|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 75 ~
Telan Darah Dan Nanah
Anehnya, datuk dan Malik Cina tidak dapat melihat cahaya pelita tersebut. Sukar untuk saya menyakinkan diri mereka. Saya terus tarik nafas.
“Sudahlah Tamar, pergi tidur. Bilik kamu dan datuk sudah aku kemaskan.”
Malik Cina menepuk bahu saya.
Arahannya segera saya patuhi. Datuk dan Malik Cina saya tinggalkan di ruang anjung. Bilik yang disediakan untuk saya menempatkan dua buah katil bujang.
Bila saya letakkan kepala atas bantal, badan mula terasa geram. Macam ada sesuatu yang berkeliaran dalam bilik tersebut. Pada papan dinding saya rasakan ada sepasang mata merah merenung saya. Badan saya menggeletar. Bila saya membaca ayat Kursi, rasa takut itu hilang dan saya terlelap.
Masa terlelap itu, saya bermimpi menemui seorang lelaki yang ganjil. Berpakaian serba hitam. Saya lihat kelopak mata kirinya berlapis tiga. Tiap-tiap lapisan kelopak matanya itu ada tahi lalat yang sekejap mengembang dan sekejap mengecil. Matanya bagaikan mahu tersembul, macam mata udang berwarna merah.
Daging pipinya kelihatan lembik dan berlendir. Ada air jernih di celah-celah daging pipinya yang lembik itu. Air itu bercampur nanah meleleh perlahan-lahan ke mulutnya. Lelaki ganjil itu menelan air jernih bercampur nanah dengan penuh ghairah dan bernafsu sekali. Lelaki itu menyuruh saya menjilat daging pipinya yang lembik.
Saya menolak permintaannya. Lelaki itu jadi marah dan dia mula menghampiri saya. Kedua belah tangannya yang berkuku panjang menghala ke batang leher saya. Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak. Usaha saya gagal. Saya tidak berdaya menentangnya dan terus menjerit dengan sekuat hati.
Bila saya terjaga, saya terlihat datuk sedang membaca Quran kecil di katil sebelah. Datuk renung ke arah saya.
“Kau mengigau?”
“Saya mimpi, ada orang nak cekik tengkuk saya.”
“Kau tidak membaca surah al-Fateha. Bukankah sudah aku pesan sebelum tidur, baca surah al-farihah dua puluh satu kali, lepas tu jangan cakap dan terus tidur.”
“Saya terlupa tuk.”
“Patutlah kamu diganggu syaitan, kau abaikan pesanan aku Tamar.”
“Saya terlupa sungguh tuk.”
“Sudah, tidur semula.”
Saya rebahkan badan atas katil. Kali mi saya tidak dapat tidur. Kerana takut datuk marah, saya pura-pura tidur dengan memejamkan kedua belah kelopak mata saya. Desiran angin malam di luar, jelas kedengaran. Suara burung hantu dan lolongan anjing tetap kedengaran.
Saya buka mata separuh, saya lihat datuk masih lagi kedengaran membaca Quran. Kemudian saya lihat dia melakukan sembahyang dua rakaat dan terus berwirid panjang. Rasa takut terus hilang dari hati saya. Tiba-tiba, saya dikejutkan oleh suara orang perempuan yang sedang marah-marah.
Serentak dengan itu juga saya terdengar bilik saya ditendang bertalu-talu. Beberapa ketul bateri lampu suluh yang diletakkan atas meja dekat katil jatuh bertaburan atas lantai. Datuk berhenti dari melakukan wirid. Dia termenung.
“Ayah, saya dahaga cepat ambil saya air,” suara perempuan meminta sesuatu.
Dituruti dengan bunyi tapak kaki memijak lantai menuju ke dapur.
“Malik, jangan berikan air itu terus kepadanya, berikan pada aku dulu,” suara datuk meninggi.
“Ya, saya buat dengan apa yang awak mahu,” itu suara Malik Cina.
“Kenapa, bagi dengan jantan tua tu,” suara perempuan meningkah, tentu suara anak Malik Cina.
Dinding bilik terus ditendang bertalu-talu.
Saya bangun. Duduk di sisi datuk. Suara perempuan merungut dan mengetuk sesuatu tetap kedengaran. Saya resah, tetapi saya lihat datuk masih berada dalam keadaan tenang.
Datuk ambil gelas air dari tangan Malik Cina. Datuk tatang air dalam gelas di tapak tangan kanannya. Datuk membaca sesuatu dan menghembus pemukaan gelas dengan mulut.
“Berikan padanya, sekarang.”
“Ya,” sahut Malik Cina lalu menyambut gelas itu dari tangan datuk di bawa ke bilik anaknya.
Dan saya tidak lagi mendengar suara anaknya menjerit atau merungut sesuatu. Datuk terus membaca al Quran.
|
|
|
|
|
|
|
|
Assalamualaikum
Dah xde sambungan ke? |
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
Matahari pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rerumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.
Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.
Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.
Datuk berhenti melakukan senaman. Datuk mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.
Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu datuk ramas dan datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.
Semua gerak-geri datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.
Perlahan-lahan datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.
Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri datuk.
Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.
Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.
“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”
Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk bebayang yang panjang di bumi.
Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan bebayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.
“Datuk kamu ke mana Tamar?”
Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwama putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya terserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.
“Itu dia”
Jari telunjuk saya menuding ke arah datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah datuk. Mereka berbalas senyum. Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.
“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah datuk.
Biji mata saya juga tertikam ke muka datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
“Bersenam,” suara datuk lembut.
“Dah tua-tua mahu jaga badan.”
“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”
“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.
Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.
“Macam mana anak kamu Malik?”
“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”
“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”
“Saya juga harap begitu.”
Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.
“Ke mari kamu,”
Datuk renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.
“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,”
Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.
“Ini pun sudah cukup baik,” kata datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.
Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, datuk mempenlihatkan perkara yang ganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.
“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?”
Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan datuk. Saya menjeling ke arah datuk.
“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” datuk membuka rahsia.
“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.
“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanam dan membinasakan anak adam,” terang datuk.
Malik Cina terdiam.
KOPI
Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.
“Minum, semuanya selamat,” suara datuk tenang.
Tanpa membuang masa saya terus minum kopi dan makan kuih jemput. Terasa cukup enak. Saya tidak pasti berapa banyak kuih jemput sudah masuk ke dalam perut.
Datuk tersenyum melihat kuih jemput yang kian berkurang di piring. Dan datuk pura-pura batuk. Mengingatkan saya supaya jangan lahap sangat makan. Tetapi, Malik Cina terus juga menyuruh saya makan kuih jemput. Katanya, di dapur masih ada kuih jemput yang panas dan baru.
“Ahhhhhhh.”
Mendadak sahaja datuk bersuara demikian. Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.
Datuk terus bangun. Cawan, teko dan piring di depan terus ditendang. Semuanya hancur berkecai. Saya terkejut, bila melihat anak perempuan Malik Cina berdiri depan kami. Matanya kelihatan merah dan rambutnya mengerbang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
Anak perempuan Malik Cina terus menyambar langsir tingkap. Kain langsir itu dikoyaknya hingga hancur. Ia bersedia untuk mengoyak baju dan kain yang dipakainya. Sebelum perkara itu dilakukan, Malik Cina segera menyerah seberkas akhbar lama padanya.
Akhbar lama itu terus dikoyak. Tidak sampai sepuluh minit, naskhah akhbar lama itu habis dicarik-carik dan bersepah atas Iantai. Perlahan-lahan ia membuka sepuluh jarinya dan bersedia untuk mencakar muka datuk. Sebelum bergerak ke arah datuk. Ia membuka silat dan menyembah ke arah matahari.
Melihat keadaan yang agak cemas itu, saya terus melompat ke tanah untuk menyelamatkan diri. Saya mula menggigil ketakutan. Sesungguhnya, saya sendiri tidak sedar bagaimana saya boleh terjun dari rumah yang mempunyai tujuh anak tangga. Air kopi yang saya minum mdi terasa mahu keluar menerusi kemaluan saya.
Anehnya, dalam rasa takut itu timbul pula rasa berani dalam diri saya. Rasa ingin mengetahui apa yang terjadi mendorong saya berlindung di balik pohon bunga raya. Saya mengintai keadaan dalam rumah. Semuanya dapat saya ithat dengan jelas.
