CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 13-5-2013 12:36 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Atas perintah datuk, tingkap yang terdedah saya rapatkan. Guru silat, saya lihat terus menggeliat. Dedaun dan pepasir yang bertaburan atas lantai segera disapunya. Datuk nampak tenang tetapi, dahinya berkerut. Bila rumah sudah bersih, datuk segera ambil tiga biji bantal. Saya hanya melihat datuk menyusun tiga bantal itu selari di ruang rumah dan letakkan bersetentangan dengan tulang bumbung. Saya tidak tahu kenapa datuk berbuat demikian?

Kerja datuk itu, macam kerja orang bodoh.

Kebuntuan dalam kepala saya segera berakhir, bila guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk, “Kenapa bantal diletakkan macam tu?”

“Petua orang tua-tua.”

“Petua apa?”

“Petua menghalang syaitan dari menumpang tidur.”

“Banyak sangat guna petua. Kenapa tak gunakan ayat- ayat Quran untuk halau syaitan.”

“Kita berusaha mencari sesuatu yang baik. Kalau apa yang kita buat tidak bercanggah dengan hukum agama, apa salahnya kita gunakan. Kita gunakan kedua-duanya untuk kebaikan, ini lebih baik dan berkesan.”

“Betul juga cakap awak tu, kita mencari sesuatu yang baik,” suara guru silat lembut.

Datuk anggukkan kepala beberapa kali. Saya segera menggaru pipi kanan.

“Sekarang, awak dah tahu rahsianya,” datuk terus menepuk belakang guru silat beberapa kali sambil ketawa.
Saya cuma tersenyum melihat keramahan dan kemesraan yang terjalin.

“Saya dah Faham, saya mahu belajar dari awak lagi,” sahut guru silat bila ketawa datuk berhenti.

“Boleh, asalkan awak sabar.”

“Lebih dari sabar mahu saya buat, apa yang awak cakap semuanya nak saya patuhi.”

“Ini sudah cukup baik,” senyum datuk kian melebar.

“Saya tetap baik untuk selama-lamanya,” tingkah guru silat.

Lagi sekali datuk dan guru silat berbalas tampar- menampar bahu. Mereka ketawa dan melangkah serentak menuju ke ambang pintu. Wajah keduAnya, kelihatan tenang dan penuh keyakinan. Saya mengikuti dari belakang. Tugas merapatkan daun pintu dan menguncikannya adalah tanggungjawab saya. Senang rasa hati saya bila tugas itu dapat saya laksanakan dengan sempurna.

“Berhati-hati sebelum memulakan langkah,” ujar datuk sebaik saja sampai di anak tangga terakhir.

Sepasang matanya menatap wajah saya dan guru silat, penuh kelembutan. Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat mempamerkan gigi dan gusi pada datuk.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Mulakan melangkah dengan kaki kanan sambil membaca Bismillah, serahkan semuanya pada Allah.”

“Saya faham tuk.”

“Kamu ni, bila aku ingatkan, jawabnya faham.

Bila disuruh buat kamu selalu terlupa.”

Saya segera menundukkan muka. Sindiran datuk cukup tajam tetapi saya tidak terdaya untuk menafikan kebenaran dari kata-katanya itu.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-5-2013 12:39 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Guru silat merenung ke arah saya sambil melemparkan senyum. Saya bertambah malu. Kulit muka terasa tebal.

“Orang muda memang selalu lupa,” secara mendadak guru silat bersuara.

Mungkin guru silat mahu memberikan kekuatan semangat pada saya.

“Perangai buruk macam tu, mesti dibuang,” balas datuk.

“Betul juga cakap awak,” sahut guru silat, lalu menghulurkan kaki kanannya memijak tanah.

Kami pun meninggalkan kawasan rumah pusakan peninggalan orang tua guru silat. Perjalanan menuju ke rumah si sakit di malam yang kian larut itu, membekalkan rasa bimbang dan cemas dalam hati saya. Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa, kami tidak menghadapi sebarang masalah.

Tidak ada perkara yang tak diingini terjadi. Cuma sesekali, kami diganggu oleh bunyi suara harimau di kaki langit. Suara ngauman harimau itu tidak mendatangkan rasa takut atau cemas. Datuk sudah pun memberikan kata- kata semangat. Kata datuk, harimau yang mengaum tidak akan menangkap manusia. Harimau juga tidak akan menyerang manusia, bila manusia berjalan tiga sederet waktu malam. Sebagai manusia, saya tidak dapat menerima bulat-bulat cerita yang datuk tuturkan. Hati kecil saya terus berdetik cemas, bila terdengar bunyi dahan yang bergeselan sama sendiri.

Suara dari geselan itu, adakalanya memanjang dan adakalanya pula pendek macam orang mengeluh. Bunyi geselan dahan itu terus ditingkah oleh suara monyet malam yang dikejutkan oleh sesuatu. Suasana malam terasa amat menyeramkan. Kalau berjalan seorang dIri, sudah pasti saya tidak sanggup melakukannya. Saya tidak tahu, kenapa datuk kali ini tidak mahu bercakap banyak. Kalau guru silat bertanya sesuatu, datuk seperti keberatan untuk menjawabnya. Datuk lebih kerap beristighfar, bila kaki atau tubuhnya terlanggar sesuatu. Perjalan di larut malam itu berakhir di rumah si sakit.

Beberapa kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah si sakit, datuk menyuruh kami membaca surah Al-Ikhlas tiga kali berturut-turut. Perintah itu kami patuhi.

“Biar aku yang ketuk pintu,” datuk renung muka guru silat.

“Silakan,” sahut guru silat.

Datuk terus ketuk pintu rumah si sakit, tiga kali berturut-turut. Isteri si sakit buka pintu dan mempersilakan kami masuk. Sebaik saja kami duduk berdepan dengan si sakit yang kelihatan tenang dan aman itu, secara tidak diduga bomoh tua pun sampai. Tanpa memberi salam, ia terus berdiri di ambang pintu. Wajahnya kelihatan masam dan bengis. Saya menarik nafas sambil menjeling ke arahnya. Tidak ada kata-kata yang terungkap dari mulut bomoh tua. Hati saya menjadi cemas dan bimbang. Saya berdoa semoga tidak akan tercetus sebarang pertengkaran atau perkelahian.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 12:40 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

“Apa khabar, sila duduk,” suara datuk lembut.

“Tak payah,” jawab bomoh tua lalu memusingkan badan ke kanan.

Isteri si sakit merenung muka guru silat.

“Maafkan kami, kalau kami tersilap,” guru silat bersuara.

