|
Pengalaman Seorang Pegawai Penyelamat Hutan di USA (ceduk dari reddit)
[Copy link]
|
|
mrs_salvatore replied at 25-9-2022 11:35 AM
Terima Kasih Sang Lipas
Bertahun-tahun yang lalu, aku rasa 15 tahun lepas camtulah, aku dalam perja ...
Wahh.seram jugak ni..nasib baik la dia xtdo dalam bilik malam tu.. |
|
|
|
|
|
|
|
minat dengan cara terjemahan tt.tak skema.tq2 |
|
|
|
|
|
|
|
Gelandangan
Ada satu peristiwa yang terjadi pada aku masa aku menyewa di sebuah apartmen ni yang membuatkan aku terus pindah dari situ.
Aku tinggal di sebuah bangunan apartmen di kawasan perumahan dalam bandar yang senyap, apartmen aku di tingkat 4. Satu malam tu tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Dekat-dekat 20 minit la jugak aku terbaring atas katil merenung siling, cuba nak tidur semula tapi tak berjaya. Akhirnya aku pun bangkit dan menuju ke ruang tamu, mundar-mandir dalam ruang tamu tu kemudian aku menuju ke tepi tingkap rumah aku. Aku ingat lagi masa tu musim sejuk, dari tingkap aku yang berkabut tu aku nampak di luar sana tu sangat dingin dan senyap sunyi takde orang.
Dari sudut mata aku, dalam kabus salju tu, aku ternampak macam ada bayangan orang sedang berjalan. Orang tu sekali pandang macam gelandangan, dia seorang lelaki dan dia memakai baju berlapis-lapis sampai pakaiannya jadi tebal. Lelaki itu berjalan terhencot-hencot, kakinya macam tempang sebelah tapi dia berjalan tak pakai tongkat pun. Dengan cara berjalan menyeret sebelah kaki itu, aku dapat dengar bunyi jalan kaki dia. Tap, scrape, tap, scrape. Aku dengan khusyuknya memerhatikan sahaja gelandangan itu berjalan perlahan-lahan macam aku tengah tengok TV. Tiba-tiba, dia mendongak dan mengalihkan pandangannya ke arah aku.
Jam dah pukul 3 pagi, dan aku hanya membatu di tepi tingkap di tingkat 4 itu merenung dia. Macam mana dia tiba-tiba boleh tau aku tengah memerhatikan dia aku pun tak pasti. Padahal sepanjang dia berjalan tu dia hanya tertunduk sambil membawa kakinya yang tempang itu. Terkejut jugak aku bila gelandangan tu merenung aku tapi masa tu aku masih husnozon, mungkin sebab dalam bangunan apartmen ni cuma rumah aku je yang masih menyala lampunya. Rumah lain dah gelap dah.
Kemudian, gelandangan itu melambai padaku. Dia melambai macam seorang budak yang nakkan perhatian, tangannya sengaja dikepak-kepakkan. Aku pun lambailah balik tapi lambai perlahan-lahan je. Pada masa yang sama, dia masih berjalan dengan tangannya melambai-lambai padaku. Aku dah rasa pelik dengan kelakuan lelaki itu jadi aku pun perlahan-lahan menjauhi tingkap aku tu.
Walaupun begitu, aku masih tak mengantuk lagi. Jadi aku pun pasanglah XBOX aku dan aku main permainan video FIFA. Aku bermain seorang diri sampailah permainan tu tamat, ni aku memang ingat sangat masa tu aku main Juventus lawan Liverpol dan seri 1-1. Sebenarnya konsentrasi aku semasa bermain tu agak terganggu sebab aku masih teringatkan gelandangan tadi. Aku terbayang-bayang yang dia masih ada di seberang jalan tu tapi mustahil sebab dah 15-20 minit berlalu. Aku pun kembali semula ke tingkap tu.
Betul tekaan aku, gelandangan tu masih ada di jalan tu, dia sedang berdiri dan merenung aku. Dia tidak tersenyum tapi matanya terbeliak macam seronok nampak aku. Entahlah tapi aku rasa gelandangan tu sangat menyeramkan. Padahal dia macam gelandangan biasa je - umur dalam lewat 40an, kurus tinggi dan baju berlapis-lapis. Tiada apa yang perlu ditakutkan tapi mungkin sebab pandangan gelandangan tu yang tajam merenung aku buat aku rasa tak sedap hati. Dia mengangkat tangannya dan melambai-lambai padaku. Aku tak balas balik sebaliknya aku tarik langsir dan duduk di sofaku. Perasaan diperhatikan tu masih tak hilang, dalam 5 minit kemudian aku mengintai dari celah langsir, dan aku nampak gelandangan tu dah takde kat situ.
Tak sampai 2 saat aku menarik nafas lega, tuk tuk tuk, pintu rumahku diketuk.
Aku dah duduk kat rumah tu dah hampir 4 tahun, inilah pertama kali orang datang ketuk pintu rumah aku jam 3 pagi. Eh sape pulak ni? Hati aku kuat mengatakan ni mesti gelandangan tadi. Aku tak berani nak bukak pintu. Dan untuk kali kedua pintu rumahku diketuk lagi.
Aku tertanya-tanya macam mana gelandangan ni boleh masuk ke blok apartmen aku ni? Blok aku ni agak istimewa, kawalan keselamatannya agak ketat. Pintu masuk ke bangunan ni sentiasa dikunci dan cuma orang yang ada pas je yang boleh masuk. Di bangunan aku juga takde penyambut tetamu jadi kalau ada orang luar nak masuk mereka mesti dijemput oleh penghuni tu sendiri. Jadi siapa yang bukak pintu untuk gelandangan tu? Macam mana pulak dia boleh tahu nombor rumah aku 417? Macam mana sekelip mata ja dia boleh naik ke tingkat 4 ni dengan kaki berdengkot-dengkot macam tu?