Malik Cina cuba memeluk tubuh anaknya. Tetapi, ia ditolak hingga terlentang. Isterinya cuba memegang tangan anaknya, ia juga ditendang hingga tersandar ke dinding. Anak Malik Cina terus menjerit, rambutnya yang terurai menutup ebahagian dan wajahnya. Ia melangkah ke arah datuk.
Datuk masih lagi duduk di tempatnya. Tiba-tiba datuk menepuk lantai dengan sekuat hati. Anak Malik Cina bagaikan terpaku di lantai. Tidak terdaya melangkah ke mana-mana. Tegak bagaikan patung. Datuk terus bangun melafazkan azan dengan suara yang amat lantang sekali. Seluruh penduduk kampung jadi gempar. Mereka dikejutkan dengan suara azan waktu pagi yang bening.
Selesai datuk melafazkan azan. Datuk membaca ayat Kursi dengan kuat sekali. Belum pernah datuk membaca ayat Kursi selantang itu. Bila pembacaan ayat suci itu berakhir, anak perempuan Malik Cina jatuh berdentum di lantai. Terkapar bagaikan mayat.
“Jangan sentuh tubuhnya.”
Suara datuk meninggi. Isteri Malik Cina tidak jadi menyentuh tubuh anaknya. Dari kerutan wajahnya, ternyata perempuan yang berusia hampir lima puluh tahun itu, kurang senang dengan perintah datuk.
Perempuan itu terus dipeluk rasa resah dan gelisah. Sesekali, ia meraba kelopak matanya yang terasa berair. Hatinya terasa amat sayu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih lebih lagi melihat keadaan anak yang terlantar dengan keadaan pakaian yang tidak senonoh.
“Boleh saya selimutkan tubuhnya dengan kain, saya malu kalau ada orang yang datang dan nampak anak saya dalam keadaan begini,” rayu Malik Cina.
“Jangan, jangan disentuh dan jangan rapat dengannya.”
“Habis, awak mahu seksa anak saya begini,” jerit isteri Malik Cina.
“Kalau awak mahu saya selesaikan semuanya, ikut sahaja cakap saya, kalau awak tak setuju, saya tak marah,” datuk renung muka Malik Cina.
Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan. Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.
“Kami mahu awak meneruskan hingga berjaya,” Malik Cina membuat keputusan.
Isterinya terus membatu. Biji matanya terus menjilat batang tubuh anaknya yang terkapar.
Melihat keadaan dalam rumah sudah tenteram. Saya keluar dari tempat persembunyian. Naik ke rumah dan duduk dekat datuk.
“Kamu ke mana tadi Tamar?”
“Saya lari, saya takut.”
“Memanglah kamu ni pengecut,” suara datuk serak.
Ia telan air liur. Saya tersengih, tebal rasa kulit muka, bila disoal begitu di depan Malik Cina dan isterinya. Bagi menutup rasa malu itu, saya cuba tersenyum pada Malik Cina. Malangnya senyuman yang saya berikan tidak dibalas.
“Kali ni, kamu jangan lari ke mana-mana walau apapun yang terjadi kau duduk di situ, hadap semua yang datang,” datuk mengeluarkan perintah.
Wajahnya nampak serius. Sepasang tangannya terus memeluk tubuhnya kejap-kejap. Mata datuk tertumpu ke arah permukaan tikar mengkuang yang terbentang. Kedua belah pipinya kelihatan kembung dan daun telinganya nampak tegak, macam telinga arnab.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
Datuk angkat punggungnya perlahan-lahan. Kedua belah tangannya dibuka. Udara yang ada dalam mulutnya dihembuskan. Kedua belah pipinya yang kembung terus jadi kempis. Datuk meluruskan tubuhnya macam batang kayu.
Saya perhatikan gerak-geri datuk dengan teliti. Di luar rumah, sinar matahari kian garang. Beberapa orang kampung yang terdengar jeritan anak Malik Cina segera menghampiri rumah. Kerana tidak ada sesiapa pun yang mempelawa mereka, mereka terus berdiri di hujung halaman rumah sambil memanjangkan leher. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi dalam rumah.
Rupanya, kedatangan orang-orang kampung itu, tidak menyenangkan hati Malik Cina. Ia minta kebenaran pada datuk untuk menutupkan pintu dan tingkap. Permintaannya tidak diperkenankan oleh datuk.
“Jangan pedulikan mereka, kau pergi carikan mayang pinang dan cendawan batang,” kata datuk pada Malik Cina.
“Kamu pula carikan aku kain putih dan bunga cengkih,” datuk renung muka isteri
Malik Cina. Tanpa bersuara sepatah apa pun, pasangan suami isteri itu turun dan rumah.
Datuk meraba pangkal telinga kiri dengan tangan kanannya. Ia melangkah dua tapak ke depan. Urat-urat di batang lehernya narnpak menonjol. Datuk memusingkan badannya ke kanan dengan kaki kanannya terangkat dan badannya dibengkokkan sedikit. Kedua belah tangannya kelihatan bergerak lembut, macam mengikut irama muzik.
Sekali pandang, gerakan yang datuk lakukan itu macam orang mahu memulakan Tarian Inang Pulau Kampai. Saya terasa geli hati.
“Kamu tunggu budak perempuan ni,” suara datuk keras serentak dengan itu ia menghentakkan kakinya ke lantai rumah.
Saya terpinga-pinga. Amat berat rasanya untuk memenuhi permintaannya.
Belum pun sempat saya menyampaikan bantahan pada nya. Datuk sudah meninggalkan saya sendirian. Ia melangkah tenang menuju ke halaman rumah dalam sinar matahari yan keras. Bayang tubuh datuk nampak memanjang di tanah.
Bila datuk hampir ke hujung halaman tempat orang-orang kampung berdiri, datuk pusingkan lehernya ke kanan. Tiba-tiba, orang-orang yang berdiri di situ lari lintang-pukang tidak tentu arah, macam terpandangkan sesuatu yang amat menakutkan.
“Datuk.”
Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah datuk berubah, jadi macam muka hanimau yang amat menakutkan. Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat saat demikian, supaya datuk jangan datang ke rumah.
Doa saya diperkenankan oleh Allah, datuk tidak memandang ke arah saya. Ia meneruskan perjalanannya dalam panas terik membelah hutan kecil di hujung halaman. Orang-orang yang lari tadi menyampaikan berita pada kawan-kawan tentang keanehan yang terjadi pada datuk. Seluruh kampung jadi gempar.
Tidak sampai satu jam, cerita manusia berkepala harimau hauskan darah merebak ke seluruh kampung. Halaman rumah dan kaki tangga rumah Malik Cina mula dikerumuni oleh orang-orang kampung, mereka membawa parang, lembing serta senapang kampung berlaras satu. Mereka mahu menangkap manusia berkepala harimau.
“Eh, budak! Mana dia Malik Cina?”
Salah seorang dari orang yang berada di kaki tangga mengajukan pertanyaan pada saya.
“Dia keluar cari ubat anaknya,” jawab saya.
“Bininya ke mana?”
“Cari ubat juga.”
“Orang tua yang baru datang tu ke mana perginya?”
“Keluar.”
“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi.
Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
Saya yakin, kalau orang-orang naik ke rumah dan menjentik hidung saya. Tentu saya mati kelemasan, jumlah mereka bukan sedikit. Inilah, saat yang paling genting dalam hidup saya. Pada siapa mahu saya sampaikan rasa cemas dan takut ini?
Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya. Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.
“Eh Malik ke mana orang tua itu kamu sembunyikan, dia bawa bencana,” tanya seorang penduduk pada Malik Cina.
“Aku tak sembunyikan dia, masa aku keluar rumah tadi, dia ada di sini?” tingkah Malik Cina.
“Kau tahu tak apa yang sudah terjadi?”
“Aku tak tahu.”
“Kami mahu tangkap dia, kalau dibiarkan seluruh kampung jadi huru-bara, dia tu bukan manusia, aku tengok badannya sahaja serupa kita tetapi, kepalanya tak serupa kita, dia berkepalakan harimau,” sambung orang itu bersungguh-sungguh.
Air liurnya bersembur.