“Saya juga macam tu,” sahut isteri si sakit.

“Tak payah,” cukup keras suara bomoh tua.

Datuk segera memusingkan tubuhnya, memberikan belakang pada kami yang berada dalam rumah. Datuk tunduk merenung lantai, terkejut dengan sikap bomoh tua. Perlahan-lahan bomoh tua melangkah, menuju ke muka pintu. Daun pintu sebelah kanannya ditumbuk dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menimbulkan rasa marah pada guru silat.

“Biadap, kurang ajar,” kutuk guru silat dan bersedia untuk menerkam ke arah bomoh tua yang sedang menekan kiri kanan belikatnya dengan sepasang tangan.

“Biar saya ajar dia,” guru silat minta izin dari datuk.

“Jangan, musuh jangan dicari.”

“Saya tahu tapi, si tua kutuk ni dah melampau.”

“Sabar dulu.”

“Hati saya tak boleh sabar lagi.”

“Kau mengucap dan kemudian bacalah Surah Al-Ikhlas, semoga Allah akan memberi kesabaran pada kamu.”

Guru silat menarik nafas panjang. Saya lihat mulutnya berkumat kamit dan saya yakin, guru silat tersebut mematuhi apa yang diperintah oleh datuk. Semua biji mata yang berada dalam rumah tertumpu ke arah bomoh tua yang sedang memijak anak tangga. Dalam beberapa saat saja bomoh tua hilang ditelan kegelapan malam. Semua yang ada dalam rumah berpandangan sama sendiri. Masing-masing mahu mendengar apa yang mahu dikatakan oleh datuk. Dalam keadaan yang agak kurang tenteram itu, saya melihat satu bungkusan melayang dari luar masuk ke rumah. Bungkusan itu tersadai atas lantai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 12:43 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

“Siapa pula yang baling kita dengan daun keladi,” isteri si sakit bersuara.

Wajahnya nampak cemas dan bersedia untuk mengambil bungkusan dari daun keladi untuk dicampak kembali keluar rumah.

“Jangan sentuh,” pekik datuk.

“Kenapa?”

Sanggah guru silat.

“Tunggu dulu,” jawab datuk tenang.

Tiba-tiba kami terhidu bau najis manusia. Saya yakin bau itu datangnya dari bungkusan daun keladi yang ada di depan kami.

“Awak ada tercium bau busuk?” soal datuk.

“Ya,” sahut isteri si sakit.

“Bau najis tu datang dari bungkusan daun keladi, kalau ada sesiapa yang sentuh daun keladi itu, mungkin seluruh badannya berbau busuk sampai mati,” datuk memberi penjelasan.

Saya kedutkan dahi, tidak sanggup rasanya menghadapi dugaan seperti ini. Kenapa datuk harus melalui pekerjaan yang sukat dan menyulitkan ini? Timbul pertanyaan dalam kepala saya. Semuanya ini berpunca dari bomoh tua sial, kutuk batin saya sambil menggigit bibir.

“Ambilkan saya segenggam beras dan segelas air,” datuk renung muka isteri si sakit.

Tanpa bersuara, isteri si sakit terus bangun ambil segenggam beras dan secawan air lalu menyerahkan pada datuk. Datuk rendamkan beras dalam cawan beberapa minit sambil telapak tangannya menutup permukaan cawan. Semua orang yang berada dalam rumah menyaksikan asap nipis keluar dari celah jejari datuk yang menutup permukaan cawan. Wajah datuk nampak berpeluh. Sepasang biji matanya tertumpu ke arah bungkusan daun keladi.

“Curahkan air ini ke daun keladi,” kata datuk.

“Sekarang? Tanya saya ragu- ragu.

Datuk anggukkan kepala. Saya renung ke arah guru silat.

“Cepat, Tamar.”

“Biar saya yang buat,” guru silat mohon kebenaran.

“Siapa pun boleh tapi, mesti cepat jangan sampai asap yang kamu nampak hilang,” suara datuk keras.

Guru silat segera menyentuh badan cawan. Air dan beras yang ada dalam cawan segera dicurahkan ke arah bungkusan daun keladi. Sebaik saja air dan beras terkena daun keladi, bau busuk segera berakhir. Semua wajah dalam rumah tidak berkerut lagi. Malah si sakit yang tadi menutup hidungnya dengan bantal, segera melemparkan bantal ke tepi dinding.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 12:47 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

“Saya buang daun tu boleh tak?” tanya isteri si sakit.

“Biar saya yang buang,” datuk segera bangun dan menjamah daun keladi.

Sebenarnya daun keladi ni tak isi apa-apa,” kata datuk lagi sambil membuka bungkusan daun keladi di depan kami.

“Jadi bau busuk datang dari mana?” soal si sakit.

“Daun keladi ini dijadikan syarat untuk mengirim bau najis. Biasanya hanya secalit najis saja yang dikenakan pada tulang daun keladi. Kemudian daun keladi tu dikirimkan melalui angin. Tujuannya untuk memalukan orang tertentu.”

“Siapa agaknya yang membuat kerja ni?” tanya isteri si sakit.
Datuk gelengkan kepala. Saya tarik nafas dalam-dalam.
“Apa ilmu yang digunakan orang tu?”
Guru silat pula mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya lihat datuk termenung sejenak, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Saya kurang arif tentang hal ini,” balas datuk.
“Sikit pun awak tak tahu?” guru silat minta kepastian.

“Saya tak tahu. Biasanya orang yang menggunakan najis manusia untuk sesuatu tujuan diamalkan oleh orang yang menuntut ilmu pukau kucing.”

“Pukau kucing tu macam mana,” guru silat terus mendesak.

“Begini, orang yang gagal memukau penghuni rumah atau gagal mencuri sesuatu dari rumah yang dihajati akan meninggalkan najis sendiri di mana-mana bahagian rumah,” datuk memberikan penjelasan.

Guru silat anggukkan kepala dua tiga kali. Dan datuk melanjutkan kisahnya. Menurut datuk, kawasan rumah yang jadi sasaran ialah di bahagian bucu rumah yang menghala ke arah matahari jatuh. Tujuan berbuat demikian untuk memalukan penghuni rumah yang terlibat. Sebab disebut pukau kucing kerana ilmu itu tidak akan menjadi pada penghuni rumah yang membela kucing terutama kucing jantan yang berjaga sepanjang hari. Tetapi, bila kucing itu tidur di luar rumah ilmu itu akan menjadi.

“Sekarang kita dah faham, agaknya orang yang membaling daun keladi tadi ada ilmu yang awak katakan itu,” isteri si sakit bersuara tenang.

