|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakar kucing hutan
Sinar lampu gasolin terus menerangi kawasan kubur. Sayang, sinar lampu tersebut tidak mampu menerangi jalan yang bakal kami lalui. Terpaksa menggunakan lampu picit. Bila sudah hampir dengan kubur yang digali oleh kawan-kawan Alang Abdu Rauf lampu picit tidak perlu digunakan lagi kerana sinar lampu gasolin yang terpasang di tempat mereka bekerja cukup terang.
Apa yang menghairankan saya, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang berhenti rehat dan menggali kubur itu menutup hidung mereka dengan kain yang diikat ke belakang. Saya tersenyum melihat cara mereka yang sekaligus mengingatkan saya pada filem cowboy dalam adegan rompakan.
“Awak ada tercium bau busuk?” tanya datuk pada Alang Abdul Rauf.
“Ada, dahlah busuk hapak pula,” Alang Abdul Rauf seperti merungut.
LUBANG
Kian hampir dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf, makin kuat bau busuk itu menyucuk lubang hidung. Saya tidak dapat menggambarkan bau busuk itu. Saya bagaikan mahu muntah tetapi, saya berusaha menahannya dengan menekan ibu jari ke pangkal dagu hingga terasa sakit.
“Dari mana bau busuk ini?” Alang Abdul Rauf menyoal kawan-kawannya. Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf meluruskan jari telunjuknya pada pada tanah kubur yang bertimbun.
“Dah jumpa tulang mayat?” tambah Alang Abdul Rauf.
Serentak kawan-kawannya gelengkan kepala. Datuk dan saya hanya berdiam diri saja.
“Kita tak boleh lambat, kita mesti selesaikan segera,” Alang Abdul Rauf bersuara dalam nada yang penuh kesal.
Kawan-kawannya berpandangan sama sendiri. Angin tetap bertiup. Suara lolong anjing kian menjadi-jadi. Suara jampuk dan burung hantu tetap rancak bersenandung riang. Saya menggaru batang leher dua tiga kali. Datuk memetik beberapa daun pokok yang berdekatan. Saya tidak tahu kenapa datuk memetik dedaun tersebut.
“Mari kita korek,” Alang Abdul Rauf ambil cangkul dari salah seorang kawannya.
“Kami bukan tak mahu korek, kami tak tahan dengan bau busuk,” kawan Alang Abdul Rauf menerangkan dengan penuh jujur.
Alang Abdul Rauf melepaskan ulu cangkul yang dipegangnya. Sepasang matanya merenung tajam pada datuk. Datuk segera menghampirinya dan menyerahkan daun pada Alang Abdul Rauf.
“Buat apa?” tanya Alang Abdul Rauf.
“Gulung dan sumbatkan dalam lubang hidung, tentukan nafas boleh keluar, kalau tidak awak mati lemas,” ujar datuk. Alang Abdul Rauf segera mematuhi cakap datuk.
“Memang, tak ada bau busuk,” katanya dengan suara yang meninggi.
Kawan-kawannya segera menerkam ke arah datuk. Mereka mengambil daun dari datuk. Digulung dan disumbat ke lubang hidung. Kemudian Alang Abdul Rauf terus menggali kubur di bawah sinar lampu gasolin.
Saya berdiri di tepi kubur, entah apa malangnya daun yang saya sumbat ke lubang hidung kerap kali jatuh. Bila daun itu jatuh. Bau busuk segera masuk ke lubang hidung.
Tetapi entah mengapa saya tidak merasa jemu atau penat mengambil daun yang jatuh dari lubang hidung untuk disumbatkan kembali. Kalau tadi datuk tidak mahu melibatkan diri dalam urusan menggali kubur, kali ini ia terus ambil cangkul dan mengkais-kais tanah sekitar kubur. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya menyambung kembali kerja yang terhenti.
Saya tetap berada di sisi datuk. Ke mana ia bergerak, di situlah saya berada. Saya tidak mahu bila ada kejadian buruk yang berlaku, saya terpisah dari datuk.
Saya kurang ilmu dan kurang pengalaman ditambah pula dengan usia yang masih hijau. Jadi saya memerlukan seseorang yang boleh jadi tempat saya berlindung. Buat saat ini, saya kira orang yang paling layak sekali ialah datuk.
Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf melompat dari dalam kubur ke tebing. Tanpa berkata sesuatu ia terus mengambil lampu gasolin lalu diletakkan betul-betul di tepi lubang kubur. Cahaya dari lampu gasolin itu menyinari seluruh perut kubur.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakar kucing hutan
“Mayatnya tak reput juga,” suara Alang Abdul Rauf lantang.
Saya terus menerpa ke tebing kubur. Rasa takut hilang diatasi oleh rasa ingin melihat dengan apa yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf. Datuk juga mencangkung di tepi kubur melihat mayat yang dikatakan tidak reput itu.
Alang Abdul Rauf bersama dua orang kawannya naik ke tebing kubur. Manakala kawan yang lain berada dalam kubur. Orang yang berada dalam kubur segera mengangkat mayat tersebut dengan hati-hati sekali.
“Kita sambut mayat tu baik-baik,” Alang Abdul Rauf keluarkan arahan.
Saya ditolak oleh datuk ke kanan. Saya tahu, datuk tidak mahu saya berdiri dekatnya. Boleh menghalang kerjanya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mahu menyambut mayat itu.
Saya merasa beruntung, bila saya berubah tempat ke kanan, saya dapat melihat gerak-geri mereka dengan jelas sekali. Setiap pergerakan mereka tidak terlepas dari pandangan saya. Mereka mengangkat mayat itu dengan berhati-hati sekali. Begitu juga dengan pihak yang menyambutnya tetap berhati-hati dan berjaga. Mereka bagaikan tidak mengizinkan mayat yang tidak reput itu terjatuh atau sebagainya.
Mayat itu selamat sampai di atas. Dietakkan di tanah yang bersih dengan beralaskan kain bekas tepung gandum yang sudah dicantumkan. Ketika melihat mayat yang terbujur di depan mata, entah macam mana daun yang saya sumbatkan ke dalam kedua-dua lubang hidung terjatuh.
Saya jadi resah dan terus menekup mulut menahan rasa mahu muntah. Sekarang sudah pasti, bau busuk yang meloyakan tekak itu datangnya dari mayat yang terbujur di depan saya. Di bawah sinar lampu gasolin yang memancar itu, saya lihat kuku dan jejari mayat itu membelit bahagian dadanya. Wajah mayat itu amat menyeramkan.
“Jangan tengok,” salah seorang kawan Alang Abdul Rauf berbisik pada saya,
“Belum pernah saya tengok mayat macam ini, badan saya jadi seram sejuk, kalau orang dewasa macam saya rasa satu macam, apa lagi kamu,” tambah orang itu.
Saya diam, cakapnya memang benar. Tetapi, keinginan saya yang tinggi tidak mengizinkan hati saya mematuhi cakapnya.
“Jangan tengok,” Tamar kata datuk.
“Tutup saja mayat itu dengan kain,” ujar Alang Abdul Rauf. Dan mayat yang menakutkan itu pun ditutup dengan kain.
Datuk duduk dan sandarkan badan pada sebatang pohon. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya terus mencari kayu untuk dijadikan pengusung untuk membawa mayat itu keluar dari kawasan perkuburan.
Tiba-tiba saya terpandangkan kain penutup mayat bergerak macam ditolak sesuatu dari dalam. Kemudian kain di hujung kaki mayat itu juga bergerak. Saya segera mendekati datuk. Saya lihat datuk tenang. Saya pandang ke arah mayat kembali. Kali ini saya lihat mayat itu terus duduk mencangkung dengan kain menutup tubuh. Saya jadi cemas.
“Mayat itu duduk tuk.”
“Kau jangan mengarut, orang dah mati macam mana boleh bangun atau bergerak.”
“Kalau tak percaya cuba tuk tengok.”
Datuk segera renung ke arah mayat tersebut. Datuk tersenyum lalu menepuk kepala saya beberapa kali. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala seraya berkata:
“Aku tak nampak mayat itu bangun, tetap baring maca tadi.”
“Saya nampak tuk.”
“Tengok mayat tu duduk mencangkung,” tambah saya sambil merenung ke arah mayat.
Dua tiga kali saya gosok kelopak maca. Mayat itu tetap mencangkung.
Aneh kenapa pandangan datuk dan saya berbeza pada mayat itu. Apakah mata saya sudah rosak? Fikir saya sambil menggosok-gosok mata.
“Kamu mengantuk,” tambah datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakar kucing hutan
“Tidak,” balas saya.
“Renung muka aku, Tamar.”
Saya terus renung muka datuk. Saya terdengar suara datuk membaca Bismillah dan dituruti dengan pembacaan ayat Alhamdulillah hingga akhir. Sebaik saja pembacaan itu tamat, telapak tangan datuk menyapu sepasang kelopak mata saya tiga kali berturut-turut.
Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Lampu gasolin yang tergantung saya lihat jadi dua, begitu juga dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Semuanya nampak kembar. Kelopak mata saya pejam celikkan berkali-kali.
“Kau nampak mayat tu duduk mencangkung lagi?”
