KUALA LUMPUR – Seorang pengurus kilang berusia 55 tahun mengalami kerugian RM1.1 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis Perai pada 11 November lalu.
Katanya, mangsa memaklumkan sudah ditipu bermula pada 19 September lalu apabila dia menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai dari Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Pemanggil mendakwa nombor telefon dan akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di Kuching, Sarawak.
“Pemanggil mendakwa mangsa perlu membuat laporan polis kerana kes berlaku di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ramli memaklumkan, pengadu kemudian disambungkan panggilan ke seorang individu dikenali sebagai ‘SI Tony’ dan mengarahkan mangsa untuk melaporkan semua pergerakan kepadanya.
Jelas Ramli, mangsa kemudian turut dihubungi oleh seorang lagi individu bernama ‘Tuan Zaki’ yang mengarahkannya memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.
“Suspekk turut mengugut, jika arahan tidak dipatuhi, mangsa akan ditahan dan didakwa di mahkamah.
“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat 34 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza dari 24 September hingga 5 November.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya,” katanya.
Menurut Ramli, kes seperti ini dapat dilihat bagaimana pihak sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes itu.
“Taktik ini digunakan untuk mengawal mangsa agar terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional.
“Mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa juga arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian,” katanya.
Tambahnya, masyarakat juga perlu tahu bahawa laporan polis tidak boleh dibuat melalui panggilan telefon dan siasatan juga tidak dijalankan melalui panggilan telefon.
“Sekali lagi kami nasihatkan supaya jangan percaya langsung bahawa pemanggil adalah pegawai polis,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2024/11/27/pengurus-kilang-rugi-rm1-1juta-ditipu-sindiket-phone-scam/