Datuk tersenyum. Dua tiga kali ia menelan air liur. Badan saya mula terasa sejuk. Kokok ayam mula terdengar sayup-sayup. Embun jantan mula berjatuhan dari langit.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 12:59 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

“Saya tak berani nak cakap. Mungkin cakap awak tu benar, mungkin tidak. Maklumlah ilmu jahat ni ada bermacam-macam,” suara datuk merendah sambil memeluk tubuh menahan rasa dingin dari menguasai tubuhnya.

Guru silat terus bangun merapatkan daun pintu yang terdedah. MENGUAP Suara cengkerik kian hebat di luar, ditingkah dengan desiran angin malam yang bertiup lembut. Kokok ayam terus bersahut-sahutan. Guru silat sudah dua tiga kali menguap. Kelopak mata saya terasa pedih dan berair.

Rasa mengantuk bertambah berat. Tetapi, setiap kali saya cuba merapatkan kelopak mata untuk tidur sambil duduk, saya terdengar suara si sakit seperti orang melepaskan nafas kepenatan yang amat sangat. Rupanya suara si sakit itu dapat juga didengar oleh datuk dan guru silat. Serentak mereka memandang ke arah si sakit. Guru silat segera menggerakkan sepasang bulu keningnya. Ternyata ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

“Ada apa-apa masalah, agaknya kamu susah nak bernafas?” tanpa bertangguh- tangguh guru silat mengajukan pertanyaan.

Si sakit tersenyum sambil bersuara lembut.

“Tak ada apa-apa.”

“Hum,” guru silat seperti mengeluh sambil merenung ke arah saya dan datuk.

Isteri si sakit segera bangun menuju ke daput. Gegendang telinga saya menangkap bunyi sudu berlaga dengan cawan. Saya senyum sendirian. Isteri si sakit sedang membancuh kopi. Sebentar lagi tekak kami pasti basah dan rasa mengantuk pasti tidak terasa lagi. Ramalan saya memang tepat, isteri si sakit meletakkan kopi dan kuih di depan kami.

“Minumlah buat hilang mengantuk,” katanya penuh sopan.

“Terima kasih,” ucap saya setelah isteri si sakit meletakkan cawan kopi di depan saya.

“Agaknya, ada rancangan malam ni?”

Guru silat renung muka datuk.

“Tengok keadaan,” pendek saja jawapan dari datuk.

“Dah jauh malam ni,” si sakit seperti merungut.

“Ya, dah dekat pukul satu,” sahut saya.

“Patutlah terasa sejuk,” tingkah guru silat.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 13-5-2013 01:00 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Di luar desiran angin malam yang melanggar dedaun melahirkan suara dalam nada yang gemersik. Suara burung hantu dan kokok ayam bersama bunyi cengkerik berpadu menghiasi suasana malam yang kian tua. Bagi mengurankan rasa sejuk, saya terus menghirup air kopi dan menjamah goreng keledek yang masih panas.

“Kadang-kadang saya jadi bingung dengna perangai bomoh tua tu,” si sakit membuka rahsia.

Badannya kelihatan berpeluh. Buncit di perutnya kelihatan menurun dan urat-urat hijau yang timbul di permukaan perutnya turut berkurangan.

“Apa benda yang kau bingungkan?” celah datuk.

“Bomoh tua tu suka marah- marah tak tentu fasal. Baik pagi, petang dan malam, bila datang terus marah-marah,” si sakit membuka rahsia.

“Pelik juga memikirkan perangainya,” guru silat bagaikan mengeluh.

“Siang tadi, ada dia datang?” datuk mencungkil rahsia.

“Ada, petang tadi dia datang dan marahkan kami, ikut sedap mulutnya. Pedih hati kami yang mendengarnya,” rahsia yang dicari sudah pun terbongkar.

Isteri si sakit terus anggukkan kepala, mengiakan apa yang diucapkan oleh suaminya. Air kopi terus saya hirup. Guru silat perlahan-lahan meraba pangkal hidungnya. Datuk masih merenung ke arah si sakit yang tidak dapat bergerak dengan bebas. Bunyi dedaun yang berlaga sama sendiri, akibat dirempuh angin malam jelas kedengaran.

“Selain dari memaki hamun kamu berdua, apa lagi yang dikatanya pada kamu?”

Datuk memecahkan suasana yang agak sepi menguasai ruang rumah. Di wajah isteri si sakit kelihatan keresahan bagaikan mahu merahsiakan sesuatu dari datuk.

“Apa katanya pada kamu?” ulang datuk.

“Dia dah memutuskan, tidak mahu mengubati saya. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada saya, dia tidak mahu bertanggungjawab,” kelopak mata si sakit terkebil-kebil.

“Semua alat-alat dan ramuan ubatnya habis dibawanya balik,” lanjut isteri si sakit dengan wajah hampa yang amat sangat.

“Segala mangkuk putih, gelas dan cawan digunakan habis dihempaskannya di tangga,” si sakit pula memberi penjelasan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 01:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Datuk menarik nafas panjang.

“Bila bomoh dah buat begitu, saya memang tidak yakin yang saya boleh baik dan hidup. Saya hanya menanti saat saja untuk mati,” si sakit melahirkan perasaan kecewa dan putus asa.

Sinar matanya yang tadi kelihatan bercahaya, kini menjadi pudar, begitu juga dengan isterinya. Kedukaan dan kehampaan yang merajai sepasang hati suami isteri tergambar juga di wajah guru silat.

“Apa si sakit tak ada harapan nak hidup?”

Guru silat menentang wajah datuk. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kanan. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Aneh dan pelik perangainya,” datuk seperti mengeluh.

“Apa yang pelik dan apa yang aneh?” Soal guru silat.

Datuk gelengkan kepala beberapa kali kemudian terus termenung panjang. Macam-macam perkara yang buruk datang dalam tempurung kepala saya. Saya bayangkan kepayahan dan kesukaran yang bakal kami alami. Di samping itu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mengembalikan keyakinan diri sendiri pada si sakit yang sudah putuh asa.

“Bila bomoh tu dah lepas tangan, tak mahu ubat suami saya, apa suami saya boleh hidup?”

Pertanyaan yang tulus ikhlas dari isteri si sakit. Datuk jegilkan biji mata lalu menatap wajah perempuan yang dalam keresahan itu.

“Kamu tahu nyawa manusia milik siapa?” Tanya datuk pada perempuan tersebut.

“Saya tahu, itu saya tahu.”

“Apa yang kamu tahu, cakap sekarang.”

“Nyawa atau roh manusia milik Allah.”

“Kalau dah tahu begitu, kenapa kamu risau.”

