CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 20-5-2013 01:12 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh.Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri. Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk dibalik pokok besar. Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian. Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya.

Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil. Kata datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani mengadap sesuatu dengan cekal. Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang. Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.

Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya. Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.

Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan. Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel. Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya. Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin.

Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak".

Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak. Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya. Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi. Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.

Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang. Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak- anaknya. Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.

“Aduh”

Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu. Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan kekanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit. Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas. Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri. Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia. Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-5-2013 01:13 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati. Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan- lahan. Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta- ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.

“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.

Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan diperdu tebu.

"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang.

Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.

"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.

Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.

"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.

"Aku tak sengaja”.

"Tak sengaja, kepala bapak kamu".

“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja"

“Bodoh, sial", kutuk Mazlan.

“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya", rasa marah mula meruap dalam dada saya.

Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.

“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna”, Mazlan membakar perasaan saya dengan kata- kata yang amat menyakitkan.

“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang", saya meningkah.

Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi tinggi. Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanani saya, cepat cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok. Mazlan terdorong ke kiri . Mata golok yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.
Last edited by rdzaccess on 20-5-2013 01:20 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:14 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi. Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan. Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing- masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.

“Jaga kamu Tamar” Mazlan terus menyerang.

Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah. Dia tahu saya cuba menjadikan batang- batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai. Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya. Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.

“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku”, saya menjerit. Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta- merta.

“Apa Tamar?”

“Aku dikejar harimau, fasal tu aku lari”

“Tamar", suara Mazlan lemah.

Golok di tangannya terlepas.

“Harimau, aku dikejar harimau",saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.

“Tamar, nanti dulu”, pekik Mazlan.

Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.

“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut”

“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku”, suara Mazlan bertambah lantang.

Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya. Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah. Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:21 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu", jerit saya lalu membuka langkah semula.

Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas. Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.

"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali.

Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan. Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka. Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru. Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.
MENGADU

"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada datuk.

Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah. Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.

“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya datuk.

“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya", terang penduduk tersebut.

Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.

“Siapa yang kena baham harimau tu?”

“Zaharin, anak Alang Usman"

“Mana kamu tahu?", soal datuk bersungguh-sungguh.

Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.

“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa- apa", datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.

“Itu saya tak tahu, orang- orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau”

“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", datuk mula mencungkil rahsia.

“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:22 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.

“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin", orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan datuk.

Dua tiga kali datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar. Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu. Dua kali saya memanggil nama datuk.

Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga datuk. Dia memburu lelaki itu. Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada datuk. Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil. Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh.

Saya terus berlari. Saya berazam, bila datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya. Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh). Bila saya sampai ke tempat tersebut, datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain. Melihat batang- batang tebu yang bcrsepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ.

Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk. Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus. Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.

“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah.

Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.

“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”

“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak.

Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.

“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya. Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya. Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji- muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.

“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya",datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai.

Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.

“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit", sambung datuk lagi.

Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.

“Kamu Sha", jari telunjuk datuk menghala ke arah Shahril.

"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut datuk lagi.

“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan", jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan.

Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.

“Itu dia Zaharin", kata salah seorang dari kumpulan orang kampung.

Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.

“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.

“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau", jawab rakan datuk.

“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.

“Mazlan", jawab datuk.

“Hiss...ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa”, Zaharin berhenti bercakap.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 20-5-2013 01:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang- orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.

“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia", terang Zaharin dengan wajah kesal.

Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.

“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul", datuk bersuara dengan rasa kecewa.

Tanpa disangka-sangka sepasang mata datuk tertumpu ke arah saya.

“Kamu ni, apa kena calar- balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah", saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut datuk.

Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.

“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?", terdengar suara dari arah belakang.

Saya renung ke arah datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.

“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?", terdengar lagi suara dari arah belakang.

“Ya, kami nak tahu", sahut dari sebelah kiri.

Saya jadi serba salah.

“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata.

Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami. Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.

“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara.

Mazlan merenung ke arah saya.

“Kau terangkan Tamar", katanya.

“Aku, Mazlan?”