Aku masih berdiri kaku di hadapan tingkap rumah aku. Pintuku diketuk untuk kali ketiga. Aku cuba buat-buat macam takde kat rumah tapi aku lupa yang rumah aku masih menyala lampunya. Lagu latar permainan FIFA tu pun masih berkumandang dari television aku. Masa nilah aku ingat-ingat lupa, eh tadi aku ada kunci pintu rumah ke tak ye? Tombol rumah aku ni ada takik, aku tak ingat takik tu kena menegak atau melintang baru pintu tu berkunci. Sebelum ni aku memang jarang sangat kunci pintu rumah walaupun duduk kat rumah ni seorang diri.
Untuk kali keempat, gelandangan tu ketuk pintu aku lagi. Aku masih lagi buat tak layan. Lepas tu, aku nampak tombolku berpusing. Seramnya masa tu jangan cakaplah, macam satu badan kena siram ais batu. Aku terdengar bunyi klik, tandanya pintu rumah aku masih berkunci. Barulah aku boleh bernafas lega. Maksudnya gelandangan tu cuba nak ceroboh rumah aku, aku kena panggil polis, tapi alamak mana pulak aku letak telefon bimbit aku ni?
BAM! BAM! BAM! Ketukan yang perlahan tadi bertukar jadi kasar. Berkali-kali pintu rumahku diketuk berdegang-degang sampai bergoyang-goyang pintuku jadinya. Aku nak je jerit kat gelandangan tu tapi aku tahan diri. Dengan ketukan macam tu, mustahillah jiran-jiran aku tak dengar. Takpe tunggu diorang keluar dulu baru aku berani nak bukak pintu. Lagipun pintu rumahku dah selamat berkunci, dia nak masuk pun camne? Nak tak nak dia kena keluar dari bangunan ni, tapi baru aku teringat, macam mana pulak dia nak keluar dia takde pas. BAM! BAM! BAM! Pastu senyap. 10 ke 15 minit aku merenung pintu tu, aku seolah-olah menunggu sesuatu di luar sana. 10 ke 15 minit tu jugaklah di luar sana tu senyap je. Masa nilah baru aku berani nak buka pintu.
Aku tau perbuatan aku ni memang bodoh tapi aku sebenarnya dah taknak menyorok lagi. Aku berjalan perlahan-lahan tanpa bunyi, aku cadang nak bukak pintu tu mengejut dan tangkap gelandangan tu. Oh berani ye kau nak takutkan aku nah aku nak bawak ko ke balai polis. Perlahan-lahan aku bukak takik pintu tu dan tarik pintu tu. Tapi takde sesiapa pun di luar rumah aku.
Aku tutup balik pintu tu dan aku pastikan kali ni ianya benar-benar berkunci. Aku berlari semula ke tingkap. Dah takde orang cuma ada kabus salji je. Hatiku masih berdebar-debar. Aku rasa ianya dah berakhir, tapi ambil keputusan aku kena jugak laporkan pada polis. Polis datang malam tu jugak, 2 orang bersama-sama pengurus bangunan aku. Pengurus aku ni yang bagi diorang masuk. Sementara yang sorang tu ambil kenyataan aku, yang lagi sorang tu merayau sampai ke tingkat teratas iaitu tingkat kelima, dia cakap dia tak nampak orang lain pun dalam bangunan ni.
Kat lobi bangunan aku ni ada kamera keselamatan. Esok paginya, aku dan pengurus bangunan tu tengoklah rakaman kamera tu, tapi tiada siapapun yang masuk ke bangunan ni dalam pukul 3 ke 3.30 pagi tu. Orang yang paling akhir masuk pun pukul 2pagi. Dan tiada siapapun yang masuk bangunan ni menyerupai deskripsi lelaki gelandangan yang aku nampak tu. Masa tu kami tengok rakaman video tu sekilas-sekilas je, tapi pengurus bangunan aku tu janji nanti dia akan tengok betul-betul kot-kotla kami ni terlepas pandang ke. Tapi selepas diselidik memang takde rakaman lelaki gelandangan tu masuk ke bangunan ni.
Sampai sekarang aku masih tak tau apa sebenarnya yang terjadi malam tu. Ada yang kata mungkin tu cuma prank je, ada budak-budak dalam bangunan tu saja main ketuk-ketuk pintu. Eh kebetulan sangatlah kan dalam 4 tahun ni aku tak pernah kena macam ni, tetiba malam tu diorang buat prank pada masa yang sama aku nampak lelaki gelandangan tu ye? Ada yang kata, mungkin aku bermimpi je, aku terbangun dan tertidur balik. Aku cepat-cepat menafikan sebab aku ingat sangat game FIFA yang aku main tu ye? Hati aku kuat mengatakan yang kacau aku malam tu adalah lelaki gelandangan tu, tapi aku sendiri pun pening macam mana dia boleh bergerak laju, macam mana dia boleh masuk bangunan ni, macam mana dia tau rumah aku nombor berapa?
Yang paling menakutkan bagi aku, selepas kejadian tu, adakalanya beberapa kali dalam seminggu aku akan terbangun dari tidur. Aku mula terbayang yang gelandangan tu tengah berdiri di luar tu, tengah tunggu aku. Walau terjaga macam mana sekalipun aku cuba tahan diri taknak bangun dan taknak bukak lampu.
Aku sewa rumah ni pakai kontrak tahunan, 3 bulan kemudian kontrak aku tamat dan aku sengaja taknak sambung. Aku berpindah ke rumah lain dan aku tak pernah dah terjaga tengah malam macam tu lagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
mrs_salvatore replied at 25-10-2022 05:19 PM
Gelandangan
Ada satu peristiwa yang terjadi pada aku masa aku menyewa di sebuah apartmen ni yang ...
Kebetulan yang menakutkan |
|
|
|
|
|
|
|
Raksasa di Kem Tentera
Aku ada seorang kawan yang merupakan bekas tentera. Semasa dia masih berkhidmat dulu, dia pernah ditugaskan di sebuah kem tentera di Timur Tengah. Aku pun ingat-ingat lupa kem tu kat mana dan sejujurnya aku pun tak ingat secara terperinci apa yang dia cerita kat aku dulu sebab dia cerita pun dah bertahun-tahun yang lalu. Tapi aku paling ingat cerita ni sebab cerita ni macam tak logik tapi dari cara kawan aku cerita tu, sangat bersungguh-sungguh jadi aku yakin dia tak tipu. Tapi kalau cerita ni tak betul, maksudnya dialah yang tipu korang ye bukan aku.
