|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Jangan pedulikan,” bisik datuk dengan lembut.
Saya terus melangkah. Bila sampai di pohon getah yang tumbang, kami melihat ada benda putih baring atas batang tersebut.
“Jangan toleh sampai dua kali,” datuk mengingatkan saya.
“Baik tuk.”
Bila sampai dekat pokok kabung (enau) saya lihat rambut perempuan berjuntai di pelepah kabung. Rambut itu mencecah bumi. Rambut itu nampak kasar dan keras dan warnya agak perang. Dari celah-celah rambut itu ternampak batang tubuh seorang perempuan dalam keadaan yang bogel, berkulit putih tanpa mata dan dahi.
“Jangan renung,” kata datuk.
“Baik tuk,” balas saya.
“Semuanya syaitan,” rungut datuk dan meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke kiri dan ke kanan.
Kawasan pokok kabung (enau) terus kami tinggalkan di belakang. Kini kami membelok ke kanan melintasi sebuah danau kecil. Tiba-tiba saya lihat dari permukaan danau yang berair cetek muncul berpuluh-puluh tangan yang berbulu. Semua tangan-tangan itu menghala ke arah kami. Saya didatangi rasa cemas kembali. Datuk segera mengambil sehelai rumput serunai laut. Rumput itu diramas hingga hancur. Sebelum rumput yang hancur itu dicampakkan ke dalam danau yang berair cetek datuk membaca sesuatu. Aneh sekali, bila rumput itu jatuh ke dalam danau berair cetek, tangan-tangan yang terkapai di permukaan danau terus hilang.
“Ingat, kerja kita belum selesai. Mungkin esok mungkin lusa kita bertemu lagi,” tiba-tiba datuk dan saya terdengar suara dari arah kanan.
Bila kami menoleh, seorang lelaki berdiri di situ. Bau tokak yang busuk dan hapak mula mencucuk lubang hidung kami.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Orang tu datang lagi tuk,” bisik saya pada datuk.
“Aku tahu Tamar. Dia menggunakan semua ilmunya untuk menewaskan.”
“Jadi, apa yang mesti kita buat tuk.”
“Kalau Allah mengizinkan kita berjaya, tentu kita menang.”
Datuk merenung ke arah lelaki yang berdiri dalam jarah sepuluh kaki darinya. Saya segera berlindung di belakang datuk. Bau busuk dan hapak dari tokak lelaki itu membuat tekak saya menjadi loya dan terasa mahu muntah.
“Aku berpegang pada kata orang tua-tua. Musuh jangan dicari. Kalau musuh datang elakkan diri tetapi sudah beralah dan mengelak musuh datang juga, aku tidak menolak lawan,” tutur datuk dengan nada suara yang lembut pada lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum lalu membelakangi datuk dan saya. Beberapa detik kemudian lelaki itu terus ghaib. Saya dan datuk merasa aman dan mempercepatkan langkah. Datuk mahu sebelum azan Subuh dilaungkan, kami mesti berada di rumah. Tanpa diduga datuk berhenti melangkah. Ia pusingkan badannya ke belakang. Sepasang mata tajamnya merenungi batang tubuh saya sambil ketawa kecil. Saya resah dan serba salah.
“Kau telanjang Tamar?”
“Ha, telanjang,” kata saya tersipu-sipu sambil menutup anu saya dengan kedua belah telapak tangan.
Datuk terus ketawa. Seluar yang terletak di bahu kanan segera saya turunkan. Sesungguhnya, saya lupa dengan seluar dan diri saya yang telanjang akibat diresapi rasa takut dan cemas melulu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Pakai seluar tu cepat. Tak malu dah besar telanjang,” usik datuk.
Saya terus sarung seluar ke badan serta meneruskan perjalanan. Peristiwa yang lucu itu meninggalkan kesan dalam diri saya hingga kini. Setiap kali saya melihat kanak- kanak telanjang, saya pasti teringatkan peristiwa lalu yang membuat saya senyum sendirian.