“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu”

“Hum", kata saya lalu renung muka datuk Perlahan-lahan datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:24 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan,’ dengan tenang saya mulakan cerita.

Semua orang kampung terdiam. Masing- masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya. Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan lukadipangkal kening kirinya.

"Bila saya langar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok", saya sambung kembali cerita yang terputus.

“Lepas tu apa yang terjadi?, soal Abang Mazlan.

"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia"

"Kamu lari ke mana?", datuk ajukan pertanyaan.

“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi"

“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?", lelaki di sisi datuk menyoal.

Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.

“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari.

Saya beritahu, harimau, harimau", Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.

“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?”, mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.

“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja", dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah.

Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.

“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh", Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.

Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-5-2013 01:24 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain", lelaki di sisi datuk melepaskan kehampaan.

Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada datuk dan kemudian mengheret datuk ke mari.


“Tak apalah, jadilah semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi", ujar datuk dalam nada suara yang lembut.

Dengan penuh hormat datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan datuk diperkenankan.
MARAH
Kerana marah dileter oleh datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu. Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya. Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau. Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan- kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.

“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.

Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.

“Kerja apa kau nak minta?”

“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar"

“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib"

“Di sana peluang aku cerah”

"Peluang kau cerah di sana?”, saya bertanya hairan.

Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah. Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:25 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya: “Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar”

"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat”

“Kamu bijak", jawab Najib bérjenaka.

Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.

“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia.

Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan. Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil. Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.

“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekemenkan aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib.

Soalnya, apakah datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.

“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.

“Kena tanya datuk aku dulu”

“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”

“Aku tak pergilah”

“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu”

“Tentu", saya anggukkan kepala.

Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.

“Kalau datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 01:26 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 96 ~
Harimau disangkakan kucing

“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib”

“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah"

“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.

Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan.

Mata berpandangan penuh sejuta makna.

“Jadi", kataku.

“Berjaya", sahut Najib.

Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.

“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.

“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi"

“Kau jangan main dan tipu aku"

“Tidak, aku berjanji", jawab Najib.

Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan. Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat. Saya senyum sendirian.
Reply

Use magic Report

Post time 21-5-2013 11:50 AM | Show all posts
rdzaccess posted on 19-5-2013 12:39 AM
Aku bukan nak orang percaya tapi terhibur juga dalam membacanya ...
Berkenaan dengan pengalaman aku ...

Aku bukan nak orang percaya tapi terhibur juga dalam membacanya ...
maksudnya klau dia tipu...hang pun sama jugak yaaaa
Berkenaan dengan pengalaman aku, masih lagi berjalan
cumanya aku tak mahu menceritakan secara live ....
Sebab pernah aku cerita live dan dan ada yang berani cuba menempuhnya las las cari aku nak berubat ...
Jenuh la mencari punca sebab bila kita alami tetapi belum mendapat kesimpulan atau masih belum ada ending maka tak lengkaplah ...
Bila tak lengkap bagaimana akan ampuh perawatan yang di beri ... ?
Bagi aku, hanya boleh menasihati,... memana yang tidak cukup pengetahuan atau masih belum melalui pengalaman getir dan tegang janganlah mencuba ....

Kebanyakkan yang aku baca di sini hanya merawat pesakit yang terkena sihir ( buatan orang ) ...
Aku yang sekarang ni di serang oleh sihir ( dan makhluk penjaga sihir tersebut ) ... kerana merawat seseorang ... sehingga aku meminta bantuan pendapat dari peruqyah arab ( di Madinah ) ... dan beliau memberitahu bahawa aku di serang sihir peringkat tinggi ...  ( masa tu aku tak update cerita sebab menahan serangan ~ setiap Khamis aku kena ... dan aku cuma tersenyum apabila doktor tidak dapat mengesan punca penyakit ,... cuma andaian yang mereka beri ) ..
Hanya seorang forummer saja yang tahu akan perjalanan pengalaman aku ... dan beliau ada menziarah aku ketika di hospital .
..

itu sihir peringkat tertinggi
mai sini aku calitkan minyak dagu piaoooo punya
baru hang leh rasa yg mana lagi power
buang jelah amalan rukyah tu...kalau hang mau sembuh leeee
biar jin tu lari jeeeeee
tak caya....buatlah sendiri
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-5-2013 05:42 PM | Show all posts
Salaam
Hang Pa nak cakap apa pun cakap lah ...
biaq pi ...
aku la ni sihat walafiat ... terima kasih ... kerana perihatin ...