Malik Cina dan isterinya berpandangan sama sendiri, Orang yang berkumpul terus membisu. Seluruh wajah mereka kelihatan cemas. Tetapi, biji mata mereka tertumpu ke arah saya. Mereka bagaikan mahu mematahkan seluruh tulang temulang di anggota tubuh saya.
“Kamu cari aku, aku datang,” saya terdengar suara datuk dari arah belakang kumpulan orang kampung.
Semua orang yang berkumpul kelihatan terkejut. Beberapa orang dari mereka terus merendahkan badan dan menyusup di bawah rumah, kemudian terus menghilangkan diri. Saya kembali bersemangat. Muka orang yang berdiri di halaman, saya renung satu-persatu.
Saya lihat datuk melangkah dengan gagahnya sambil membibit baldi yang berisi air. Dua orang cuba menghalang perjalanan datuk. Tetapi, usaha mereka gagal. Bila datuk berdehem, kedua-dua orang yang menahan datuk itu terus terjatuh, seolah-olah tulang kaki mereka tidak berguna sama sekali.
Anehnya, bila datuk meninggalkan mereka dalam jarak sepuluh langkah, mereka dapat bangun kembali, Tetapi, mereka terlupa dengan apa yang mereka alami. Datuk terus merempuh barisan orang ramai itu. Bila sampai di kaki tangga, datuk terus berdiri di situ. Baldi yang berisi air diletakkan di sebelah kanannya.
Saya berharap datuk tidak akan bertindak yang boleh menimbulkan seribu ketegangan dan haru-biru. Isteri Malik Cina terus menangis tersedu-sedu.
“Apa yang kamu mahu?” tanya datuk pada orang ramai.
“Kamu tukang sihir dan kami mahu menghukum kamu,” jawab seorang lelaki.
Badannya cukup tegak. Besar dan nampak gagah.
“Kenapa kamu cakap macam tu?” Soal datuk lagi.
“Tadi, kami nampak kepala kamu bertukar jadi kepala harimau.”
“Itu tandanya kamu tidak ikhlas, kamu mahu menganiayakan aku, kalau kamu jujur, kamu tak nampak semuanya itu.”
“Kamu berdalih.”
“Siapa yang berdalih, kamu atau aku cakap dengan jujur?” pekik datuk lalu menghentakkan kakinya ke mata anak tangga.
Orang itu terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci. Datuk membaca sesuatu sambil melipatkan ibu jari kanannya dan jari kelengkengnya menekan ibu jari tersebut. Saya tahu, selagi datuk tidak menegakkan ibu jarinya, orang itu tidak kan boleh berkata-kata walau sepatah pun.
“Cakap dengan jujur,” ujar datuk.
Ibu jari dan jari kelengkengnya ditegakkan. Muka orang itu berpeluh. Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.
“Ya, saya mengaku, saya mahu menggunakan ilmu sihir saya yang boleh melumpuhkan seluruh badan awak,” orang itu memberikan pengakuan.
Datuk tersenyum.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 76 ~
Uji ilmu pada isteri
“Sekarang kamu dah mengaku, apa yang kamu mahu dari aku, kamu mahu bersahabat atau untuk menjadi lawan,” datuk renung muka orang itu.
“Aku mahu bersahabat.”
“Kalau mahu bersahabat, pulanglah ke rumah. Aku tahu, kamu tak suka orang mengubat anak Malik Cina, kau suka perempuan itu menjerit dan koyak kain, kemudian kau tumpangkan ilmu salah kamu. Aku tahu, kamu yang suruh orang-orang mengerumuni anak Malik Cina. Betul atau tidak?”
“Betul.”
“Kenapa kamu buat macam tu.”
“Saya sebenarnya sedang menuntut ilmu terlentang ke langit anak Malik Cma yang sakit ini mahu saya jadikan ujian.”
“Sudahlah, berhentikan perbuatan itu. Pulanglah ke rumah dan bertaubat, biar aku uruskan anak Malik Cina,” suara datuk keras.
Orang itu tundukkan kepalanya. Tanpa mengucapkan sesuatu ia meninggalkan rumah Malik Cina. Kawan kawannya yang lain menurut jejak langkahnya. Datuk menyorot langkah mereka hingga keluar dari kawasan halaman rumah Malik Cina.
Datuk terus duduk dekat anak Malik Cina. Ia minta barang,, barang yang dipesan dari Malik Cina isterinya. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam baldi yang berisi air kecuali kain putih.
“Ikatkan kain putih itu pada buku lali anak kamu,” kata datuk pada isteri Malik Cina.
Perintah itu segera dipatuhi.
“Ini usaha terakhir, aku hanya menjalankan ikhtiar. Allah yang akan menentukan untuk menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Cara ini tidak sesuai dengan perubatan moden tetapi inilah ikhtiar yang terdaya aku lakukan,” sambung datuk lagi dengan tenang.
Datuk tarik baldi ke depannya. Ia memperkemaskan silanya. Kedua belah lengan bajunya dilipat separas siku. Datuk terus membaca Al-Fatihah seribu kali. Bila sudah selesai, datuk berdiri di muka pintu. Datuk melihat matahari yang memancar garang dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan. Mulutnya telap bergerak. Entah apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.
“Sekarang usung anak kamu ke tengah laman rumah, biarkan ia di situ,” beritahu datuk pada Malik Cina.
Anak perempuan Malik Cina segera diusung. Saya hanya memegang bahagian buah betis dengan perasaan bimbang. Saya takut, ketika diusung nanti, anak perempuan Malik Cina tersedar dari pengsan dan terus menendang saya.
Syukur, apa yang saya bimbangkan tidak berlaku. Anak Malik Cina diletakkan di tengah halaman dalam sinaran matahari yang amat garang. Datuk terus membimbit baldi ke halaman rumah. Tanpa menegur Malik Cina dan saya, datuk terus menjiruskan air dalam baldi ke tubuh anak Malik Cina. Anak Malik Cina tersedar dari pengsan. Saya merasa terkejut air yang membasahi tubuhnya kering dengan serta-merta. Kain dan baju terus kering.
“Pergi ambil kain, balutkan tubuhnya, ia sejuk tu,” datuk menujukan kata-kata itu untuk isteri Malik Cina.
Isteri Malik Cina masuk ke rumah dan keluar dengan sehelai batik jawa. Tubuh anaknya segera dibalutkan dengan kain tersebut.
“Bangun nak,” kata datuk. Anak Malik Cina terus bangun.
Ia duduk mencangkung. Matanya merenung ke arah datuk. Cahaya matanya cukup lembut.
“Kenapa saya ni,” tanyanya tersipu-sipu.
“Kau tak ada apa-apa, baliklah ke rumah.”
“Ya saya nak balik.”
Anak Malik Cina terus menuju ke rumah. Kami mengekorinya dengan hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya berkali.
“Kamu layan karenahnya, jangan dimarah, sebaiknya kau beri hatinya gembira hingga ia percaya pada diri sendiri.
Dalam tempoh dua tiga hari ni, ia akan menghadapi tekanan perasaan yang hebat, susah untuknya membuang kebiasaan yang dialami masa ia sakit dulu,” datuk mengingatkan Malik Cina. Malik Cina anggukkan kepala.
“Aku terpaksa duduk di rumah kamu dua hari lagi, bila anak kamu sudah sihat dan pulih, aku pergi,” datuk renung muka Malik Cina.
“Itulah yang aku harapkan,” Malik Cina keriangan.
Tetapi saya kurang senang mendengar kata-kata itu. Duduk di rumah memang membosankan. Apakan daya, kata-kata datuk tidak boleh dibantah.
Selama tiga hari berikutnya, datuk terus berikhtiar memulihkan sisa sakit yang dideritai oleh anak Malik Cina. Setiap pagi dan petang anak Malik Cina disuruh minum segelas air sejuk yang sudah dibacakan dengan Bismilah seratus kali.
Last edited by rdzaccess on 4-2-2013 10:43 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
Akhirnya, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Malik Cina terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik.
Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina. Isterinya menangis melihat saya dan datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang.
“Bagaimana, kalau saya hantarkan,”
Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.
“Tak payah, biar kami balik sendiri.”
“Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya.”
“Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini.”
“Maksudnya?”
