[size=0.75]02 Mei 2009 2:43 AM
[url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url]
KUALA LUMPUR 1 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan kompaun maksimum serta-merta sebanyak RM300 kepada pemandu yang menyalahgunakan laluan kecemasan sama ada di lebuh raya atau laluan biasa.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan berkata, tindakan tegas itu diambil kerana sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemandu boleh menyebabkan kesesakan.
"Laluan kecemasan hanya untuk kegunaan pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan. Kenderaan lain selain motosikal tidak boleh menggunakan laluan itu.
"Keadaan lalu lintas akan bertambah teruk apabila pengguna jalan raya menggunakan lorong tersebut berikutan kemalangan lebih mudah berlaku di lorong berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kesesakan lalu lintas yang luar biasa berlaku di ibu negara terutama di jalan-jalan utama masuk dan keluar sejak waktu pejabat sehingga malam.
Menurut pegawai yang bertugas di pusat kawalan trafik semalam, kesesakan teruk itu juga berikutan sikap pengguna yang menukar lorong secara tiba-tiba.
Salim seterusnya meminta orang ramai membantu bahagian penguat kuasa JPJ menahan pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya dengan melaporkan terus kepada bahagian pengurusan aduan kesalahan JPJ.
Beliau meminta orang ramai mengambil gambar kenderaan yang memasuki lorong yang salah atau memandu secara berbahaya dan menghantarnya kepada JPJ menerusi e-mel di alamat
pkuasa@jpj. gov.my atau
[email protected]Selain itu, katanya, mereka juga boleh terus menghubungi bilik kawalan aduan di talian 03-88866412.
"Langkah tersebut, secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas apabila tindakan diambil terhadap pemandu yang degil," katanya.
Selain itu, menurut Salim, punca lain yang menyebabkan kesesakan ialah bas henti-henti dan teksi yang gagal mematuhi peraturan ketika berhenti untuk menurunkan atau mengambil penumpang.
Beliau menjelaskan, menerusi operasi yang dijalankan didapati kesesakan di Hentian Puduraya berpunca daripada sikap pemandu teksi dan kereta persendirian yang menjadikan laluan utama sebagai tempat menunggu.
"Teksi tidak dibenarkan berhenti di kawasan berkenaan, mereka hanya dibenarkan melalui kawasan itu, manakala bagi kereta persendirian pula oleh diletakkan di tempat letak kereta yang disediakan di tingkat atas bangunan berkenaan," kata beliau.