“Tapi dia mengubati suami saya.”

“Hiss kamu,” datuk terus genggam penumbuk.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-5-2013 01:03 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Wajahnya jadi merah. Saya dan guru silat berpandangan. Datuk terus bangun lalu membuka jendela. Badan saya terasa sejuk. Dari jendela yang terdedah, saya melihat langit yang digantungi awan nipis yang lembut. Bintang kelihatan bertaburan di mana-mana. Suara pungguk kian jelas kedengaran. Datuk merapatkan daun tingkap rapat-rapat. Ia duduk di tempat asalnya. Datuk memperkemaskan silanya. Dengan tenang ia menghirup air kopi.

Tiba-tiba tanpa diduga seekor cicak jatuh di depannya. Dan cicak itu tidak berusaha untuk melarikan diri. Ekornya terjungkit-jungkit beberapa kali ke arah datuk. Datuk tidak memperhiraukannya tetapi, jari telunjuk datuk memetik lantai tiga kali berturut-turut. Anehnya, cicak itu terus berbunyi dan akhirnya hilang.

“Kita minta sesuatu pada Allah, kita tidak mintak bantuan dari bomoh dan dukun atau patung, kita tidak minta sesuatu dari manusia. Allah berkuasa atas segala- galanya, kerana digerakkan oleh Allah saya datang ke sini,” datuk bagaikan memulakan satu ceramah pendek.

Saya mula resah, sesungguhnya saya tidak suka datuk berbuat demikian. Saya sedar bila dia mula bercakap sesuatu yang ada hubungan dengan hukum agama pasti memakan masa yang agak panjang dan membosankan.

“Awak faham dengan apa yang saya cakapkan tadi?”

Cara mengejut datuk menyoal isteri si sakit. Isteri si sakit anggukkan kepala.

“Kalau dah faham apa yang awak risaukan.”

“Bukan risau cuma saya bimbang.”

“Jangan risau dan bimbang, yakinlah pada kuasa Allah dan diri sendiri. Insya-Allah kita selamat,” datuk memberikan secebis nasihat.

Isteri si sakit tunduk merenung lantai sambil mengerutkan dahi luasnya. Semuanya tertunduk diam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh datuk. Mungkin pada pendapat dan fikiran mereka kata-kata datuk itu memang benar dan tidak diragui. Datuk bangun kembali lalu menuju ke arah tingkap yang terdedah dan terus berdiri di situ.

“Pedulikan bomoh tu,” kata datuk.

“Tapi, bagaimana dengan saya, tak ada sesiapa yang mahu mengubati,” si sakit seperti merayu.

“Bukankah sudah saya minta pertolongan pada Allah,” datuk terus sergah si sakit.

Lagi sekali mata si sakit terbeliak. Si sakit terus menarik nafas dalam-dalam dan akhirnya termenung panjang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-5-2013 01:04 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 90 ~
Ilmu pukau kucing

Datuk yang berdiri dekat tingkap merenung ke arah kami. Angin malam yang menyerbu masuk ikut jendela menolak rambutnya. Isteri si sakit sudah tidak mahu berkata apa-apa. Semuanya diserahkan pada keadaan. Kalau sudah ditakdirkan oleh Allah yang suaminya akan meninggal dunia cara begitu, ia tetap menerimanya dengan tabah. “Kita disuruh berusaha dan berikhtiar dan sekarang kita harus berusaha,” ujar datuk lembut. Wajah si sakit dan isterinya segera berubah menjadi riang. Begitu juga dengan wajah guru silat kelihatan berseri- seri. Segaris senyum terpamer di kelopak bibirnya. Datuk pun melangkah ke arah kami. Tiba-tiba langkahnya mati diganggu oleh bunyi dengungan yang amat kuat macam dengung kumbang.

“Jaga-jaga, ada benda masuk ikut tingkap,” jerit guru silat pada datuk.

Bagaikan kilat, datuk palingkan muka ke arah tingkap. Datuk merendahkan kepalanya dari dilanggar benda yang masuk ikut tingkap. Bentuknya bulat sebesar kelapa gading dan mengeluarkan percikan cahaya. Benda bulat itu terus meluru ke arah si sakit. Bunyi dengungan cukup kuat memekakkan anak telinga. Guru silat menutup kedua belah lubang telinganya dengan telapak tangan.

“Jaga, lindung suami kamu dengan tikar,” jerit datuk dengan sekuat hati, bila ia melihat benda bulat itu berlegar di depan muka si sakit.

Kali ini bentuknya terus mengecil, bulat seperti ikan buntal. Isteri si sakit tergamam. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Melihat keadaan yang agak kelam-kabut itu, guru silat segera menerkam ke arah isteri si sakit. Perempuan yang terkejut dan terkaku dengan keadaan yang dihadapinya terus ditolak oleh guru silat hingga jatuh tersungkur. Guru silat terus menarik tikat mengkuang yang diduduk oleh isteri si sakit. Akibat ditarik secara mengejut dan kuar, isteri si sakit bergolek atas lantai macam buah mempelam yang terlepas dari tangkai lalu bergolek atas permukaan jalan raya. Dalam keadaan yang cemas itu saya masih sempat tersenyum melihat telatah isteri si sakit yang melucukan itu.

“Serkup badan yang sakit,” datuk mengeluarkan perintah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:10 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

Saya tergamam mendengar arahan yang bertalu-talu dari datuk dalam keadaan cemas itu.

“Saya panas, badan saya berbahang,” sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas kepalanya.

“Teruskan, baca surah Al- Ikhlas sebanyak yang boleh,” datuk memberi arahan.

“Baiklah.”

Bunyi dengung tidak juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah dan hijau. Percikan cahaya itu terkena badan terasa pedih dan sakit. Kepala saya mula terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding. Benda bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya terasa macam pekak. Bila datuk yakin keadaan beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di dalamnya. Sayang, baru tiga tapak datuk melangkah kelihatan satu sinaran cahaya muncul cara tiba-tiba di tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai.

Rumah terasa bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah.

“Kepala manusia,” jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas lantai, betul- betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh.

Bahagian lehernya terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya terus menggeletar. Saya renung ke arah isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak berombak membuang dan menarik nafas cemas. Ia kelihatan bagaikan tidak bermaya.

Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar mengkuang. Dalam keadaan yang takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas lantai. Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebAhagian dari permukaan mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa. Paling menakutkan bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas. Mata kirinya terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjengkul di situ. Biji mata sebelah kanannya tersebul sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri. Kepala itu bergerak ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:11 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

“Tuk, tolong saya,” saya menjerit.

