|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
“Saya tak bawa pisau menyembelih.”
“Awak mahu pisau? Kalau mahu nanti saya ambil di rumah.”
“Tak payahlah.”
“Macam mana kalau saya minta sikit daging ayam?”
“Boleh, apa salahnya.”
“Sepatutnya saya tak payah minta sebab ayam yang kena jerat awak itu saya yang punya.”
“Ha…haa..?” mulut saya terlopong.
Perempuan itu tetap senyum. Hati saya berkata, mungkin perempuan ini mahu bergurau. Ayam hutan mana ada tuannya. Sesiapa pun boleh menjerat atau menembaknya. Dengan rasa jelik saya renung wajah perempuan itu. dia bagaikan tahu yang diri saya tidak mempercayai apa yang diucapkannya.
“Setiap benda di dunia ini ada tuannya, ada penjaganya. Tetapi manusia selalu melupakan semuanya itu.”
“Kamu mengarut dan merepek.”
“Kalau kamu tak percaya tak mengapa, tetapi saya mahu mengambil hak saya kembali.”
Saya segera mengedutkan kening. Karung mengkuang yang saya sandang terasa bergerak-gerak. Ayam di dalamnya menggelepar. Karung mengkuang terasa amat berat macam ada batu pejal di dalamnya. Bahu saya bagaikan mahu patah dibuatnya. Saya terpaksa meletakkan karung mengkuang atas tanah. Perempuan itu tetap berdiri di depan saya tanpa mengucapkan sesuatu. Sepasang anak matanya melihat gerak geri saya dengan teliti. Paling mengejutkan saya, tali guni yang saya ikat di hujung karung mengkuang terbuka dengan sendiri. Ayam yang ada di dalamnya keluar dengan mudah lalu berkokok bertalu-talu sambil menggoyangkan ekornya. Paling menyakitkan hati, bila ayam itu menghalakan muncungnya ke arah saya dan terus berkokok sambil menjungkitkan ekornya tinggi-tinggi. Kalau diturutkan kata hati mahu rasanya membalingkan seketul kayu pada kaki ayam itu. biar kakinya patah.
“Suhh..,” pekik saya.
“Jangan halau dia,” suara perempuan itu cukup lembut.
“Kurang ajar punya ayam.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
“Jangan cakap macam tu. Itu ayam saya, mari..,” saya lihat bapak ayam hutan terus meluru ke arahnya.
Terbang dan hinggap di bahu sebelah kanannya. Ayam itu berkokok lagi. Saya terpukau dengan suasana yang saya anggap aneh tetapi melucukan.
“Terima kasih kerana kamu sudah memulangkan hak saya.”
“Tapi ayam tu tak bertuan.”
“Itu pendapat kamu. Hakikat sebenar memang bukan begitu. Terima kasih.”
Perempuan itu segera memusingkan badannya membelakangi saya. Ayam jantan yang berbalung merah tetapi berdiri di bahu. Satu perkara yang pasti, waktu perempuan itu menentang wajah saya, suasana sekitar terasa cerah. Bila dia membelakangi saya, suasana bertukar menjadi samar- samar.
“Eh, nama saya Tamar.”
Perempuan itu segera toleh ke arah saya kembali.
“Nama awak siapa?”
Perempuan itu menarik nafas dalam-dalam.
“Cakaplah siapa nama awak?”
“Nanti kita jumpa lain kali. Masa tu saya cakap nama saya.”
“Cakap sekarang,” kata saya lalu mengejar ke arahnya.
Dalam sekelip mata sahaja perempuan itu ghaib tetapi ayam miliknya masih dapat saya lihat duduk di ranting dan terus berkokok bertalu- talu. Beberapa detik kemudian ayam jantan itu pun ghaib.
“Syaitan mempermainkan aku,” kata saya dalam nada suara yang agak tinggi.
