|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 100 ~
Muncul dan hilang sekelip mata
Najib dah banyak ceritakan tentang diri awak pada saya,” kata-kata Ramli itu amat mengejutkan saya.
Wajah Najib segerea saya renungi. Dia senyum lalu menganggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diungkapkan oleh Ramli. Hati saya berdebar, mungkin Najib sudah menceritakan sesuatu yang tidak wajar diceritakan pada Ramli. Saya memisahkan diri dengan Ramli lalu mendekati Najib.
“Apa yang kau cakapkan dengannya Jib?”
“Tak ada apa-apa, Cuma aku ceritakan tentang keberaniaanmun, Tamar.”
“Aku tak percaya.”
“Sumpah, aku tak tipu kamu,” jelas Najib tetapi rasa ragu-ragu terus menyelubungi diri saya.
“Kau ceritakan apa yang kita alami dalam hutan dulu?”
Aku mula membuat tuduhan melulu.
“Kau gila, aku tak sebodoh itu. Aku bukannya budak-budak tau!” Herdik Najib. Mukanya mula merah padam. Bila sudah sampai tahap tersebut, saya tidak berani melemparkan sebarang tuduhan lagi pada diri Najib. Kalau diteruskan, boleh menimbulkan kemarahannya. Saya terus membisu dan membuat kesimpulan Najib memang bercakap benar dengan saya.
Ramli terus mendekati kami.
“Ke mana lagi kita nak pergi?” Ramli mengajukan pertanyaan pada Najib.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya harus mengambil kesempatan ini untuk menenangkan perasaan Najib.
“Bagaimana kalau kita melihat jerat pelanduk,” kata saya.
“Boleh juga,” sahut Ramli lalu merenung muka Najib sepupunya.
Najib tersenyum lalu merenung ke arah saya. Dia gelengkan kepala.
“Kenapa Najib?” Saya menyoal.
“Tak ada apa-apa tetapi aku keberatan untuk pergi ke dalam hutan lagi, susah aku nak cakapkan pada kamu, Tamar. Tapi aku harap kamu faham kenapa aku tak mahu pergi,” satu penjelasan dari Najib yang jawapannya sudah ada dalam tempurung kepala saya.
Dan saya tidak pula mendesak. Perkara itu mati di situ sahaja.
Demi kebaikan dalam persahabatan, saya penuhi permintaan Najb yang mengajak saya minum kopi di warung Pak Mah Noh. Sesungguhnya, minum di warung sama ada minum kopi atau minum minuman dalam botol, bukanlah kegemaran saya. Pesan datuk, sebaik-baiknya saya mengelakkan diri dari minum di warung, kecuali kalau sudah terdesak.
Di warung Pak Mat Noh, Najib minum kopi, Ramli minum teh dan saya minum air sejuk yang sudak dimasak. Najib memberitahu, sepupunya masih menuntut di salah sebuah sekolah Inggeris di negerinya. Musim cuti dia suka menghabiskan masanya dengan mengembara dalam hutan serta memanjat gunung lalu berkhemah di situ bersama kawan-kawan yang sehaluan dengannya.
“Cuti kali ni, orang tua saya tak benarkan saya pergi masuk hutan atau daki gunung.” Ramli membuka rahsia dirinya.
“Jadi kerana itu kau datang ke mari,” celah saya.
“Ya, memang tepat,” jawabnya ringkas lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali.
Kemesraan dalam keramahan segera terjalin dengan eratnya antara saya dengan Ramli. Banyak pengalaman menarik yang dialaminya ketika mendaki gunung diceritakan pada saya.
Lepas minum di warung Pak Mat Noh, saya dan Najib membawa Ramli ke gelanggang orang belajar silat. Kemudian membawa dia ke rumah Pak Din yang handal membuat wau dan gasing. Akhirnya, kami berkubang di sungai. Bila sudah kecut kulit badan baru berhenti mandi.
Kata Ramli, pengalaman yang diperolehinya bersama saya dan Najib amat menyeronokkan. Saya terpisah dengan Najib dan Ramli. Kami berjanji untuk bertemu pada petang besoknya dengan beberapa rancangan yang menarik.