“Tak ada apa-apa bayaran.”
Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.
“Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini,” cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan.
Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.
“Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?”
“Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya.”
"Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya,” suara datuk meninggi wajahnya nampak masam.
Datuk terus menggenggam penumbuk.
“Malik,” pekik datuk dengan wajah yang marah.
“Ya, kenapa?”
“Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala.”
“Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang,” Malik Cma mengajukan pertanyaan.
“Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dari Allah.”
“Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, says tak permah menganiayakan orang, saya tak pernah buat orang susah.”
“Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang,” datuk menarik nafas panjang.
Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.
“Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku,” selesai sahaja datuk berkata-kata.
Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.
Bila sahaja tapak kaki datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah datuk.
“Ada apa lagi Malik?”
“Barangkali cakap kamu benar.”
“Maksud kamu.”
Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.
“Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya,” pohon datuk.
Malik Cina turun menghampiri datuk. Bahu datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.
Malik Cina memaksa datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. lsterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.
“Kau betul dalam hal ini, dulu aku meminang seorang perempuan, bila sampai waktu mahu menikah, aku tidak pergi ke rumahnya pada hal kedua orang tua gadis itu, sudah pun memanggil orang kampung, kaum kerabatnya sudah berkumpul,”
Malik Cina membuka rahsia dirinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
“Kenapa kamu buat macam tu Malik?”
“Saya cara mendadak tak sukakan dia, saya dah jatuh hati dengan isteri saya sekarang.”
“Lepas tu apa yang kau buat, kau tak minta maaf.”
“Tidak, saya takut pada keluarga perempuan tersebut, kalau saya pergi, tentu saya menerima padah yang buruk, saya buat tak tahu dan nikah dengan bini saya sekarang.”
Cerita dari Malik Cina itu, membuat datuk menarik nafas panjang. Rasa kecewanya terhadap perangainya Malik Cina terbayang di wajahnya. Angin yang bertiup lembut terus menyentuh wajah saya dan datuk.
“Aku pernah dengar cerita macam tu, tapi aku tak menduga kau yang melakukannya,” kata datuk.
“Dari siapa dengar cerita tu?” Soal Malik Cina.
“Aku tak ingat dari siapa?” Jawab datuk dan terus bangun.
Sarungkan kasut capal bertali dua ke kaki. Datuk melangkah dua tapak ke depan.
Datuk berhenti melangkah. Pusingkan badan dan berdiri berdepan dengan Malik Cina yang masih duduk di mata anak tangga terakhir. Bahagian tepi rambut Malik Cina nampak bergerak-gerak disentuh angin.
“Kalau dulu, kau pernah memalukan orang lain, sekarang kau sendiri merasakan balasannya. Ingat, kalau kita pernah menganiayakan orang satu hari kelak kita akan menerima padahnya, kalau tidak pada kita, mungkin pada anak cucu kita,” jelas datuk dengan tenang.
Malik Cina segera berdiri. Biji mata datuk ditentangnya.
“Saya sedar dan faham semuanya,” balas Malik Cina lembut.
“Ingat mulai hari ini, bersibkan hatimu, jangan menganiayakan orang, jangan menjatuhkan maruah orang, buatlah baik sesama insan.”
“Ya saya berjanji.”
“Aku doakan kamu bahagia,” tenang sekali datuk bersuara.
Datuk bersalam dengan Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memeluk tubuh datuk. Mereka berdakapan penuh mesra.
Saya hanya memerhatikan sahaja gerak-geri datuk dan Malik Cina.
“Biar saya hantar awak ke pekan Sungai Siput,” Malik Cina mengemukakan cadangan.
Datuk segera menjatuhkan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Malik Cina.
“Tak payah, biarlah kami berjalan kaki.”
“Kenapa pula? Naik kereta lagi bagus.”
“Terima kasih Malik, biar kami berjalan.”
Malik Cina garu hujung dagunya berkali-kali. Hatinya tidak berapa seronok mendengar alasan yang dikemukakan oleh datuk. Dua kali tawarannya ditolak oleh datuk.
“Terkilan rasa hati saya, datang dijemput, bila balik jalan kaki,” Malik Cina meluahkan rasa hatinya.
“Tak apalah ini permintaan tuan punya dir, kenapa kamu nak susah hati.”
“Saya tahu, tapi kurang seronok.”
“Tak apalah, aku cakap ikhlas,” jelas datuk.
Datuk menarik tangan saya untuk memulakan langkah.
Tiba-tiba isteri Malik Cina meluru ke arah kami. Di tangannya terselit sampul surat panjang berwarna kekuningan. Isteri Malik Cina hulurkan sampul surat itu pada datuk.
“Apa bendanya ni?” Datuk agak terkejut.
“Duit, ada dua ratus ringgit untuk upah mengubati anak saya,” jelas isteri Malik Cina.
Datuk tergamam. Sampul surat di tangan isteri Malik ditepisnya. Wang bertaburan atas tanah.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
Muka datuk serta-merta menjadi marah. Nafasnya tercunggap-cunggap. Badannya menggeletar menahan rasa marah. Muka isteri Malik Cina jadi pucat.
“Malik,” jerit datuk sekuat hati.
Malik Cina segera menghampirinya. Wajah isteri Malik Cina yang pucat segera bertukar menjadi kemerah-merahan. Wang yang bertaburan atas tanah dikutipnya sehelai demi sehelai dan disumbat ke mulut sampul surat.
“Bukankah sudah aku katakan, aku bukan mencari rezeki dengan mengubati orang, aku sekadar berusaha yang menentukannya Allah, mengapa perkara yang aku benci ini kamu lakukan pada aku? Apa kamu mahu menguji aku,” datuk meledakkan apa yang ada dalam hatinya.
“Maafkan saya, saya terlupa beritahu bini saya, dia tak tahu, tak terniat untuk menguji awak,” sahut Malik Cina.
Mukanya nampak cemas.
Datuk termenung. Perlahan-lahan ia menatap wajah isteri Malik Cina yang keadaannya tidak tentu arah.
“Maafkan aku, aku tak berniat nak menjatuhkan air muka kamu, maafkan aku,” nada suara datuk dibalut rasa kesal yang memanjang.
Datuk terus beristighfar beberapa kali.
“Maafkan aku,” ulang datuk.
“Saya maafkan,” balas isteri Malik Cina.
Datuk gembira mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isteri Malik Cina. Dan Malik Cina pula berkali-kali minta maaf pada datuk kerana kesalahannya tidak memberitahu isterinya, tentang pantang larang yang diamalkan datuk.
“Wang itu kau sedekah pada anak-anak yatim, pada fakir miskin atau hadiahkan pada masjid, barangkali dengan wang itu dapat digunakan untuk membaiki mana-mana bahagian masjid yang rosak,” dalam nada yang lembut datuk menyatakan pada Malik Cina dan isterinya.
Mereka anggukkan kepala.
“Aku nak pesan pada kamu supaya mengamalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, di antara sembahyang sunat Subuh dengan fardhu Subuh,” beritahu datuk pada Malik Cina.
“Apa faedahnya mengamalkannya?” Soal Malik Cina tidak sabar.
“Kalau orang itu makan gaji, mudah naik pangkat.”
“Lagi.”
“Kalau ia miskin akan jadi kaya, ada saja rezeki yang halal diberikan Allah untuknya.”
“Lagi?”
“Kalau ia banyak hutang, ada saja jalan diberikan Allah untuknya menyelesaikan hutang.”
Malik Cina renung muka isterinya yang khusyuk mendengar penerangan dan datuk. Saya hanya diam tetapi, apa yang saya dengar tetap saya sematkan dalam hati, Memang tidak mudah datuk mahu memberikan amalan pada seseorang. Entah apa mimpinya ia mahu memberikan pada Malik Cina.
“Lagi apa faedahnya amalan itu,” Malik Cina mencungkil rahsia.
“Kalau seseorang itu sakit dan amalkan membaca, dengan izin Allah sakitnya akan sembuh,” jelas datuk.
“Lagi?”
“Jika ia lemah, akan dikuatkan oieh Allah.”
“Lagi.”
“Jika orang itu berdagang atau merantau di negeri orang. Ia tetap dihormati dan dimuliakan, cita-citanya sampai dan orang itu tidak akan dimusuhi oleh sesiapa,” datuk terbatuk.