Saya pusing ke kanan. Memulakan langkah pertama, mencari jalan pulang. Saya terdengar bermacam-macam suara,ada suara kokok ayam. Saya sedar, bila hati dikuasai rasa takut bermacam-macam yang didengar padahal perkara itu tidak wujud sama sekali. Cuma perasaan kita sahaja yang merasakan begitu. Makin kuat saya menetapkan dalam hati apa yang saya dengar itu adalah perasaan, makin kuat suara-suara yang tidak saya ingini datang dalam gegendang telinga saya. Saya terus lari dengan semahu- mahunya melanggar apa sahaja.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
Parit lebar saya lompat kerana saya menyangka parit itu kecil. Akibatnya saya terhumban dalam parit. Habis pakaian saya basah kuyup. Keluar dari parit saya terus lari lintang pukang. Dalam cuaca yang mula samar- samar itu, saya terus berlari dan berlari hingga sampai di bahagian dapur rumah. Bila saya jengukkan muka di pintu dapur, nenek terus menjerit dengan sekuat hatinya. Seluruh kampung dikuasai oleh suara nenek. Datuk yang berada kira-kira tiga rantai dari rumah segera menerpa ke bahagian dapur.
“Kenapa muka kamu penuh dengan lumpur, pakaian basah kuyup. Kenapa Tamar?” soal datuk.
“Sayaaa…” saya tidak dapat meneruskan kata-kata, mata saya terasa pedih dan hidung saya bagaikan tersumbat dan saya terus bersin dengan sekuat hati.
Beberapa orang jiran tetangga segera datang ke rumah. Mereka ketawa melihat keadaan saya.
“Saya jatuh parit tuk.”
“Kamu kena kejar harimau?”
“Tidak.”
“Habis kamu kena kejar jembalang?”
“Bukan dikejar jembalang, saya diburu hantu.”
“Hantu?” biji mata datuk terbeliak.
Bila keadaan sudah kembali tenang. Saya ceritakan pada datuk, pada nenek dan jiran- jiran yang datang apa yang saya alami. Kebanyakan dari mereka tidak percaya dengan apa yang saya ceritakan. Nenek secara terang-terangan mengatakan saya mengigau siang. Perbuatan mereka itu membuat saya jadi marah dan tidak mahu meneruskan cerita selanjutnya. Tetapi, datuk cuba melahirkan simpatinya pada saya.
“Itu perkara biasa, dalam dunia ni selain dari manusia terdapat makhluk lain. Kau tak usah takut. Barangkali makhluk itu mahu bersahabat dengan kamu,” kata datuk.
“Satu pengalaman yang menakutkan tuk.”
“Tak mengapa, petang esok kau pergi lagi. Kalau kau jumpa dengannya kau ajak dia datang ke rumah.”
“Mengarut, tuk mengarut. Agaknya tuk tahu yang saya akan berjumpa dengan benda macam tu. Kerana tu tuk suruh pergi seorang diri.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
“Aku tak tahu Tamar. Tapi dulu aku pernah mengalami perkara semacam tu, itu semuanya syaitan yang cuba nak mengusik kamu.”
“Hum…” saya mengeluh dan tunduk merenung tanah.
Nenek tersenyum. Datuk menyuruh jiran-jiran yang datang pulang ke rumah masing-masing. Perlahan-lahan saya angkat muka. Sepasang mata saya terpaku ke wajah datuk. Kegelisahan segera bersarang dalam dada. Kurang senang rasa hati melihat senyuman datuk yang saya rasa bagaikan menyindir diri saya.
“Tuk tak percaya dengan apa yang saya cakapkan ni?”
“Sudahlah, pergilah kamu mandi.”
Saya kerutkan dahi. Dengan langkah yang longlai saya menuju ke perigi. Setiap kali air perigi menyentuh kulit tubuh, apa yang saya alami segera terbayang dalam kepala. Sesungguhnya, apa yang telah saya alami itu adalah satu pengalaman yang tidak pernah saya duga akan terjadi dalam hidup saya. Selesai mandi saya segera pulang ke rumah. Sebelum memijak anak tangga, dua tiga kali saya pusing ke belakang. Saya takut dan bimbang macam ada sesuatu dekat saya.
“Cepat naik, jangan pandang kiri kanan lagi. Jangan fikirkan perkara yang dahulu,” terdengar suara datuk.
Saya segera angkat muka. Datuk berdiri di serambi. Hari sudah beransur gelap. Suara burung kuang sayup- sayup kedengaran di pinggir bukit kota. Saya menarik nafas. Kecantikan paras perempuan yang saya temui bermain-main dalam tempurung kepala.
