|
Farid kena faham tugas wartawan
BEBERAPA minggu sebelum ini Zubir dah buat pendedahan mengenai aktor kacak, Farid Kamil yang akhirnya mengaku kepada Zubir, dia sebenarnya ada menonton filem Transformers, berdua saja dengan artis jelita, Fasha Sandha di Tanjung Golden Village (TGV), KLCC sedikit masa lalu.
Dalam pendedahan itu juga, Farid turut mengaku, antara dirinya dan pelakon cantik, Irma Hasmie sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi atau lebih tepat, tiada lagi cinta antara mereka. Bagi Zubir, kisah Farid tengok wayang dengan Fasha, kisah dia putus cinta dengan Irma, sudah tutup buku, rupa-rupanya masih ada sambungan, macam filem sekuel pula!.
Minggu lalu, Zubir ada terbaca kenyataan Farid mengenai hal sama menerusi temu bual bersama akhbar tabloid mingguan (bukan terbitan kumpulan NSTP). Berikut adalah sebahagian petikan wawancara Farid bersama tabloid berkenaan.
"Lepas tonton Transformers, kami jadi serba salah. Macam ada buat silap besar je. Saya rasa tak patut cerita tu keluar. Salah ke nak tengok wayang? Ini tidak adil. Saya dan Fasha dah lama kenal. Kami tonton wayang dan dalam masa dua jam, saya tak sangka cerita itu jadi isu," kata Farid seolah-olah menuntut keadilan.
Sebenarnya Zubir malas nak panjangkan cerita ini, bukannya Farid tak boleh hubungi Zubir secara terus dan bertanyakan hal itu jika dia masih berasa apa Zubir tulis itu tidak menyenangkan hatinya. Lagipun antara Zubir dan Farid sebelum ini, hubungan kami memang rapat dan Farid pula sering menjayakan aktiviti hiburan dianjurkan Berita Harian (BH). Tapi, Zubir tertarik untuk menerangkan sesuatu kepada Farid di ruangan ini apabila membaca kenyataannya"... saya rasa tak patut cerita tu keluar. Ini tidak adil. Saya tak sangka cerita itu jadi isu."
Beginilah Farid, sebenarnya wartawan hiburan seperti Zubir berhak tulis cerita yang keluar daripada mulut Farid sendiri dan pada masa sama, Fasha juga turut berada di sisi Farid ketika wawancara itu. Zubir sekadar laporkan apa yang berlaku, Farid tonton Transformers bersama Fasha, itu kenyataan. Apa yang tak patut keluar? Farid dan Fasha adalah dua nama besar dalam industri lakonan, jadi setiap apa yang mereka lakukan, pasti menjadi perhatian, termasuklah jika mereka tengok wayang bersama. Memanglah menonton wayang tidak salah, Zubir pun tak kata salah. Apabila cerita itu sudah keluar di akhbar, memanglah jadi isu, media lain akan follow up, itu perkara biasa.
Zubir juga ingin bertanya, apa sebenarnya yang Farid kata tidak adil? Sedangkan Fasha juga turut ditemubual dan kenyataan yang dikeluarkan, sama sekali tidak menyebelahi sesiapa. Zubir harap, tolonglah hormati dan fahami tugas wartawan. Zubir minta maaf jika penjelasan Zubir ini buat Farid kecil hati. Nanti kita `calling-calling' ya Farid, selamat berpuasa! |
|