tanya datuk.

Tidak ada jawapan yang diterima. Semua anggota kumpulan itu melangkah setapak ke belakang.

“Tinggalkan,” saya terdengar suara dari sebelah kanan.


Serentak dengan itu anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri. Meredah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Haji Salim terus mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat ditangkap. Usaha Haji Salim itu gagal. Kumpulan berjubah hitam itu cukup cekap berlari dalam gelap. Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun kelai, baldi dan botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.

Haji Salim kembali mendapatkan saya dan datuk yang berdiri di atas kubur. Haji Salim tercungap-cungap. Dengan pertolongan cahaya api, saya dapat melihat peluh menitik dari muka ke atas bajunya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 01:59 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Penat,” Haji Salim merungut.

“Sepatutnya, jangan dikejar tadi,” balas datuk.

“Itulah silap saya, sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan itu mengamuk, susah kita dibuatnya.”

“Bertenang, masih ada masa untuk kita berusaha.”

“Caranya?”

“Nanti kita fikirkan.”

Datuk terus menepuk bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun meninggalkan kawasan tanah kubur lama itu. Seperti yang diduga, ketika kami menyeberang sungai mahu pulang ke rumah, hujan turun dengan lebatnya. Titik-titik hujan yang kasar itu disertai dengan kilat dan bunyi guruh. Seluruh pakaian kami habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali buang air kecil. Berjalan dalam hujan waktu malam memang menyeksakan. Sama ada suka atau tidak saya mesti menjalaninya dengan perasaan yang sabar.

“Singgah dulu, kita sembahyang Subuh bersama,” kata Haji Salim bila sampai ke kawasan rumahnya.

“Tak payahlah, rumah kita pun tak jauh lagi,” datuk menolak permintaan Haji Salim dengan tenang.

Haji Salim menuju ke rumahnya. Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Hari masih gelap, hujan terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh sambung- menyambung. Memang dalam suasana demikian memang seronok tidur, fikir saya. Entah apa yang datuk fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya sendiri pun tidak tahu. Saya dan datuk pun sampai di rumah.

“Pergi mandi tukar baju basah tu,” perintah datuk.

“Baik tuk,” saya pun masuk ke bilik air.

Datuk terus menuju ke perigi. Baru dua gayung air menjirus badan, saya terdengar pintu bilik air diketuk orang bertalu-talu.

“Siapa tu?”

“Aku.”

“Aku tu siapa?”

“Nenek kaulah, kenapa kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di telaga.”

“Tuk yang suruh nek.”

“Cucu dengan datuk sama saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah,” rungut nenek.

Saya tersenyum sendirian dalam bilik air. Lepas mandi saya terus ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba. Nenek melarang saya masuk ke bilik tidur. Ia tahu, kalau saya masuk bilik tidur, sembahyang Subuh pasti tidak saya lakukan.

“Apa yang kau orang dapat di kubur lama Tamar?”

“Itu kena tanya tuk,” saya renung muka nenek.

Dalam waktu yang sama datuk masuk ke rumah. Ia berdiri di depan nenek sebentar.

“Awak nak tahu apa kami dapat di kubur lama?”

“Apa dia?”

“Jumpa orang buat kerja maksiat.”

“Kerja maksiat.”

“Ya.”

Datuk pun masuk ke ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara datuk menjerit. Saya dan nenek menerpa ke ruang tengah. Saya lihat datuk membongkok mengambil sesuatu dan mencampakkan ke luar ikut tingkap.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 01:59 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Apa dia tuk?”

“Daging orang dalam daun keladi, aku campakkan ke tanah.”

“Kenapa tuk tak tanam.”

“Ah, tak usah banyak tanya,” suara datuk keras.

Kerana azan Subuh sudah kedengaran, saya dan datuk meneruskan sembahyang Subuh. Lepas sembahyang saya ikut datuk bersenam. Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat tadi. Pagi itu, datuk tidak mandi embun. Lebih kurang pukul sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali bersinar. Datuk dan saya berehat di anjung rumah.
Dari jauh kelihatan bayang seorang lelaki berbaju putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya cukup laju. Sampai di halaman ia terus memberi salam. Datuk membalasnya dengan penuh hormat.

“Silakan naik,” pelawa datuk.

Orang itu tidak menjawab. Ia terus mengurut-urut janggut sejemput di bawah dagu. Satu hal yang pasti, orang itu tidak berani menentang mata datuk. Setiap kali datuk merenung matanya ia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Rasanya kita pernah berjumpa tapi, di mana saya tak ingat,” datuk bersuara dengan nada riang.

Belum pun selesai datuk berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke kiri dan terus melangkah tanpa mahu menoleh lagi ke rumah datuk. Akhirnya, hilang dalam sinar matahari yang kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya kelihatan berkerut macam mengingati sesuatu.

Datuk menumbuk lantai sambil berkata: “Aku ingat.”

“Apa yang tuk ingat.”

“Orang itu pernah datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia memakai jubah sambil membilang tasbih,”

“Siapa orangnya tuk?”