“Eh, kami ni. Naik cepatlah.”
Tanpa tangguh-tangguh lagi saya pijak anak tangga. Berhenti bila sampai anak tangga kelima. Renung ke halaman yang sudah dikuasai cuaca senja.
“Kita jemaah di masjid, Tamar.”
“Kenapa kita tak sembahyang di rumah tuk?”
“Agama Islam menggalakkan pengikutnya sembahyang berjemaah di masjid atau surau. Sekali-sekala bolehlah kita bersembahyang jemaah di rumah. Kalau dah terlalu kerap berjemaah di rumah, tak elok jadinya.”
“Saya malas nak pergi tuk.”
“Ah, jangan banyak karenah, ikut cakap aku,” bentak datuk keras.
Saya tidak ada pilihan lain lagi. Cakap datuk harus dipatuhi. Saya masuk ke rumah menukarkan pakaian. Amat selesa rasanya memakai selua dan baju Melayu warna kuning tanah liat. Datuk senyum panjang. Saya tahu kenapa datuk senyum begitu. Bukan apa-apa kerana letak songkok saya melintang. Letak songkok segera saya betulkan. Tanpa banyak soal jawab saya terus mengekori datuk ke masjid. Sepanjang jalan saya lebih banyak mengelamun. Sesekali kelihatan datuk meraba pangkal telinga sebelah kanannya. Ada masanya datuk batuk kecil. Saya tidak tahu, apakah batuk itu memang benar-benar terjadi atau batuk yang sengaja dibuat-buat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
Selesai menunaikan solat maghrib, saya dan datuk seperti orang-orang kampung yang lain terus mengikuti tafsiran hadis. Apa yang diungkapkan oleh guru agama tersebut semuanya tidak masuk dalam kepala saya. Fikiran saya masih memikirkan apa yang telah saya alami petang tadi. Ada masanya, saya rasakan peristiwa itu harus berulang dalam hidup saya. Satu ketika yang lain saya berdoa supaya peristiwa itu jangan berulang dalam hidup ini
“Kalau mahu dinisbahkan tentang banyaknya makhluk Allah di dunia ini, lebih kurang begini. Para malaikat 90 peratus, para jin 9 peratus dan manusia cuma satu peratus saja. Kalau kita boleh melihat para Malaikat dan para Jin, kita jadi takut dan tidak boleh bergerak,” tutur guru agama.
Semua biji mata dalam masjid terbeliak, tidak jadi mengantuk.
“Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Kaya kerana itu para Malaikat dan para Jin tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Kalau Allah menghendaki seseorang itu melihat para Malaikat dan para Jin, perkara itu tetap akan terjadi,” tambah guru agama.
Saya terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Datuk tumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama yang tertonggok di ruang tengah masjid dengan para jemaah mengelilinginya.
“Makhluk jin juga ada yang baik dan ada yang jahat. Kalaulah ditakdirkan kita dapat melihat Jin, agak sukar untuk kita menentukan yang mana baik dan yang mana jahat,” lanjut guru agama itu.
Pelajaran tafsir itu berlanjutan hingga menjelang waktu Isyak. Saya kira setelah selesai solat Isyak, wajah guru agama tidak akan saya lihat. Begitulah juga dengan suaranya tidak akan saya dengar. Perkiraan saya itu meleset sama sekali. Tidak saya duga datuk mengundang guru agama itu datang ke rumah. Banyak perkara yang datuk tanya pada guru agama itu. semuanya berkaitan dengan hukum agama.
“Kalau pelajaran tafsiran hadis ni dapat diadakan setiap minggu alangkah baiknya,” datuk bersuara.
“Saya faham, ramai para jemaah berpendapat macam awak. Mereka mahu pelajaran tafsiran ini diadakan pada setiap minggu.”
“Soalnya, bila diadakan dua minggu sekali, perkara yang dipelajari hampir mahu lupa disambung pelajaran yang baru.”
“Ya, ya saya faham. Kalau boleh saya mahu datang tiap- tiap minggu di sini. Boleh jumpa awak selalu dan boleh makan dan tidur di sini. Tapi apa boleh buat semua jadual sudah disusun.”