“Banyak faedahnya,” kata isteri Malik Cina.
“Ya, dengan syarat diamalkan, tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, nampaknya mudah tetapi jarang orang dapat mengamalkannya dengan sempurna,” datuk meraba angkal dagu.
Ia renung muka saya, memberi isyarat untuk memulakan perjalanan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
“Tapi, kamu sekeluarga harus mengamalkannya, terutama anak kamu, supaya sakitnya tidak berulang lagi,” datuk mengingatkan Malik Cina dan isteri.
Datuk bersalaman dengan Malik Cina. Kemudian saya pula bersalaman, Saya rasakan genggaman Malik Cina cukup erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan saya pulang.
“Selamat jalan, semoga kamu dengan cucu selamat sampai ke tempat yang dituju,” ujar Malik Cina pada datuk.
“Semoga Allah memberkati dan menyelamatkan keluarga kamu dari sebarang bencana,” jawab datuk. Malik Cina tunduk tetapi, di kelopak mata isterinya tergenang air jernih.
Saya renung ke arah rumah Malik Cina. Saya lihat anaknya berdiri di muka pintu merenung ke arah saya. Memang, anak perempuan Malik cantik sungguh. Secara diam-diam saya tertarik dengan kecantikannya. Kalau saya disuruh menatap wajahnya selama dua tiga jam, saya sanggup melakukannya.
“Eh tengok apa tu, kamu tahu dia bini orang,” terdengar suara datuk memukul gegendang telinga saya.
Cepat saya menoleh ke kanan, Malik Cina tersenyum ke arah saya. Toleh ke kiri isteri Malik Cina juga tersenyum. Saya terasa malu dan untuk menghilangkan nasa malu itu, saya terus melangkah dengan cepat mendahului langkah datuk.
“Cucu awak dah besar, dah ada perasaan pada perempuan,” saya terdengar suara Malik Cina.
Kata-kata itu menyindir diri saya. Saya terdengar ketawa datuk pendek. Ketawa itu juga saya rasakan menyindir diri saya. Menyesal saya renung ke rumah Malik Cina. Kalau saya renung tadi, tentu saya tidak diketawakan dan jadi bahan bualan mereka. Batin saya terus merungut, penuh nasa kesal.
Saya terus melangkah. Saya tidak peduli sama ada datuk mengikuti saya dari belakang atau tidak. Soal yang penting bagi saya ialah tidak mahu pandang muka Malik Cina dan isterinya. Tidak mahu dengar suara mereka. Semuanya menyakitkan hati. Saya terus melangkah.
Bila sampai dekat pokok besar. Datuk terus memegang bahu saya. Ia menyuruh saya jalan bersaing dengannya. Tidak kuasa saya melihat wajahnya. Saya masih terasa malu kerana rahsia diri saya sudah diketahuinya. Saya berdoa semoga datuk tidak menimbulkan perkara itu pada saya. Sesungguhnya, saya tidak rela malu untuk kali kedua pada datuk. Hati saya terasa lega. Datuk tidak menimbulkan perkara tersebut. Kami terus melangkah seiring di bawah hembusan bayu yang datang dari arah sebuah bukit yang letaknya di pinggir Kampung Bahagia.
Kicau burung yang menyanyi di pepohon kiri kanan jalan amat menyeronokkan. Matahari pagi yang berada di paras pucuk kelapa dara bersinar lembut. Kabus nipis kelihatan bangkit perlahan-lahan di puncak banjaran Titiwangsa. Bayu pun menggerakkan dedaun menghijau.
Indahnya alam ciptaan Allah. Kata nenek, kalau kita mengkagumi keindahan alam ciptaan Allah, kita harus bersyukur dan memuji-Nya. Kemudian bandingkan betapa kerdilnya diri kita dalam keindahan alam itu.
Nenek juga berkata, orang-orang yang tinggal di kawasan alam semulajadi. Selalunya hidup aman dan panjang umur, Sentiasa tenang. Sebabnya mereka jadi demikian, kerana mereka selalu bersyukur pada Allah secara tidak langsung mereka mendekati diri dengan-Nya. Dan orang-orang yang selalu mendampingi dirinya dengan Allah, selalu merasa hahagia meskipun pada lahirnya mereka nampak susah dan sukar.
Kekayaan dan pangkat serta penghormatan tidak bererti, kalau batin manusia yang mewah itu tidak tenteram. Sebabnya kebahagiaan tidak terletak pada kekayaan. Kebahagiaan terletak pada had. Bila hati tenteram, jiwa pun bersih dan wajah pun berseri.
Itu pendapat nenek yang tidak pernah ke sekolah. Susah juga untuk saya mempercayainya tetapi, kata nenek lagi, bila saya bertambah tua dan sudah mengalami rempah-ratus kehidupan, barulah saya tahu, apakah cakapnya itu benar atau tidak. Macam-macam yang datang dalam kepala saya.
Tiba-tiba saya dan datuk sudah pun sampai ke bibir jalan raya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya duduk di batu tepi jalan sambil mengusik-ngusik rumput semalu. Rumput yang kembang segar itu akan terus mengecut bila saya usik dengan hujung sepatu.
Datuk terus merenung ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Saya terus resah. Sudah berada di tepi jalan raya, datuk masih belum beritahu saya ke mana harus pergi? Ini yang susahnya mengikut datuk. Ia tidak mempunyai rancangan yang tertentu.
Saya segera mendekati datuk. Ia tersenyum sumbing memandang ke arah saya. Ia bagaikan tahu dengan apa yang bergolak dalam diri saya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
“Kita ni nak ke mana tuk?”
“Ke Bakap, dekat Batu Gajah.”
“Bukan nak pergi ke pekan Sungai Siput?”
“Kamu berjalan ikut aku, apa yang aku buat kamu ikut saja jangan banyak cakap. Belum apa apa dah nak mengajar orang tua.”
Perasaan saya tersentap mendengar kata-kata datuk itu. Ditanya jawapannya kena marah. Tidak ditanya hati resah. Memang serba salah jadi cucu pada datuk yang selalu beranggapan yang cucunya tudak pandai dan mesti patuh dengan cakapnya.
Datuk menahan bas yang mahu ke Ipoh. Saya disuruh naik dulu. Saya memilih tempat di bahagian belakang. Tetapi datuk tidak setuju dengan tempat yang saya pilih itu. Ia suruh saya pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pemandu.
“Jangan biasakan bila naik bas duduk di belakang.”
“Kenapa tuk?”
“Tak bagus, kalau ada kejadian yang tak diingini kita susah bertindak, sebaik-baiknya pilih di bahagian tengah.”
“Sebabnya tuk?”
“Kalau diserang komunis dari depan kita dapat bersedia begitu juga kalau diserang dari arah belakang.”
“Tapi, kita duduk di bahagian depan sekarang tuk?”
“Tak apa kerana aku rasa perjalanan kali ini selamat.”
Saya diam. Tidak kuasa mengajukan sebarang pertanyaaan padanya. Bas terus meluncur. Saya terus terlelap. Saya terkejut bila bas berhenti dengan tiba-tiba. Saya gosok kedua belah mata dan renung kiri dan kanan. Apa yang saya lihat ialah kebun getah yang subur.
“Kita ni di mana tuk?”
“Kita baru meninggalkan Pekan Chemur.”
“Kenapa has ni berhenti di tengah hutan tuk.”
“Kamu tengok tu,” datuk meluruskan telunjuknya ke arah belukar kecil di kiri bas.
Saya terkejut, saya lihat lebih dari dua puluh orang lelaki memakai baju seragam dengan topi leper berbucu lima. Di tangan mereka lengkap dengan senjata api.
“Itu askar tuk,” kata saya.
“Bukan, itu komunis,” sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-katanya.
Tiga orang anggota komunis naik ke bas. Seorang berdiri di tangga bas. Seorang berdiri di bahagian tengah. Dan seorang di bahagian belakang bas.
Saya amati, yang berdiri di tangga bas. Orang India. Di tengah bas, orang Cina dan di bahagian belakang orang Melayu. Saya kira yang berdiri di tengah adalah ketua mereka. Manakala di luar bas kelihatan lebih dari dua puluh anggota komunis duduk dalam belukar. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah bas.