“Namanya aku tak tahu, tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana menolong perempuan yang aku jadikan anak angkat.”

Saya anggukkan kepala. Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata saya. Sudah lama mereka tidak datang menemui datuk. Rasa kesal terus juga bermain di hati saya. Kenapa datuk mesti menerima akibatnya setelah melakukan sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan. Saya segera menggigit bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam dada. Kalau diturutkan kata hati, mahu rasanya saya membawa kayu dan memukul batang leher lelaki jahanam itu. Dalam saya berperang dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim datang. Ia membawa sebilah keris. Datuk mengajak ia naik. Haji Salim menolak.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 02:00 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Ada apa hajat?” tanya datuk.

“Nak mengajak pergi ke kubur lama.”

“Apa pula sebabnya?”

“Hati saya berkata-kata tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang ditinggalkan oleh orang-orang maksiat itu.”

“Kalau begitu, eloklah kita pergi.”

Datuk pun turun. Saya juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek datuk terus menuju ke kawasan kubur lama. Kerana hujan lebat pada sebelah malam, kesan air hujan masih terasa di daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang perjalanan menuju ke tempat tersebut. Biasanya, air sungai tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik kira-kira dua kaki. Airnya pula mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk air yang keruh itu. Tidak banyak perkara yang datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia asyik membaca sesuatu. Sebabnya saya berani berkata begitu, sepanjang perjalanan itu mulut datuk sentiasa bergerak-gerak sahaja. Setelah melawan arus sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus memanjat tebing. Dari situ bergerak menuju ke kubur lama.

Apa yang saya lihat di situ ialah puntung- puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu nisan sudah tidak kelihatan lagi. Semuanya hilang kena air hujan. Datuk dan Haji Salim terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka terjumpa dengan serpihan tembikar tempat perasap serta beberapa ketul kemenyan yang bertaburan. Haji Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar, kemudian dicampakkan dalam semak.

“Kita balik saja,” saya terdengar suara datuk.

“Ya, tak ada guna membuang masa di sini,” sahut Haji Salim.

Kami pun melangkah meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat sungai kami terdengar suara orang perempuan memanggil nama Haji Salim dan datuk bertalu-talu. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu.

“Jangan dijawab,” datuk mengingatkan saya.

“Kenapa tuk.”

“Itu suara syaitan.”

“Suara syaitan,” ulang saya sambil meraba pangkal tengkuk.


Sudah seminggu lebih penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan. Setiap senja dan Subuh rumah mereka didatangi orang-orang berjubah hitam yang tidak dikenali. Orang-orang yang berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu sembahyang Maghrib. Kalau pintu tidak dibuka ketukannya terus berlanjutan. Kalau dibiarkan papan pintu akan pecah. Bila dibuka, orang yang membuka hanya melihat belakang manusia berjubah hitam dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-10-2012 02:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

Kemudian orang berjubah hitam itu terus hilang. Kalau yang membuka pintu itu orang lelaki. Ia tidak melihat manusia berjubah hitam tetapi, ia akan melihat wanita cantik memakai pakaian serba kuning dengan wajah yang menawan. Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan itu akan bertukar menjadi hodoh. Gigi yang putih menjadi merah , macam darah. Kiri kanan gigi akan tumbuh siung. Hidung yang mancung jadi berlubang dengan beberapa ekor ulat, begitu juga dengan biji mata. Sebelum menghilangkan diri perempuan itu akan ketawa. Dari mulutnya akan keluar bau yang amat busuk. Tidak ubah macam bau bangkai.

Malang bagi orang luar atau saudara mara yang datang ke rumah saudara mara di kampung itu waktu Maghrib. Mereka terpaksa membaca ayat fatihah dan ayat ‘Qulhuallah’ serta dua kalimah syahadat dengan lantang. Bila pembacaan itu betul dan lancar, baru saudara atau adik- adik membuka pintu dan mempersilakan masuk. Kalau tidak boleh membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu.

Mereka berbuat demikian, kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim. Akibat dari undang-undang yang tidak bertulis, kanak- kanak yang belum ke sekolah sudah lancar membaca ayat- ayat tersebut. Kesannya memang baik. Sejak undang- undang itu dilancarkan, orang- orang jubah hitam mula berkurangan mengacau para penduduk di situ waktu Maghrib. Meskipun kegiatan kumpulan jubah hitam itu berkurangan. Tetapi, datuk tidak puas hati. Ia mahu menghancurkan dan melenyapkan kumpulan itu dari mengacau para penduduk. Jadi, tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa datuk berusaha dengan pelbagai cara untuk menghancurkan kumpulan itu.

Hari itu, seorang lelaki mengunjungi rumah datuk. Tetamu yang jadi kenalan baik Haji Salim itu dipersilakan masuk ke rumah. Ia ditemani oleh Haji Salim.

“Apa hajatnya,” soal datuk.

Teman Haji Salim yang berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk merenung lantai. Kemudian ia mengangkat mukanya perlahan-lahan merenung muka datuk dan Haji Salim.