“Tak bolehkah dirombak?”
“Tunggu tahun depan.”
“Hum…,” datuk seperti mengeluh.
Guru agama tersenyum.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
Dan malam itu datuk terus bercakap-cakap dengan guru agama. Datuk terus membaca Al-Quran di bahagian surah al- waqiah. Guru agama terus membuat tafsirannya dan menghuraikannya dengan teliti. Datuk terus mendengar huraian terjemahan itu. dalam waktu tertentu datuk mencatatkan ke dalam buku kecil. Guru agama itu juga menasihatkan datuk, kalau ada masa supaya membaca surah al-waqiah pada setiap malam, terutama setelah menunaikan sembahyang Subuh.
Menurut guru agama itu, surah tersebut surah yang baik. Lebih-lebih lagi kalau kita sudah memahami tafsirannya. Sesekali saya terdengar datuk dan guru agama berdebat panjang. Perdebatan mereka segera terhenti bila mereka dapat membuat sesuatu kesimpulan. Saya sandarkan badan ke dinding bilik. Jari-jemari saya terus melukis sesuatu di kertas. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya begitu minat pada lukisan. Saya mahu abadikan apa yang saya lihat ke kertas untuk dinikmati oleh orang lain. Sambil melukis saya terus pasang telinga. Mengikuti dengan teliti apa yang dibualkan oleh datuk dengan guru agama.
Ada perkara yang menarik dan ada perkara yang tidak menarik jadi topik bualan datuk dengan guru agama. Bila perkara menarik diperkatakan, saya terus jelingkan biji mata dan mengikutinya dengan penuh minat. Kalau perkara yang membosankan saya terus rasa mengantuk. Ketika itu saya terdengar suara kedua- duanya sayup-sayup dan akhirnya menghilang. Dalam saat begitu, saya terus tersengguk-sengguk. Bila mereka bincang tentang alam ghaib, mata saya terbeliak besar. Minat saya untuk mengikutinya bertambah ghairah. Saya tahan mata dari mengantuk. Saya bersenam memanaskan badan.
Sayang seribu kali sayang, perkara alam ghaib hanya disentuh sambil lalu sahaja. Perkara begini amat saya kesalkan. Apakan daya, saya tidak ada kuasa untuk menyuruh datuk dan guru agama memperkatakan perkara yang amat saya minati. Dalam keadaan demikian, saya terus terlelap.
|
|
|
|
|
|
|
|
ooo tamar jalispunya buku ya
ingat pengalaman hang sendiri
mula2 je tulisan dia betul
pas tu reka je yg banyak nyeee
tu pun ramai yg percaya?????
tak caya ke aku kata ni????
jom - kita gi sendiri |
|
|
|
|
|
|
|
Aku bukan nak orang percaya tapi terhibur juga dalam membacanya ...
Berkenaan dengan pengalaman aku, masih lagi berjalan
cumanya aku tak mahu menceritakan secara live ....
Sebab pernah aku cerita live dan dan ada yang berani cuba menempuhnya las las cari aku nak berubat ...
Jenuh la mencari punca sebab bila kita alami tetapi belum mendapat kesimpulan atau masih belum ada ending maka tak lengkaplah ...
Bila tak lengkap bagaimana akan ampuh perawatan yang di beri ... ?
Bagi aku, hanya boleh menasihati,... memana yang tidak cukup pengetahuan atau masih belum melalui pengalaman getir dan tegang janganlah mencuba ....
Kebanyakkan yang aku baca di sini hanya merawat pesakit yang terkena sihir ( buatan orang ) ...
Aku yang sekarang ni di serang oleh sihir ( dan makhluk penjaga sihir tersebut ) ... kerana merawat seseorang ... sehingga aku meminta bantuan pendapat dari peruqyah arab ( di Madinah ) ... dan beliau memberitahu bahawa aku di serang sihir peringkat tinggi ... ( masa tu aku tak update cerita sebab menahan serangan ~ setiap Khamis aku kena ... dan aku cuma tersenyum apabila doktor tidak dapat mengesan punca penyakit ,... cuma andaian yang mereka beri ) ..