“Kamu jangan bergerak Tamar,” sahut datuk.

“Saya ikut cakap datuk, saya takut tuk.”

“Duduk diam-diam di situ.”

Saya pun mengeraskan badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah- limpah. Sesekali saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya. Tanpa disedari seluar yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya membuat saya mahu muntah.

“Hupppp,” jerut datuk lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang. Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola.

Berlegar-legar di udara serentak dengan Itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis. Angin dan ribut kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang dirempuh angin yang amat kuat. Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara tersebut datang.

Kepala yang berlegar-legar di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai. Guru silat terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dnegan kain untuk mengelakkan dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.

Datuk terus meniarap dan menggerakkan badannya seperti ular menuju ke arah guru silat. Gerakan badan datuk tidak dapat berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kepala tanpa badan yang terapung-apung di awang-awangan itu terus berlegar-legar mengikut gerakan badan datuk. Apa yang menakjubkan darah yang menitik tidak menimpa tubuh datuk. Darah itu bagaikan ditolak kuasa ghaib menuju ke dinding.

“Kita lawan, biar saya pukul kepala tu dengan kayu,” guru silat mengemukakan pertanyaan.

Tiada jawapan dari datuk. Suara orang bersorak dan menangis bertambah hebat dan kuat.

“Jangan bertindak,” jawab datuk.

Serentak dengan itu saya lihat datuk terus bangun. Kepala terbang menuju ke arah datuk. Berhenti betul- betul di depan muka datuk atau dengan kata lain mereka bertentang wajah. Saya mengerutkan dahi, bila terlihat ular keluar dari mata sebelah kiri kepala tanpa badan. Lidah ular yang bercabang itu hampir saja mahu menjamah muka datuk tetapi, datuk segera bertindak dengan menjatuhkan badannya ke lantai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:13 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

Paling menakjubkan bila saya melihat kepala tersebut ikut sama jatuh atas lantai. Dari mulutnya bersemburan air liur. Bagi mengelakkan air liur itu mengenai mata dan muka, cepat-cepat datuk menekupkan mukanya ke lantai sambil memusingkan badannya secepat yang boleh. Serentak dengan itu, kaki datuk memberi satu pukulan libas yang amat kencang pada kepala tersebut. Tendangan yang cepat dan kuat dari kaki datuk menyebabkan kepala itu melayang ke kanan lalu melanggar dinding. Dua keping papan dinding terlucut dari pakunya.

Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang menjerit kesakitan. Datuk segera bangun dan menerkam ke arah dinding yang terkopak. Isteri si sakit terus diangkat oleh guru silat, dibawa ke bilik di bahagian bawah rumah. Manakala si sakit masih berada dalam bungkusan tikar mengkuang. Suasana malam terasa gamat dengan berbagai0bagai bunyi yang tidak pernah saya dengar. Lantai terasa terumbang-ambing dan bumbung bagaikan bergoyang.

“Ke mana kepala sial tu Tamar? Hilang begitu saja,” pekik datuk sambil mencari kepala ganjil yang tidak diundang itu.

Saya gelengkan kepala dan merasa hairan dengan kepala ganjil yang ghaib dengan tiba-tiba. Datuk merenung melalui lubang dinding yang terkopak. Apa yang datuk lihat hanya kegelapan malam yang sedang bermaharajalela.

“Ke mari Tamar.”

Saya terus mendekati datuk dan sama-sama merenung keluar. Saya terlihat seperti ada seketul bara api yang sedang marak di permukaan tanah. Bara api itu kelihatan sekejap mengecil dan sekejap mengembang macam ada manusia yang meniupnya.

“Kau tahu apa benda tu Tamar?”

“Itulah mata syaitan.”

“Mata syaitan,” saya terkejut.

“Ya,” jawab datuk lalu mengambil papan dinding yang jatuh di lantai untuk dipasang ke tempatnya kembali.

Sebaik saja datuk mengangkat papan dinding separas lutut, seketul cahaya meluru masuk ikut lubang lalu terkana papan dinding yang dipegang oleh datuk. Papan itu terlepas dari tangan datuk dan datuk terjatuh tetapi, datuk berusaha untuk bangun. Usaha datuk berhasil. Benda bulat yang bercahaya sebesar buah mempelam itu berpusing ligat atas lantai. Benda bulat berhenti berpusing dan terus hilang diganti dengan kepala aneh. Bentuk dan keadaannya tetap macam tadi. Datuk renung kepala itu dengan renungan tajam. Semua pancaindera datuk teRtumpu ke situ dan saya kira renungan itu adalah renungan makrifat penuh kebatinan. Datuk menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menegakkan kebenaran.

“Mahu menguji aku?”

Datuk bersuara keras. Wajahnya nampak berkerut. Renungan datuk yang tajam itu ditentang oleh sepasang mata dari kepala aneh. Mata kanan kepala yang tersembul terus mengecil menjadi macam mata manusia biasa. Begitu juga dengan mata sebelah kiri yang tadi sering mengeluarkan kepala ular tedung, juga bertukar menjadi mata manusia biasa. Datuk terus duduk bersila di lantai. Sepasang tangannya diletakkan atas kedua belah kepala lutut. Matanya tidak berkedip menentang sepasang mata dari kepala aneh. Semua urat-urat di lengan dan tangan datuk kelihatan timbul dan tegang begitu juga dengan urat di leher dan muka. Peluh- peluh halus mula meruap di dahi dan pipi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:15 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

Tiba-tiba datuk terlentang, macam kena tendangan yang kuat. Kedua belah tangannya terkapar dengan jejarinya terbuka dan bengkok. Seluruh badan datuk menggeletar dan tersentak-sentak seperti terkena kejutan letrik. Kepala aneh terus terlompat-lompat. Mulutnya mula tersengih mempamerkan gigi besarnya. Suara angin dari luar begitu keras dan kuat masuk ke dalam perut rumah. Saya menggeletar dan rasa takut mula menguasai diri. Datuk cuba bangun tapi tidak berdaya, dalam keadaan yang samar-samar saya melihat sepasang kaki yang berbulu tebal memijak bahagian dada datuk membuat datuk sukar bernafas. Datuk terus berjuang cuba menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri. Saya cuba menjerit tetapi, suara saya tidak keluar. Saya terdengar jeritan si sakit memanjang dan meninggi.