Seminggu Ramli di kampung, saya rasa cukup seronok dan bahagia sekali. Ramli yang tidak dapat memisahkan dirinya dari bercakap dalam loghat Kedah itu, ternyata manusia yang kaya denga humour. Kadang-kadang dia membuat saya ketawa hingga tidak kering gusi.
Tidak hairanlah, ketika dia mahu berangkat ke Kota Sarang Semut, saya dan Najib seperti keberatan mahu melepaskannya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 100 ~
Muncul dan hilang sekelip mata
“Sebenarnya, aku nak balik minggu depan tapi, orang tua aku dah datang ambil, aku tak boleh buat apa-apa,” katanya pada saya dari tingkap kereta Austin Eight, berwarna hitam milik ayahnya.
“Cuti yang akan datang, dia tak boleh ke mana-mana. Dia mesti menumpukan masa pada pelajaran,” tanpa diduga ayah Ramli yang jadi guru sekolah Melayu di tempatnya memberikan keputusan muktamad. Saya dan Najib berpandangan. Kereta Austin Eight yang membawa Ramli pun bergerak meninggalkan kami.
Beberapa tahun kemudian, saya mendapat tahu Ramli telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman Barat, kemudian bekerja di Singapura, di Kedah iaitu di Sungai Petani. Akhir sekali dia berkhidmat dengan MARA di Kuala Lumpur.
Beberapa jam selepas Ramli pulang, saya meninggalkan rumah Najib tetapi hasrat kami untuk pergi ke Alor Setar tetap tidak pudar. Bila sampai ketika dan saat yang baik semuanya akan dilaksanakan.
Kerana hari sudah hampir gelap, saya mengambil jalan dekat untuk pulang ke rumah. Bila saya memilih jalan dekat, ertinya saya terpaksa melalui kawasan getah yang amat luas dan sunyi. Cuma ada sebuah sahaja rumah dalam ladang getah tersebut. Rumah itu sudah lama tidak didiami tetapi, masih ditunggui oleh beberapa ekor anjing.
Pemilik rumah sebuah di tengah ladang itu seorang lelaki India yang berusia sekitar empat puluhan. Dia ditugaskan oleh pemilik ladang tersebut mengawasi pokok getahnya dari ditoreh secara curi pada sebelah petang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Kira-kira tiga bulan yang lalu, lelaki India itu telah mengamuk, memburu dua orang anak lelakinya yang berusia sekitar 16-17 tahun dari pangkal ladang hingga ke hujung ladang dengan pisau sabit. Dia jadi demikian, kerana kecewa dengan sikap isterinya yang lari dari rumah mengikut lelaki lain
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
Sejak kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah. Lelaki India itu merasa amat kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya. Akhirnya, lelaki India itu mengambil keputusan gantung diri dalam rumah hingga mati. Mulai dari tarikh itu, rumah yang sebuah itu terus kosong. Hanya anjing peliharaannya sahaja yang masih setia menunggu rumah.
Biasanya, kalau saya yang lalu di situ anjing peliharaan tidak menyalak atau mengejar saya. Mungkin anjing itu sudah biasa dengan bau badan saya.
Berdebar juga ketika melintas rumah kosong, maklumlah hari sudah samar-samar. matahari sudah berada di kaki langit. Pepohon getah yang rapat dan berdaun lebat membuat cuaca di jalan tanah merah yang saya lalui bertambah suram. Kalau saya ikut jalan raya (jalan jauh) saya tidak menghadapi masalah sesulit ini.
Angin yang bertiup terus menggerakkan dedaun dan reranting getah. Dedaun getah yang tua gugur ke bumi. Beberapa kali langkah saya terhenti, diganggu oleh monyet liar yang melompat di dahan getah. Saya kian mendekati rumah usang dan cara mendadak darah saya tersirap. Suara salakan anjing bertalu-talu membuat tubuh saya gementar.