Kem tempat dia berkhidmat tu dikelilingi dengan dinding bata dan di sepanjang dinding tu ada pos kawalan yang dijaga oleh askar-askar dalam tu jugak. Berek-berek dalam kem tu pun turut dikawal oleh pihak tentera. Dalam kem tu ada satu gudang besar yang dah usang dan tak pernah digunakan lagi. Gudang tu ada pintu 2 daun yang sangat besar, jenis yang daun pintunya ke luar kalau nak dibukak tu tapi gudang ni sepanjang masa pintunya ditutup. Setiap askar yang bertukar shift kawalan dari berek ke pos kawalan kat dinding tu mesti kena lalu gudang ni.
Satu malam tu masa kawan aku ni, kita panggil dia Robert jelah ye, si Robert ni tengah sedap-sedap berehat dalam berek dia, apabila dia terdengar bunyi tembakan dilepaskan. Semua orang pun kelam kabut bersedia, kecohlah jugak masing-masing tertanya-tanya apakah yang sudah terjadi. Diorang mendapati yang tembakan tu datangnya dari dalam kem tu jadi diorang pun beramai-ramai menuju ke sumber bunyi tu. Rupa-rupanya datang dari gudang buruk tu.
Diorang nampak, ada 2 tentera lengkap berpakaian sedang mengacukan senapang masing-masing ke arah gudang tu. Kedua-dua tentera tu nampak ketakutan teramat sangat. Pintu gudang tu macam terbukak sedikit. Tentera-tentera lain menjerit pada 2 tentera tu tanya apa yang dah berlaku, tenangkan diorang dan suruh diorang letak senjata tu perlahan-lahan. Tapi kedua-dua tentera tu langsung tak berganjak dari posisi masing-masing. Tentera tu cakap ada sesuatu berwarna hitam dan besar dah masuk ke dalam gudang tu.
Lama-kelamaan, kedua-dua tentera tu pun kembali tenang, keadaan mula menjadi normal. Komander kem tu arahkan supaya gudang tu diperiksa, tapi dalam gudang tu kosong takde ape. Pintu gudang tu pun ditutup kembali, tapi pintu tu sangat berat sampai perlukan tenaga 2 orang tentera nak menutupnya.
Malam esoknya, kedengaran bunyi jeritan dari dalam gudang tu. Semua orang pun terkejut. Gudang tu sekali lagi diperiksa tapi gudang tu kosong je macam malam sebelumnya.
Malam lusa, ada lagi bunyi jeritan tu. Tapi bila diperiksa gudang tu masih kosong.
Malam tulat, sekumpulan tentera yang tengah bergerak nak tukar tempat berkawal tiba-tiba melepaskan tembakan. Bila ditanya, diorang nampak ada macam makhluk hitam dan besar macam yang mula-mula orang nampak tu masuk ke dalam gudang tu. Tapi makhluk tu sangat tangkas berlari sampai tak sempat terkena tembakan. Pintu tu terbuka sedikit tapi tiada pemeriksaan dilakukan. Pintu tu memang berat dan sekali lagi khidmat 2 orang tentera diperlukan untuk menutupnya. Jadi korang bayangkan jelah camne kuatnya makhluk misteri tu.
Lama-kelamaan tak tahan sangat diganggu, pihak kem ambil keputusan nak buat siasatan ke atas gudang tu. Kamera sekuriti dipasang di pintu hadapan gudang tu, dan beberapa tentera 'bertuah' diberi tugasan untuk mengawal gudang tu. Pihak atasan nak tengok apa benda sebenarnya yang menghantui kem tu.
Satu malam, kamera tu berjaya merakam video yang menarik ni. Pintu dibuka dari dalam, dan keluarlah seekor raksasa hitam dan besar berkaki dua dari dalam gudang tu. Raksasa tu menjerit sekuat hatinya. Pengawal-pengawal yang ada melepaskan tembakan pada raksasa tu dan raksasa tu bergerak dengan sangat laju lari balik ke dalam gudang tu. Kali ni kedua-dua daun pintu gudang tu ternganga luas dek raksasa tu. Lagi ramai tentera datang dan beramai-ramai masuk ke dalam gudang tu. Tapi kosong.
Masa ni, mulalah para tentera dalam tu bergossip sesama sendiri. Berhampiran dengan kem ni ada sebuah kampung, tapi kampung ni asal masuk malam je jadi macam kampung 'mati'. Takde sapa pun yang akan berkeliaran di luar rumah selepas matahari tenggelam. Adalah sorang tentera ni, saja tanya penduduk kampung tu kenapa ye macam tu. Orang-orang kampung tu cakap, kat sini ada dewa kematian sebab tu diorang takut nak keluar malam-malam.
Bersambung
|
|
|
|
|
|
|
|
Raksasa Di Kem Tentera Bahagian Akhir
Tak berapa lama dari kejadian raksasa muncul dalam kamera tu, satu pasukan khas beserta kelengkapan canggih pun masuk ke kem tu. Si Robert ni pun antara yang terpilih masuk ke pasukan khas tu sebab Robert ada kepakaran dalam bidang rakaman. Pasukan khas ni telah membuka gudang tu dan diorang letak macam-macam peralatan diorang dalam gudang kosong tu. Gudang tu memang gelap gelita sebab takde sambungan elektrik, nak berjalan-jalan dalam tu memang kena pakai teropong inframerah tu. Pasukan khas ni rangka satu rancangan khas untuk tangkap makhluk tu.