Penumpang bas yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India kelihatan cemas. Pemandu bas diarahkan turun oleh komunis berbangsa India. Wang yang ada pada penjual tiket bas dirampas oleh komunis berbangsa Cina. Penjual tiket juga disuruh turun.
“Sekarang, semua orang bangun, letakkan duit, jam tangan, emas dan apa yang kamu bawa dekat pintu has, kalau kamu membantah kami tembak. Keluar satu-satu,” perintah komunis Melayu yang berada di bahagian belakang bas.
Semua penumpang bas patuh. Semua barang yang mereka bawa diserahkan pada pihak komunis. Bila sudah turun dari bas. Kami disuruh berbaris. Seorang anggota komunis melakukan pemeriksaan pada diri penumpang. Semua kad pengenalan bas dirampas dan dikumpulkan di tanah lapang untuk dibakar.
Dua orang pemuda Melayu dihentak oleh anggota komunis dengan buntut senapang. Sebabnya, kedua pemuda Melayu itu tidak mahu menyerahkan rantai leher yang dipakai. Saya lihat pemuda Melayu itu jatuh terlentang dan mulut mereka berlumuran darah.
Datuk hanya melihat peristiwa itu dengan tenang. Dahinya nampak berpeluh dipanah sinar matahari yang garang. Saya kira ketika itu, lebih kurang pukul sebelas pagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
“Ingat siapa tak mahu dengar cakap kami inilah padahnya,” kata anggota komunis berbangsa Melayu.
Anggota komunis bangsa India dan Cina menegakkan ibu jarinya memuji tindakan anggota komunis bangsa Melayu itu.
“Ini hari gua kasi power sama lu, lu boleh bikin apa saja,” kata anggota komunis Cina (ketua) pada anggota komunis bangsa Melayu.
Sedangkan anggota komunis bangsa India ketawa. Matanya merenung tajam pada gadis India berkulit cerah. Berusia sekitar 18 tahun.
Gadis India yang memakai sari itu nampak gelisah. Berkali-kali ia merenung wajah ibunya. Tetapi, anggota komunis bangsa India itu terus melihatnya terutama di bahagian perut gadis India yang dibalut oleh kain sari.
“Lu suka sama dia, kalau suka ambil bawa masuk hutan,” ujar ketuanya.
“Nanti dulu,” jawab anggota komunis bangsa India.
Keadaan ketika itu memang mencemaskan. Pemandu kenderaan yang lalu-lalang di situ, buat tidak kisah dengan apa yang terjadi. Mungkin mereka menyangka bas yang berhenti itu rosak.
“Eh budak, kenapa kamu tak serahkan cincin yang kamu pakai,” anggota komunis menghampiri saya.
“Ini bukan emas, ini suasa, orang lelaki haram pakai emas,” kata saya.
“Sekarang kasi sama kami.”
“Tak boleh,” saya berkeras.
“Kuranggg ajjjjar punya budak.”
Muka saya ditampar dan perut saya ditendang. Saya berguling-guling dibumi menahan kesakitan. Saya melolong minta tolong pada datuk. Saya lihat datuk tidak juga bertindak. Dan anggota komunis Melayu itu mengangkat buntut senapangnya untuk menghentak kepala saya.
Belum pun sempat buntut senapang itu hinggap di kepala saya. Datuk menerpa ke arah anggota komunis tersebut. Ia menendang senapang ditangan anggota komunis tersebut. Senapang itu terpelanting dan terus meletup. Salah seorang anggota komunis yang berdiri tidak jauh dari situ menjerit dan terus rebah.
Perutnya yang ditembusi peluru mengeluarkan darah yang banyak. Tendengan datuk itu disusuli dengan penumbuk. Anggota komunis itu tersandar di pangkal getah. Bila ia cuba bangun, datuk bagaikan terbang menerkam ke arahnya. Satu tendangan hinggap dibahagian kiri perutnya. Anggota komunis itu terus lembik di situ.
Suasana menjadi tegang. Dalam beberapa saat sahaja anggota komunis terus mengerumuni datuk. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah datuk. Saya menjadi cemas dan datuk menjadi kaku. Tetapi, ekor matanya terus mengawasi anggota komunis di sekilingnya.
Anggota komunis berbangsa India menghampiri datuk. Tanpa berkata apa-apa, ia melepaskan penumbuk ke arah datuk. Cepat-cepat datuk mengelak dan terus menyambar pergelangan tangannya.
Dengan sekuat hati, datuk menolaknya ke kanan, Ia terperosok dalam perdu nanas. Pistol yang terselit di pinggangnya terpelanting lalu jatuh di depan datuk. Tanpa membuang masa datuk terus memijak pistol itu hingga terbenam dalam tanah.
“Tangkap dia dan tembak,” ketua komunis yang berbangsa Cina mengeluarkan perintah.
Belum pun sempat datuk menoleh ke kanan, tiga orang anggota komunis memeluk tubuhnya dengan kejap. Anggota komunis bangsa India yang terperosok dalam perdu nanas segera bangun. Wajahnya nampak bercalar.
“Ikat dan tembak dia,” katanya marah sambil melempar tali sabut pada kawannya.
Datuk kelihatan tenang. Ia membiarkan anggota-anggota komnunis itu membelitkan tali sabut ke tubuhnya. Datuk ditarik macam lembu menuju ke pangkal pokok Petai. Datuk terus diikat di situ.
“Sekarang suruh orang-orang yang turun dari bas naik ke bas semula, suruh diaorang tengok kita tembak orang tua yang nak mampus ni,” ketua komunis bangsa Cina mengeluar arahan pada anggota komunis bangsa Melayu.
Arahan itu segera dipatuhi. Penumpang bas kembali ke tempat duduk masing-masing. Tetapi, pemandu bas dan penjual tiket tidak dibenarkan naik bas. Mereka disuruh berdiri tidak jauh dari pintu bas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 77 ~
Akibat memalukan orang
“Eh kamu budak, mari sini, kamu duduk sini, kamu tengok macam mana orang tuani mampus,” anggota komunis bangsa India bersuara lalu menarik tengkuk baju saya.
Saya disuruh duduk bertinggung menghadap ke arah datuk. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan takutnya saya ketika itu.
Ditengah suasana tengah hari yang terik dan perit itu, saya rasa kulit muka saya bagaikan mahu terbakar. Baju saya basah diresapi peluh. Saya menangis tersedu di depan datuk.
“Tamar, jangan menangis, tidak ada manusia yang boleh memisahkan roh dari jasad seseorang, jika tidak diizinkan oleh Allah, janganlah kamu takut pada mereka,” kata datuk berpandangan sama sendiri.
Dua tiga orang daripada mereka menjuihkan bibir dan sebahagian yang lain senyum dan ketawa kecil.
“Sekejap lagi kamu tahu, siapa besar, Allah kamu atau peluru senapang, masa itu kamu boleh minta tolong dengan Allah,” sindir anggota komunis bangsa Melayu.
Datuk hanya diam sahaja. Wajahnya kelihatan aman tenang sekali.
Saya terus mengesat air mata, ketika itu juga saya terdengar suara jeritan burung helang, panjang dan amat nyaring sekali. Saya lihat ke langit, saya lihat burung helang itu terbang berlegar-legar di atas kepala kami.
Menurut petua orang tua-tua, bila burung helang berbunyi di atas kepala dan berpusing-pusing waktu tengah hari, itu tandanya orang yang berada di bawahnya akan menemui kesusahan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang yang mendengarnya harus memukul pangkal pokok besar sekuat hati, dengan harapan dapat didengar oleh burung helang, dengan itu burung helang tersebut akan terbang ke tempat lain
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
Dalam keadaan begini, tentu sahaja saya tidak dapat melakukan petua dari orang tua-tua yang pernah saya dengar itu. Saya hanya berserah pada Allah sahaja. Tiba-tiba ketua komunis itu memerintah tiga orang komunis berdiri di depan datuk dalam jarak dua puluh kaki. Mereka juga diarah menyediakan peluru dalam senapang.
“Semua mesti tembak tepat di kepalanya,” kata ketua komunis itu.
“Baik,” serentak anggota komunis itu menjawab.
