Perginya seorang seniwati
Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana permintaan terakhirnya ingin pulang ke rumah anak termakbul. Arwah pernah memberitahu saya jika boleh dia tidak mahu meninggal dunia di hospital,” kata Melissa Saila, 43, anak seniwati Mariani yang meninggal dunia akibat kanser usus, malam tadi. Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 82, meninggal dunia di rumah anaknya, Siti Haslinda Abdul Hamid di Sentul, di sini, jam 7.32 malam. Melissa yang juga pengarah dan pelakon berkata, ibunya menghidap kanser usus tahap empat dan didiagnosis sejak setahun lalu. “Sebelum ini, ibu beberapa kali ditahan di hospital untuk pemeriksaan dan pada 21 November lalu dia minta untuk pulang ke rumah kakak (Siti Haslinda). “Namun, sejak seminggu lalu keadaannya bertambah lemah dan jam 6 pagi tadi (semalam) dia koma,” katanya. Menurutnya, arwah minta dibawa pulang ke rumah kerana takut apabila ada di antara rakannya dibedah siasat selepas meninggal dunia di hospital. Melissa berkata, tiga lagi anak lelaki dan adik ibunya, Jasmin Ismail yang menetap di Singapura sempat tiba sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. “Mereka sempat naik bas dari Singapura dan tiba sebelum Maghrib. Mereka sempat bersama arwah sebelum dia meninggal dunia,” katanya. Ahad lalu, keluarganya mengadakan solat hajat untuk kesejahteraan arwah dan menurut Melissa, ketika itu ibunya masih mampu bercakap. “Ketika itu ibu juga masih boleh bertakbir. Jelas suaranya kedengaran menyebut ‘Allahuakbar’. Semalam (kelmarin) sesekali dia membuka mata,” katanya. Melissa berkata, sepanjang ibunya sakit, dia banyak meluangkan masa dan berbual dengan arwah. “Dia banyak bercakap dengan saya. Paling dia risaukan adalah mengenai adik saya yang juga anak angkatnya, Lea Marini,” katanya. “Kali terakhir Allahyarham menjalani pemeriksaan perubatan ialah dua minggu lalu di Hospital Selayang,” katanya. Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Sentul, pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang berdekatan pusara adiknya, Allahyarham Puan Sri Saloma dan adik iparnya Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
|