Buah getah dan reranting getah berguguran, macam ada kuasa yang mengugurkan. Monyet-monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan macam dikejar sesuatu. Dedaun getah yang bergerak macam disentuh ribut mengeluarkan bunyi yang amat menggerunkan.
Dari celah-celah daun yang lebat itu, saya melihat ke dada langit. Awan nampak bersih, cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi. Saya cuba berlari tetapi, tidak terdaya saya lakukan. Sepasang lutut saya terasa cukup lemah.
Saya cuba bertenang dan cuba menguasai perasaan gementar supaya tidak bertambah kuat. Usaha saya itu berhasil, saya berjaya mengawal perasaan cemas dan takut. Akal fikiran saya mula terbuka, bersedia untuk bertindak untuk menghadapi sesuatu. Memang betul, cakap datuk yang pernah menasihatkan saya supaya bersikap tenang, gunakan fikiran, jangan panik bila berdepan dengan suasana yang mencemaskan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
Suara salakan anjing terus menguasai kawasan ladang. Saya sudah bersedia untuk melawan anjing-anjing tersebut, sekiranya saya diserang. Saya segera mengambil sepotong dahan getah yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Kayu itu tetap saya jadikan senjata untuk mempertahankan batang tubuh saya dari digigit oleh gigi anjing yang tajam itu. Lama saya menunggu, anjing-anjing yang dijangka menyerang saya itu tidak datang.
"Kenapa? Mesti ada sesuatu," bentak batin saya.
Seluruh pandangan saya tujukan ke arah pondok usang. Saya lihat dua ekor anjing menyalak ke arah tumah usang. Dua tiga ekor lagi megelilingi rumah tersebut. Biasanya, bila anjing menyalak mesti ada sesuatu. Anjing tidak akan menyalak tanpa sebab. Siapakah yang berada di dalam rumah usang waktu senja begini? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
Rasa cemas kembali menguasai hati, bila saya terdengar bunyi suara gagak atas bumbung rumah tersebut. Serentak dengan itu saya terihat pintu rumah usang yang tertutup rapat, terbuka perlahan-lahan. Saya juga melihat cahaya lampu minyak tanah. Ada bebayang manusia bergerak dalam rumah. Saya terhidu bau tembakau rokok.
Bila saya ama-amati ternyata bau tersebut datang dari arah rumah usang. Dua kali saya terdengar suara orang batuk dan dituruti dengan suara orang bercakap. Saya pasti yang bercakap itu seorang lelaki Melayu dan seorang lagi lelaki India. Mereka bercakap tentang masalah kewangan.
Beberapa ekor anjing meluru ke arah saya. Kayu di tangan saya pegang erat-erat dan bersedia untuk dihayunkan ke arah anjing-anjing tersebut. apa yang mengejutkan, bila anjing-anjing itu berada dalam jarak yang dekat dengan saya, terus berhenti menyalak, seolah-olah memperlihatkan sikap persahabatan. Semua anjing-anjing itu menggoyang-goyangkan ekor sambil mengelilingi saya.
Salah seekor dari anjing tersebut yang berwarna kuning, berbadan besar dan tegap, berlari berulangkali ke arah rumah usang sambil berbunyi. Kemudian datang kearah saya. Tiga kali saya biarkan anjjing itu berbuat demikian, hingga timbul dalam hati saya yang anjing tersebut mahu menyatakan sesuatu tentang apa yang ada di dalam rumah usang.
Saya nekad untuk pergi ke rumah usang. Hati saya tiba-tiba sahaja jadi berani, beberapa ekor anjing yang mengelilingi saya terus meluru ke depan, seolah-olah menjadi kepala jalan yang sekaligus melindungi saya.
Langkah kian teratur menuju ke pintu rumah. Sebaik sahaja saya berdiri di depan pintu, secara mendadak pintu rumah terbuak perlahan sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring akibat engselnya sudah berkarat kerana sudah lama tidak digunakan.
Sarang labah-labah dan sawang yang bergantungan di muka pintu bergerak-gerak lembut dan akhirnya pecah akibat diterpa angin. Saya terpaku di muak pintu, tidak tahu, apa yang harus saya lakukan.