“Kalau sesiapa tidak tembak tepat di kepalanya, orang itu saya tembak dengan pistol ini,” ketua kornunis itu memusingkan pistolnya di tangan.
Langkahnya tidak ubah macam seorang koboi.
“Sedia,” kata ketua komunis.
Tiga anggota komunis halakan muncung senapang ke arah datuk. Dada saya berdebar. Datuk nampaknya menyerahkan dirinya pada Allah. Ia tidak bimbang. Sesekali terdengar ia membaca ayat al -Fatihah dengan agak lantang.
“Hei Melayu tua, sekarang kita tengok siapa kuat, senapang orang aku atau kamu punya Allah,” sindir ketua komunis itu.
“Allah Hu Akbar,” jawab datuk perlahan.
“Dia panggil dia punya Tuhan,” ketua komunis itu ketawa terkekeh.
Kemudian ia memerintah tiga orangnya melepaskan tembakan pada datuk.
Semua orang yang berada dalam bas menekup muka. Tidak sampai hati melihat peristiwa yang amat menyeramkan. Badan saya menggigil dalam gema tembakan yang bertalu-talu itu. Tiba-tiba tembakan itu berhenti. Saya membuka mata.
Saya gembira, bila melihat datuk tidak apa-apa. Ia berdiri dengan tenang di pangkal pokok. Tali sabut yang membalut tubuhnya sudah hancur dimamah peluru. Datuk terus meluru ke arah saya. Anggota komunis yang ada di situ bagaikan terpaku, tidak berani menyapa atau menahan, datuk memeluk tubuh saya.
“Tuk kebal,” tanya saya padanya.
“Tidak, cuma peluru tidak kena tubuh aku, aku mohon Allah melindungi diriku, syukur permintaanku telah diperkenankan oleh Allah yang maha besar,” bisik datuk dan segera menarik tangan saya untuk menuju ke bas.
Ternyata datuk tidak mahu bergaduh dengan anggota komunis yang jumlahnya bukan sedikit.
Tiba-tiba ketua komunis itu menghampiri datuk. Wajahnya cukup bengis. Ia merasa kecewa kerana datuk tidak menemui ajal di hujung senapang anak buahnya. Ketua komunis itu menekan muncung pistolnya ke telinga datuk. Datuk menahan nafas kemudian menjatuhkan badannya ke bumi lalu memaut lutut ketua komunis tersebut.
Ketua komunis itu terjatuh. Tetapi bangun dengan cepat, sebelum Ia melakukan sesuatu pada datuk. Saya lihat datuk sudah pun berdiri. Sandarkan badan ke pangkal getah. Datuk terus memeluk tubuhnya. Matanya mula kelihatan kemerah-merahan.
“Tangkap dia lagi sekali, kali ni kita sumbat dia dalam sangkar babi, kemudian rendam dalam telaga,” secara mendadak anggota komunis Melayu bersuara dengan nyaring.
Anggota komunis yang lain segera patuh. Tetapi, sebelum mereka memulakan langkah pertama. Datuk segera menghentakkan telapak kaki kanannya ke bumi. Tiba-tiba anggota komunis Melayu itu menjerit. Ia tidak terdaya melangkah kakinya bagaikan terbenam dalam tanah. Begitu juga dengan anggota komunis yang lain.
Datuk terus menghampiri auggota komunis bangsa lndia dan Cina. Datuk terus menjentik hidung mereka. Mereka terpekik terlolong, macam kena sengat tebuan.
“Sekarang pulangkan barang-barang yang kamu rampas pada tuannya, kalau tidak kamu dan orang-orang kamu susah nanti,” kata datuk pada komunis.
“Baik, sekarang saya pulangkan,” jawabnya.
Tetapi, ia menghadapi masalah yang lain pula, orang-orangnya tidak boleh bergerak, walaupun diperintah berkali-kali dengan suara yang nyaring. Datuk tahu di mana silapnya perkara itu. Ia segera membongkok dan menepuk muka bumi dengan tangan kanannya. Bila semuanya dilakukan oleh datuk, baru anggota komunis itu boleh bergerak.
“Sekarang kasi balik orang punya barang,” ketua komunis mengeluarkan perintah lagi.
Tidak ada sesiapa yang membantah. Semua barang-barang yang dirampas diletakkkan atas tanah lapang. Kemudian ketua komunis itu menyuruh orang yang berada dalam bas turun untuk mengambil barang-barang mereka.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
Tidak sampai setengah jam, upacara memulangkan barang-barang yang dirampas pada tuannya pun selesai. Datuk menyuruh mereka naik ke bas semula. Datuk juga menyuruh pemandu bas menghidupkan enjin bas.
“Siapa suruh lu kasi tahu driver bas, hidup enjin bas?”
Ketua komunis mula marah. Suaranya cukup garang dan matanya tertumpu ke wajah datuk.
“Saya kesian dengan dia orang, hidup mesti tolong-menolong,” balas datuk.
“Apa awak cakap, ini awak kenal?”
Ketua komunis halakan muncung pistol ke batang hidung datuk. Datuk tarik nafas panjang. Ia merasakan dirinya tercabar dan terhina.
Datuk menggigit bibir. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya. Dadanya nampak berombak menarik dan melepaskan nafas.
“Biadap,” pekik datuk.
Dan cara tiba-tiba pistol di tangan ketua komunis itu terlucut. Mukanya kelihatan pucat. Dan datuk terus jengkal mukanya dengan jari. Ketua komunis itu terdiam. Ia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh datuk.
“Biadap, memang tak tahu mengenang budi,” rungut datuk.
Datuk renung semua anggota komunis yang berdiri di sisinya. Saya terdiam, tidak berani berkata sesuatu apa pun.
“Kamu balik ke hutan, kalau kamu mahu selamat,” pekik datuk lagi.
Anggota-anggota komunis yang berdiri itu, segera bergerak dan menghilangkan diri dalam hutan.
Tetapi, tiga orang anggota komunis tidak mempedulikan kata-kata datuk. Mereka ini dianggap orang kanan dan ada kuasa dalam pasukan komunis yang berjumlah hampir tiga puluh orang itu. Datuk renung muka komunis Melayu, kemudian komunis India dan akhir sekali komunis Cina.
“Sekarang bas boleh jalan,” jerit datuk ke arah pemandu bas.
Beberapa minit kemudian bas Ipoh-Kuala Kangsar terus bergerak. Meninggalkan kami berlima di pinggir hutan iaitu tiga orang anggota komunis, diri saya dan datuk.
Tanpa saya duga anggota komunis Melayu itu menyeluk sakunya. Ia mengeluarkan tangkal dan seketul kemenyan. Ia membakar kemenyan dengan mancis api. Saya rasa seluruh kawasan saya berdiri penuh dengan asap tebal. Saya terdengar bunyi orang bercakap tetapi, orangnya tidak kelihatan.
Memang tidak lojik, asap kemenyan yang sedikit itu boleh menguasai seluruh kawasan belukar. Saya dan datuk terbatuk dua tiga kali.
“Mereka dah hilang tuk,” kata saya pada datuk.
“Aku tahu, mereka hilangkan diri dari kita.”
“Apa yang patut kita buat tuk?”
“Sabarlah.”
Saya dan datuk mendiamkan diri kira-kira lima minit, asap kemenyan terus menipis dan hilang. Datuk mengajak saya menuju ke bibir jalan raya. Bila kami melangkah, anggota komunis Melayu muncul dari balik pokok getah. Ia tidak merenung ke arah saya dan datuk.
“Ikut kami, bersatu dengan kami untuk membebaskan tanahair dari penjajah,” katanya dengan suara yang lembut.
“Kita sudah merdeka, bukan kau tak tahu, kita merdeka pada 1957, sekarang sudah enam tahun lebih kita merdeka,” jelas datuk.
“Kite tidak benar-benar merdeka, kamu harus membantu kami, ini tawaran paling baik untuk kamu, kalau kamu mahu hidup, kalau tidak kamu dua beranak kami bunuh di sini.”
“Tidak, perjuangan kamu perjuangan sia-sia,” balas datuk tegas.
Kali ini komunis Melayu itu merenung ke arah datuk. Ia menghilangkan dirinya beberapa saat di celah daun keladi liar. Kemudian Ia memunculkan dirinya di antara saya dengan datuk.