Pertanyaan datuk itu tidak saya jawab. Saya arahkan sepasang mata pada mayat. Ternyata mayat yang saya lihat sebentar tadi duduk mencangkung tetap baring kaku. Muka datuk saya tatap sejenak.
“Pelik dah memang sah, saya nampak mayat tu duduk mencangkung macam mana pula sekarang dia baring,” kata saya dengan rasa takjub.
Datuk menggaru pangkal keningnya berkali-kali.
“Apa yang kamu lihat tadi bukannya mayat tetapi syaitan yang menyerupai mayat,” jelas datuk.
“Kalau begitu kita balik saja tuk, saya tak suka melihat benda-benda yang ganjil.”
“Sabar, kita tunggu sampai semua urusan mereka selesai.”
Saya menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata datuk itu terus saya patuhi. Kalau saya membantah, pasti datuk menyuruh saya pulang sendirian. Mana mungkin saya berani berjalan seorang diri di kawasan kubur yang telah membekalkan saya dengan berbagai-bagai peristiwa yang tidak menyenangkan.
Malam kian larut, rasa dingin kian hebat mencengkam kulit tubuh. Lolongan anjing sudah pun berhenti tetapi, suara jampuk dan burung hantu tetap kedengaran tetapi tidaklah serancak tadi.
Angin tidak lagi bertiup. Titisan embun tetap berlanjutan. Dedaun kering di permukaan tanah kubur melahirkan bunyi bila dirayapi oleh serangga liar yang berjalan malam.
Beberapa orang rakan Alang Abdul Rauf sandarkan badan ke pangkal pokok. Ada di antara mereka yang terlelap dan berdengkur. Suasana di tanah perkuburan lama itu terasa amat sepi sekali. Datuk dan Alang Abdul Rauf kelihatan tidak mengantuk.
CAKAP
Tiba-tiba suasana sepi dan hening di tanah perkuburan lama itu diganggu oleh bunyi ranting patah macam dipijak oleh manusia, serentak dengan itu juga terdengar bunyi suara orang bercakap yang sukar difahami maksudnya.
Ada cahaya menyuluh ke arah pepokok besar di kawasan perkuburan. Agak sukar menentukan dari arah mana cahaya itu datang. Saya lihat muka datuk dan datuk pandang muka Alang Abdul Rauf dengan rasa yang cemas.
Secara mendadak saja rakan-rakan Alang Abdul Rauf yang terlena di pangkal pokok segera bangun, mereka bagaikan digerakkan oleh sesuatu yang aneh. Mata mereka nampak merah dan muka membayangkan rasa takut.
“Kenapa?” tanya datuk.
“Saya mimpi mayat ini bangun dan mahu mencekik leher saya,” kata kawan Alang Abdul Rauf yang bertahi lalat di pipi kiri.
Bila ditanya pada kawan-kawannya yang lain, semuanya mengakui mengalami mimpi yang sama. Bagaimana perkara macam ini boleh terjadi? Lima orang mengalami mimpi yang sama, hati kecil saya bersuara.
Alang Abdul Rauf menyuruh rakan-rakannya membasuh muka dengan air yang dibawa (air itu diisi dalam botol besar, yang bertujuan untuk dibuat air minuman). Cakap Alang Abdul Rauf segera dipatuhi. Suara orang bercakap dan bunyi tapak kaki memijak reranting kering kian kuat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
“Kita berjaga-jaga, mungkin orang betul mungkin tidak,” datuk mengingatkan.
Ia terus bangun. Bersedia menghadapi seribu kemungkinan. Rasa bimbang itu berakhir dengan kemunculan dua anggota polis serta kawan Alang Abdul Rauf yang telah diperintahkan pergi ke balai polis. Saya ketawa sendirian, masalah yang menghantui diri saya dan orang-orang lain di tanah kubur sudah terjawab. Kedua anggota polis itu merungut kerana terhidu bau busuk. Setelah Alang Abdul Rauf mengadakan perbincangan dengan anggota polis kedua-dua mayat yang tidak reput itu terus diusung keluar dari kawasan tanah perkuburan.
“Pagi esok saya uruskan untuk ditanam di kawasan baru,” beritahu Alang Abdul Rauf pada ketua balai polis.
Tidak ada bantahan dari ketua balai tetapi, kedua-dua mayat itu terpaksa disimpan di hospital Batu Gajah sementara menanti hari siang. Semua yang terlibat dengan kerja-kerja menggali mayat di tanah perkuburan lama terus pulang ke rumah masing- masing.
Pagi itu, lebih kurang pukul lapan, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang menggali kubur malam tadi datang. Alang Abdul Rauf segera menyuruh pergi ke kawasan tanah perkuburan yang baru untuk menggali lubang bagi menanam mayat yang tidak reput yang ditemui malam tadi.
“Semuanya pergi dulu, aku ke balai dulu menyelesaikan semua urusan, tunggu di sana sampai mayat tiba, boleh jadi aku tumpang jeep polis yang bawa mayat ke situ,” terang Alang Abdul Rauf.
Kawan-kawannya mengangguk tanda setuju mematuhi cakapnya. Sebaik-baik saja kawan- kawan Alang Abdul Rauf pergi saya dan datuk serta Alang Abdul Rauf pun berangkat ke balai polis. Saya terkejut, bila melihat orang ramai berkumpul d depan balai. Semuanya mahu melihat mayat tidak reput yang baru saja dikeluarkan dari hospital. Kebanyakkannya meninjau dari jauh kerana tidak sanggup menghidu bau busuk.
“Mana lagi satu mayat?” soal Alang Abdul Rauf pada ketua balai yang berdiri tidak jauh dari jeep.
“Yang lagi satu sekejap lagi sampailah, kami pakai dua jeep,” jelas ketua balai.
Alang Abdul Rauf renung muka datuk. Saya beredar dari situ menuju ke tanah lapang. Hidung saya tidak tahan menghidu bau busuk dari mayat dalam jeep.
“Begini saja, boleh tak datuk sarjan hantar mayat ni ke masjid, di sana ada orang menanti untuk menguruskannya mayat ini mahu dimandikan dan dikafankan sebelum di tanam,” ujar Alang Abdul Rauf dengan wajah yang tenang.
“Kalau begitu, biar saya suruh drebar hantar mayat ke masjid.”
“Itulah yang baiknya, datuk sarjan.”
Waktu jeep itu mula bergerak, beberapa orang yang tidak menghiraukan bau busuk rapat ke jeep. Mereka menyelak kain penutup mayat, sebaik sahaja kain itu terbuka, muka mereka terus pucat tidak berdarah. Tanpa berkata sepatah pun mereka terus menjauhkkan diri dari jeep. Ada di antaranya yang muntah. Jeep yang membawa mayat tidak reput dan berbau busuk itu meninggalkan kawasan balai menuju ke masjid.
Datuk, Alang Abdul Rauf dan saya tidak ikut serta. Kami menanti mayat yang lagi satu. Orang ramai masih lagi menunggu di kawasan balai polis. Mereka bagaikan tahu ada mayat yang akan tiba. Sepuluh minit kemudian jeep yang membawa mayat kedua pun tiba. Sebaik saja jeep itu berhenti, orang ramai terus menghampirinya. Semuanya bersuara mengatakan mayat yang baru sampai itu berbau wangi.
Dalam keadaan yang agak kelam-kabut itu ada tangan yang membuka kain penutup mayat. Mana yang sempat melihat rupa mayat itu terus memberitahu kawan- kawannya yang lain tentang wajah mayat yang bersih, tenang dalam keadaan tersenyum. Cerita itu cukup cepat merebak. Orang kian ramai datang ke kawasan balai polis. Masing-masing mahu melihat rupa mayat yang tidak reput dan mengeluarkan bau wangi yang harum.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
Dalam keadaan yang tidak menentu itu, ketua balai menyuruh Alang Abdul Rauf, datuk dan saya masuk ke perut jeep. Perintahnya itu segera kami patuhi. Sebelum jeep bergerak datuk dan Alang Abdul Rauf bersalaman dengan ketua balai polis yang berbadan tegap, memiliki raut muka yang agak garang, berkulit hitam tetapi, setiap kali bercakap nada suaranya lembut dan bersopan sekali. Ketika jeep bergerak perlahan-lahan, keluar dari kawasan balai polis, orang ramai terus mengikutinya hingga sampai ke pintu pagar. Mereka bagaikan tidak puas menatap dan mencium bau wangi dari mayat yang tidak reput itu. Dalam keghairahan orang ramai yang mahu melihat mayat tidak reput, pemandu jeep terus menekan minyak. Dan jeep terus meluncur laju. Orang ramai yang berkerumun di tepi pagar dan terus digayut rasa kecewa dan hampa yang memanjang.