Cahaya lampu minyak tanah terus menerangi ruang depan rumah. Anjing-anjing yang mengiringi saya segera duduk di tanah sambil merendah-rendahkan muncungnya macam mahu menyondol tanah. Anjing-anjing itu tidak menyalak lagi tetapi, bersuara mendayu-dayu.
Beberapa minit kemudian semua anjing-anjing itu melengking dengan suara yang tinggi dan melompat lalu lari ke arah kawasan pinggir ladang getah. Saya yakin, semua anjing-anjing itu dipukul. tekaan saya tidak salah, bila melihat beberapa ekor badan anjing itu berdarah dan berlari terjingkit-jingkit. Siapa yang memukulnya?
"Siapa di dalam?" Jerit saya.
"Aku, kenapa? Apa yang kau mahu?"
"Ha....."saya gagal meneruskan kata-kata kerana terkejut menerima jawapan yang diluar jangkaan saya.
Suara orang ketawa memanjang dalam rumah usang jelas kedengaran.
Keadaan cuaca terus beransur gelap dan saya berazam untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya maju setapak, berdiri tidak jauh dari ambang pintu. Bila saya sudah melangkah setapak ke depan, ertinya saya sanggup menerima sebarang risiko. Saya jenguk ke dalam rumah. Lampu minyak tanah terlekap di dinding. Sesekali terdengar suara orang berbisik.
"Ya Allah...", saya separuh menjerit.
Ranjan (pemilik rumah usang) berdiri di depan saya. Bagaimana orang yang sudah mati boleh hidup semula? Tanya hati kecil saya. Walaupun demikian tubuh Ranjan yang terpacak di depan terus saya renungi. Saya lihat di batang lehernya terdapat kesan luka akibat dijerut dengan tali belati.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
Saya tidak mengizinkan sepasang mata saya merenung lehernya lama-lama. Suara raungan anjing-anjing terdengar sayup-sayup di hujung ladang getah. Entah mengapa saya jadi berani secara tiba-tiba sahaja. Bagaikan ada sesuatu kekuatan yang tersendiri datang dalam diri saya. Ranjan terus merenung saya sambil membuka mulutnya perlahan-lahan.
Bila mulutnya sudah ternganga lebar. Saya lihat lidah pucatnya bergerak-gerak dalam rongga mulut. Lidah itu kelihatan membesar dan menjulur sedikit demi sedikit hingga sampai ke paras dada. Lidah tersebut kelihatan terbuai-buai ke kiri ke kanan, macam daun pisang dara dirempuh angin.
Serentak dengan itu terdengar suara orang bersorak dengan gamat yang datangnya dari arah kiri dan kanan rumah. Suara tanpa manusia itu mendebarkan hati. Bunyi dengung lalat, langau bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga. Saya segera menekup telinga dengan sepasang telapak tangan.
Ranjan mengangkat kedua belah tangannya lalu menghalakan ke arah batang leher saya. Sampai di sini keberanian tidak dapat saya pertahankan, semuanya hancur berderai. Badan saya berpeluh dan menggigil. Segera saya pusingkan tubuh ke kanan sambil merendahkan badan. Tanpa membuang masa, saya terus melompat dalam jarak dua kaki sebelum berdiri untuk membuka langkah lari seribu langkah.
Saya terus berlari, suara cengkerik, suara katak dan bunyi burung tukang, bagaikan mempersenda-sendakan langkah saya. Hati terus dibalut rasa cemas dan takut.
"Hai, nanti dulu Tamar,"
Saay segera toleh ke kanan, ke arah suara itu datang. Kali ini langkah saya benar-benar kaku. Amjal Kamal berdiri senang di bawah pohon cempedak. Sepasang matanya yang hampir tersembul merenung ke arah saya.
Kulit dahinya terkoyak hingga menampakkan kedua belah tulang keningnya. Darah merah segar mengalir di kedua belah pipinya. Daging pipi sebelah kirinya terkeluar, bergantuingan macam daging lembu yang digantung di pasar untuk dijual.