Waktu saya dan datuk sampai di kaki tangga terdengar suara azan Subuh yang mendayu-dayu. Saya terus pergi ke perigi untuk membersihkan badan dan datuk pula menuju ke sungai dengan tujuan yang sama seperti apa yang saya lakukan. Lepas menunaikan sembahyang Subuh tanpa minum kopi dan makan kuih saya terus tidur. Tidak mampu rasanya saya menahan kelopak mata yang terasa amat berat. Saya dikejutkan oleh nenk kira-kira pukul dua belas tengah hari. Bila saya bangun dan mahu melangkah menuju ke dapur untuk membasuh muka, saya terasa pening. Pandangan saya berpinar-pinar. Lantai yang saya pijak terasa turun naik dan berpusing-pusing. Saya hilang pedoman dan terus jatuh atas lantai. Nenek berlari dari dapur menghampiri saya. Tanpa membuang masa ia menyandarkan badan saya ke dinding. Badan saya diurutnya, dua tiga kali. Saya tersedak dan sendawa beberapa kali. Dari jendela, nenek memanggil datuk yang sedang menjemur jala di halaman. Datuk segera naik ke rumah.
“Kenapa?” tanya datuk.
“Cucu awak ni, bangun tidur terus pening dan jatuh atas lantai."
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Kamu ni ada-ada saja,” datuk terus meraba dan menggosok serta memicit pergelangan kaki saya.
Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu.
“Aku dah pesan. Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke kanan sekali, pusing ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan perlahan-lahan. Kemudian duduk dan membongkok dua tiga kali. Kemudian menggeliat perlahan-lahan dan tarik nafas panjang-panjang,” datuk mula membebel.
“Saya jarang buat tuk.”
“Inilah yang susah. Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan. Tujuan aku suruh buat macam itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin dari badan dan perut. Lepas sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak minum, akibatnya angin masuk perut,” tambah datuk lagi.
Nenek yang baik hati terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya. Datuk bangun dan terus keluar. Dengan langkah yang tenang saya terus ke daput mencuci muka. Lepas ucui muka saya terus makan. Bila perut diisi dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan malas mahu bergerak ke mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap dengan kerjanya di luar.
Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah. Kadang- kadang saya merasa hairan dengan datuk. Setiap masa ada sahaja kerja yang dilakukannya. Ia seolah-olah tidak pernah merasa letih. Setelah penat bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru tiga kali melangkah saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh datuk malam tadi. Saya tidak tahu di mana datuk meletakkan barang tersebut. Saya terus mendapatkan datuk yang sedang meraut bilah lukah.
“Ha, apa yang kamu mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?”
“Tidak tuk.”
“Kalau bukan itu, apa yang kamu mahu?”
“Saya nak tanya tentang barang yang Tuk bungkus malam tadi.”
“Barang,” datuk kerutkan dahi.
“Barang yang nampak bercahaya kemudian tuk bungkus,” saya mengingatkan datuk.
Datuk senyum. Ia faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia meninggalkan bilah-bilah lukah yang baru diraut separuh. Datuk masuk bawah rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya hanya melihat dari luar. Tetapi, saya tahu datuk meletakkan benda itu pada gelegar rumah yang ada kuda-kuda dan kuda- kuda itu pula mengarah hala matahari terbenam. Tentu ada petua dan muslihat yang tertentu datuk melakukan semua itu. pada hal kalau diletakkan di mana- mana pun benda itu saya fikir tidak mendatangkan mudarat pada sesiapa saja. Ah, datuk sudah tua ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu dengan apa yang dibuatnya, fikir saya. Datuk keluar dari bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa memanggil saya, datuk menuju ke halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di tanah dengan ranting kayu. Bungkusan kain merah diletakkan di tengah dalam garisan bulat.
“Tamar ke mari,” laung datuk.
Saya terus berlari menghampiri datuk yang duduk bertinggung di luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju datuk dalam panas yang terik dan garang.
“Kamu bertinggung di sini.”
