|
Mizz Nina Lebih Gembira, Tenang
Puteri hip-hop Malaysia, Mizz Nina seperti diketahui para peminat muzik tempatan telah pun berhijrah usai ibadah haji yang ditunaikannya baru-baru ini. Malah, suaminya Noh Salleh, vokalis Hujan, turut mengeluarkan kenyataan berkenaan penampilan terbaru isterinya itu.
Apa yang kita mahukan kini adalah ungkapan dari empunya badan sendiri. GUA berkesempatan bertemu dengan Mizz Nina saat dia menghadiri majlis Shout! Awards di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu.
“Saya rasa lebih gembira dan lebih tenang kini,” ujarnya membuka bicara. “Mizz Nina masih ada, masih lagi orang yang sama tapi mungkin kini dengan haluan hidup yang baru.”
Bercerita tentang pengalamannya mengerjakan haji, dia berkata, “Perancangan untuk ke Tanah Suci memang sudah lama difikirkan dan apabila rezeki itu datang lebih awal, kami cukup bersyukur.”
Sempat berdoa supaya cepat dikurniakan cahaya mata, Mizz Nina menganggap pengalaman haji yang dialaminya bersama suami sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakan.
Antara orang pertama yang dikhabarkan tentang hasratnya untuk berhijab tidak lain tidak bukan adalah ahli keluarganya, selain dari rakan-rakan rapat yang semuanya menyokong hasrat penghijrahannya itu.
“Saya bersyukur kerana mempunyai 'support system' yang begitu kukuh dan memahami. Mereka membuatkan proses penghijrahan saya ini lebih mudah dan lancar,” ujarnya lagi.
Bila ditanya tentang kesan penghijrahannya itu pada gaya muzik hip-hop yang begitu sebati dengan dirinya, Mizz Nina ada jawapan tersendiri.
“Saya akan meneroka stail muzik baru, yang lebih matang. Muzik yang rancak memerlukan penyanyinya turut sama beraksi lincah dan itu tidak sesuai dengan penampilan baru saya ini. Malah, saya nekad untuk tidak membuat sebarang persembahan pentas sehinggalah saya jumpa gaya persembahan baru yang benar-benar cocok dengan penampilan ini.
"Berkenaan dengan penayangan muzik video yang memaparkan saya dengan imej lama, sejujurnya saya memang tidak mampu mengawal hal-hal sedemikian lebih-lebih lagi yang melibatkan media sosial seperti YouTube.”
Sudah namanya Mizz Nina, penampilan bertudung tidak sesekali menghalangnya untuk tampil penuh gaya di majlis-majlis. Buktinya, penampilan penyanyi yang pernah berduet dengan rapper Flo Rida & Jay Park saat ke Shout! Awards tempoh hari cukup 'chic' dan moden. Kata Mizz Nina, dia mula merajinkan diri menjenguk ke laman Instagram yang banyak menampilkan gaya wanita dengan fesyen berhijab moden.
“Hanya dengan hashtag #hijabista, #hijabfashion dan lain-lain lagi, puluhan malah ribuan gambar akan terpampang untuk saya jadikan rujukan bagi penampilan harian. Saya juga banyak bermain suai dan padan dengan pakaian yang sedia ada,” ujarnya.
Malah kini, Mizz Nina melalui label fesyennya, Mizz Demeanor sedang membuat perancangan rapi untuk mengeluarkan seleksi pakaian khas muslimah yang digelar Madeena Clothing, selewat-lewatnya pada awal 2014.
Bercerita tentang projek seni terbarunya, Mizz Nina menerusi syarikat produksi miliknya, Big Fish Entertaiment bakal menerbitkan satu program kanak-kanak yang dipanggil ‘The Cici & Caca Show’. Selaku pemilik bersama syarikat produksi tersebut, Mizz Nina terbabit dalam idea-idea penerbitan seperti konsep dan cara penyampaian program tersebut.
“Program ini akan menggunakan konsep nyanyian dalam penyampaian, konsep sama yang digunakan oleh rancangan kanak-kanak popular dari barat, 'Hi-Five'. Akan ada karakter-karakter comel inspirasi dari dunia haiwan dan skripnya akan memasukkan nilai-nilai murni untuk pengajaran anak-anak kecil”, ujarnya menutup bicara.
|
|