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2013 09:19 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

"Kita pergi ke tempat sabung ayam", cadangan dan permintaan yang tidak pernah saya duga akan terucap dari mulut Najib.

Saya berhenti melangkah. Secara mendadak sahaja saya membayangkan wajah datuk dan pesannya yang melarang saya pergi ke tempat menyabung ayam. Kata datuk perbuatan manusia menyabung ayam adalah penyeksaan pada binatang.

Allah melarang manusia menyeksa binatang dan dosa itu akan bertambah bila sabung ayam dijadikan judi. Mahu saya katakan perkara itu pada Najib. Entah mengapa, saya bagaikan tidak terdaya mahu meluahkan kata-kata itu. Saya bagaikan dipukau mengikut rentak langkah Najib. Kawasan sabung ayam itu bukannya dekat. Kami terpaksa naik bas menuju ke tempat yang bernama Air Terjun terletak dalam daerah Larut-Matang. Turun dari bas terpaksa jalan kaki meredah kawasan hutan yang berpaya kira-kira sebatu jauhnya. Mungkin untuk kemudahan para penyabung ayam, kawasan yang berpaya itu dibina jalan kecil yang dibuat dari batang kayu bakau. Saya lebih suka menyebutnya sebagai titi atau jambatan tetapi Najib menyebutnya "Jati", kependekan dari atau gabungan dari nama Jalan dan Titi. Cuma orang-orang tertentu dan biasa berkunjung ke kawasan tersebut sahaja yang tahu mencari jalan rahsia itu.

Dari gigi jalan raya, jalan kayu itu tidak akan dapat dilihat kerana dilindung oleh pepohon tebal. Di celah-celah rimbunan pepohon tersebut terdapat lorong kecil yang boleh dilalui oleh manusia, basikal dan motosikal. Di penghujung lorong itu, terdapat kawasan lapang dengan beberapa buah bangsal yang dibina khas, beratapkan daun rumbia. Semua basikal dan motosikal orang yang mahu pergi ke tempat menyabung ayam ditinggalkan di situ.

Bagi orang-orang yang datang dengan kereta, mereka menempatkan kereta di kawasan rumah orang yang terletak di sebelah kanan jalan raya, kira-kita dua rantai dari tempat kami turun dari bas. Kerana jalan kayu bakau itu dicantum kan tiga dan kemudian diikat dengan akar kayu rotan, membolehkan orang yang berani dan keras semangat berbasikal atau bermotosikal di titi tersebut tetapi, jumlah orang yang berbuat demikian tidak ramai.

"Dalam paya ini banyak sawa rendam, ikan pun banyak", Najib memulakan cerita setelah sekian lama berdiam diri.

Saya anggukkan kepala sambil melangkah dan memijak dengan hati-hati batang bakau beratur tiga. Kawasan paya yang tidak berair, jadi tempat beburung dan biawak bermain. Ada ketikanya saya melihat ulat bergerak di kawasan tersebut. Semua yang saya lihat amat menyenangkanserta menghiburkan. Najib yang kerap berkunjung ke tempat tersebut terus menceritakan keadaan sekitar pada saya dengan terperinci. Apa yang menakjubkan saya bila melihat bebunga teratai yang berkembang segar di pennukaan air. Kalau boleh saya mahu berhenti diatas titi kayu bakau untuk menikmati keindahan alam yang terpencil itu. Bila saya nyatakan hasrat tersebut itu pada Najib, dia segera membantah.

"Tak ada sesiapa yang dibenarkan berhenti?”

"Kenapa?”, saya minta kepastian.