Saya terus bertinggung di sisi datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di muka saya. Dengan perlahan-lahan datuk membuka bungkusan kain merah. Bila bungkusan itu terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk tidak menjamah telur tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya kedudukannya beratur lima sebaris. Saya menggigit bibir. Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan api dan membakar dedaun kering.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada bezanya dengan telur puyuh yang sering saya temui di sarangnya. Tetapi bagaimana orang yang kakinya mempunyai tokak memanfaatkan telur tersebut untuk mengancam keselamatan orang lain. Pertanyaan itu terus berputar- putar dalam tengkorak kepala saya. Mahu saya ajukan pertanyaan pada datuk tetapi, bila saya melihat datuk termenung panjang, hasrat itu saya batalkan. Datuk terus duduk bersimpuh sambil menguris-guris tanah dengan ranting kayu. Ia menulis perkataan Allah dan Muhammad di tanah. Beberapa minit kemudian tulisan di tanah itu dipadamkannya. Ia merenung ke arah saya. Kedua belah bibirnya kelihatan bergerak- gerak. Bila mulutnya berhenti bergerak, ia menyerahkan ranting kayu pada saya.
“Pukul semua telur tu hingga pecah,” katanya.
Saya terus memukul ke lima-lima biji telur puyuh itu dengan sekaligus. Saya lihat ada percikkan api yang halus keluar dari telur. Bila percikkan api itu berhenti, keluar asap nipis dan akhirnya asap itu hilang dalam sinaran matahari yang keras.
“Orang itu menggunakan ilmu tuju-tuju telur puyuh, ilmu syaitan yang ada di dadanya sudah terlalu tinggi,” beritahu datuk pada saya.
Datuk terus mengkuis-kuiskan kulit telur burung puyuh hingga berserakkan atas tanah.
Sekejap lagi, kamu nampak apa yang ada dalam telur yang baru kamu pecahkan tadi,” dengan rasa dada yang lapang, saya terdengar ungkapan yang diluahkan oleh datuk.
Sepasang mata saya tumpukan pada kulit-kulit telur burung puyuh dalam garisan bulat. Panas terik terus menggigit kulit tubuh. Dan muka saya terus dibasahi peluh. Datuk pun demikian juga. Saya terlihat beberapa batang jarum berkelip-kelip dipanah matahari. Saya juga melihat beberapa ekor semut api mengelilingi gumpalan rambut dan tulang ikan terubuk. Beberapa ketul batu juga terdapat di situ.
“Tuju-tuju telur puyuh ini kalau kena tubuh kita, sukar untuk diselamatkan. Bisanya tidak boleh ditahan. Seluruh badan jatuh biru. Tempat yang jadi sasarannya dada, perut dan mata,” terang datuk.
“Macam mana, kalau jatuh atas tanah boleh mengeluarkan api?” soal saya. Datuk mengelap peluh di dahi dengan jari telunjuk. “Bila ada orang yang mampu mengalihkannya, benda itu jatuh ke tanah dan keluarkan api. Kalau jatuh dalam air menjadi racun. Berbulan-bulan baru racun dalam air itu hilang.”
“Di mana orang ni menuntut ilmu syaitan ni tuk?”
“Aku agak dari kaum Kubu tu. Ilmu dunianya terlalu kuat.”
“Kau tak usah tanya semuanya itu. Makin lama kau hidup, makin banyaklah hal- hal dunia yang diturunkan oleh syaitan pada anak Adam dan kau akan tahu,” tamat berhenti bercerita.
Datuk menggenggam sekepal tanah dan tanah itu ditaburkan dalam garisan bulat. Bila tanah yang ditabur oleh datuk itu kena pada kulit telur, jarum, rambut dan tulang terubuk terus menjadi hitam, macam arang. Kemudian hancur menjadi abu. Tanah dalam garisan bulat bertukar menjadi warna kemerah-merahan macam darah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Sekejap lagi tanah tu akan bertukar menjadi macam warna asalnya,” kata datuk.
Tidak lama kemudian tanah yang di dalam garisan kembali dalam warna asalnya. Datuk terus memadamkan garisan bulat dan menepuk bumi dengan tangan kiri sebanyak tiga kali berturut-turut.
Kau tengok sendiri, kain kuning jadi lapik telur puyuh pun hangus jadi abu,” datuk menudingkan jari telunjuknya.