Dengan sepenuh tenaga datuk menghentakkan siku kanannya ke lantai sambil memusingkan badannya ke kanan. Tangan kirinya melepaskan penumbuk ke kaki berbulu. Sebaik saja tumbukan itu terkena pada sasarannya, kaki yang berbulu itu terus ghaib. Jeritan si sakit terus bergema. Datuk tumbuk lantai lagi sekali. Kali ini jeritan si sakit terus mati. Datuk terus bangun. Berdiri gagah dengan kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangannya diluruskan ke depan. Datuk tarik nafas panjang sambil membengkokkan kaki kanannya. Badannya terus direndahkan. Datuk hulurkan kaki kanan ke arah dinding.

“Hupppppppp,” suara datuk keras dan saya lihat datuk melompat hingga kepalanya tersentuh tulang bumbung.

Datuk bagaikan berada di awangan beberapa saat. Ketika berada di awang- awangan itu, datuk kembangkan sepuluh jari tangan dan jari kakinya. Bila semua jari tangan dan kaki terkembang datuk segera membengkokkan badannya. Tubuh datuk yang seketul itu kelihatan berpusing beberapa kali sebelum menyentuh lantai. Semua gerakan yang datuk lakukan, saya perhatikan dengan teliti. Datuk duduk bersila di lantai kembali. Kepala aneh terus bergolek dari sudut ke sudut ruang rumah. Lidahnya yang terjelir mengeluarkan darah kental bukannya air liur. Darah kental itu melekat di lantai. Saya mula terhidu bau hanyir.

Sedang saya mengesan dari arah mana bau hanyir itu datang, saya dikejutkan oleh bunyi kaki orang berlari dalam rumah. Saya segera angkat kepala dan saya terlihat isteri si sakit berdiri di depan saya, seluruh badannya dibaluti dengan kekabu. Susah untuk saya melihat biji mata dan wajahnya. Saya menelan air liur bila melihat isteri si sakit, mengoyakkan bantal panjang yang dibawanya. Semua kekabu itu berterbangan lalu mengenai muka dan badan datuk.

Saya lihat, datuk tidak berusaha menepis kekabu yang melekat di hidungnya. Dibiarkannya kekabu itu berada di situ. Isteri si sakit terus merapati datuk sambil melepaskan beberapa tendangan yang kencang. Datuk mengelak ke kiri dan ke kanan. Kerana tendangannya tidak mengenai tubuh datuk, isteri si sakit jadi marah. Dia berusaha melepaskan tendangan yang bertalu-talu. Datuk bertindak, kaki kanan iseri si sakit datuk tangkap dan pusing ke kiri dengan sekuat hati. Tubuh isteri si sakit jatuh atas lantai. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan dari isteri si sakit. Guru silat segera mendekatinya untuk memberi bantuan.

“Duduk, jangan dekat dia,” suara datuk keras tanpa merenung ke arah guru silat.

“Dia sakit,” sahut guru silat.

“Jangan bantah cakap aku,” sergah datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:16 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

Guru silat patuh dengan cakap datuk. Datuk terus memulas kaki isteri si sakit dengan sekuat hati hingga perempuan malang itu terkencing dan terus diam. Terkulai di lantai, tidak sedarkan diri. Kepala aneh segera mendekati isteri si sakit untuk menjilat dahi wanita yang terkapar. Belum pun sempat lidah yang panjang dan berwarna merah garang menyentuh dahi isteri si sakit, datuk segera menepuk lantai dengan tangan kanan. Dia terus melompat dan menerkam ke arah kepala aneh. Bagaikan kilat datuk menarik telinga kiri kepala aneh itu.
“Tuk, mulutnya gigit lengan tuk,” jerit saya bila melihat mulut dari kepala aneh itu menggigit lengan datuk.

Guru silat segera bangun dan mendekati datuk untuk menolong. Baru tiga langkah guru silat melangkah, satu tamparan kencang mengenai pangkal lehernya. Guru silat tersembam dan tidak berdaya bangun. Saya mencapai sepotong kayu untuk membantu, saya juga menerima satu tendangan di rusuk kiri.

Pandangan saya berpinar. Lantai rumah terasa bergoyang dan saya terhuyung-hayang lalu jatuh. Saya cuma dapat melihat lelehan darah di lengan kanan datuk. Gigi tajam dari mulut kepala aneh terus terbenam dalam lengan daging datuk. Muka datuk berkerut menahan rasa sakit. Datuk hentak kepala aneh ke dinding dengan harapan gigitan di lengan akan dilepaskan. Usaha datuk itu tidak berhasil, malah lidah dari mulut kepala aneh itu mula membelit leher datuk. Saya lihat datuk sukar bernafas. Datuk terus terhuyung- hayang dan akhirnya datuk jatuh atas lantai. Datuk terus bergolek atas lantai. Datuk berusaha menghentak kepala aneh pada tiang seri beberapa kali. Gigitan di lengan tidak juga terlepas, begitu juga dengan belitan lidah di leher datuk. Muka datuk berpeluh dan pucat. Batang lehernya terus dilumur darah dari kepala aneh itu. dengan sekuat tenaga datuk hayunkan kepala aneh itu ke tiang seri hingga gigitan di lengan datuk terlepas. Belitan lidah di leher juga terbuka. Datuk segera mengambil bantal panjang yang koyak dan terus menyerkup kepala aneh. Kepala aneh itu terus menggelupur dalam bantal panjang. Kekabu berhamburan dan berterbangan. Datuk memegang hujung bantal itu dengan sekuat hati.

“Tamar, mari tolong aku.”

Saya segera menghampiri datuk, saya diarahkan datuk untuk memotong lengan baju kirinya separa siku. Perintahnya saya patuhi lengan baju yang sudah dipotong itu segera saya apitkan ke celah ketiak. Kemudian saya serahkan pada datuk.

“Sudah kamu ikut petua yang aku berikan.”

“Sudah tuk.”

“Sekarang kamu pergi dekat guru silat, bisikkan surah Al- Ikhlas sebanyak tiga kali, kemudian bacakan surah Al- Kursi sekali.”

“Baik tuk.”

Saya segera mendekati guru silat. Apa yang dipesan oleh datuk segera saya tunaikan. Saya berhasil, guru silat boleh bangun. Tanpa menerima perintah dari datuk, saya ajak guru silat mendekati isteri si sakit. Apa yang saya lakukan pada guru silat, itu jugalah yang saya lakukan pada isteri si sakit. Saya tidak tahu, kenapa semuanya itu saya lakukan. Saya seperti didesak oleh suara hati saya untuk berbuat demikian. Kepala aneh yang sudah datuk sumbatkan dalam bantal panjang itu terus bergerak- gerak, berusaha mahu keluar dari dalam bantal tersebut. Datuk terus mengikat hujung bantal panjang dengan kain lengan baju kiri. Datuk gantungkan kepala aneh yang berada dalam bantal panjang ke paku di tiang seri. Bantal itu terus bergerak ke kiri dan ke kanan diiringi dengan bunyi deru angin yang amat kuat. Datuk segera mendekati kami.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:17 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

“Bawa perempuan ni ke dapur dan mandikan dengan air. Bila dah selesai dimandikan, kunci dalam biliknya,” datuk keluarkan arahan.