Sebelum masuk waktu Zuhur, urusan mengkebumikan dua mayat yang tidak reput itu pun selesai. Tetapi, kisahnya menjadi buah bibir orang-orang sekitar Batu Gajah. Dan ceritanya pula berbeza dengan cerita yang sebenar. Sudah ditokok tambah untuk menyedapkan sesiapa saja yang mendengarnya. Datuk sudah tahu cerita sebenarnya hanya tersenyum. Begitu juga dengan Alang Abdui Rauf. Seronoknya, ada di antara tukang-tukang cerita itu yang tidak tahu peristiwa tersebut telah dilalui oleh datuk dan Alang Abdul Rauf serta kawan- kawannya. Mereka pun bercerita di depan datuk dan Alang Abdul Rauf, kononnya, kedua-dua mayat yang tidak reput itu telah memberitahu pada orang yang menemui mereka (mayat), tentang harta karun yang tertanam di satu tempat yang disebut sebagai Cangkat. Cangkat yang dimaksudkan oleh mereka itu ialah sebuah kawasan tanah yang kedudukannya agak tinggi dengan keadaan tanah sekitarnya dan telah dibangunkan hospital, pejabat kerajaan, kem tentera serta kawasan perumahan.
Di kawasan kaki Cangkat itulah kononnya ada harta karun yang nilainya berjuta-juta ringgit. Akibat percayakan cakap- cakap yang tidak bertanggung jawab itu, beberapa orang telah masuk ke kawasan tersebut dan menggali tanah di kawasan kaki bukit itu, akibatnya mereka telah diberkas oleh polis kerana menceroboh tanah kerajaan yang sudah dipagar untuk dibangunkan beberapa projek yang berfaedah untuk orang ramai. Walaupun ada yang ditangkap dan dikenakan denda tetapi, masih terdapat juga orang yang berani menceroboh dan menggali tanah dikawasan tersebut. Mereka cukup yakin dan percaya dengan cerita yang sengaja di adakan-adakan oleh pihak yang suka menyebar khabar-khabar angin.
“Satu hari nanti mereka sedar, apa yang mereka dengar bukannya cerita yang betul,” kata datuk pada Alang Abdul Rauf yang kurang senang dengan cerita-cerita yang sampai ke telinganya.
“Cerita mayat wangi dan busuk ini, dah merebak sampai ke Pulau Pinang, entah siapa yang menyebarnya,” keluh Alang Abdul Rauf.
“Mulut manusia tak ada sesiapa yang boleh menahannya,” sanggah datuk.
Mereka ketawa sambil melihat matahari petang yang kian condong dari anjung rumah.
“Esok, aku balik Alang,” kata datuk.
Alang Abdul Rauf sambil berhenti menggulung rokok daun bersama tembakau jawa. Muka datuk direnungnya. Hati saya cukup gembira dengan keputusan yang datuk buat. Saya sudah bosan tinggal di rumah orang lama-lama.
“Tak apalah, kalau dah begitu hajat awak, Maghrib ni kita berjemaah di masjid Batu Gajah,” tutur Alang Abdul Rauf sambil meletakkan rokok nipah ke bibir.
“Kenapa tak jemaah di surau kampung ni, Alang?”
“Ada guru agama dari Selekoh, Bagan Datuk nak bersyarah hal agama, aku rasa elok kita pergi,” balas Alang Abdul Rauf.
“Elok juga tu, kalau begitu elok kita mandi dan bersiap tak lama lagi sampailah waktu Maghnib,” suara datuk riang.
Datuk menyuruh saya mandi dulu. Kemudian dia pula menyusul dan diikuti oleh Alang Abdul Rauf. Akhirnya kami pun menuju ke masjid Batu Gajah. Sebaik saja sampai di masjid salah seorang para jemaah memberitahu datuk bahawa guru agama itu memang dijemput khas dari Selekoh dan namanya memang terkenal di negeri Perak. Selepas menunaikan waktu Maghrib guru agama itupun menyampaikan ceramah agamanya hingga sampai waktu Isyak. Setelah menunaikan fardu Isyak para jemaah pun beransur pulang. Alang Abdul Rauf pun mengajak datuk pulang tetapi, permintaan Alang Abdul Rauf itu tidak dapat ditunaikan oleh datuk. Alang Abdul Rauf terkejut. Setelah diterangkan oleh datuk tujuan sebenarnya. Alang Abdul Rauf segera faham dan masuk ke masjid kembali. Mereka duduk dekat guru agama yang sedang bersiap-siap untuk pergi ke rumah imam masjid tempat Ia bermalam.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
“Ada apa hajat?” tanya guru agama itu.
“Saya cuma nak bertanya tentang hal-hal agama dan macam-macam hal lain yang ada hubungannya dengan makhluk Allah,” ujar datuk.
“Silakan, mana yang saya tahu, saya terangkan, mana yang saya tak tahu, saya tanya pada orang yang lebih tahu kemudian saya beritahu pada awak,” terang guru agama itu dengan jujur dan ikhlas.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Datuk pun memberikan syarat pada Alang Abdul Rauf untuk mengemukakan pertanyaan. Alang Abdul Rauf pun menerangkan pada guru agama tentang peristiwa mayat yang ditemuinya - satu berbau busuk dan satu berbau wangi tetapi kedua-dua mayat itu tidak reput. Guru agama itu mendengar dengan khusyuk keterangan dari Alang Abdul Rauf.
“Kata orang, mayat yang tak reput tu menunjukkan masa hidupnya si mati hafiz Quran,” cara mendadak saja Imam masjid yang duduk di sebelahnya mengeluarkan pendapat.
Guru agama terkenal itu diam. Ia merenung muka Alang Abdul Rauf dan datuk berkali-kali.
“Saya juga pernah dengar orang kata macam tu, seseorang yang boleh mengingati ayat Quran dari awal hingga akhir boleh membaca dengan betul masa hidupnya, bila mati mayatnya tak reput, itu kata orang-orang, entah benar entahkan tidak Allah saja yang menentukannya,” jelas guru agama terkenal dengan jujur.
Tiba-tiba saja imam masjid yang berada di sebelahnya tersenyum memandang Alang Abdul Rauf.
“Rauf,” katanya
“Kau nak tanya tentang mayat yang aku kafankan pagi tadi?”
Alang Abdul Rauf anggukkan kepala.
Imam masjid renung muka guru agama sambil berkata: “Begini tuan guru, biar saya bercerita tetapi ini cerita saja, entahkan betul entahkan tidak, saya tak berani nak kata.”
“Ceritakan, barangkali cerita itu ada faedahnya untuk orang yang hidup, boleh dijadikan panduan,” guru agama itu memberikan kerjasama pada imam masjid.
Imam masjid itu bercerita, mayat yang tidak reput dan berbau wangi itu adalah mayat seorang lelaki yang buta tetapi boleh membaca Quran dengan lancar, semasa hayatnya menjadi guru agama pada anak-anak raja di istana serta menjadi kadi dan imam masjid, ketika kawasan Batu Gajah ini mula diterokai. Orang itu berasal dari Kelantan.
“Mana tuk Imam tahu semuanya ni?” tanya guru agama.
“Arwah ayah saya yang menceritakan pada saya, ayah saya adalah anak muridnya, masa ayah saya hidup dulu, ayah saya selalu menziarahi kuburnya,” jelas imam itu.
“Lagi apa cerita ayah awak tentangnya” Soal datuk.
“Kata ayah saya, orang tu masa mudanya belajar agama di tanah suci,” jelas imam itu sambil merenung wajah guru agama yang duduk di sisinya.
Serentak Alang Abdul Rauf dan datuk anggukkan kepala.
“Macam mana dengan mayat yang lagi satu, berbau busuk dan mukanya menakutkan? Mayat siapa agaknya, Pak Imam tentu tahu ceritanya,” datuk mengajukan pertanyaan.
Saya lihat Pak Imam terdiam sejenak, macam memikirkan sesuatu.
“Saya tak tahu,” katanya pendek.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Rasa kecewa jelas terbayang di wajah mereka. Saya lihat guru agama yang duduk di depan kami, meraba-raba hujung serbannya berkali-kali. Sesekali ia kelihatan merenung ke ruang masjid yang luas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
“Kata orang,” guru agama itu mula bersuara.
Alang Abdul Rauf dan datuk memperkemaskan sila masing-masing. Pak Imam juga menumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama. Matanya tidak berkedip merenung ke arah bibir guru agama tersebut. “Mayat tak reput, berbau busuk dan muka pula berbulu in pernah saya dengar ceritanya, kata orang mayat yang macam itu, menandakan si mati itu masa hidupnya orang yang alim tahu hal-hal agama, hafaz Quran tetapi, banyak mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama,” sambung guru agama itu.
“Maksud tuan guru macam mana?” Tanya datuk.
“Begini, dia menjalankan semua yang disuruh agama tetapi, dia juga melakukan perkara yang ditegah, umpamanya dia jadi dukun atau bomoh dan bersahabat dengan syaitan.”
“Begitu,” sahut Alang Abdul Rauf.
“Ya, ada orang alim dan dihormati jadi tukang ramal memberi nombor ekor pada orang ramai dengan mengguna ayat- ayat Quran, jadi tukang tilik, ada juga yang memutuskan ubat dengan cara berjamu, pada hal dia tahu cara itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi dilakukannya juga,” terang guru agama itu dengan wajah yang tenang.
Kami semua termangu mendengar kata-katanya.
“Mayat tak reput, berbau busuk, badan dan muka berbulu pernah saya dengar ceritanya. Kata orang yang terdahulu dari kita, mayat-macam itu menandakan yang si mati masa hidupnya orang berilmu, hafaz Quran tapi, banyak mengamalkan perbuatan yang ditegah oleh agama,” tokok guru agama itu dengan nada suara yang bersahaja, saya menggaru pangkal dagu yang gatal secara tiba-tiba.