Cakap datuk itu memang benar. Kesan kain kuning itu sukar dijejaki. Suara azan Zuhur terus berkumandang. Datuk mengajak saya mengambil air sembahyang. Selesai sembahyang datuk mengajak saya duduk di ruang tengah. Ia mengajar saya tentang sifat dua puluh serta menunjukkan cara sembahyang yang betul.
“Awak tak pergi tengok Haji Salim?” nenek muncul di ambang pintu dapur dengan wajah yang agak cemas.
Datuk menutup kitab di depannya dan diletakkan atas rak. Datuk mengenakan baju ke badan, menukarkan kain dengan seluar.
“Kenapa dengan Haji Salim, bukankah dia nak ubat sakitnya sendiri,” datuk berhenti melangkah dan merenung ke wajah nenek dengan seribu persoalan.
“Sakitnya datang balik. Dia muntah darah dan meracau tak tentu arah,” jawab nenek.
“Apa yang nak dibuat oleh bininya?”
“Nak dihantar ke hospital.”
“Ah,” kata datuk dan terus meluru ke muka pintu.
Dengan sekelip mata datuk hilang dari pandangan saya.
Tanpa mengucapkan sesuatu pada nenek, saya terus melompat dan memburu datuk dari belakang. Tercungap-cungap saya bila sampai ke rumah Haji Salim. Saya lihat datuk sedang memangku Haji Salim. Saya segera menghampiri datuk.
“Bawakan saya ke hospital sahabat,” rayu Haji Salim.
“Saya tunaikan, kalau itu yang awak mahu,” balas datuk dan meletakkan kembali kepala Haji Salim atas bantal.
Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Datang kembali dengan sebuah teksi. Haji Salim pun diusung dan diletakkan dalam perut teksi. Bila berada dalam teksi batuk darah yang dideritai oleh Haji Salim berhenti. Ia tidak meracau lagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Ke mana kita, nak bawa ke Taiping atau ke Ipoh?” tanya datuk pada isteri Haji Salim yang memakai baju kurung kedah dan berkain batik.
Isteri Haji Salim termenung sejenak.
“Bawa ke Taiping. Anak saudaranya ada kerja di hospital Taiping,” tiba-tiba sahaja isteri Haji Salim bersuara.
“Kerja apa?” tanya datuk.
“Pembantu hospital. Kalau haji masuk hospital, saya boleh tumpang di rumah anak saudaranya. Dapat saya menengok haji di hospital tiap-tiap hari,” terang isteri Haji Salim.
Teksi pun bergerak meninggalkan halaman rumah Haji Salim. Saya dan nenek serta jiran-jiran berdoa, semoga Haji Salim yang peramah, suka mengambil berat tentang jiran-jiran akan segera sembuh.
“Mari kita balik Tamar. Kalau tunggu di sini pun tak guna, dia tu balik lambat tu. Agaknya dekat Maghrib baru sampai,” ujar nenek pada saya.
Nenek pun merapatkan pintu rumah Haji Salim. Kami pun meninggalkan rumah sahabat baik datuk. Sampai di rumah, saya beritahu nenek yang saya mahu pergi keluar. Tetapi nenek keberatan untuk memenuhi permintaan saya. Nenek menyuruh saya menyambung kerja-kerja datuk yang belum selesai. Nenek suruh saya raut bilah lukah, nenek suruh saya membetulkan jala yang koyak.
“Saya nak pergi ke sawah nak menangkap burung,” kata saya.
“Nak tangkap burung apa Tamar?”
“Burung wak-wak.”
“Panas macam ni. Eh kau tahu kalau terlalu lama berpanas nanti demam.”
“Tak apalah,” balas saya terus meninggalkan nenek.
Dengan nenek saya berani menentang atau membantah perintahnya. Tetapi, dengan datuk saya tidak berani buat demikian. Telinga saya pernah dipulas oleh datuk, macam mahu tercabut rasanya, akibat saya membantah cakapnya. Sampai di kawasan sawah yang lapang, saya mula mencari rumpun Menerung yang jadi tempat berlindung burung wak-wak. Pokok atau rumpun tersebut berbatang lembut serta mempunyai tiga segi, berdaun kecil dan panjang, mempunyai umbi dan akar yang kuat. Tumbuhan jenis ini memang jadi musuh pada pesawah. (Mungkin di tempat anda tumbuhan jenis ini disebut dengan perkataan yang lain.) Kini saya berdiri di depan kawasan tumbuhan Menerung (nerung) yang luas. Dua ketul kayu pembaling yang saya ikat di pinggang pun saya buka. Kayu itu saya pegang. Kayu yang berukuran kira- kira satu kaki itu digunakan untuk membaling ke arah burung wak-wak yang mahu terbang.