4 orang tentera diletakkan dalam gudang tu ikut satu posisi berbentuk segiempat dan saling menghadap orang depan. Salah sorang tentera yang kena duduk dalam tu si Robert nilah. Diorang ni takdelah berdiri sepanjang masa dlm posisi tu, masing-masing diberikan kerusi untuk duduk. 4 jam berlalu, masih tiada apa-apa. Sekali tu, tentera yang mengadap si Robert ni tiba-tiba memberi isyarat tangan, isyarat yang ada sesuatu di belakang si Robert tu. Tentera di sebelah kanan si Robert ni boleh pulak khusyuk tidur, manakala tentera lagi sorang tu tak bergerak pun, mungkin sama-sama tertidur kot. Si Robert ni taknaklah mengejutkan makhluk tu, dia pun dengan tangkas berpusing 180 darjah dan terus melutut ke tanah. Serentak dengan itu, kawan yang mengadap dia tu terus je melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah makhluk tu. Kawan aku sempat jugak tengok apa rupanya makhluk tu. Robert kata, makhluk tu memang rupa macam syaitan, ianya berdiri atas 2 kali dan berketinggian 9 kaki. Matanya tajam menikam berapi-api dengan aura kejahatan. Tentera-tentera lain pun terjaga dari lena dan diorang pun ikut sama menembak setan tu. Robert dari melutut terus meniarap taknak kena peluru tembakan.
Tentera yang menyaksikan setan tu cakap, setan tu bergerak sangat pantas macam berteleportasi dari belakang Robert ke dinding pastu tiba-tiba dah ada kat siling. Tentera-tentera tu terpaksa memberhentikan tembakan sebab setan tu akan bergerak ke belakang setiap tentera yang tengah menembak tu. Akhirnya diorang ni termasuk Robert pun cabut keluar jelah dari gudang tu, tapi Robert sempat capai satu peralatan kamera ni.
Sebenarnya di setiap sudut gudang tu memang dah dipasang kamera, dan peristiwa malam tu memang jelas terakam dalam kamera tu. Tentera-tentera yang terlibat termasuk si Robert ni dipanggil oleh ketua pasukan khas tu, mereka diberi arahan supaya peristiwa malam tu dirahsiakan. Biar bocor di perut jgn bocor di mulut. Tak lama lepas tu, gudang tu terus dirobohkan.
Pasukan khas tu pun ada buat siasatan dengan penduduk kampung. Lepas tu, pasukan khas ni pergi ke satu lokasi ni, tempat tu macam tempat pembuangan mayat beramai-ramai la. Pasukan khas beserta penduduk kampung gali kubur besar tu dan mana mayat-mayat yang diorang jumpa diorang kebumikan semula ikut adat tempat tu di kubur masing-masing. Dan lepas tu, ikut kata Robert, memang tak muncul dah setan tu.
Sekali lagi aku mintak maaf, cerita aku mungkin kurang menarik sebab tak berapa terperinci macam Robert yang mengalaminya sendiri. Mungkin jugak korang rasa Robert saja reka cerita, tapi percayalah masa Robert cerita kat aku tu, dia mengaku kisah ni memang kisah benar....
|
|
|
|
|
|
|
|
thank you tt. macam biasa, terbaik!!! |
|
|
|
|
|
|
|
tq tq uols... sorry ye kalau tak smpt reply satu-satu hehehe
|
|
|
|
|
|
|
|
tq tq jugak for your support
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengalamanku di Afghanistan
Sekitar tahun 2012, aku merupakan seorang prebet tentera USA yang ditempatkan di Afghanistan. Aku taknakla cerita secara terperinci apa bidang tugas aku, tapi aku ni boleh dikatakan seorang juru radio untuk satu pasukan kecil dan kami ni ditugaskan di kawasan kombat yang memang terpencil sikitla.
Kami menjalankan operasi 24jam hari-hari, pada satu malam tu, kami menerima transmisi yang agak pelik. Transmisi tu sangat jelas tapi aku tak dapat nak tentukan dari mana transmisi tu datang. Yang lagi pelik tu adalah apa isi kandungan transmisi tu.
Walaupun aku juru radio namun aku bukan pakar bahasa, tapi aku dapat cam yang bahasa yang digunakan oleh pihak sebelah sana tu bukan bahasa Pashtun atau Dari iaitu dialek orang Afghanistan, English lagilah bukan, bila diamati, bahasa tu adalah bahasa Rusia. Masa nilah kitorang semua dah agak risau, apahal tiba-tiba ada tentera Russia kat sini? Malam tu jugak kami hubungi pusat operasi kami. Habis semua orang kat pusat tu kami kejutkan sebab perkara ni memang serius. Nasib baiklah jugak kami ada alat perakam jadi sebelum transmisi tu berakhir kami sempat rakam sebahagian dari transmisi tu sebelum ia tamat sepenuhnya.
Sebab kami ni takde jurubahasa Rusia, dan kami pun tak faham apa yang dicakapkan, kami hantarlah rakaman tu ke pusat operasi kami. Ada seorang pegawai waran ni, aku kenal dia dan kebetulan dia pun jurubahasa Rusia tentera masa zaman perang dingin dulu jadi rakaman tu pun dihantar kepada dia. Walaupun bahasa Rusia dia agak reput sikit sebab dia pun dah lama tak pakai bahasa tu, tapi dia dapat terjemah serba sedikit rakaman tu.
Menurut pegawai tu, sebenarnya itu merupakan mesej kecemasan - panggilan meminta tolong. Di mana bes tentera mereka kini sedang diserang oleh musuh. Tapi, yang jadi peliknya, kat Afghanistan ni mana ada bes tentera Rusia sejak Afghanistan ditawan. Kami semua mula tertanya-tanya apa benda ni sebenarnya. Mana datangnya panggilan radio ni? Tapi pihak pusat tutup kes ni, mereka kasi alasan ini cuma rakaman dari zaman Rusia masuk Afghanistan masa tahun 1970an yang kadang-kala akan muncul memasuki ruang radio kami.
Aku nak tak nak je percaya dengan penjelasan dari pusat kami tu, tapi aku yang mendengar dan merakam sendiri audio tu dan aku yakin tu bukan rakaman audio. Memang aku dapat dengar nama cemas dari pemanggil tu. Pastu, lagi satu, kenapa dalam rakaman tu takde pun bunyi latar belakang? Sampai sekarang benda ni menghantui aku.
|
|
|
|
|
|
|
|
mrs_salvatore replied at 25-10-2022 05:19 PM
Gelandangan
Ada satu peristiwa yang terjadi pada aku masa aku menyewa di sebuah apartmen ni yang ...