“Perbuatan yang macam mana itu tuk guru?”
Datuk mendesak.
“Begini,” ujar guru agama sambil membetulkan silanya supaya nampak kemas.
Terdengar suara cicak menjerit dari tulang bumbung masjid. Bunyi dedaun yang berlaga sesama sendiri jelas kedengaran akibat dirempuh angin malam.
“Umpamanya,” guru agama menyambung cerita,
“banyak mengamalkan ilmu dunia kebal dan senjata tajam, jadi dukun dan bomoh, berjamu pokok besar serta bersahabat dengan iblis.”
“Bukankah jadi dukun dan bomoh itu baik, menolong sesama manusia,” ungkah Alang Abdul Rauf.
Sepasang mata guru agama tertancap ke wajah Alang Abdul Rauf. Datuk nampak resah dan saya mula menggeliat.
“Tengok caranya, kalau kita mengamalkan petua yang tidak bertentangan dengan agama, tidak menjadi salah, kalau sudah sampai menurun panggil roh datuk nenek, berjamu itu dan ini, tentu tak elok, apa lagi minta tolong pada keramat itu dan ini, syirik jadinya,” cukup tenang guru agama itu memberikan penjelasan.
Senyum sentiasa bermain di bibirnya.
“Allah itu maha pemurah, yang baik kamu minta, yang baik diberinya, kalau yang jahat kamu minta yang jahat juga dibaginya tetapi, kita sebagai makhluk yang berakal tentu dapat memilih mana yang baik dan yang buruk,” makin ghairah guru agama itu meluahkan keterangan yang diketahuinya.
“Hum, begitu,” Alang Abdul Rauf bersuara sambil anggukkan kepala.
“Iblis, tidak pemah berhenti berusaha merosakkan anak Adam, janganlah terkejut, kaiau ada orang alim jadi tukang tilik, mencari nombor ekor dengan ayat Quran dan macam- macam lagi, pada hal mereka tahu apa yang mereka lakukan itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi, kenapa perkara itu dilakukan juga?”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
Guru agama itu mengemukakan pertanyaan, matanya merenung muka saya, muka datuk dan Alang Abdul Rauf seolah-olah mengharapkan jawapan dari pertanyaan yang diajukannya itu. Imam masjid duduk dekat guru agama tersebut tetap membatu seperti tadi. Sesekali kelihatan ia menguap panjang sambil memejam-celikkan matanya. Saya tahu imam masjid itu mula terasa mengantuk. Kerana tidak ada sesiapa pun yang mahu memberikan jawapan pada pertanyaannya itu, wajah guru agama itu nampak seakan-akan kecewa sedikit.
“Mereka dikuasai iblis,” mendadak saja imam masjid bersuara.
Saya lihat guru agama itu anggukkan kepala. Ia senyum lagi, sinar matanya yang bersinar tertumpu ke wajah saya.
“Orang yang tidak terdaya melawan nafsu, selalu jadi mainan iblis, seorang dukun atau bomoh biasanya mempunyai keinginan dan nafsu yang tinggi, ingin memperlihatkan kebolehan diri sendiri pada orang lain, bila sudah ada orang percaya, mulalah kenakan bayaran, pada mulanya murah kemudian mahal bila sampai saat begini, iblis mencelah lalu memperkudakan keinginan dan nafsunya, kalau dia sedar betapa lemah dirinya dan betapa besar pula kuasa Allah, dia tidak akan melakukan semuanya,” satu keterangan dari guru agama yang amat mengesankan bagi saya.
Apakah keberkesanan itu terpancar juga dalam hati datuk dan Alang Abdul Rauf. Hanya Allah saja yang tahu. Entah mengapa malam itu, guru agama itu kian rancak mahu memberi semacam kursus agama singkat. Guru agama itu mengingatkan kami supaya setiap kali bangun dari tidur mengucap dua kalimah syahadat sebelum melakukan sesuatu.
“Kamu tahu, bila kita terjaga dari tidur, iblis sudahpun mengikat diri kita dengan tiga rantai dan kita perlu memutuskan rantai itu terlebih dahulu, sebelum kita meneruskan kehidupan, bila tidak diputuskan rantai iblis terus mengikat diri kita sepanjang hari yang boleh mendorongkan kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah,” tercetus kata-kata dari guru agama itu.
Saya lihat imam masjid membeliakkan biji matanya. Datuk mengemaskan silanya, begitu juga dengan Alang Abdul Rauf.
“Bagaimana caranya kita nak memutuskan rantai tu, tuk guru,” saya bagaikan mendapat satu kekuatan untuk mengajukan pertanyaan padanya.
Datuk menjeling tajam pada saya tetapi Alang Abdul Rauf menepuk bahu saya sambil berbisik memuji keberanian saya itu.
“Rantai pertama diputuskan dengan mengucapkan dua kalimah syahadat, sebaik saja terjaga dari tidur. Rantai kedua diputuskan dengan mengambil air sembahyang dan rantai ketiga diputuskan dengan mendirikan solat Subuh,” ujar guru agama itu, wajahnya nampak berseri- seri tanda kepuasan.
Matanya masih merenung ke arah saya. Alang Abdul Rauf terus menegakkan ibu jari kelingkingnya, beri semangat pada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi pada guru agama tersebut. Saya gelengkan kepala sambil ekor mata melirik pada datuk yang tertunduk merenung lantai.
“Rantai tu ada di bahagian mana tubuh kita tuk guru?”
Alang Abdul Rauf mengemukakan pertanyaan. Guru agama itu meraba-raba hujung hidungnya dengan jari kelingking berkali-kali.
“Pertama, iblis tu merantai hati dan niat kita, kemudian merantai fikiran dan mata kita, bila iktikad hidup dipesongkan sejak subuh, cubalah kita bayangkan bagaimana mudahnya iblis menguasai diri kita sepanjang hari,” guru agama itu menarik nafas dalam-dalam.
Matanya merenung ke arah jam yang terlekap di tiang seri masjid. Dua tiga kali saya menggosok kelopak mata hingga berair sambil menguap. Saya mula terasa mengantuk. Pak Imam yang duduk berdekatan dengan guru agama kelihatan tersengguk- sengguk dua tiga kali. Alang Abdul Rauf tersenyum panjang melihat telatah Pak Imam tersebut. Tiba-tiba Pak Imam membeliakkan biji matanya sambil menggeliat dan terus berdiri.
“Dah pukul sebelas,” terpancut kata-kata dari mulut guru agama.
“Ya,” tingkah Abdul Rauf.
“Kalau begitu eloklah kita balik,” Pak Imam terus memotong.
Datuk dan saya berpandangan. Alang Abdul Rauf pula turut berdiri. Guru agama masih lagi duduk bersila dengan sepasang tangannya bergerak lembut menyusun beberapa buah kitab yang berserak di depannya. Semua kitab tersebut disumbatkannya ke dalam beg bimbit yang dibuat dari kulit kambing.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
“Dah mengantuk?”
Guru agama itu mengajukan pertanyaan pada Alang Abdul Rauf.
“Macam mana tak mengantuk embun jantan pun dah turun,” sambung guru agama itu lagi bila melihat kami tidak menjawap pertanyaannya.
Guru agama itu segera bangun dengan diikuti oleh datuk.
“Macam mana Pak Imam bolehkah saya balik?”
Guru agama itu tujukan pertanyaan untuk Pak Imam yang selalu saja menggosok kelopak matanya.
“Boleh, tak salah asalkan tuk guru mahu.”
“Kalau begitu, lain kali saja, kita bercerita panjang, saya tak pandai cerita tentang politik dunia dan dalam negeri, saya cuma tahu cerita tentang agama saja, semua perkara yang dah ceritakan itu saya ambil dari hadis yang sahih dan ada juga dari hadis yang dhaif".
Walaupun sudah mahu pulang tetapi, guru agama itu seperti mahu melanjutkan ceramah yang tidak termasuk dalam jadualnya. Ia berdiri sambil merenung wajah-wajah kami yang ada di depannya.
“Terima kasih tuk guru, saya cuma nak tanya sikit saja tadi tak sangka boleh berpanjangan sampai pukul sebelas malam,” Alang Abdul Rauf melahirkan rasa terkilannya.
“Tak apa, saya memang suka begitu, orang tanya sikit saya jawab panjang- panjang, sebabnya bila ada orang bertanya saya menjawab secara tak langsung mempertajamkan ingatan saya pada ilmu yang saya pelajari, kalau saya tak dapat jawab ertinya ilmu saya tak cukup lagi dan saya mesti belajar lagi”
Guru agama itu terus merendah diri. Pak Imam tetap tersengih. Datuk dan Alang Abdul Rauf tunduk merenung lantai. Kagum dengan sikap guru agama yang mengamalkan resmi padi, makin tunduk makin berisi. Saya terkejut bila saya melihat guru agama itu menghulurkan tangan pada datuk, pada Alang Abdul Rauf dan saya untuk bersalam. Memang, dia guru agama yang rendah diri dan hati, bisik hati saya kerana sebelum mi, saya pernah berhadapan dengan beberapa orang guru agama, mereka tidak akan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan orang lain, melainkan orang yang ingin bersalam itu menghulurkan tangan terlebih dahulu barulah mereka mahu bersalam.