Tiga minggu saya belajar membaling ke arah wak-wak yang terbang dari Haji Salim. Tanpa membuang masa saya terus meranduk ke dalam rumpun Menerung. Beberapa ekor burung wak- wak muncul dari rumpun menerung dan terus terbang untuk menyelamatkan diri. Tanpa membuang masa saya terus membalingkan kayu ke arah burung-burung tersebut. Dua ekor tidak cukup. Paling kurang dapat sepuluh ekor baru cukup, saya membuat keputusan tersendiri sambil mengikat kaki dua ekor burung wak-wak dan saya letakkan di bawah perdu mempelam. Saya terus mengharungi rumpung menerung lagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
Saya terus muntah bagaikan mahu keluar semua isi perut saya. Tanpa membuang masa saya terus memusingkan badan dan lari langkah seribu. Semua yang saya alami ketika berada di tengah sawah tidak saya ceritakan pada nenek. Dan nenek terus menyindir saya kerana pulang dengan tangan kosong.
Tepat pukul enam setengah petang, teksi yang membawa Haji Salim ke Hospital Taiping pun pulang. Saya dan nenek bergegas ke rumah Haji Salim kembali.
“Doktor sudah mengesahkan Haji Salim sihat. Sebaik sahaja meninggalkan rumah ini batuk darahnya terus berhenti, badannya cukup sihat,” isteri Haji Salim memberitahu nenek.
Datuk dan pemandu teksi menganggukkan kepala mengiakan kata-kata isteri Haji Salim. Bagi orang lain saya tidak tahu tetapi bagi saya, cerita yang disampaikan oleh isteri Haji Salim itu menimbulkan keraguan dalam hati saya. Dalam saat-saat begitu, saya teringatkan Kamal (si tokak di kaki) dan Daud. Jiran-jiran yang berkerumun di halaman rumah terus dikejutkan dengan suara batuk Haji Salim bertalu-talu. Setiap kali datuk itu berakhir, Haji Salim akan muntah darah. Darah yang diluahkannya berbuku-buku serta merah kehitam-hitaman. Muntah dari Haji Salim datuk kumpulkan dalam mangkuk putih.
Jiran- jiran yang berkumpul di halaman terus bercakap sama sendiri. Ada yang mulut lepas mengatakan Haji Salim kena buatan manusia. Bila kata- kata itu didengar oleh Haji Salim, ia segera bangun dan berdiri di muka pintu. Tidak peduli dengan larangan datuk dan isterinya yang menyuruh ia baring.
“Hei kamu. Sakit yang aku tanggung ni bukan buatan mausia. Sakit ini datangnya dari Allah. Baliklah ke rumah masing-masing. Jangan bercakap yang bukan-bukan di sini,” suara Haji Salim meninggi.
Jiran-jiran yang jumlahnya antara sepuluh hingga lima belas orang berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka bersurai. Haji Salim terus merebahkan badanya atas pelantar. Isterinya memberikan segelas air Lidah Buaya yang dicampurkan dengan gula batu yang dibancuh dengan serbuk Lampoyang. Bila bahan yang ada dalam gelas itu diteguk oleh Haji Salim. Batuknya beransur kurang dan muntah darahnya tidak sekerap tadi berlaku.
“Kenapa awak halau jiran- jiran kita?” isteri Haji Salim mengajukan pertanyaan.
Perlahan-lahan Haji Salim mengalihkan wajahnya ke kanan, merenung muka datuk. Saya lihat datuk meraba batang hidungnya dua tiga kali.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Kalau dibiarkan mereka di situ, makin banyak perkara karut-marut mereka cakapkan. Membiarkan mereka bercakap tentang manusia yang melebihi kuasa Allah, mengajar mereka menjadi syirik. Aku tak mahu bersubahat dalam perkara semacam ini,” kata Haji Salim dengan tenang.