Tulang dagunya terkopak macam dihentak atau terhempas pada benda yang keras. telinga kirnya terkoyak dan bibir bawahnya pecah. Hidungnya tiada dan kulit di batang lehernya terkopak, urat dan tulang leher jelas kelihatan, buah halkumnya bergerak lemah bercampur dengan darah.
Baju yang dipakainya semuanya koyak rabak, begitu juga dengan seluarnya. Saya tidak tahu apa yang wajar saya lakukan? Apakah saya perlu memberikan pertolongan padanya? Jangan cari penyakit, cara yang paling baik dan selamat tinggalkan dia sendirian di situ.
Sebelum saya memulakan langkah, lagi sekali wajah Amjal Kamal yang aneh itu saya tatap. Sepasang matanya yang tersembul tetap merenung sayu ke arah saya. Seolah-olah minta pertolongan dan simpati. Renungannya begitu sayu dan bersahaja sekali. Dia menangis, kata saya bila melihat air matanya mengalir atas daging pipinya lalu bersatu dengan dengan darah. Saya jadi simpati. Rasanya, tidak sampai membiarkan dia sendirian.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Rasa simpati yang datang dalam hati, membunuh rasa takut dan cemas dalam diri saya. Setiap kali melihatkelopak matanya yang tersembul berkelip, rasa mahu menolongnya kian menjadi-jadi dalam hati.
"Kenapa kamu jadi macam ini?" Tanya saya.
Tidak ada jawapan yang saya terima, cuma renungannya kian redup, kian sayu, minta dikasihani.
"Kenapa kamu lari, waktu orang ajak kamu pergi ke masjid?" Soal saya.
Macam tadi juga, jawapannya tidak saya perolehi. Matanya tetap merauti seluruh wajah saya. Bila saya terlalu lama merenunginya begitu tanpa berkedip, mebuat hati saya jadi cemas kembali.
Saya terpaksa menggunakan senjata terakhir, iaitu membuka langkah untuk pulang ke rumah. Suara lolongan anjing sudah lama berhenti tetapi, sura cengkerik, katak dan burung hantu tetap menyanyi tanpa irama yang tertentu. Sambil berlari, saya terus menoleh ke belakang, saya lihat Amjal Kamal yang sudah berubah bentuk itu tetap berada dekat saya. Dia seolah-olah mengapai-gapaikan tangannya untuk berpaut pada baju saya.
Ketika itu juga saya teringat cakap orang tua ganjil bahawa Amjal Kamal yang mati akan kembali dalam bentuk dan cara lain untuk menjahanamkan siapa sahaja yang pernah menghalang cita-citanya. Malangnya, orang tua itu tidak memberitahu saya bagaimana cara-cara untuk menghancurkan penjelmaan kembali Amjal Kamal itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
"Tamar, ke mana kamu nak pergi?"
Saya pasti itu suara datuk. Tetapi saya tidak mampu memperlahankan langkah kaki yang sedang berlari. Terasa sekujur tubuh Amjal Kamal dengan wajah yang mengerikan tetap mengekori saya.
Datang lagi suara datuk. Saya segera menoleh ke kiri tanpa disangka tubuh terlanggar pohon petai. Bahu kiri, terasa seperti mahu tercabut. Amjal Kamal dengan wajah yang menakutkan terus hilang entah ke mana.
Cuaca bertambah gelap. Dalam keadaan yang terhoyong-hayang itu, sepasang tangan kasar memeluk tubuh dengan kuat. Saya terus meronta-0ronta dan suara datuk terus memukul gegendang telinga saya. Wajahnyatidak dapat saya lihat. Usaha saya berhasil, sepasang tangan yang memaut tubuh dapat saya buka dengan membantingkan tubuh orang itu ke perdu petai.
Orang itu mengerang kesakitan, saya tidak dapat mempastikan siapakah yang jadi mangsa saya. Apakah orang itu patah atau pengsan bukanlah urusan saya. Apa yang penting, saya harus berlari ke mana sahaja mengikut kata hati. Saya halakan tubuh ke arah matahari jatuh sambil memulakan langkah.