“Kita jumpa lagi lain kali tuk guru, maaf lahir batin,” kata datuk. Guru agama tersenyum tangan datuk tetap digenggamnya erat- erat.
“Kalau diizinkan Allah dan umur kita panjang, kita tetap berjumpa, amalkan kata-kata saya yang baik dan buangkan mana yang difikirkan tidak baik.”
“Saya tak faham tuk guru.”
“Saya beritahu awak apa yang saya tahu, kemudian awak cari dan tambahlah ilmu, saya ni walaupun boleh memberi ceramah tetapi saya masih juga belajar, ilmu Allah tak ada sempadannya.”
“Saya faham tuk guru,” nada suara datuk merendah.
Guru agama tersenyum kemudian merenung muka Alang Abdul Rauf. Mereka berbalas senyum.
“Rajin-rajin sembahyang dan ikut perintah Allah,” secara mendadak saja guru agama itu menjatuhkan telapak tangan kanannya ke bahu kiri saya, dituruti dengan tepukan yang bertalu-talu penuh kemesraan.
Alang Abdul Rauf, datuk dan Pak Imam ketawa melihat keadaan saya yang tergamam.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 82 ~
Harta karun di kaki cangkat
“Anak awak ke?”
Guru agama tujukan pertanyaan pada datuk.
“Tidak,” jawab datuk.
“Cucu?” soal guru agama.
“Ya, cucu saya,” datuk anggukkan kepala.
Guru agama berhenti menepuk bahu saya. Ia terus mendekati datuk dan Pak Imam, kemudian ia mengajak kami keluar dari perut masjid.
“Dia budak yang cerdik, asuhlah dia dengan agama sebelum melepaskan dirinya ke mana-mana, bila dirinya sudah ada asas agama kita tidak bimbang, bila dia pergi ke mana, walaupun merantau ke kaki langit, dadanya sudah berisi dengan akidah islam,” demikian guru agama itu menyatakan pada datuk sebaik saja berada di luar masjid.
Saya faham, ungkapan yang diluahkannya itu adalah untuk diri saya. Datuk mendengar penuh teliti dengan nasihat yang diluahkan oleh guru agama itu. Angin yang bertiup membuat badan saya terasa dingin. Kepala saya dongakkan ke langit, melihat awan-gemawan dan bintang-bintang yang berserakkan. Dalam saat yang sama terdengar lolongan anjing sayup- sayup datangnya dari arah pekan Batu Gajah.
“Membentuk diri seseorang supaya teguh beramal dan mengingati Allah, mestilah bermula dari kecil, macam kata orang tua-tua membentuk buluh dari rebungnya,” lanjut guru agama itu dan semua yang mendengarnya anggukkan kepala, macam itik air bertemu kawan.
Lagi sekali datuk, Alang Abdul Rauf dan saya bersalaman dengan guru agama itu. Kami berpisah, guru agama dan Pak Imam menghala arah selatan, saya, Alang Abdul Rauf serta datuk menuju ke arah utara.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
Sepanjang jalan pulang, kami tidak banyak bercakap. Sekali-sekala datuk berdehem kecil dan Alang Abdul Rauf menguap. Lebih kurang dalam jarak lima batas kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah Alang Abdul Rauf saya terdengar sesuatu dari sebelah kanan saya. Saya segera menoleh, tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat dengan jelas dalam suasana gelap itu, kecuali gerakan dedaun serunai laut dan senduduk yang melintuk-lintuk ke kiri dan ke kanan diusik angin malam. Isteri Alang Abdul Rauf membuka pintu.
Cahaya dalam lampu gasolin yang tergantung di tengah rumah melimpah di halaman. Isteri Alang Abdul Rauf yang memakai baju kurung labuh berdiri di muka pintu. Mukanya, kelihatan resah macam menyembunyikan sebuah kebimbangan yang amat sangat dalam hatinya.
“Lambat balik,” katanya sambil merenung ke kiri dan ke kanan halaman rumah.
Alang Abdul Rauf terus menguap di kaki tangga dan buat tidak kisah dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh isterinya.
“Oi, saya tanya kenapa lambat balik,” kali ini tekanan suara isterinya meninggi.
Alang Abdul Rauf garu cuping telinga macam orang baru terbangun dari tidur. Perbuatannya itu membuat saya ketawa kecil. Akibatnya, telinga saya dijentik oleh datuk. Pedihnya bukan kepalang. Saya segera mengerti, apa yang saya lakukan itu sudah agak keterlaluan.
“Belajarlah menghormati perasaan orang lain,” bisik datuk.
“Saya tak sengaja tuk,”
“Ajar diri, supaya lepas dari perbuatan tidak sengaja,” lanjut datuk.
Sepasang matanya dijegilkan pada saya. Tidak berani saya menentangnya. Menentang mata datuk bererti membantah saranan yang diluahkannya. Boleh menjadikan datuk membebel sepanjang malam. Perkara macam itu tidak saya relakan berlaku.
“Ada guru agama, ceramahnya elok dan baik, kalau awak ikut sama tadi tentu beruntung,” Alang Abdul Rauf menjawab pertanyaan dari isterinya.
Jawapan itu memuaskan hati isterinya. Saya dan datuk buka kasut lalu memijak mata anak tangga seperti yang dilakukan oleh Alang Abdul Rauf. Kami duduk di ruang rumah dengan pintu yang masih terbuka.
“Makan, nasi dan lauk dah siap,” beritahu isteri Alang Abdul Rauf.
“Mari kita makan,” jemput Alang Abdul Rauf.
Ketika saya mahu bangun, mata saya memandang ke arah pintu yang masih terdedah.
“Tuk tengok tu,” suara saya separuh meninggi.
Serentak Alang Abdul Rauf serta isteri dan datuk memandang keluar. Muka mereka nampak berubah. Saya duduk kembali. Badan saya menggeletar dengan tiba dan bulu roma seluruh badan segera dirapatkannya.
“Masa awak ke masjid tadi, ada orang ketuk pintu dan panggil nama awak berkali-kali, bila saya buka pintu tak ada satu pun yang saya nampak, agaknya jembalang itulah yang mengetuknya,” dari dalam bilik isteri Alang Abdul Rauf terus bersuara.
Datuk renung muka Alang Abdul Rauf dan Alang Abdul Rauf yang mahu mendekati pintu segera dihalang. Disuruh berdiri sebelah kanannya.
“Jangan mengelabah, kita mesti tenang,” datuk bersuara.
“Inilah kali pertama saya berdepan dengan perkara ganjil macam ni, tolonglah saya,”
“Jangan minta tolong pada saya minta tolong dan perlindungan dari Allah.”
“Agaknya syaitan nak uji kita?”
“Boleh jadi juga,” datuk menjawab pendek.
Datuk maju setapak ke muka pintu. Alang Abdul Rauf juga melangkah setapak. Isteri Alang Abdul Rauf secara mengejut keluar dari bilik tidur dengan keris panjang terhunus di tangan. Rambutnya yang tadi bersanggul rapi mula mengerbang. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan.
“Mak cik nak ke mana?”
Saya bangun dan mendekatinya. Badan saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya terdorong ke dinding dan terus jatuh. Datuk tidak pun mahu menoleh ke arah saya, kecuali Alang Abdul Rauf yang cuba menerkam ke arah saya. Tetapi, tidak berhasil kerana tangan datuk memaut bahu kirinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
“Jangan pedulikan semuanya tu,” suara datuk parau tanpa memandang muka Alang Abdul Rauf.
Alang Abdul Rauf merenung ke halaman rumah kembali.
“Biar aku tikam benda celaka tu dengan keris pesaka ni,” jerit isteri Alang Abdul Rauf lalu merempuh datuk dan Alang Abdul Rauf yang berdiri di muka pintu.
Datuk berpusing ke kiri, bagaikan kilat tangannya menumbuk lengan kanan isteri Alang Abdul Rauf hingga keris jatuh terpacak di lantai.
Ulu keris yang berbentuk paruh burung helang itu bergerak-gerak. Isteri Alang Abdul Rauf jadi marah. Jeritnya makin keras lengan bajunya dilipat hingga melepasi bahagian siku. Ia tetap mahu terjun ke halaman rumah. Datuk dan Alang Abdul Rauf cuba menghalangnya. Dalam saat yang agak kelam- kabut itu, Alang Abdul Rauf cuba menghalangnya.
Dalam saat yang agak kelam-kabut itu, isteri Alang Abdul Rauf yang tahu langkah silat itu melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah kemaluan suaminya. Alang Abdul Rauf terbongkok- bongkok menahan kesakitan dan terus jatuh. Isteri Alang Abdul Rauf yang seperti kemasukan syaitan itu, mula berhadapan dengan datuk yang cuba menghalang usahanya.
Datuk kali ini, tidak mahu berlembut lagi. Kalau berlembut keadaan menjadi bertambah tidak tentu arah. Saya pula memberanikan diri merenung ke halaman rumah.