"Itu aku tak tahu, tetapi perkara itu sudah menjadi semacam syarat dan undang- undang. Tak ada seorang pun dibenarkan berhenti dalam perjalanan. Kalau ada melanggar, buruk padahnya. Penjelasan yang diberikan oleh Najib membuat saya ingin mengetahui padah yang akan terjadi. Sambil melangkah macam-macam yang saya fikirkan tentang padah buruk yang dikatakan oleh Najib.
"Apa padahnya Najib?”, saya berhenti melangkah.

Cepat- cepat Najib menolak tubuh saya supaya meneruskan perjalanan. Dari air mukanya, ternyata Najib tidak berkenan dengan tindakan yang saya lakukan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2013 09:20 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

"Apa padahnya, Najib?”, saya mengulangi.

"Dipanah petir, dibaham harimau atau sebagainya", suara Najib tersangkut- sangkut.

Langkahnya diperlahankan. Dia kelihatan bimbang dan seperti menyesal menjawab pertanyaan saya. Matanya merenung ke kawasan paya yang ada tanah dan ditumbuhi pepohon rendang.

"Kau tengok, Tamar”, jari telunjuk Najib menunjuk ke arah pepohon rendang.

Saya terkejut, seekor ular sawa sebesar pemeluk bergerak di situ, menuju ke kawasan berpaya lalu berenang dalam paya. Perasaan saya jadi gementar, ular sawa itu menuju ke arah kami. Dan saya mula yakin tentang penunggu yang dikatakan oleh Najib.
"Jib", kata saya lemah, bila melihat ular sawa mendekati titi.

"Sabar, kau jangan tegur, aku cakap...”, Najib berhenti bercakap.

Wajahnya nampak pucat. Air dalam paya terus beralun akibat gerak badan ular sawa. Dalam sekelip mata ular sawa yang bercorak, macam kain batik itu sudah berada dalam jarak yang dekat dengan kami.Dalam beberapa minit dia boleh memanjat tiang jambatan lalu membelit dan menelan kami. Mengingati semuanya itu, perasaan gementar saya tidak boleh ditahan-tahan lagi.

"Nak cakap apa Najib?", tanya saya terketar-ketar.

"Aku dah lupa Tamar”

"Kalau lupa, kita mati”

"Mati", kata Najib dalam nada suara yang lemah.

MULUT
Saya toleh ke kanan, saya lihat wajah Najib seperti mahu menangis. Mulutnya separuh terbuka dan sepasang matanya merenung ke setiap sudut kawasan yang berpaya itu. Air paya terus beralun dan bergelombang. Ular sawa besar itu sudah pun berada di bawah titi lalu memanggungkan kepalanya. Saya bertambah cemas dan menyerahkan segala-galanya pada keadaan. Bila-bila masa sahaja ular sawa itu boleh memanjat ke atas titi.

"Kita mesti bertindak, Najib", saya bersuara.

"Bertindak? Bertindak apa?”, Najib bagaikan terkejut dari satu lamunan yang panjang.

Dia sudah lupa dengan apa yang diucapkannya sebentar tadi. Barangkali dia terkena badi penunggu paya, fikir saya.

"Kau kata tadi, kita mesti baca. Apa yang nak kita baca?", saya cuba mengingatkan.

Kali ini, saya lihat Najib kedutkan dahi. Dia tersenyum. Langkahnya dipendekkan.

"Kita cakap macam ini Tamar: Datuk nenek penunggu paya, anak cucu nak tumpang lalu, janganlah kacau kami, izinkan kami lalu", kata Najib dengan nada suara yang cukup tinggi,boleh didengar oleh sesiapa yang berada dalam jarak lima enam rantai.

Dan saya tanpa segan-segan terus mengikuti kata-kata yang diucapkan oleh Najib dengan kuat. Suara saya dan Najib menguasai kawasan paya itu. Ular sawa di bawah titi bagaikan faham dengan apa yang kami katakan. Ekornya melibas ke kiri dan ke kanan, hingga air paya bergelombang. Kemudian ular sawa itu memusingkankepalanya ke kanan dan ke kiri macam mencari sesuatu. Akhirnya terus menyelam. Apa yang kami lihat ialah gelombang air paya yang bercampur dengan selut. Pepohon kecil di tepi paya bergerak lemah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2013 09:21 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

"Selamat kita, penunggu paya tahu cakap kita", ujar Najib, mukanya kembali merah.