Deru angin yang kuat terus ditingkah dengan bunyi petir dan hujan lebat. Dalam keadaan yang haru-biru itu, semua perintah datuk dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami mendekati datuk lagi untuk mendengar arahan selanjutnya.

Saya dan guru silat terkejut, bila melihat datuk mengoyakkan gulung tikar yang membalut tubuh si sakit. Saya mengucap panjang, tubuh si sakit dah dipenuhi dengan bulu macam bulu di badan orang utan. Wajah si sakit juga berubah seperti muka beruk jantan mempamerkan sepasang taring yang cukup tajam. Si sakit cuba bangun untuk menyerang datuk.

“Jangan apa-apakan dia, dia tak boleh melakukan apa-apa pada kita,” kata datuk pada guru silat yang cuba mahu menutup si sakit dengan tikar mengkuang.

Tujuan guru silat berbuat demikian untuk menghalang si sakit yang berubah rupa itu dari menyerang datuk. Cakap datuk memang betul, si sakit cuma terdaya duduk saja. Setelah itu ia jatuh terlentang kembali. Cara mendadak saja kami alihkan pandangan pada bantal panjang yang tersangkut di tiang seri. Bentuk dan keadaan bantal sudah berubah, jadi lebih panjang. Bahagian atas dan bawah terikat, macam mayat yang sudah dikafankan terbuai-buai diterpa angin yang berputar dalam ruang rumah.

“Haaaaaa,” saya terkejut sambil membeliakkan biji mata.

Ada tangan terjulur bersama kuku yang panjang dari dalam bantal tersebut. Saya juga melihat sebahagian dari kain tersebut diresapi dengan darah. Terdengar suara orang menangis dan mengilai dalam deru hujan dan angin yang amat keras.

“Macam mana boleh jadi begitu, bantal panjang bertukar jadi kain kafan dan ada mayat pula di dalamnya? Mayat siapa pula!”

“Tak usah banyak cakap, kita tengok saja,” jawab datuk pada rungutan guru silat.

Saya renung muka guru silat yang kehampaan. Datuk terus termenung panjang. Mulutnya nampak bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu. “Bantal itu tetap bantal, cuma pandangan mata kita saja ditipu oleh iblis,” datuk bersuara lembut. Dia terus bergerak tiga langkah ke belakang. Berhenti. Bergerak ke kanan tiga langkah. Berhenti. Bergerak ke kiri tiga langkah. Berhenti. Datuk tarik nafas dalam dan matanya tidak berkedip merenung ke arah bantal panjang yang nampak seperti kain kafan.

Tiba-tiba yang ditenung oleh datuk terlucut dari tempatnya. Jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergoyang. Benda ganjil itu terus bergolek, keadaannya juga sungguh luar biasa. Ada waktunya kelihatan menipis, ada masanya membulat, ada ketikanya memanjang. Sepasang mata datuk terus menyorok ke arah benda ganjil itu, tidak kira ke mana benda itu bergolek. Saya lihat bantal panjang yang tadi bersarungkan kain warna merah muda sudah bertukar dengan kain biru muda. Tangan dan kuku yang terjulur tetap seperti tadi, malah kukunya yang tadi nampak berwarna putih pucat sudah bertukar menjadi kemerah-merahan. Urat-urat di belakang tangannya mula timbul seperti akar yang timbul di permukaan bumi. Datuk masih berdiri. Sepasang kakinya bagaikan terpaku di lantai. Perlahan-lahan datuk angkat kaki kanannya agak tinggi dari biasa kemudian menghentakkan ke lantai.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-5-2013 12:18 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

Benda yang bergolek terus terangkat seperti ditarik sesuatu hingga ke paras palang pintu. Sebelum benda ganjil itu jatuh, datuk segera mengambil tikar lalu digulungkannya dengan cepat sekali. Tikar mengkuang yang sudah digulung itu segera ditegakkan, ditempat yang diduga benda ganjil itu akan jatuh. Bila tikar sudah ditegakkan di tempat yang datuk fikirkan sesuai, datuk segera berlari mendekati kami. Wajahnya kemerah-merahan dan penuh dengan peluh. Saya lihat peluh tersebut menuju ke hujung dagu lalu jatuh atas dada datuk.

“Sekarang bersedia,” kata datuk lalu merenung muka saya dan guru silat.

Saya menggigit bibir, saya mencari tujuan sebenar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Dan saya kira guru silat juga tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata yang datuk hamburkan itu.

“Sedia apa?” tanya guru silat.

“Bukankah sudah aku cakapkan tadi,” jawab datuk.

“Awak tak beri apa-apa arahan pun.”

“Betulkah saya tak beri arahan?”

“Betul tuk,” balas saya dan guru silat anggukkan kepala.

Datuk terus gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Sinar matanya lembut tertumpu ke wajah saya. Datuk senyum dan saya sudah ‘arif benar dengan perangai datuk. Bila dia senyum begitu, ertinya secara tidak langsung datuk mengakui kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

“Kita mesti cepat bertindak, mari kita baca ayat Al-Kursi sebelum benda itu jatuh atas tikar yang saya tegakkan tadi,” ujar datuk.

Saya dan guru silat segera anggukkan kepala. Dan kami segera berdiri di sisi datuk. Kami pun membaca ayat suci yang dikatakan oleh datuk dalam hati dengan teliti dan sebutan yang betul. Sebaik saja pembacaan kami berakhir, benda ganjil tadi terus jatuh atas tikar mengkuang yang ditegakkan, kami terdengar bunyi petir yang amat kuat di luar rumah. Tikar mengkuang yang ditegakkan terus rebah dengan sendirinya. Terdapat api kecil di sekeliling tikar yang rebah itu. api itu terus marak, macam disiram petrol. Ternyata, api itu marak hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian api itu terus padam.

Tidak jauh dari tikar tersebut terdapat bantal panjang dalam keadaan yang elok, tidak ada yang koyak. Keadaannya tetap seperti asal. Bunyi angin yang menguasai ruang rumah terus hilang. Dekat tiang seri dapat tempurung kelapa jantan yang dibaluti sabut nipis. Tempurung kelapa jantan itu tergolek di situ. Tiba-tiba anak telinga saya menangkap suara azan memecah subuh yang bening. Keadaan dalam rumah jadi tenteram.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 12:18 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 91 ~
Cahaya di lantai

“Kau pergi buka bilik orang yang kau kunci tadi,” datuk keluarkan arahan pada guru silat.

