|
|
Habuan seks, pegawai kanan Keda mengaku tidak bersalah
19 November 2014 2:24 AM
ALOR SETAR 18 Nov. – Seorang pegawai kanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan meminta dan memperoleh rasuah berbentuk la yanan seks daripada seorang wanita berusia 20-an, minggu lalu.
Heris Saad, 56, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Azhar Mokhtar.
Bagi pertuduhan pertama, Heris yang merupakan Pegawai Tadbir di Bahagian Hartanah dan Prasarana didakwa meminta suapan berbentuk layanan seks daripada wanita berkenaan sebagai dorongan untuk mempercepat proses permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran Kentucky Fried Chicken, Jalan Limbong Kapal dekat sini kira-kira pukul 10.45 pagi, 10 November lalu.
Pertuduhan kedua pula menyebut tertuduh didakwa memperoleh suapan berbentuk layanan seks da ripada wanita tersebut bagi tujuan yang sama di Bilik 101, Hotel Royale, Jalan Putra di sini, kira-kira pukul 2.45 petang, 13 November lalu.
Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai enam orang anak didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama.
Kedua-dua pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Firdhaus Sekman @ Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, Mohd. Firdhaus menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Heris pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut dengan alasan tidak mempunyai wang kerana isteri tidak bekerja dan perlu menyara enam anak.
Azhar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 2 Di­sember ini.
|
|