Keriangan dan rasa megah terpamer di wajahnya.

"Kau jangan berhenti lagi, berniat nak berhenti pun jangan ada dalam hati", satu ingatan keras dari Najib.

"Ular sawa tu lari kerana terkejutkan suara kita, bukan kerana dia faham cakap kita, mana ada binatang yang faham cakap manusia", saya meningkah.

"Kamu jaga mulut Tamar, kalau tak ada penunggu yang kacau kamu, aku hentak kamu dengan penumbuk ini", Najib acukan buku lima ke batang hidung saya.

Sakit rasa hati dengan tindakan Najib itu. Dia mencabar kejantanan saya. Tak mengapalah, kepercayaannya pada perkara tahyul dan mengarut tidak boleh dibantah buat sementara waktu, fikir saya sambil menggigit bibir. Kami pun sampai ke tempat yang dituju. Memang tidak saya sangka kawasan sabung ayam itu cukup bersih dan cantik. Tidak jauh dari gelanggang sabung terdapat dua buah pondok yang lengkap dengan tandas, telaga, tempat tidur dan dapur masak. Pondok yang sebuah lagi itu, saya kira sebuah warung yang mennjual makanan, rokok dan lain-lain.

Terdapat beberapa jalan rahsia untuk menyelamatkan diri jika diserbu oleh pihak berkuasa. Waktu saya tiba, dua ekor ayam sedang berlaga. Saya mendapat tahu salah seekor dari ayam itu, adalah ayam sabung jaguh dari Kelantan yang datang khas untuk melawan ayam jaguh tempatan. Orang yang bertaruh wang pun bukan sedikit jumlahnya. Kawasan hutan itu, bergegar dengan tempik sorak orang berjudi. Sedih saya melihat ayam sabung tempatan kalah dengan jaguh ayam sabung dari Kelantan. Tuan punya ayam sabung yang datang dari Kelantan itu kecil orangnya. ,Dia tidak mahu menyebut dirinya datang dari Kelantan. Dia megah, kalau disebut sebagai orang Melayu Pattani.
"Mana jaguhnya?", seorang lelaki muncul di tepi gelanggang.

Orangnya berbadan tegap, berkulit gelap dan memperkenalkan dirinya sebagai Agam sahaja. Semua orang berada di situ merenung ke arah Agam. Beberapa orang segera menghilangkan diri. Mereka syak, Agam anggota polis yang datang menyamar sebagai penyabung ayam. Dalam keadaan yang agak berkocak itu, Udin Tarzan muncul dari belakang warung. Mata Udin Tarzan tertumpu ke wajah saya.

"Apa kamu buat di sini Tamar?”, soalnya.

"Saja datang”

"Datuk kamu tahu kamu datang ke sini?”

"Tak tahu”

"Hum, kamu yang bawa orang yang bernama Agam ke sini?”

"Tidak, baru kenal di sini”

"Hummmm", keluh Udin Tarzan.

Saya kenal benar dengan Udin Tarzan yang berbadan tegap. Lengan dan pahanya nampak berulas-ulas. Jaguh gaduh dan kaki pukul. Tetapi, dia pernah kecundang dengan datuk dan akhirnya amat menghormati datuk. Patutlah saya jarang bersua dengannya. Rupa- rupanya Udin Tarzan sudah jadi pengawal keselamatan tempat sabung ayam, bisik batin saya. Din Tarzan terus memerhatikan gerak-geri si Agam. Saya teringat secara tiba-tiba bagaimana Udin Tarzan mencabar datuk di depan masjid Kampung Kota, sebaik sahaja datuk keluar dari masjid setelah menunaikan sembahyang Zuhur. Udin Tarzan terus menghulurkan tangan kanan tetapi kakinya cuba menyepak pangkal paha datuk. Sebelum sepakan itu kena paha datuk, datuk undur setapak ke belakang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-5-2013 09:22 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

"Dengar khabar awak orang tua handal, boleh saya cuba?", tanyanya.