Ternyata saya tidak sanggup melihat ke arah tempat tersebut, siapa pun pasti menggeletar tubuhnya merenung sesuatu yang ganjil lebih- lebih lagi kalau benda yang dipandang itu tidak tentu bentuknya, boleh berubah dalam sekelip mata. Sebentar menjadi bentuk manusia yang diselimut dengan kain putih dari hujung kaki hingga ke kepala, sebentar jadi harimau atau gajah putih yang berbadan besar tertegun di halaman rumah.
“Tamar jangan tengok,” sergah datuk.
Saya akur dengan cakapnya itu. Datuk angkat tangan kiri lalu melepaskan satu pukulan yang agak kencang ke bahagian belikat isteri Alang Abdul Rauf, wanita itu tersandar pada dinding dan tidak bergerak.
“Rawat pak cik tu,” datuk keluar perintah, saya terus mengurut-ngurut belakang Alang Abdul Rauf hingga rasa sengal dan sakit di kemaluannya hilang.
Alang Abdul Rauf bangun dan cuba menyandarkan isterinya tetapi datuk melarangnya. Alang Abdul Rauf mencabut keris yang terpacak di lantai.
“Nak buat apa Alang?”
“Biar aku bunuh jambalang tu.”
“Jangan, bukan masanya.”
“Kita perlu bertindak.”
“Aku kata bukan masanya, faham tak?”
Suara datuk mula keras. Alang Abdul Rauf terus meletakkan keris atas lantai kembali. Saya diam tidak terkata. Tidak tahu, apa yang harus saya lakukan. Hati kecil saya terus berdoa, semoga tidak akan terjadi perbalahan antara datuk dengan Alang Abdul Rauf.
“Kau duduk bersila dekat Tamar, biar aku selesaikan kerja” itu perintah datuk dan Alang Abdul Rauf sedia mematuhinya
, ”apa yang aku buat jangan ditegur,” tambah datuk lagi.
Serentak saya dan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Kami (saya dan Alang Abdul Rauf) berpandangan sama sendiri. Saya tidak tahu apa yang dirasai oleh Alang Abdul Rauf tetapi, hati kecil saya tetap gementar dan cemas.
Datuk berdiri di muka pintu. Kedua belah kakinya dikangkangkannya sedikit. Sepasang tangannya diluruskan untuk beberapa minit saja. Kemudian, sepasang tangannya itu terus memeluk tubuhnya dengan kejap. Matanya, tidak merenung halaman rumah. Angin dinihari yang berputar di ruang pintu menggerakkan bahagian tepi baju yang dipakai oleh datuk. Isteri Alang Abdul Rauf masih belum sedarkan diri, kerana rasa dingin yang beransur kuat membuat saya menegakkan sepasang lutut dan terus memeluknya.
Datuk melangkah memijak mata tangga pertama hingga ke lima. Saya dan Alang Abdul Rauf merangkak perlahan- lahan ke muka pintu. Duduk di situ. Datuk memijak bumi dan terus mara ke arah lembaga berkain putih. Datuk berdiri berdepan dengan lembaga berkain putih dalam jarak yang cukup dekat. Andainya, datuk meluruskan tangannya ke depan sudah pasti ia boleh menyentuh tubuh lembaga itu. Tetapi, datuk tidak akan berbuat demikian. Ia tetap memeluk tubuhnya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
Saya terdengar suara datuk menyebut Bismillah.... dan disambut dengan beberapa ayat dan al quran. Selesai saja datuk menamatkan pembacaannya, saya terdengar deru angin yang amat kuat, lembaga berkain putih terus berpusing perlahan-lahan, kemudian bertukar dengan cepat dan ligat macam gasing dalam deru angin itu juga terdengar bunyi suara orang berkata-kata yang sukar difahami maknanya. Lembaga berkain putih itu jadi pipis dan memanjang tanpa berhenti berpusing.
Pakaian datuk nampak bergerak-gerak dengan hebatnya. Tetapi, tubuhnya tidak bergerak walau satu inci pun dan tempat ia berdiri. Saya tersentak bila terpandangkan lembaga yang berkain putih itu menjadi seketul, macam batang kayu sebesar pemeluk dan bergolek ke kiri dan kanan. Semuanya tidak dipedulikan oleh datuk. Ia tetap terpacak di situ, macam paku terlekat di pipi. Dari bentuk batang kayu lembaga berkain putih itu bertukar lagi. Tegak memanjang dan tidak berhenti berpusing sambil mengeluarkan suara yang menderu seperti angin.
Makin lama. lembaga itu makin tinggi melepasi bumbung rumah dan pepokok yang ada di sekitar halaman rumah. Bentuknya juga turut bertukar, menjadi nipis macam asap. Bahagian bawahnya mengecil dan tajam, macam kayu yang sudah dipertajamkan untuk dibuat turus pagar, bahagian yang tajam itu bagaikan tidak menyentuh bumi dan tetap berpusing dengan ligatnya.
Bahagian atasnya tetap dalam bentuk asal. Terus menjulang bagaikan mahu bercantum dengan dada langit. Cukup tinggi dan sayup mata memandangnya, tidak berhenti dan berpusing sambil mengeluarkan angin dan bunyi dengung yang amat, kuat, memekakkan anak telinga. Datuk menundukkan kepalanya merenung bumi, bunyi dengung itu beransur perlahan dan lemah. Muka saya dan Alang Abdul Rauf terasa panas macam terkena bahang api, muka kami berpeluh. Isteri Alang Abdul Rauf masih tidak bergerak.
Saya tidak tahu apakah rasa dan bahang panas itu dialami juga oleh datuk atau tidak. Datuk tetap tertegun di tengah halaman macam tadi, bagaikan tidak terasa apa-apa. Alang Abdul Rauf dan saya dikejutkan oleh satu ledakan yang amat kuat. Seluruh kawasan halaman terang-benderang. Lembaga berkain putih yang meninggi separas langit terus ghaib, saya lihat datuk terlentang di atas bumi untuk beberapa saat. Datuk bangun dan masuk ke rumah seluruh badannya berpeluh, macam orang jatuh dalam danau.
“Apa dia benda tu?” Tanya Alang Abdul Rauf.
“Syaitan, sengaja mengusik kita,” balas datuk selamba lalu duduk mencangkung di depan isteri Alang Abdul Rauf.
Datuk menyuruh Alang Abdul Rauf menyentap kaki isterinya dengan sekuat hati. Isteri Alang Abdul Rauf terjaga dan cuba menerpa ke arah keris yang terlentang di atas lantai. Alang Abdul Rauf menghalangnya. Isterinya termenung. Datuk hembus muka isteri Alang Abdul Rauf dua kali berturut-turut. Isteri Alang Abdul Rauf sandarkan badannya ke dinding. Ia kelihatan letih dan seperti orang hilang akal. Alang Abdul Rauf resah melihat keadaan isterinya itu.
“Biarkan di situ, kejap lagi dia pulih macam biasa,” ujar datuk.
“Kenapa dia jadi macam tu?”
Alang Abdul Rauf minta kepastian dari datuk.
Saya lihat datuk termenung sejenak,
“tiba- tiba saja bini saya jadi berani, saya tahu dia memang penakut,” sambung Alang Abdul Rauf dengan wajah yang agak gusar.
Datuk mengeluh kecil sambil matanya merayap ke tiap sudut dinding. Datuk menyuruh saya merapatkan daun pintu. Saya enggan melakukannya, bila didesak untuk kali yang kedua saya terpaksa mematuhi dengan perasaan yang kecut. Bila daun pintu selesai saya rapatkan, saya terus duduk kembali dekat Alang Abdul Rauf.
“Seseorang yang terlalu takut, biasanya tenggelam punca dan perhitungan, bila sampai pada tahap ini, dia akan menjadi berani membabi buta, masa itulah syaitan meresap ke tubuhnya, akibatnya apa yang kamu lihat sekarang,” terang datuk sambil merenung muka saya dan Alang Abdul Rauf berulang kali.
Bagaimana mahu mengatasinya, bila dah jadi macam tu?” soal Alang Abdul Rauf.
“Kita bacalah ayat-ayat suci yang boleh menghalau syaitan, minta bantuan dan pertolongan dari Allah, biasanya bila syaitan dah masuk, kita jadi lupa, sebelum terjadi kita mesti bersedia.”
“Oh, begitu,” Alang Abdul Rauf menarik nafas dalam dalam, kemudian anggukkan kepalanya dua tiga kali.
Isteri Alang bergerak ke kiri dan ke kanan, mukanya yang jadi pucat, kelihatan kemerah- merahan. Ia menegur suami dan datuk dengan penuh sopan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
“Mengucap dua kalimah syahadat,” kata-kala itu ditujukan oleh datuk untuk isteri Alang Abdul Rauf
. Isteri Alang Abdul Rauf terus mengucapkan berkali-kali. Datuk tersenyum panjang melihat isteri Alang Abdul Rauf bangun dan menuju ke dapur. Ia terus menjemput kami ke ruang dapur untuk makan malam.
“Sebelum tidur, suruh bini kamu sembahyang sunat dua rakaat, minta pada Allah supaya dijauhkan dari gangguan syaitan,” bisik datuk pada Alang Abdul Rauf, sebaik saja selesai makan malam.