Okayyyyy meremang bulu roma baca cerita ni sebab teringat kisah kena kacau kat hotel. Nampak tombol berpusing macam orang nak buka. Tapi bila I pegi report management and tengok CCTV takde orang pun |
|
|
|
|
|
|
|
Misteri Pager
Cerita yang aku nak kongsi ni memang tak masuk akal tapi memang 100% betul-betul berlaku pada aku.
Bertahun-tahun yang lalu, sebelum wujudnya telefon bimbit ni, ada satu gajet komunikasi yang dipanggil pager. Bagi korang gen Y dan gen Z memang tak pernah nampak kot pager ni. Pager ni fungsinya untuk menerima mesej pendek je. Waktu itu, aku bekerja sebagai juruteknik bebas jadi aku memang iklankan perkhidmatan aku pakai pager ni. Sebagai juruteknik memang aku ke sana ke sini sepanjang masa, jadi kalau ada klien nak gunakan khidmat aku, diorang akan mesej nombor telefon diorang kat pager aku dan aku akan hubungi diorang semula. Dalam bidang perkhidmatan macam aku ni, kalau ada klien yang terdesak diorang akan tinggalkan nombor telefon diikuti dengan 911, jadi aku pun pahamlah diorang nak aku hubungi diorang balik dalam masa secepat mungkin. Tapi aku jarang sangatlah dapat mesej 911 tu.
Ada satu tengahari tu, aku dalam perjalanan dari Orlando menuju ke St Petersburg ikut jalan Interstate 4, apabila pagerku berbunyi bip bip bip, ada mesej nombor telefon diikuti nombor 911. Aku pun cari-carilah tempat kat mana aku nak berhenti ni, jumpa je exit pertama aku terus masuk exit tu dan aku jumpa satu hentian rnr untuk trak tak jauh dari Plant City. Adalah dalam 3 minit jugak jarak masa dari aku dapat mesej tu. Kat hentian tu ada sebaris pondok telefon awam, 4 bijik semuanya saling bersebelahan di tepi kedai tu. Aku pun masuk dalam kedai mintak tukar duit syiling dan aku gunakan duit syiling tu untuk menghubungi semula nombor telefon tadi.
Tapi takde orang pun yang angkat panggilan aku. Geram lah pulak aku ni sapa yang suruh hubungi segera tapi bila dah call taknak angkat pulak ni? Sementara tu, aku macam terdengar bunyi deringan telefon sayup-sayup tak jauh daripada aku. Korang kena ingat ye masa ni memang telefon bimbit tak wujud lagi tau. Aku tercari-cari mana datangnya dan masa tulah aku terperasan yang telefon awam paling hujung daripada aku tu yang berbunyi. Deringannya seiring dengan bunyi toot toot toot dari panggilan aku. Bila aku letak gagang, bunyi dering tu pun berhenti.
Aku pun berjalan menuju ke telefon awam yang kat hujung tu. Dulu setiap telefon awam ni, butang nombor tu di bawah gagang telefon, pastu atas butang nombor tu pulak nombor telefonnya. Aku pun angkatlah gagang tu. Aku peratikan nombor tulisan yang tercatat di atas butang nombor tu, pastu aku tengok balik nombor telefon yang tertera di pager aku. 2-3 kali jugaklah aku mendongak dan menunduk untuk aku nak pastikan betul-betul, sebabnya nombor telefon di pondok tu sama macam dalam pager aku! Terasa putus nafas sekejap bila aku menyedari 'kebetulan' ini. Macam mana boleh sama ni?
Aku pergi balik ke kedai tadi, aku tanya adik yang jaga kaunter, tadi siapa orang terakhir yang guna telefon awam tu? Adik tu cakap, akulah orang pertama sejak sejam yang lalu yang sampai ke situ. Sebelum tu memang dia sorang je dan akulah jugak orang pertama yang guna telefon awam tu. Sejam yang lalu?? Tapi, tapi, tak sampai 15minit pun aku ada kat sini sejak aku dapat mesej misteri tu. Berdiri tegak bulu roma aku terutamanya yang kat leher ni. Aku pun cepat-cepatlah balik ke kereta aku dan memandu keluar dari situ.
Aku dah memandu dalam 10 batu jauhnya sambil memikirkan kejadian tadi, apabila dihadapan aku ni satu kejadian kemalangan jalanraya yang paling dahsyat aku pernah jumpa. 4 biji kereta saling bertindanan mengelakkan sebuah treler traktor yang membawa batang-batang besi. Batang-batang besi tu tercabut dari treler tu. Ambulans dan polis pulak baru je sampai. Aku terpaksa berhenti ke tepi jalan dan akupun turut sama membantu serba sedikit mangsa-mangsa kemalangan tu.
Sampai sekarang aku terfikir juga, kalaulah aku tak dapat pager kecemasan tu, aku mesti tak berhenti. Kalau aku tak berhenti, mesti aku pun akan terlibat sekali dalam kemalangan tu dan mesti sekarang ni aku tak hidup lagi nak menulis pasal kisah aku ni.....
|
|
|
|
|
|
|
|
tq tq uols atas sokongan yang diberi. I'm happy kalau uols suma suka cerita2 ni
|
|
|
|
|
|
|
|
Mata Merah
Aku merupakan seorang yang berketurunan Navajo. Peristiwa ni terjadi semasa aku masih kecil. Masa tu aku ikut pakcik aku pergi mencari kayu api untuk nenek aku. Siang dah makin berakhir, hari pun dah nak makin gelap jadi kitorang pun keluarlah dari hutan tu. Kami terpaksa melalui jalan tidak berturap ni jadi pakcik aku cuma mampu memandu dalam kelajuan 30 ke 35 batu sejam je. Entah kenapa aku rasa macam sedang diperhatikan pulak masa tu.