Saya lihat guru silat keberatan untuk memenuhi permintaan datuk.
“Kenapa diam, pergilah buka,” sergah datuk.

“Tapi.”

“Tak ada tapi, dia tak akan menjerit atau mencekik kamu, syaitan yang menguasainya sudah lari,” kata datuk.

Guru silat segera pergi ke tempat yang diarahkan. Datuk dan saya segera mendekati si sakit. Datuk tepuk dahi si sakit tiga kali. Tanpa diduga, si sakit terus bangun.

“Apa macam,” itu yang diucapkan oleh si sakit pada datuk.

“Kau bagaimana pula?”

“Saya rasa badan saya segar, macam tak ada sesuatu yang saya tanggung,” jawab si sakit dengan senyum.
Dia terus bangun. Berjalan dalam ruang rumah. Bila dia mahu keluar datuk segera memegang bahunya.

“Kenapa?”

“Kau belum boleh pijak bumi selagi matahari belum terbit. Kalau badan kau dah sihat, pergilah mandi. Kita sembahyang subuh kemudian kau buatlah sembahyang syukur pada Allah yang menghilangkan penyakit yang kamu tanggung selama ini.”

“Baik,” jawab si sakit dan terus menuju ke bilik mandi.

Saya menggigit bibir, lelaki yang setiap kali malam saya lihat terlantar dengan perut buncit dan bila mahu bangun terpaksa menggunakan bantuan tali, kini sudah boleh bergerak ke mana saja. Melihat gerak-gerinya, lelaki itu bagaikan tidak pernah mengalami sebarang sakit.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 11:45 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana

Kuku di ibu jari saya gigit dan sepasang mata merauti wajah datuk. Cara mengejut dan tidak diduga, datuk terus menepuk bahu kanan saya.

“Pergi ambil air sembahyang, Tamar.”

“Sejuk tuk.”

“Pergilah, jangan banyak cakap,” suara datuk meninggi.

Saya terus merenung ke arah bilik air. Saya terdengar banyak air berjatuhan di lantai. Saya senyum.

“Ada orang di bilik air tuk, terpaksa tunggu dia keluar,” suara saya tersangkut- sangkut.

“Siapa?”

“Si sakit tadi tuk.”

“Hum.. aku lupa, kalau begitu kau pergi mandi di telaga.”

“Saya takut tuk.”

“Ha.. kamu,” datuk beliakkan biji mata sambil menggaru pipi kanannya beberapa kali.

Saya tahu datuk mula marah. Tetapi, saya merasa bertuah dan beruntung kemarahan yang mula berbunga di hati datuk segera menurun kerana kehadiran guru silat dan isteri si sakit di sisi datuk. Senyum pun terkembang di bibir datuk. Tidak lama kemudian si sakit yang berada di bilik mandi pun datang. Matanya tidak berkedip merenung wajah isterinya. Dan isterinya terus menatap sekujur tubuh suaminya.

“Bengkak perut dah hilang dan kau boleh berjalan, boleh mandi sendiri,” si isteri bersuara.

Wajahnya dibalut keriangan yang amat panjang. Si isteri segera mahu mendekati si suami. Tanpa rasa segan si isteri angkat tangan kanan menyentuh pipi suaminya.

“Jangan sentuh dia,” datuk bersuara keras.

Semua biji mata tertumpu ke arah datuk. Semuaya merasa hairan dan kurang senang dengan sikap datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-5-2013 11:47 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana

“Dia suami saya.”

“Saya tahu, tapi bersabarlah untuk beberapa jam. Bila kita dah selesai sembahyang Subuh dan bumi sudah cerah disinar matahari, kamu boleh buat apa yang kamu suka,” kata datuk.

“Kenapa tak boleh buat sekarang?”

“Ini cara dan petua kalau awak mahu ikut, kalau tak mahu ikut pun tak apa tetapi, kalau petua dan syarat orang tua-tua dilanggar ada masanya boleh membawa padah,” satu ingatan yang bersahaja dari datuk.

Isteri si sakit menggigit bibir dan menelan air liur. Sedia mematuhi perintah datuk.

“Kita sembahyang Subuh di sini?” tanya guru silat.

“Ya, di mana lagi, kalau bukan di sini?” balas datuk.

“Imamnya?”

“Saya”’ kata datuk.

Guru silat tersenyum dan tanpa banyak bicara dia segera menuju ke bilik air mengambil air sembahyang.

Sebaik saja selesai menunaikan fardhu Subuh, kami semua membaca doa. Selesai baca doa, isteri si sakit terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Guru silat turun ke halaman rumah lalu melakukan senaman kecil untuk menggerakkan darah dan menegangkan urat. Datuk terus membaca beberapa ayat suci. Si sakit yang baru sembuh masih duduk bersimpuh di sisi datuk. Saya kira tentu ada sesuatu yang mahu diajukannya pada datuk. Sangkaan saya tidak salah, sebaik saja datuk berhenti membaca ayat-ayat suci, lelaki bermata cengkung itu menghampiri datuk.

“Berapa lama saya tak boleh bersama isteri saya?”

“Sekejap lagi bolehlah, kau pergi berdiri dekat tingkap dan lihat matahari. Bila matahari sudah terbit, kenakan seluruh tubuh kamu dengan sinar matahari, lepas tu kamu bolehlah bersama.”

“Terima kasih, saya ingatkan sampai berbulan-bulan.”

“Tidak,” datuk tersenyum.

Datuk mengajak saya turun ke halaman rumah. Cakapnya saya turuti. Saya dan datuk melakukan senaman harimau menangkap musuh dan beberapa senaman lain hingga badan saya berpeluh dalam dingin pagi. Selesai menjalani senaman datuk mengajak saya berjalan keliling kampung sambil membasahkan kulit dengan air embun. Saya membantah ajakan datuk itu. Tidak sanggup rasanya dalam cuaca pagi yang samar-samar dan dingin itu menyentuh air embun di hujung daun untuk disapukan ke kulit tubuh. Protes saya menimbulkan rasa kurang senang dalam hati datuk. Kerana tidak mahu ketegangan yang terjadi itu berlanjutan, saya segera mengalah. Datuk gembira. Bila kami mahu memulakan langkah, guru silat terus bersuara.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-1-2025 07:25 AM GMT+8 , Processed in 0.314289 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list