Alang Abdul Rauf memberi persetujuan untuk mematuhi apa yang dikatakan oleh datuk. Saya dan datuk bersyukur pada Allah, sepanjang malam hingga fajar pagi, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi. Paling menggembirakan hati, seisi rumah dapat menunaikan sembahyang subuh bersama-sama datuk.
“Tengah hari sikit, kira- kira matahari di tengah pucuk kelapa dara, kami nak beransur ke tempat lain,” ujar datuk sambil menjamah kuih makanan pagi.
“Nak ke mana agaknya?”
“Nak balik ke tempat sendiri, dah lama benar tinggalkan orang rumah,” balas datuk lalu menghirup kopi.
Alang Abdu Rauf dan isterinya berbalas senyum. Saya tunduk merenung lantai tetapi, mulut tidak berhenti mengunyah lepat pisang berinti kelapa. Kalau datuk rindukan nenek, saya juga rindukannya. Dan saya memang berharap datuk tidak menukarkan rancangannya. Kalau boleh saya mahu datuk berangkat segera. Saya berhenti minum kopi dan berhenti menjamah lepat pisang lalu membasuh tangan.
Tepat jam sepuluh pagi, rumah Alang Abdul Rauf kami tinggalkan, sambil melangkah menuju ke pekan Batu Gajah, ada serangkai, cerita yang tersusun dalam tempurung kepala untuk saya persembahkan pada nenek. Saya dapat membayangkan bagaimana rupa wajah nenek bila mendengar cerita yang mengerikan. Nenek pasti mempamerkan gusi dan giginya bila mendengar cerita lucu. Semuanya mendorong dan membangkitkan keinginan saya untuk melihat wajah nenek. Peluh terus mercik di dahi. Celah ketiak dan pangkal paha mula terasa bergetah. Perjalanan kali ini amat menyeronokkan. Datuk cukup ramah dan rajin bercerita.
“Saya terasa pening tuk,” saya mengadu padanya.
“Hum, kamu ni, kena panas sikit terus sakit kepala, bukankah dah aku cakapkan dengan kamu amalkan petua yang aku berikan dulu.”
“Petua?”
Saya terkejut dan memperlahankan langkah.
“Ha, kamu dah lupa?”
Nada suara datuk keras. Saya terus mengkedutkan dahi. Mengingati apa yang pernah datuk tuturkan pada saya. Usaha saya tidak berhasil. Kalau saya nyatakan padanya. Pasti saya kena marah. Dari kena marah ada baiknya saya membisu dan terus melangkah dalam panas terik.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
“Kamu ingat petua tu, Tamar,” pertanyaan itu membuat hati saya cemas.
“Tak ingat, saya tak ingat tuk.”
“Jadi, apa yang kamu ingat?”
Sergah datuk. Langkahnya mati. Biji matanya terbeliak. Saya terus membatu. “Bukankah sudah aku katakan pada kamu, bila mandi, tidak kira pagi atau malam, mesti dimulakan dari kaki, ke badan dan akhirnya ke kepala.”
“Saya baru ingat tuk.”
“Lagi apa pesan dan petua dari aku.”
“Dalam sebulan mesti makan pucuk manggis untuk dijadikan ulam, kurangkan makan cili api.” “Ha tahu pun kamu. ada lagi petuanya, cuba kamu ingati Tamar.”
“Setiap kali bangun pagi, mesti duduk mencangkung memeluk lutut sambil merapatkan kepala ke kepala lutut kemudian tegakkan lima kali berturut-turut, hingga sendawa.”
“Hum tahu, amalkan. InsyaAllah kalau petua itu kamu amalkan setiap hari, kamu tak mudah kena sakit kepala atau pening.”
Saya anggukkan kepala sambil membuat wajah minta dikasihani. Datuk tersenyum melihat telatah saya yang melucukan itu. Dengan lembut sekali telapak tangannya menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Penuh kemanjaan dan kemesraan.
Saya tersengih panjang. Langkah selanjutnya, adalah langkah yang cukup rancak. Peluh yang mengarisi dahi terus saya kesat dengan telapak tangan. Saya dan datuk sudah pun melintasi kawasan tanah lombong yang ditinggalkan. Pepasir nampak berkilau-kilau ditikam matahari yang amat terik. Tetapi, angin yang amat ramah membekalkan rasa sejuk ke seluruh badan. Sesekali terlihat beberapa ekor burung gagak, mengkais-kais pepasir lombong. Secara diam-diam saya mengambil seketul batu lalu melemparkan ke arah beburung gagak itu.
Saya tersenyum melihat beburung gagak itu berterbang sambil berbunyi. Datuk berdehem dua tiga kali berturut- turut. Tandanya, datuk kurang senang dengan apa yang saya lakukan. Saya dan datuk sampai ke pekan Batu Gajah dan terus menuju ke stesen bas. Cara kebetulan bas yang dingini memang sudah ada menanti. Tanpa membuang masa kami terus naik bas berwarna biru gelap berjalur merah. Belum pun sempat tempat duduk jadi panas, bas pun bergerak. Sampai di pekan kecil Pusing, turun lagi menanti bas lain yang akan membawa kami ke kampung halaman yang sudah lama ditinggalkan. Kerana bas yang dikehendaki belum tiba datuk terus duduk di bangku kayu di kaki lima kedai. Saya minta kebenaran dari datuk untuk merayau sekitar pekan kecil itu. Permintaan saya diperkenankan. Saya amat gembira.
Saya terus menuju ke kedai yang menjual burung dan binatang. Saya terpikat dengan arnab, kucing, tupai dan musang. Dari situ saya masuk agak jauh ke perut kedai menuju ke tempat aneka jenis burung, sedang saya asyik memperhatikan beburung tersebut. Seorang lelaki berusia sekitar empat puluhan masuk ke kedai. Lelaki itu berbincang dengan penjual burung. Lama juga mereka berbincang, bila saya amati ternyata mereka berbincang tentang harga burung. Terkejut juga hati saya bila lelaki Melayu itu sanggup membeli seekor burung dengan harga yang amat tinggi. Burung yang mahu dibeli bukanlah jenis burung yang baik, malah tidak diminati oleh orang langsung.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
“Setuju,” tanya penjual burung.
“Saya setuju, kalau tujuh ratus pun saya sauggup bayar.”
“Orang Melayu tak suka burung tu, orang Melayu kata burung jenis ini, bawa sial.”
“Saya nak buat ubat, sudahlah jangan banyak cakap,” bentak orang yang mengingati burung tersebut.
Penjual burung terus pergi ke bahagian belakang kedai.”
“Ini dia burungnya, awak tengok,” penjual buning segera menayangkan seekor burung bubut (setengah orang menyebutnya sebagai burung but-but) yang berbulu agak kekuning- kuningan dan bermata merah.
Si pembeli membelek-belek burung itu seketika. Penjual burung masukkan burung itu ke dalam karung kertas. Setelah menyelesaikan pembayarannnya. Pembeli terus membawa burung itu keluar. Sebaik saja pembeli burung itu hilang di balik bangunan kedai, saya merasakan ada sesuatu yang aneh pada diri pembeli burung tersebut. Kenapa burung yang tidak berapa digemari oleh masyarakat Melayu dibeli dengan harga yang begitu mahal sekali. Tidak sukar mencarinya, asalkan sanggup keluar masuk belukar kecil atau di kawasan sawah terutama setelah musim menuai padi. Mungkin si pembeli mempunyal maksud yang tertentu? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
“Eh! kamu”
Satu tepukan singgah di bahu kiri. Wajah si penjual burung nampak terkejut. Saya toleh ke belakang. Bola mata saya mencakup wajah datuk dalam keadaan yang kurang tenang.
“Nak beli burung encik,” si penjual burung aju pertanyaan pada datuk.
Datuk gelengkan kepala. Telapak tangannya masih melekat di bahu saya.
“Kamu tahu, kerana kamu asyik tengok burung bas dah tinggalkan kita,” rungut datuk telapak tangannya tidak lagi berada di bahu saya.
Tidak ada sesuatu yang dapat saya katakan padanya. Datuk terus mengheret saya keluar dari kedai burung. Si penjual burung memandang perbualan datuk dengan mata yang terkebil-kebil dan terus tersenyum panjang. Saya disuruh duduk di bangku kayu dan tidak dibenarkan ke mana-mana. Saya menyesali diri sendiri kerana terlalu asyik memikirkan diri si pembeli burung yang aneh.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 83 ~
Bunuh Jembalang
“Tuk.”
“Hum,.. kenapa Tamar?”
“Orang beli burung but-but nak buat apa tuk?”
“Manalah aku tahu! kenapa kau tak tanya sendiri,” datuk seperti melepaskan geram pada saya.
Dan saya terima dengan kerdipan mata kecewa. Bunyi kenderaan yang lalu dijalan terus menyumbat lubang telinga. Bunyi kenderaan itu bagaikan menyorak diri saya sendiri.
“Setahu aku burung jenis itu diindungi oleh pihak Jabatan Mergastua, tak boleh ditangkap apa lagi dijual, burung jenis tu dah nak pupus,” kali ini nada suara datuk cukup lembut bersahaja, menghilangkan rasa sesal dalam diri saya.