"Saya tak pandai dan handal. Kau tahu, yang paling handal dan kuat ialah Allah, saya minta pertolongan dari-Nya", jelas datuk.

"Saya anak Pulau Pangkor dari Sungai Pinang. Saya nak uji awak", Udin Tarzan terus mencabar.

"Tak usahlah", kata datuk.

"Saya nak cuba", Udin Tarzan keluarkan golok panjang.

Datuk jadi cemas. Datuk terus membongkok dan ambil sepotong kayu.

"Tak usahlah bergaduh, baik kau balik",datuk terus memujuk.

"Orang tua penakut", Udin Tarzan terus mencabar.

"Baiklah, kau berhajat kau tetak saja kayu ini, kalau putus aku mengaku kalah", kata datuk lalu menghulurkan kayu yang dipegangnya pada Udin Tarzan.

"Hiss...”, sindir Udin Tarzan dengan sekaligus dia menetak kayu yang dihulurkan oleh datuk kepadanya.

Dengan sekali tetak kayu itu putus dua, bahagian hujung yang terputus itu melayang ke depan lalu memukul pangkal kemaluan Udin Tarzan. Dia terpekik terlolong menahan kesakitan. Datuk segera merawatnya. Bila sakitnya hilang, dia segera berjabat tangan dengan datuk.

"Saya tahu awak bukan orang tua sebarangan. Tua awak tua berisi. Belum pernah kayu yang ditetak datang pada orang yang menetaknya, bukan sekali dua saya menetak kayu yang dihulurkan orang, tetapi dengan awak saya terkena", kata Udin Tarzan.

"Kamu mesti belajar lagi", ujar datuk sambil mengosok- gosok kepala Udin Tarzan.

Sejak itu, rasa hormatnya pada datuk tidak terhingga. Kadang-kadang amat keterlaluan. Bila dia menghormati datuk dengan sendirinya dia amat segan dengan saya. Dia selalu memikirkanyang datuk telah mencurahkan bermacam- macam ilmu pada saya.

"Kamu dari mana?", Udin rapat pada Agam.

Apa yang saya fikirkan dalam kepala semuanya tumpas. Agam tersenyum sambil melurut kepala ayam sabungnya dengan manja.

"Aku dari Ulu Bernam. Dengar khabar ayam di sini jaguh- jaguh belaka, aku nak mencuba”

"Kamu mata gelap polis", tuduh Udin Tarzan.

"Tidak, kalau tak percaya sila periksa", jawab Agam segera diperiksa oleh kakitangan Udin Tarzan.

Mereka puas hati, Agam bukan hantu polis. Udin Tarzan segera memberitahu ketuanya, (orang yang menjalankan judi sabung ayam haram) seorang lelaki keturunan Pakistan (emak Melayu, ayah Pakistan) yang berbadan tegap. Dia hanya muncul sekali-kali untuk mengutip bayaran pada orang yang menggunakan gelanggangnya. Orang yang menang kena bayar dan yang kalah pun kena bayar. Kalau membantah, Udin Tarzan akan bertindak. Bila ketua Udin Tarzan puas hati dengan laporan yang diberi, Udin Tarzan pun mengumumkan yang gelanggang boleh digunakan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2013 09:22 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

Sebelum ayam sabung dilepaskan dalam kawasan gelanggang, Udin Tarzan minta tiga ringgit seorang dari orang yang mahu bersabung ayam.Orang ramai mula bersorak, orang dari Kelantan mula melepaskan ayam sabungnya di gelanggang. Agam masih berdiam diri. Orang dari Kelantan terpaksa mengambil ayamnya kembali. Agam terus duduk di bucu gelanggang. Matanya renung setiap wajah yang adadi situ. Bila matanya bertentang dengan mata saya, dada saya terus berdebar.

"Aku rasa lain macam aje orang tua tu", bisik saya kepada Najib.