Datuk anggukkan kepala. Isteri Haji Salim terdiam. Saya terus menguap sambil merenung ke luar rumah. Sebentar lagi maghrib pasti tiba. Tetapi, datuk masih tidak berganjak dari duduk merenungi ke arah Haji Salim. Kerana cuaca sudah beransur gelap, isteri Haji Salim terus memasang pelita minyak tanah. Pelita minyak tanah itu diletakkan tidak jauh dari saya. Isteri Haji Salim terus bangun. Ia mahu menutup semua jendela rumah. Bila semua jendela rumah sudah dirapatkan, isteri Haji Salim terus keluar, menutup pintu reban ayam itik. Kemudian terus ke telaga. Dari cahaya lampu minyak tanah, saya terlihat jejari Haji Salim yang kasar dan keras meraba pergelangan tangan datuk. Kemudian jejari datuk dan Haji Salim kelihatan bercantum.
“Kamu jangan balik, tunggu aku,” suara Haji Salim tenang.
“Ya, saya tunggu kalau itu hajat sahabat.”
“Aku rasa persahabatan kita tidak lama. Aku kembali kepada yang berhak.” “Tak usahlah mengarut sahabat.”
“Aku bercakap benar. Banyak ayat-ayat suci yang aku amal sudah lupa atau tersilap baca.”
“Sudahlah haji.”
“Aku mahu kau jadi imam maghrib di sini, kita sembahyang sama-sama.”
“Baiklah.”
Haji Salim tersenyum. Dengan perlahan-lahan ia bangun. Saya cuba menolongnya tetapi, Haji Salim menolak pertolongan saya. Ia sendiri pergi ke perigi mengambil air sembahyang. Kemudian menukarkan kain yang dipakainya dengan kain baru. Kali ini saya lihat, Haji Salim berpakaian lengkap sebagai seorang Haji. Perkara seperti ini memang jarang dilakukannya. Datuk hanya memerhatikan sahaja gerak dan tingkah laku kawan karibnya itu. Apa yang nyata, sejak Haji Salim bercakap-cakap dengannya sebentar tadi, datuk lebih banyak termenung. Macam memikirkan sesuatu.
Dalam keadaan yang saya anggap berlainan dari keadaan biasa itu, saya terdengar suara azan Maghrib. Beberapa saat kemudian datuk mengambil tempatnya sebagai imam. Fardhu Maghrib sudah ditunaikan. Doa dan wirid sudah pun selesai dibaca. Tetapi, Haji Salim tidak membenarkan saya dan datuk pulang. Sebenarnya, saya tidak setuju dengan tindakan Haji Salim itu. Ada kerja yang perlu saya lakukan di rumah. Saya mahu menyiapkan sangkar burung yang belum siap. Apakan daya datuk sendiri memperkenankan permintaan Haji Salim. Sama ada rela atau tidak, saya terpaksa akur dengan keputusan datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Tunggu, kita sembahyang Isyak pula. Kali ini biar kita jadi imam. Lepas tu kita makan dan baca Quran sampai pagi,” ujar Haji Salim dalam sinar lampu gasolen yang menyinar menerangi tiap sudut ruang.
Datuk sandarkan badan ke dinding. Isteri Haji Salim menyorongkan tepak sirih. Sehelai daun sirih yang besar dan hijau segar datuk ambil. Datuk renung urat-urat sirih yang berselirat. Datuk letakkan kembali daun sirih ke tempat asalnya kembali.
“Ada sedikit petua yang nak kita sampaikan pada awak,” Haji Salim bersuara tenang.
“Petua apa tua?” sahut datuk.
“Nanti dulu, lepas sembahyang Subuh kita bagi tahu.”
“Tak apalah, saya tunggu.”
“Bila kita bagi tahu, amalkan petua tu.”
“Tengoklah, kalau sesuai dan saya yakin pula, tentulah saya amalkan.”
“Baguslah tu.” Datuk dan Haji Salim berbalas senyum.