“Burung jenis tu susah membelanya, biasanya orang tak suka membelanya, kata orang burung itu bawa padah buruk pada si pembelanya,” lanjut datuk.
Keinginan saya untuk mengetahui cerita selanjutnya kian menjadi- jadi dalam hati.
“Kalau dah bawa sial buat apa dibeli?” Saya menyoal.
Datuk menarik nafas panjang. Beberapa orang yang lalu di kaki lima kedai merenung ke arah datuk. Siapa pun akan merasa pelik melihat orang tua memakai baju butang lima yang dibuat dari kain keras, berseluar hitam dari kain kilat yang tidak sesuai dengan warna baju. Paling melucukan datuk memakai selipar kulit yang tapaknya senget sebelah.
“Biasanya, orang mencari burung tu untuk ubat patah, tapi burung yang ditangkap untuk dibuat ubat patah mestilah burung yang di hutan bukannya dibeli,” datuk seperti merungut.
“Kalau beli di kedai, tak boleh ke tuk?”
“Ada tujuan lain yang tak baik.”
“Saya tak faham cakap tuk.”
“Nak buat aniaya sesama manusia, ini kerja syaitan,” datuk mengeluh.
Saya angguk kepala. Bas yang dinanti pun tiba.
“Cepat Tamar.”
Datuk tarus menarik tangan saya. Kami berlari ke pintu bas. Berhenti sebentar di situ memberi laluan pada orang yang mahu turun. Bila orang habis turun, kami pun terus naik bas. Saya memilih bangku kosong di belakang pemandu. Tidak ada bantahan dari datuk. Tidak ada perkara yang kami cakapkan dalam perut bas. Saya lebih banyak tidur dan memandang keindahan kiri-kanan jalan. KISAH Dari pukul dua petang hingga sampai waktu maghrib, bermacam-macam kisah saya sampaikan pada nenek di anjung rumah berbumbung limas.
Kalau kisah lucu saya persembahkan, nenek ketawa terkekeh, kalau kisah seram yang dihidangkan wajah nenek nampak cemas. Masuk saja waktu maghrib, datuk terus mengajak saya ke surau, Sampai di surau saya disuruh melaungkan azan. Berkumandang suara saya ke seluruh kampung. Selesai menunaikan fardhu maghrib dan isyak, barulah saya dan datuk pulang ke rumah. Sambung kembali cerita dengan nenek.
|
|
|
|
|
|
|
|
Nk lg.. |
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 84 ~
Belah perut burung
Terasa lucu sekali, bila nenek yang sudah tua itu, masih bertanya pada saya, kalau datuk terpikat pada wanita lain atau bercerita mahu kahwin lain.
"Datuk tu baik, ke mana- mana dia tak pernah lupa dengan nenek, nama nenek selalu dipujinya di depan kawan-kawan," ujar saya pada nenek.
Nenek tersenyum. Pipinya yang sudah berkedut kelihatan berpelohong ke dalam dan bibirnya kelihatan seperti menajam, melindungi giginya yang sudah hampir separuh tercabut dari gusi.
"Kenapa nenek tanya macam tu?"
"Kamu tahu Tamar, orang lelaki kalau badannya sihat, sampai umur seratus tahun pun nafsu dan keinginannya tetap kuat," sanggah nenek.
Saya diam, tidak kuasa melawan cakapnya. Kalau dilawan mungkin boleh melukakan perasaannya.
Malam itu, hampir pukul dua belas baru saya masuk ke bilik tidur. dan datuk tetap dengan kegemarannya membaca Quran dan melakukan sembahyang sunat tengah malam sebelum masuk tidur. Kali ini, saya dengan datuk agak lama berada di kampung. Hampir enam bulan tidak ke mana-mana. Datuk tetap dengan kegemarannya memburu binatang pada sebelah petang.
Waktu pagi dihabiskan di kebun getahnya. Menanam anak- anak getah di celah pepohon getah yang sudah tua. Menurut datuk bila anak- anak getah itu membesar dan boleh ditoreh. Pokok- pokok getah yang tua dan tidak mengeluarkan susu akan ditebang. Dalam seminggu cuma dua pagi saja saya menolong datuk.
Saya ada tugas lain yang diberikan datuk, saya disuruh mengurus kebun pisang. Menjual buah pisang dan menjual getah dari para penoreh di kebunnya adalah urusan saya. Saya kira taraf saya dengan taraf seorang kerani. Walaupun saya tidak dibayar gaji tetap tetapi, pada setiap bulan saya menerima wang antara tiga puluh hingga empat puluh sebulan, bergantung pada hasil penjualan getah dan pisang. Dengan wang itu, saya boleh ke mana-mana dan berjaya membeli sebuah basikal lumba.
Saya berhasrat mahu menjadi seorang jaguh lumba basikal yang terkenal. Demi hasrat tersebut, pada setiap petang saya kayuh basikal keliling kampung, berlagak sebagai seorang juara. Kawan-kawan rapat dan karib terus mengkagumi dan memuji saya kerana berani kayuh basikal lumba dengan laju. Bila dipuji begitu, saya terasa yang diri saya ini memang benar-benar seorang juara. Anehnya, kehebatan dan kebolehan saya setakat keliling kampung saja. Tidak berani masuk gelanggang. Mimpi untuk jadi juara tetap datang dalam tidur saya.
Datuk kurang senang melihat saya keliling kampung dengan basikal lumba, dia bimbang kalau perbuatan saya itu boleh menimbulkan fitnah atau mendorong saya mengusik anak dara kampung. Bagi menghindar kejadian yang tidak diingini terjadi, datuk mencadangkan supaya saya mengikuti ilmu persilatan dengan seorang jaguh silat yang tinggal kira-kira sepuluh batu dari kampung kami. Apa yang datuk utarakan itu segera saya patuhi.
"Aku mahu kamu pergi ke tempat kamu belajar silat dengan basikal," kata datuk dengan senyum.
Terasa agak berat mahu kayuh basikal lumba ke tempat silat. Belajar silat kira-kira pukul sembilan malam dan tamat kira-kira pukul sebelas atau dua belas. Kemudian, kayuh basikal sepuluh batu pulang ke rumah. Bagaimana? Kalau sedang saya asyik kayuh basikal dalam gelap, tiba-tiba harimau muncul di tengah jalan. Apa yang mesti saya lakukan? Menentangnya atau lari saja. Macam- macam yang saya fikirkan bila datuk menyuruh saya kayuh basikal ke tempat belajar silat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 84 ~
Belah perut burung
"Sulit tuk," saya membantah.
"Apa yang sulitnya Tamar?" datuk beliakkan biji mata.
"Jumpa gajah atau harimau tengah malam, hancur tulang-tulang saya dipatah-patahkannya."
"Kerana itu aku suruh kamu belajar silat, biar berani dan boleh mempertahankan diri bila diserang binatang atau manusia."
"Cara datuk mengajar saya supaya jadi berani ganjil sekali," nada suara saya agak keras.
Datuk terus menggosok pangkal hidungnya berkali-kali sambil merenung basikal lumba yang saya sandarkan ke perdu pokok kelapa.
"Bagaimana? Kalau kau setuju aku belikan motosikal untuk kamu, asalkan kamu mahu belajar jadi manusia berani," satu peluang yang terbaik dari datuk, tidak wajar dilepaskan begitu saja.
"Saya setuju tuk."
"Ada syaratnya Tamar."
"Syarat?
Apa syaratnya tuk," saya terkejut.
"Mudah saja, kau belajar dulu enam bulan, lepas itu baru aku belikan motorsikal, itu pun bila kamu dah lulus ujian memandu." tersenyum simpul datuk memandang ke arah saya.
Mudah sungguh ia mengeluarkan syarat tetapi, bebannya terasa amat berat sekali untuk saya laksanakan. Setelah difikirkan dengan teliti dan masak-masak, saya terima dengan syarat yang diajukan pada saya. Senyum datuk bertambah lebar.
Petang itu juga, datuk membawa saya menemui guru silat. Melihat bentuk tubuhnya yang tegap, misai melintang dan penuh janggut serta jambang menghiasi wajah membuat saya gementar. Saya membayangkan kalau pembukanya yang datang gagal saya tepis, pasti saya jatuh terlentang ke bumi. Kalau hinggap dirusuk, sudah pasti tulang rusuk patah. tetapi, kerana mahukan motosikal. Semua rintangan sanggup saya hadapi. Tanpa diduga sedang asyik berborak di halaman rumah pendekar. Secara mengejut pendekar melepaskan satu penumbuk kencang ke arah saya, kerana pernah belajar beberapa langkah silat tumbukan itu berhasil saya tepiskan.
"Dah tahu rupanya," puji pendikar sambil memintal misai lebatnya.
Telapak tangannya yang lebar itu terus menepuk bahu saya berkali-kali. Datuk tersenyum, datuk mana yang tidak merasa bangga bila cucu kesayangan dipuji di depan mata. Saya bersyukur pada Allah swt kerana menghadiahkan kegembiraan padanya. Setelah berbincang lebih kurang setengah jam. Kami pun meninggalkan rumah pendekar tersebut.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|