"Ya, aku pun macam tu. Matanya macam ada satu kuasa. Namanya pun ganjil. Mana ada orang nama Agam, kalau Adam tu adalah", Najib memberikan pendapatnya.

Saya tidak berani menentang mata Agam tetapi, saya merasa yakin kedatangan Agam disitu bukan untuk menyabung ayam.Dia ada mempunyai niat yang lain. Apakah tujuannya yang sebenar, saya tidak dapat memberikan jawapan.

"Jangan-jangan dia penunggu paya yang menyerupai manusia", tercetus kata-kata itu dari Najib.

Saya segera menjuihkan bibir ke depan. Kemudian saya senyum sinis padanya. Najib segera menarik wajah masam. Dia kurang senang dengan tingkah laku saya.

"Kamu tak percaya dengan apa yang kamu tengok?”, soal Najib mendadak.

Saya terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Sukar untuk memberikan jawapan. Silap jawab, boleh mengecilkan hati dan perasaannya.

"Kau tak percaya, Tamar?”, Najib minta kepastian.

"Susah aku nak cakap, Najib”

"Sama ada kau percaya atau tidak, itu hak kamu. Aku tak boleh paksa. Masing-masing ada pendirian. Aku harap pendirian kita yang berbeza, tak merosakkan hubungan kita”

"Aku setuju Najib, pendirian dan persahabatan memang tidak sama”

"Ya, kau betul, Tamar” Hati saya cukup lega.

Najib terhindar dari rasa kecil hati. Saya yakin hubungan kami pasti terus erat. Masing- masing bersedia bertolak ansur. Menghormati dan menghargai pendirian serta pendapat antara satu sama lain. Saya menarik nafas lega dalam sinar matahari petang yang kian meredup.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2013 09:23 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 97 ~
Udin Tarzan yang tewas

Saya dongak ke langit, melihat gumpalan awan putih yang berarak menuju arah selatan. Beberapa orang yang berada di bucu gelanggang menjeling ke arah Agam dengan penuh rasa curiga. Saya lihat Agam tetap tenang, sesekali dia mengukir senyum sambil mengguris-guris tanah di depannya dengan ranting kayu.

"Mana ayam awak? Gelanggang tak boleh dibiar lama-lama begini", Udin Tarzan bercekak pinggang depan Agam.

Tanpa membuang masa Agam terus toleh kiri dan toleh kanan.

"Tengok apa?”, suara Udin Tarzan makin keras dan garang.

"Heh, nanti orang bawa ayam datang”

"Berapa lama saya nak tunggu?", Udin Tarzan genggam penumbuk.

Terus berlegar-legar di depan Agam. Saya segera renung wajah Najib dengan rasa cemas. Bagaikan diarah oleh kuasa ghaib, serentak saya dan Najib beredar dari tepi gelanggang menuju ke pohon kundang condong. Saya kira, berada dalam jarak jauh dari gelanggang paling selamat. Kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini, boleh angkat kaki dengan segera.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-5-2013 12:06 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 98 ~
Kaki berbulu

Dalam irama pembacaan ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun. Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah penghuninya bukan sedikit. Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha. Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.

"Beberapa orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan dan luka akibat perbuatan orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.

Sebaik sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan kesakitan.

"Kamu sihir aku", bantah Amjal Kamal.

"Tidak, kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara Agam lemah.

"Bohong", sergah Amjal Kamal.

"Ya, aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah kanan.

"Ajaib sungguh", keluh saya dalam hati. Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya. Semuanya terjadi tanpa diduga. Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih. Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding tepas dan beratapkan rumbia. Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang, cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.

Para penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau perempuan, bentuk tubuh mereka tetap besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang rendah. Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali. Kanak-kanak yang berusia sekitar enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.

Hampir semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai serban dan songkok dibuat dari kain putih. Semua orang perempuan di perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain putih. Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap halaman rumah sukar untuk mencari daun. Orang-orang tua duduk di anjung rumah membaca Quran atau berkasidah memuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 09:42 AM GMT+8 , Processed in 0.260170 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list