Angin malam yang masuk melaui jejaring bahagian atas dinding rumah, membekalkan rasa dingin pada diri saya. Datuk menegakkan kaki kiri dan terus memeluk kepala lutut. Haji Salim memicit daging lengan kirinya perlahan-lahan. Suasana begini amat membosankan bagi diri saya. Bunyi cengkerik dan dedaun yang disentuh angin jelas kedengaran. Sesekali gegendang telinga saya menangkap bunyi suara kucing biang menggaru papan, terdengar juga suara burung jampuk merayu di hujung dahan. Isteri Haji Salim terus merendang ikan pekasam, baunya cukup menyelerakan. Saya kira, isteri Haji Salim seorang yang yang cukup cekap membuat kerja-kerja di dapur. Kalau saya mahu mencari calon isteri, saya pasti memilih gadis yang memiliki tingkah laku macam isteri Haji Salim. Barangkali cucunya, Saadiah mewarisi perangai yang terpuji itu. Saya senyum sendirian. Saadiah berwajah manis, memilik lesung pipit di pipi, berkulit cerah terus terbayang di ruang mata. Bagi saya, Saadiah gadis melayu yang cukup ayu, bersopan santun tetapi berat mulut. Sinar matanya cukup tajam. Pernah saya bermimpi berjalan dengannya sambil berpegang tangan. Dan mimpi itu tidak pernah saya ceritakan pada sesiapa.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Kenapa senyum seorang diri,” kejut Haji Salim.
Matanya merenung muka saya. Apakah Haji Salim dapat membaca rahsia hati saya? Kalau benar, perkara itu amat memalukan, fikir saya.
“Orang yang senyum sendiri, dipermainkan syaitan,” tambah Haji Salim lagi.
Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Haji Salim.
“Begini Pak Aji, saya fikir orang yang senyum sendiri dan bercakap sendiri tu bukan dipermainkan syaitan. Tetapi ia melepaskan sesuatu yang tersembunyi dalam hatinya,” antara berani bercampur takut, saya menjawab kata- kata Haji Salim.
“Betul cakap kamu tu Tamar. Tapi syaitan tu selalu mengambil kesempatan dari orang yang suka mengikut perasaan,” jawab Haji Salim.
“Macam mana nak mengatasinya Pak Aji?”
“Kita mesti selalu beristighfar Tamar.”
“Sekarang kau dah faham,” celah datuk.
“Faham,” jawab saya.
Ingatan saya pada Saadiah terus punah. Kesal juga rasa hati bila khayalan dikacau oleh orang lain. Saya terus menelan air liur. Harapan terus juga berbunga, semoga pada satu waktu dan ketika, saya dapat bertutur sepatah dua dengan Saadiah yang saya rindui secara diam-diam. Saya menguap panjang. Badan kian bertambah dingin. Bunyi angin malam kian keras bertiup di luar. Suara anjing terdengar sayup-sayup di pinggir kampung. Haji Salim bangun menuju ke ruang kerjanya. Datang kembali ke tempat saya dan datuk dengan sebilah keris tanpa ulu. Keris itu diletakkan atas lantai. Haji Salim bangun kembali. Kali ini masuk ke bilik tidurnya. Entah apa yang dibuatnya di dalam, tidak ada sesiapa pun yang tahu. Haji Salim keluar dari bilik. Di tangannya ada ulu keris berbentuk kepala burung geruda.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 69 ~
Ilmu Kaum Kubu
“Ulu dan mata keris ni, saya berikan awak.”
“Terima kasih,” datuk menyambut pemberian itu dengan wajah tenang.
Beberapa saat, datuk menatap ulu dan mata keris itu dengan teliti sekali. Saya lihat datuk menarik nafas dengan penuh bersemangat. “Kenakan ulu dan matanya pada pagi Jumaat, buat sarungnya pada pagi Isnin, ini petua.”
“Usah bimbang, pesan awak saya buat.”
“Simpanlah baik-baik.”
“Sudah tentu.”
Datuk terus menatap wajah Haji Salim tanpa berkedip. Haji Salim tetap mempamerkan senyuman yang cukup manis. Dua tiga kali, saya terdengar batuk isteri Haji Salim di dapur. Haji Salim terus memperkemaskan silanya.