“Apa fasal kamu kata perjuangan kami sia-sia, kami berjuang untuk kemerdekaan tanahair, untuk kebebasan berfikir,” komunis Melayu itu bersuara lagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
“Kamu komunis yang tidak percayakan kewujudan Allah,” sanggah datuk.
Dan kali ini datuk kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Komunis Melayu itu mencampakkan se utas tangkal atas tanah. Kawasan tempat tangkal itu jatuh terus dikuasai oleh api. Anggota komunis itu tepuk tangan. Api yang marak itu terus padam.
“Kau memang handal,” kata datuk.
“Kalau tak cukup syarat, aku tak jadi komunis,” jawabnya.
“Aku tak boleh bekerjasama dengan kamu,” kata datuk.
“Jangan menyesal”
“Tidak.”
Komunis Melayu itu menghilangkan diri. Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Tiba-tiba komunis Melayu dan dua orang kawannya muncul di depan kami. Mereka bersedia untuk menangkap kami. Datuk masih tenang. Ia tidak merasa bimbang, walaupun muncung senapang menghala ke arah perutnya.
“Sekarang, mahu ikut atau mahu mati,” ketua komunis (Cina) terus bersuara.
Kali ini, muncung senapangnya ditekan ke pusat datuk. Saya lihat ketua komunis cukup hati-hati. Ia tidak mahu peristiwa yang dialaminya sebentar tadi berulang pada dirinya.
“Tidak mahu,” jawab datuk.
“Tidak mahu, ertinya awak mati,” suara ketua komunis keras.
Ia cuba menarik pemetik senapang. Cepat-cepat datuk memegang muncung senapang itu menjadi lembut macam timah dibakar.
Ketua komunis itu terus juga menarik pemetik senapang. Anehnya, senapang itu tidak meletup tetapi, kelongsong pelurunya terus keluar. Ketua komunis itu mendapati seluruh tangannya terbakar dan melecur.
Komunis Melayu itu jadi marah, kerana ketuanya dipermainkan. Ia mengeluarkan sejambak tangkal dari sakunya. Mulutnya mula bergerak membaca mantera dan jampi. Datuk terus membaca Fatihah dengan lancar sebanyak 41 kali.
Semua tangkal yang dikeluarkan oleb komunis Melayu tu hancur menjadi abu. Telapak tangannya kelihatan merah macam terbakar. Semua tangkal yang dipasang di tangan, di pinggang dan leher habis jatuh ke tanah. Semuanya menjadi abu dan debu.
“Pulanglah, aku tak mahu apa-apakan kamu, cuma nasihat aku pada kamu jangan menuntut ilmu dari syaitan.” kata datuk pada komunis Melayu itu.
Rupanya, komunis Melayu itu tidak mampu melangkah. Kedua belah kakinya macam lumpuh. Komunis Cina dan India terus menghampirinya.
Komunis berbangsa India terus menembak komunis Melayu dengan pistol. Perbuatan itu amat mengejutkan datuk.
“Kenapa kamu bunuh dia?” Tanya datuk.
“Dia lumpuh, orang lumpuh dan tidak sihat, memang tidak dikehendaki oleh pasukan kami,” jelas ketua komunis.
Datuk terdiam. Tidak dapat berbuat apa-apa.
Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil merenung ke arah saya. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala, bila melihat mereka mengusung mayat komunis Melayu ke dalam hutan. Saya menggaru pangkal leher. Sedih rasa hati melihat bangsa sendiri dipikul macam binatang.
“Hei, nanti dulu.”
Datuk meluru ke arah anggota komums yang memikul kawannya. Mereka berhenti melangkah. Mayat yang diikat kaki dan tangan diletakkan atas tanah. Kayu pengandar dibiarkan berada di mayat tersebut.
“Kenapa?” Tanya ketua komunis.
“Dia orang Melayu dan beragama Islam, serahkan pada saya, biar saya kebumikan cara hukum Islam. Awak tahu, cara yang awak lakukan ini menyeksa mayat, perbuatan begini tidak baik menurut agama kami. Islam mahu setiap penganutnya yang mati mesti segera ditanamkan.”
“Itu urusan agama kamu, tapi dia ini dah jadi ahli kami dan apa yang berlaku adalah urusan kami,” jawab ketua komunis.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
Datuk terdiam. Ketua komunis terus mengarahkan orang-orangnya memikul mayat komunis Melayu itu dalam hutan. Kumpulan komunis itu meninggalkan kami. Mereka melepaskan tembakan ke udara bertalu-talu.
“Sudahlah Tamar, aku tak berani bertindak lebih jauh dari apa yang kamu lihat, kalau aku berkeras bereti aku menempah bahaya,” datuk bagaikan merungut.
Ia terus mengajak saya keluar dari kawasan hutan menuju ke tepi jalan raya. Kami berdiri di situ sambil menahan kenderaan yang lalu.
Tidak ada sebuah kenderaan pun yang mahu berhenti. Badan saya terus berpeluh. Sinar matahari bertambah garang. Dada jalan raya dibahangi kepanasan kelihatan macam ada air bertakung. Beberapa lori tentera terus melintas di depan kami. Anggota tentera yang ada di dalamnya lengkap dengan senjata. Mereka merenung ke arah kami dengan renungan yang tajam.
Tiba-tiba sebuah jeep polis yang berdindingkan besi waja berhenti di depan kami. Dua orang anggota polis yang memakai topi bulat dan berjambul di tengah menghampiri kami dengan raifel yang tersedia di tangan.
Kedua-dua anggota itu menghampiri datuk. Segera datuk terangkan apa yang telah terjadi. Kedua-dua anggota polis agak terkejut. Saya dan datuk disuruh masuk ke perut jeep. Lemas rasanya berada dalam perut jeep yang tidak bertingkap.
“Nak bawa kami ke mana?” Tanya datuk.
“Ke Balai Polis Cemur, buat laporan,” jelas anggota polis yang duduk di sisi datuk.
”Jangan bimbang awak tak apa-apa cuma melaporkan apa yang terjadi,” tambahnya.
Datuk anggukkan kepala. Jeep yang kaml tumpangi berpatah balik ke Pekan Cemur.
Datuk dan saya diperkenalkan dengan ketua Balai Polis. Datuk menceritakan apa yang dialami. Seorang anggota polis mencatatkan apa yang diterangkan oleh datuk.
“Kawasan tempat kejadian itu, namanya Kantan dan saya yakin pemandu bas itu membuat laporan di Balai Polis Ipoh,” terang ketua Balai Polis pada datuk.
Ia menjeling ke arah saya. Kemudian ketua Balai Polis itu menyuruh anggota polis yang bertugas di bahagian semboyan menghubungi Pejabat Polis Negeri untuk melaporkan apa yang terjadi.
“Saya yakin, pihak pasukan keselamatan akan mengesan jejak anggota-anggota komunis itu,” terang ketua Balai Polis.
Datuk anggukkan kepala.
“Kalau begitu biarlah kami balik dulu,” kata datuk.
“Awak berdua nak ke mana?”
“Ke Batu Gajah”
“Kalau begitu awak berdua tumpang jeep yang awak naik tadi sampai ke Ipoh.”
“Tak payahlah, biar kami naik teksi.”
“Jangan begitu, awak berdua naiklah, jeep itu memang nak pergi ke Balai Polis Pusat di Ipoh.”
“Tapi.”
“Tak ada tapinya.”
“Saya minta maaf, biarlah kami naik teksi dari sini,” datuk menolak dengan wajah yang manis.
Jawapan datuk itu kurang memuaskan hati ketua Balai Polis. Ia macam merasakan keselamatan diri saya dan datuk tidak begitu terjamin. Ia minta seorang anggota polis menemani datuk dan saya ke tempat teksi.
“Pastikan mereka naik teksi,” pesan ketua Balai polis itu pada anggota polis yang akan menemani ke tempat teksi.
Saya lihat anggota polis itu mengangguk.
Akhirnya, kami naik teksi menuju ke Ipoh. Saya tahu, kalau datuk ada masa, tentu ia tidak mahu terus ke Ipoh. Mungkin Ia mahu berada lebih lama di Cemur. Ramai saudara-maranya di situ terutama di Ulu Kuang.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|