Belum sempat aku menoleh ke arah tingkap kereta tu, pakcik aku tiba-tiba menjerit, 'jangan tengok tingkap!'. Eh terkejut aku. Camne pakcik aku tau-tau je dengan perasaan tak sedap hati aku tadi tu, melainkan.... Berdebar-debar jantungku jadinya. Sekali tu aku terdengar bunyi tingkap kereta sebelahku diketuk. Tap! Tap! Tap! Rasa macam terberhenti terus jantung aku sekejap.
Pakcik aku pijak minyak sambil mulutnya tak habis-habis melafazkan doa dan jampi serapah dalam bahasa Navajo lama. Aku terpinga-pinga, aku tak tau apa sebenarnya yang terjadi sampailah kereta kami tiba-tiba menurun, macam kami tengah lalu jalan yang berombak-ombak. Pakcik aku tak habis-habis cakap kat aku, tengok pakcik je, jangan pandang tempat lain, berselang-seli dengan doa dia. Kali ni bunyi tap! tap! tap! tu muncul di tingkap belakang dan cermin belakang kereta pakcik aku pulak. Aku semakin ketakutan, makin susah nak bernafas dan mula nak menangis. Selang seminit dua kereta kami asyiklah melonjak dan menurun. Tak lama lepas tu, keadaan kembali tenang. Kami dah masuk ke jalanraya. Tiada bunyian lain selain daripada deruman enjin kereta kami. Pakcikku menarik nafas lega. Pakcikku pandang muka aku, pastu dia cakap, 'esok pagi pakcik akan mintak ayah kamu bacakan doa, semoga kejahatan tadi boleh lupakan muka kita'. Aku ingat lagi sepanjang perjalanan balik tu aku cuma berlingkar di kerusiku dan merenung jam digital di radio kereta pakcik aku tu. Sepanjang perjalanan tu jugaklah pakcik aku menyanyikan lagu-lagu lama berbahasa Navajo.
Aku teringat balik kisah ni sebab baru-baru ni aku asyik termimpikan peristiwa tu. Jadi satu hari tu aku hubungi balik pakcik aku tu. Pakcik aku sekarang ni dah jadi orang tua dah pun. Aku tanyalah pakcik aku, apa yang dia nampak sebenarnya masa tu? "Pakcik tak nampak mukanya. Tapi pakcik nampak matanya. Merah menyala macam lampu isyarat merah tu. Mata tu asyik pandang kamu'. Aku pun sajalah gurau-gurau dengan pakcik aku, kenapa pakcik tak brek je bila benda tu dah ada kat belakang kereta? Boleh kita tengok apa benda tu sebenarnya. Pakcik aku tak gelak, dia terdiam sekejap. "Sebab pakcik nampak ada banyak mata merah lagi. Benda tu bukan seekor".
|
|
|
|
|
|
|
|
Panggung Wayang Berhantu
Cerita aku ni agak panjang sikit sebab banyak sangat gangguan yang berlaku kat sebuah panggung wayang di tempat aku. Harap semua pembaca bersabar ye kalau cerita ni bersambung-sambung.
Sedikit latar belakang, selepas aku selesai konvo dari kolej, aku pindah balik ke tempat asal aku dan bekerja sebab pencuci shift pagi di panggung wayang tu. Sift aku bermula dari pukul 4 pg ke 10 pagi. Orang yang temuduga aku semasa nak dapatkan kerja ni adalah seorang lelaki yang agak selekeh bernama Jeff. Aku ingat lagi semasa ditemuduga tu, dia ada tanya aku satu soalan yang agak pelik sikit, 'awak ni jenis yang lemah semangat ke?'. Aku gelak jelah dan aku cakap tak. Aku muda lagi kot.
Kerja sebagai tukang cuci ni mudah je, ala buang sampah, mop lantai, sapu sampah. Dan kebanyakan masa aku berseorangan je masa bekerja ni, jadi kami dibenarkan untuk bawak iPod masing-masing buat hiburan. Wayang kami ni besar, susunatur ruangnya macam huruf T, lobi dan tandas di batang T tu, sebelah kanan panggung yang agak kecil dan sebelah kiri jenis panggung untuk skrin IMAX yang lebih besar. Di atas siling di panggung-panggung tu adalah kawasan projektor, adalah beberapa pejabat kecil dan mesin untuk memancarkan filem tu. Sapa-sapa yang masuk kerja awal pagi tu diorang kene mendaki anak tangga yang berpusing-pusing tu untuk membuka kesemua lampu yang ada dalam bangunan tu. Jadi sape lagi yang masuk kerja awal pagi tu kalau bukan aku kan heh
Nak membukak lampu tu takdela susah, tapi bila bangunan tu gelap gelita.... macam Jeff cakap bangunan ni macam seram sikit. Kawasan projektor tu penuh dengan barang-barang promosi macam papan-papan kadbod untuk filem-filem yang tengah tayang. Sebab banyak sangat kadang-kadang pengurus wayang tu akan bagi je sesiapa yang nak barang-barang tu. Itupun masih banyak lagi yang tersadai kat kawasan projektor tu. Papan-papan kadbod tu ada yang setinggi manusia jadi bila gelap, korang akan nampak tempat tu macam ada bayang-bayang ramai orang tapi sebenarnya hanyalah papan kadbod je..... Sebab tulah Jeff nak cari orang yang pemberani kot untuk kerja ni.
Kerja aku lagi satu, adalah berjumpa dengan pengurus shift siang untuk pemeriksaan dan kerja selanjutnya. Satu hari ni, pengurus tu, dia macam nak segan nak cerita kat aku, tapi dia kata ada sekarang ni ramai pengunjung wanita mengadu mereka diekori oleh seorang lelaki tinggi kurus memakai baju sut, lelaki tu ikut sampai ke tandas pulak tu. Ramai sangat yang mengadu dan pengadu-pengadu tu melaporkan benda yang sama, lelaki tu tinggi 7 kaki, pakai sut hitam lengkap dengan topi bulat tu berjalan mengekori diorang. Polis dah dipanggil berkali-kali tapi lelaki tu tak pernah berjaya ditangkap. Pekerja-pekerja shift siang gelar lelaki tu sebagai 'The Tall Man'.
