Post Last Edit by LelaRentaka7 at 27-8-2010 07:05
Hubungan Nuzul Al-Quran dengan Lailatul Qadar
Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu-satunya rahmat sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.
Jadi amat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”
juga dalam surah ad-Dukhan ayat 3, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“(Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”
Walaupun kata-kata `malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan ‘penghormatan’ yang amat tinggi Ia dinamakan `malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan Jibril.
Di dalam surah al-Qadr juga disebut Lailatul Qadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatul Qadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.
Salam |