Hanya seorang forummer saja yang tahu akan perjalanan pengalaman aku ... dan beliau ada menziarah aku ketika di hospital ...
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95~
Di kunjungi gadis waktu malam
Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua ditangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil. Pamerkan senyum seiring dengan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.
"Ubah tempat tidur?"
Saya terus membisu.
"Udah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"
Saya gelengkan kepala.
"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."
Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah. Suara datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.
"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil datuk kamu?"
Saya anggukkan kepala.
"Datuk kami juga kenalkan aku, sampaikan salam aku padanya."
"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?", cara mendadak sahaja saya bersuara.
Saya renung mukanya. Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperolehi kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.
"Aku segan", katanya spontan.
Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari- jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.
"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini"
"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saja"
"Sebenarnya aku tak suka kamu datang ke sini lagi"
"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu", sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
Saya terus mengucap beberapa kali. Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata. aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjaddi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa. Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil. Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan. Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekati saya. Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar. Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya.
Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dahi saya. Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali. Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yan wujud di depan saya terus ghaib. Di ganti denan lautan yang bergelombang lembut. Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Makin jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib. Saya mula melihat tubuh datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya denan wajah yang tenang. Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.
"Bangun anakku", guru agama tepuk bahu kanan saya.
"Kau sebenarnya tidak apa-apa", sambungnya dengan tenang.
Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.
"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?", soal guru agama.
"Bila saya tak sedar, bila?", saya menyoal guru agama kembali.
Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.
"Apa yang kamu nampak tadi?", tanyanya.
"Saya nampak...", saya tidak dapat meneruskan kata-kata.
Saya cuba mengingati sesuatu.
"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?", tiba-tiba datuk bersuara.
Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:14 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Lupakan apa yang kamu ingat", ujar guru agama penuh sopan.
Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.
"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah", datuk seperti memujuk.
"Tidur cu”, sahut nenek.
Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya tetapi nenek masih setia menungggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah. Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali. Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.
"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa"
"Memang saya tak demam nek"
"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal"
"Hum..."
Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai. Tidak sampai sepuluh minit nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya dihalaman rumah. Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya. Kali ini dia memakai buju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai- Iambai ke arah saya. Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang mcnyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.
"Kenapa Tamar?"
Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek. Dia segera mahu mendapatkan datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.
Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.
"Kenapa kamu bangun Tamar?"
"Sengaja bangun, nek .. Tak ada apa-apa nek"
"Dengan aku kamu nak berbohong?"
Nada suara nenek merendah. Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:14 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?"
"Kenapa dengan dia Tamar?"
"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."
"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar.
Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.
"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"
"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan datuk."
"Eh, kamu jangan bergurau Tamar"
"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?",
saya minta satu kepastian darinya. Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.
"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha"
"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya." .
"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek.
Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.
"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang.
Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.
"Anak perempuannya bagaimana nek?"
Tanpa sabar- sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga. Perlahan-lahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.
"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak.
Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha. Kenapa? Apakah Siha sudah meningalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia? Macam- macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:15 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan.
Silanya diperkemaskannya. Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separuh jalan.
"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban”
"Korban siapa nek?"
"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjadi tu, berpunca dari Jepun."
"Jadi apa yang dilakukannya nek?"
"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung”
“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”
“Tiga orang.”
“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”
“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat”, nenek terus senyum panjang.
Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering diluar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setelah itu terdengar suara perempuan batuk. Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah. Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar dimengertikan.
“Jangan pedulikan semuanya itu”, datuk urut ibu jari kaki kanannya berkali.
Nenek kelihatan tenang. Malah terus bangun menuju ke arah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri disitu buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.
“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh orang tentera Jepun menangkapnya”, sambung nenek.
“Kemudian dia dibunuh?”, tanya saya.
“Tidak”
“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”
“Juga tidak”
“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:15 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang”
“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”
“Entah”, nenek menggelengkan kepala.
Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masi hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya. Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.
“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”
“Berapa lama masa dia datang tu nek?”
“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah kemana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai- ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya.
Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi. Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan- Iahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.
"Apa yang kita dengar tadi nek, bole jadi suara Siha?", saya tatap wajah nenek.