Kat sini ada 12 buah arena yang tayang filem tu , tapi arena nombor 5 adalah yang paling teruk. Takde sapa nak bersihkan tempat tu. Masa aku mula-mula kerja kat sini, aku pun tak tau kan kisah pasal tempat ni, jadi akulah yang diberi tugasan untuk bersihkan arena nombor 5 ni. Arena No 5 ni yang uniknya adalah tempatnya terletak di belakang tandas di lobi tu, jadi arena ni adalah antara arena paling jauh nak sampailah. Sunyi tu jangan cakaplah, dahlah aku kena masuk kerja pukul 4 pagi sorang diri. Arena nombor 5 ni pun kotornya lain macam sikit, setakat popcorn dan air tumpah tu aku boleh terima lagi, tapi ni siap ada darah dan muntah. Di arena nombor 5 ni ramai penonton yang mengadu diorang tiba-tiba kepala pusing sampai termuntah-muntah, darah tiba-tiba keluar daripada hidung. Suatu hari tu, aku tengah menyapu sampah di bawah tempat duduk tu apabila aku terdengar bunyi tapak kaki orang tengah berlari. Automatik aku pun terbangun dan aku sekilas nampak ada seorang budak lelaki berambut perang tengah berlari keluar dari arena tu. Aku pun kejarlah budak tu, sampai ke lobi. Nak ke lobi tu kena membelok tapi aku cuma nampak Jeff tengah hisap rokok kat lobi tu.
"Eh Jeff. Ko nampak tak budak lelaki tadi tu?", Jeff macam terpinga-pinga kejap. "Budak? Takdepun". Berkerut dahi Jeff tapi lepas tu riak muka Jeff mengendur sikit dan dia mula tersenyum. "Ha mesti ko nampak Charlie ni". Charlie? Sapa tu? Jeff pun ceritalah kat aku. Charlie ni adalah antara entiti yang selalu tunjuk muka kat sini. Memang ramai yang melaporkan termasuklah penonton sendiri, diorang nampak budak lelaki berlari sorang diri, terutamanya masa filem sedang dimainkan. Si Charlie ni akan berlari dari atas sampai bawah, kadang-kadang 'dia' jatuhkan tong sampah la, main sorok-sorok barangla, dan Charlie paling suka kacau tukang cuci kat sini.
Ada teori mengatakan si Charlie ni mungkin anak The Tall Man tadi tiada siapa pernah nampak mereka ni berdua bersama-sama....
Bersambung
|
|
|
|
|
|
|
|
Panggung Wayang Berhantu Bahagian 2
Sejak tu aku mula berminat nak mendalami apa sejarah pawagam ni sebenarnya. Dari Joe aku dapat tahu yang bangunan pawagam ni takdelah lama sangat, baru dibina tahun 1990an dulu dan tapaknya dulu bekas tanah berpaya. Alkisahnya tanah ni dulu milik sebuah keluarga dan pada 1980an keluarga tu jual tanah ni pada pemaju. Bukan tapak perkuburan ke, tapak bekas tragedi ke tapi yang hairannya kenapa pawagam ni macam jadi tempat berkumpul makhluk halus?
Bangunan pawagam ni ada ruang bawah tanah, tapi aku tak pernah ke situ aku pun tak tau pintu masuknya kat mana. Sehinggalah suatu hari tu Jeff suruh aku simpan sedikit barang kat ruang bawah tanah tu, jadi aku tanyalah nak masuk kat mana. "Pintu tu kat sayap kiri, hujung sekali belah kiri. Tapi kau jangan pergi sorang-sorang pulak."
Satu pagi tu, cuma ada aku, Jeff dan sorang lagi rakan sekerjaku bernama Trevor. Trevor kat sayap sebelah kanan dan aku di sebelah kiri. Walaupun berlainan tempat aku boleh dengar bunyi mesin peniup daun Jeff (kitorang guna mesin ni untuk sapu popcorn). Aku nampak Jeff berjalan menuju ke lobi utama, mungkin nak pergi merokok agaknya. Masa tu aku ternampak pintu paling hujung tu, teringat pulak eh nilah pintu ke bilik bawah tanah yang Jeff cakap tu. Aku tak pernah masuk situ jadi pagi tu aku rasa jomlah masuk saja nak tengok apa ada dalam tu. Kebetulan jugak di tepi pintu ada bungkusan barang yang sepatutnya aku simpan tapi Jeff tak kasi aku masuk sorang-sorang tu.
Aku bukak pintu, ada tangga ke bawah yang tenggelam dek kegelapan bilik tu. Aku raba-raba dinding, di sebelah kiri aku ada suis lampu. Aku pun bukaklah suis tu, muncul cahaya di kaki bawah anak tangga tu tapi lampunya berkelip-kelip macam nak terbakar. Aku baru nak turun apabila aku terdengar pintu lobi terbukak. Aku pun pandang ke arah pintu lobi tu, aku sangkakan Jeff la kot baru habis merokok. Tapi takde sapa pun. Aku baru nak melangkah turun apabila aku terdengar suara orang dari bilik bawah tanah tu.
"Hey", suara orang tu perlahan je tapi garau. Terbehenti terus langkah aku. "Hey, turunlah sini!". Suara itu mengajakku. Aku tak nampak sapa-sapa tapi aku nampak macam ada bayang-bayang di kaki tangga bawah tu. Aku cuba memanggil orang itu, "Hello?". Aku yakin aku sorang je yang ada kat sayap kiri ni jadi ni mana pulak datang orang lain? Selama ni ada gelandangan menyorok kat bangunan ni ke?
"Eh awak. Turunlah sini. Saya nak tunjuk sesuatu kat awak ni". Lelaki itu cuba memujukku untuk turun. Suaranya juga semakin kuat, tapi garau macam orang tengah demam. Aku pulak dah rasa tak sedap hati, jantungku berdegup kencang dan peluh mula terbit di dahiku. Bayang-bayang itu juga makin lama makin besar petanda dia makin hampir. Kali ni aku betul-betul rasa ada sesuatu yang tak kena, aku campak je bungkusan barang tu ke bawah , tutup lampu, tutup pintu dan cepat-cepat berjalan ke lobi cari Jeff.