“Silakan,” gesa Haji Salim.

“Saya disuruh oleh Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak.”

“Sebabnya.”

“Ada anak dara sunti di kampung mati dicekik orang waktu senja dan lidahnya dipotong,” kata teman Haji Salim.

“Dah repot pada polis.”

“Sudah.”

“Bila perkara itu terjadi.”

“Dua hari yang lalu.”

“Jumpa saya nak buat apa?”

“Minta ikhtiar supaya perkara macam itu jangan berulang lagi.”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka berbalas senyum, macam ada sesuatu rahsia besar yang tersembunyi dalam pancaran senyuman mereka.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 22-10-2012 02:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~64 ~
Orang berjubah hitam

“Baliklah, jaga kampung,” nasihat datuk.

Teman Haji Salim minta diri dan pulang. Haji Salim cuma menghantarnya hingga ke kaki tangga sahaja. Kemudian ia naik ke rumah datuk kembali. Datuk di anjung.

“Saya yakin, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur lama,” Haji Salim meluahkan perasaannya.

Datuk anggukkan kepala. Lama juga datuk dan Haji Salim bertukar- tukar fikiran dan pendapat. Akhirnya, mereka meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk tidak pulang ke rumah. Ia singgah di rumah Haji Salim. Haji Salim membawa datuk melawat ke bahagian tempat ia menempah keris. Datuk terkejut besar, bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di bahagian hujung matanya terlekat buah limau nipis manakala ulu lembing dilumur dengan tanah liat yang berwarna kuning.

“Buat apa ni Haji?”

“Ini caranya membunuh orang yang tidak makan besi tajam.”

“Kenapa kita mesti membunuh, kalau kumpulan jubah hitam itu berniat jahat, jawabnya mata lembinglah.”

Datuk ketawa mendengar cakap Haji Salim. Sebenarnya, ia juga ada petua tersendiri bagi mengalahkan orang yang tidak mampan oleh peluru dan senjata tajam. Petua yang diamalkan itu mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci. Hal itu tidak pula dinyatakan oleh datuk pada Haji Salim.

“Aku yakin, orang-orang itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari kita. Aku rasa orang itu ada dekat kita.,” ujar datuk lagi.

Haji Salim renung kiri kanan, macam mencari sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain diri saya, datuk dan dirinya.

“Awak bergurau.”

“Tidak, saya yakin orang itu ada di sini,” selesai sahaja datuk bercakap, ulu lembing yang tersusun itu terangkat sendiri macam ada orang yang mengangkatnya.

Ulu lembing itu tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji Salim terlihat bayang-bayang manusia melintas di depannya.

“Awak menggunakan pancaindera yang keenam,” kata Haji Salim.

“Tidak, saya menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya terasa ada orang bersembunyi di sini, tapi sukat untuk dilihat,” jelas datuk.

Haji Salim tersenyum lalu menepuk pangkal lengan kanan datuk.

“Kebolehan yang ada pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang perkara jahat.”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-10-2012 02:21 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~65 ~
Darah dalam mulut

Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan datuk.

“Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat.”

“Saya juga terfikir ke arah itu tapi…,” datuk tidak meneruskan kata-katanya.

Saya lihat datuk kerutkan kening macam ada sesuatu masalah besar yang bermain dalam kepala.

“Apa masalah yang awak fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan.

“Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”

“Mudah saja.”

“Mudah macam mana?”…

“Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus menentangnya.”

“Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji.”

“Kita adakan,” tingkah Haji Salim tenang.

Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan. Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah sambil berbunyi. Haji Salim juga bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang dipakai.

“Aduh,” jerit saya sekuat hati.

Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal. Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas. Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher saya. Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu.

“Benda sial tu, masih ada lagi di sini,” nada suara datuk meninggi.

Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-10-2012 02:21 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~65 ~
Darah dalam mulut

“Leher cucu kamu lebam dan bercalar,” Haji Salim memberitahu datuk dengan wajah yang sedikit cemas.

“Tak apa, benda tu mencabar kita,” balas datuk.

“Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim penuh kesal.

Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan aman. Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat asal. Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu.

“Huuuupppp…,” jerit Haji Salim sambil melompat.

Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung ke arah datuk dan saya. Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain. Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal hidung, di telinga atau di kening. Tindak tanduk belalang kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.

“Belalang sial,” jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali yang kelima.

Ia bangun dan terus mengambil batang penyapu. Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke dinding. Belum pun sempat penyapu menjamah dinding, belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan kemerah- merahan, sinar matanya nampak garang sekali.

“Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri,” kata datuk.

“Sial betul.”

“Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis,” kata datuk dengan tenang.

“Nak buat apa?”

“Saya nak menumis sambal belalang kunyit?”

“Ah…,” Haji Salim terkejut.

Wajah datuk direnungnya tepat. Ia mahu mempastikan apakah datuk bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-10-2012 02:22 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~65 ~
Darah dalam mulut
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-1-2025 10:46 PM GMT+8 , Processed in 0.524318 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list