"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek.
Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.
Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya? Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga. Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.
"Cepat, datuk dan kawannya menanti di kaki tangga"
"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah"
"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap"
Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang dikepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:15 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.
"Kenapa nenek cerita dengan datuk?"
"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku”
“Tapi, saya tak suka, nek”
“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi”
Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga. Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan. Sampai di masjid terus tunaukan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid. Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua para jemaah bersarapan pagi diluar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik hati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan.
Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu. Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya. Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.
Bagi orang-orang kampung mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa. Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan. Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah. Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan. Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilan di tangan atau menjadi hak orang lain. Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.
Prinsip mereka mudah sahaja. Tugas mereka hulurkan derma dengan ikhlas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat dimanfaat seperti yang diingini. Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah. Oran yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlua menceritakan keburukan pengutip derma pada oran. Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yan ditegah oleh Allah. Orang yang wajar bertindak iala ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan. Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.
Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat. Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan kampllng pindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung. Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang- orang kampung dalam masjid. Dalam majIis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi. Kemudian orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya. Bila orang- orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:16 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa. Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit•ungkitkan perkara tersebut oleh pak imam. Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut•nyebut perkara yang lalu. Di kampung, imam dihormati dan buah fIkirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.
"Tamar, apa yang kamu ingat?"
Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya. Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.
"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.
"Aku memikirkan sesuatu"
"Apa yang kau fikirkan?"
"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni"
"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita"
"Betul juga cakap kamu", balas saya.
Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi. Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid. Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing- masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.
"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum.
Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.
"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.
Saya renung muka datuk. lngin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu. Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.
"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara datuk seperti orang merungut. Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh datuk.
"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba- raba pangkal dagunya dua tiga kali.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:16 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Barangkali ini ujian untuk manusia"
"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin".
"Ya, itulah kebesaran Allah", ucap datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.
Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.
"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu"
"Sebab?", saya bertanya.
"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal”.
"Oh", mulut saya terlopong.
"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."
"Begitu", saya anggukkan kepala.
Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat datuk senyum.
"Eloklah diberikan nasihat padanya", suara datuk meninggi.
"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.
"Bercerita?", saya terkejut.
Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga datuk ketawa begitu.
"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang", lanjut guru agama.
"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan", sahut datuk.
''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham", sanggah guru agama.
Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut. Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih. Guru agama segera mendekati datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:16 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 95 ~
Penjaga ayam hutan
"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.
"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi".
"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik".
"Insya-Allah", jawab datuk.
Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.
"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"
"Hum...", datuk seperti tersentak.
Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.
"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"
"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"
Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.
Last edited by rdzaccess on 19-5-2013 01:17 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing
Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama- kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut. Mungkin datuk tersinggung atau mungkian dia marah dengan pertanyaan- pertanyaan yan saya ajukan kepadanya. Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesunguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu meman wajar, fikir saya sendirian.
"Imam beri dia duit, yang dikumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga datuk bersuara.
Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.
"Berapa dia dapat tuk?"
"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak"
"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.
"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil dit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras"
"Kalau macam tu, sampai bila- bila pun dia tak senang".
"Dia bukan nak cari kesenangan, dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia".
"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang" "Eh kamu", datuk terus menengking saya.
Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.
"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata datuk dan saya mula mengetahui punca datuk menengking saya.
"Dia mengajar dengan ikhals, dia tidak mengharapkan wang ringgit", kata datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.
"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang". "Itu bukan mengajar namanya, Tamar".
"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"
"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi".
"Baiklah tuk".
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing
Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal datuk hinga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, datuk bersuara.
"Kamu balik dulu, aku ada hal".
"Tuk nak kena mana?"
"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam".
"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama".
"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana".
"Jangannnnnn...", jerit datuk.
Mukanya nampak merah. Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah. Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya. Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak.
Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang. Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mcncabar saya supaya menangkapnya. Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut. Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju. Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.
Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap. Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.
Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar. Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok. Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih. Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok.
Saya melangkah dengan perlahan- lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut. Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang. Tetapi, saya tidak dapat mempastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya. Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya perhiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar- akar yang berjuntaian.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|