Jeff nampak muka aku pucat ketakutan, dia pun tanyalah kenapa. Aku cakaplah ada orang kat bilik bawah tanah tu. Jeff macam terkejut tapi dia sempat jugak marah aku, kan dia dah pesan jangan masuk bilik tu sorang-sorang. Tapi bila aku cakap bilik tu ada orang, dia cakap aku mengarut. "Takde apalah dalam tu. Ada barang banyak je. Ko tu yang terfikir bukan-bukan". Aku sampai sekarang tak boleh lupa macam mana relaksnya muka Jeff, macam takde apa yang perlu dirisaukan padahal aku yakin aku tak berimaginasi benda yang bukan-bukan.
Tak lama tu, bila hari dah siang sikit, aku ceritalah kat Trevor pasal bilik bawah tanah tu. Aku ajak dia pegi masuk bilik tu. Tapi bila aku bukak lampu je, bungkusan yang aku campak dan mendarat betul-betul di anak tangga terbawah tu dah takde.
|
|
|
|
|
|
|
|
Fuhhhh saspen sungguh cerita ni. Ada sambungan lagi tak TT? tazabarrr nak tau kenapa tempat tu berpuaka sangat
|
|
|
|
|
|
|
|
Panggung Wayang Berhantu Bahagian Akhir
Macam aku cerita tadi, kat sini sape masuk paling awal dialah kena bukak lampu kat ruangan projektor tu. Sepatutnya Jeff la sebab dia mandur kan, tapi Jeff dan Trevor selalu masuk lambat jadi akulah 'mangsa' nya yang nak kena bukak lampu tu. Lama-lama aku dah terbiasa dah sampailah satu hari tu aku betul-betul jadi mangsa....
Sebab ruangan projektor tu memang gelap-gelita, jadi nak naik situ kitorang kena bawak lampu suluh. Lampu suluh aku yang aku simpan dalam bilik tukang cuci pagi tu 'hilang' pulak (sebenarnya tak hilang pun tapi entah camne boleh termasuk dalam plastik sampah. Ni memang aku tuduh Charlie punya angkara lah ni). Jadi pagi tu memang aku menggagau-gagau la meraba dinding cari suis lampu. Mula-mula aku pasang lampu lobi, lepas tu aku pasang pulak koridor nak masuk ke arena-arena tu, pastu sampai pulak ke tangga berpusing nak naik ke ruangan projektor. Aku ingat lagi, dalam kesunyian pagi tu aku bukak lampu sambil bersiul-siul lagu tema The Andy Griffith Show. Sebab malam tadi aku dok layan cerita tu terbawak-bawak plak sampai ke pagi ni.
Masa ni aku dah rasa macam diperhatikan, tapi aku buat hati kering je. Aku terus berjalan sambil bersiul-siul. Fiuuu fiuu fiuuu
Aku dah sampai ke bilik projektor yang gelap tu. Nampaklah bayangan patung-patung kadbod yang banyak kat situ. Ada patung orang berdiri, yang tengah duduk. Entah kenapa aku rasa pagi tu macam seram sikit padahal boleh dikatakan hampir setiap hari aku masuk bilik ni. Untuk tenangkan hati aku sambung bersiul-siul sambil tanganku meraba mencari suis lampu.
Aku tengah meraba dinding tu apabila aku terperasan dalam beberapa ela daripada aku tu, di celah patung-patung kadbod tu macam ada pergerakan. Terbehenti sekejap siulan aku. Aku cuba fokus pada kawasan tu tapi takde mende pun. Ah aku berkhayal je kot. Aku pun gagau-gagau cari suis lampu sambil bersiul dan bukak satu persatu lampu apabila....
Salah satu patung yang asalnya macam mengcangkung tu tiba-tiba bergerak. Ia bangun berdiri tapi ia tak berdiri tegak sebaliknya badannya macam membongkok sikit. Dan ia bersiul, macam orang tengah belajar bersiul, cuba nak ikut rentak siulan aku. Aku agak ketinggian ia dalam 7 kaki dan susuk tubuhnya adalah seorang lelaki. Masa tu cuma ada beberapa lampu je baru terpasang, dan adalah cahaya dari monitor komputer-komputer dalam ruangan projektor tu. Lelaki tu berdiri membelakangi pintu keluar yang ada lampu merah tertulis EXIT tu.
Lelaki tu perlahan-lahan berjalan mendekati aku sambil bersiul. Aku dah rasa ketakutan, rasa macam nak lari tapi seluruh badan aku jadi keras macam batu. Termasuklah lidahku. Jadi kelu tak dapat nak menjerit ke ape ke. Cara jalan lelaki tu pun macam terhuyung-hayang, dan pergerakannya memang lambat. Macam kaki kiri dia tempang. Semakin dia menghampiri, semakin menggeletar seluruh badan aku.
Entah kenapa, dia baru bergerak 3-4 langkah, itupun aku rasa itulah waktu paling panjang dalam hidup aku, apabila lelaki itu tiba-tiba berpaling ke belakang. Macam ada sesuatu yang menarik perhatian dia. Dan lelaki itu berjalan keluar ikut pintu kecemasan tu. Lepas lelaki tu betul-betul dah keluar dari bilik tu, barulah kaki aku boleh digerakkan dan aku pun berlari macam lipas kudung meninggalkan bangunan tu.
Hari tu aku mintak MC. Esoknya aku kasi notis berhenti 2 minggu. Jeff tak tanya apa pun. Dan lepas tu memang aku tak jejak dah panggung wayang tu lagi. Aku dah tak berminat dah nak tau apa sejarah bangunan tu sampai jadi berpuaka macam tu lagi. Yang penting aku tak nak dah jumpa The Tall Man tu lagi.....
|
|
|
|
|
|
|
| |
|