“Awak ada dengar cerita, ilmu dunia boleh mengambil nyawa manusia,” datuk bagaikan terkejut mendengar kata-kata dari Haji Salim.
“Takbur dan bidaah,” sahut datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.”
“Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”
“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.
“Kita setuju,” jawab datuk.
“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.
“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.
“Silakan,” ujar datuk tersenyum.
“Nanti dulu,” kata saya.
“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara datuk.
“Saya terkentut dalam diam tuk.”
“Ah kamu ni, ada ada saja. Pergi cepat.”
Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.
Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.
Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.
Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.
Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.
“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.
Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.
“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.
“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka datuk dan saya.
Serentak datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap datuk.
“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah datuk. Saya lihat datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.
“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.
“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan datuk berpandangan.
“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.
“Baik tuk.”
“Pergi sekarang.”
Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.
Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.
Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.
Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.
Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.
Tiba-tiba saya tersepakkan benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.
Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.
Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.
Setelah diperhitung dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.
Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.
Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.
Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.
Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.
“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.
“Tuk Siak di mana?”
“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”
“Haji Salim yang mati.”
“Eloklah tu.”
Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.
Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.
“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.
“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.
“Sudahlah, tak lama lagi giliran datuk kamu.”
“Nyawa datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”
“Tunggu, dan lihat sendiri.”
“Laknat.”
Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.
“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.
Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.
Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.
“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.
“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.
“Pak Mat Upih kenal orangnya?”
“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.
Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.
“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.
“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”
“Bila balik ke sini?”
“Malam ni juga.”
Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.
Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.
Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.
Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.
Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh datuk. Menurut datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.
“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.
“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” datuk mempertahankan pendapatnya.
“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.
“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara datuk merendah.
“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”
“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”
“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.
Saya tersenyum mendengar percakapan antara datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
“Tamar.”
Saya membuka mata. Saya lihat datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.
“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.
“Saya mengantuk tuk.”
“Kalau mengantuk balik ke rumah.”
“Saya takut tuk.”
“Takut?” datuk membeliakkan biji mata pada saya.
Saya terus menceritakan pada datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.
“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemanui oleh nenek.
Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.
“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”
“Ini sudah cukup baik tuk.”
“Cepat bangun.”
Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.
Langkah datuk cepat, tidak tersepakkan tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalakan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.
“Tamar.”
Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.
“Ada apa tuk?”
“Kau nampak apa-apa Tamar.”
“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan datuk.
“Ada orang tuk.”
Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.
Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan datuk, bagaikan kilat datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.
Orang itu terus tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.
Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.
“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.
“Kamal, kamu menggelarkan diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.
“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingkan pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.
Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.
“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu datuk lagi. Kamal terus bangun.
“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.
“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”
“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”
“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”
“Mana kamu tahu?”
“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” datuk berhenti bercakap.
Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.
“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”
“Ah mengarut.”
“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”
“Sudahlah.”
Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Mari Tamar.”
Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.
Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang datuk lakukan dalam biliknya.
Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.
“Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Kau ingat dengan Daud?”
“Ingat tuk, kenapa tuk?”
“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”
“Betul ke tuk?”
“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”
Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.
Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.
“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.
“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.
“Ya Pak Lebai,” jawab saya.
Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.
“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.
“Borhan beritahu.”
“Macam mana datang?”
“Jalan kaki Tamar.”
“Jauh tu Pak Lebai.”
“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya.
Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 70 ~
Bantal peluk berjalan malam
Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh datuk.
“Bila mahu dikebumikan?” tanya Lebai Din.
“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”
“Bagus, menyegerakan mengkebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.
Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.
“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada datuk. Saya lihat datuk terkejut.
“Macam mana awak tahu?”
“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”
“Biadab, manusia biadab.”
“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”
“Bersyukur, bersyukur apa?”
“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”
“Begitu,” saya lihat datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri datuk.
Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.
“Mata kamu rabun.”
“Tak, saya nampak tuk.”
“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara datuk keras. Saya terus diam.
Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.
“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.
“Saya kehilangan kawan,” tambah datuk lagi.
“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.
“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu datuk. Muka datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|