"Uhhhhh...," pekik saya sekuat hati.
Sepasang tangan saya gawangkan ke kiri dan ke kanan. Saya tidak dapat berdiri dengan baik. Ada yang menaburkan jala besar ke arah saya. Sepenuh tenaga saya melompat hingga jala yang menyerkup saya pecah berderai.
Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terasa ada orang menyarungkan guni padi ke kepala saya. Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah di rusuk kanan. Saya tidak dapat berdiri lalu jatuh terduduk.
Sepasang kaki saya ditarik dan dada saya ditekan. Saya terbaring dan tubuh yang sudah dibalut dengan guni itu terus digolek ke mana-mana. Tubuh saya diangkat dan diusung. Akhirnya, dihumbankan ke dalam sebuah kolam. Saya mual kelemasan dan terus menelan air kolam, tekak terasa payau. Terasa ada orang merentap guni yang membalut tubuh.
Telinga saya masih menangkap suara orang bercakap. entah apa yang dicakapkan, saya sendiri tidak tahu. Fikiran saya sekejap berada di satu tempat lain dan sekejap berada di tempat apa yang sedang saya alami sekarang. Tubuh saya diangkat dari perut kolam. Diletakkan di atas tanah. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, saya masih mampu melihat api jamung dari daun kelapa menerangi sekitar kolam.
Sukar untuk mengenali orang-orang yang mengelilingi saya. Pandangan saya agak kabur kerana air kolam masih lagi menguasai kelopak mata. Badan saya menggeletar kesejukan.
"Apa dah jadi dengan kamu, Tamar?"
Perlahan-lahan saya pusingkan leher ke kiri. Untuk seketika, wajah datuk yang duduk mencangkung itu saya tatap. Entah, mengapa saya tidak berminat mendengar suara dan wajahnya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan ke langit.
Saya tatap gumpalan awan dan bintang di langit. Tidak semena-mena, muncul Amjal Kamal di awang-awangan. Bergerak bebas ke sana ke maro sambil melambai-lambaikan tangan ke arah saya.
"Hei, nanti dulu Tamar," katanya.
Dia berhenti betul-betul di depan mata saya. Aneh, saya tidak berlari atau berjalan tetapi, kenapa dia menyuruh saya menantinya. Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu. Amjal Kamal terus mendekati saya. Dia membalingkan seketul tanah di muka saya. Bila tanah menyentuh kulit muka, terasa panas macam kena api. Buat beberapa detik saya tidak tentu arah.
"Kamu sekarang, tunduk dengan aku, kamu faham!" Ujarnya.
"Faham," jawab saya.
"Kamu ikut perintah aku, tunduk dengan kata-kata ini: Dari hati, dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh,"
"Saya faham," nada suara saya lembut.
Amjal Kamal yang berada di awang-awangan itu ketawa berdekah-dekah. Saya tidak tahu, apakah ketawanya didengar oleh datuk dan rakan-rakannya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
"Kamu kenal siapa ini?" Amjal Kamal mengeluarkan sebuah patung dari celah ketiaknya.
Patung itu ditayangkan pada saya seketika. Saya gelengkan kepala. Memang sukar untuk mengenali patung tersebut berwajah siapa dari jarak jauh.
"Baiklah, sekarang kaulihat dengan teliti," kata Amjal Kamal lalu membesarkan patung itu seperti bentuk manusia biasa.
"Kau kenal, siapa orangnya, Tamar?"
"Kenal."
"Siapa dia, Tamar?"
"Datuk saya."
"Sebenarnya, dia musuh kamu."
"Bukan, dia bukan musuh saya, dia datuk saya," begitu yakin saya mengucapkan kata-kata itu. Amjal Kamal gelengkan kepala beberapa kali.
"Cuba kau perhatikan dengan teliti Tamar."
Saya pun mematuhi arahan Amjal Kamal. Saya perhatikan dan saya telek patung sebesar manusia itu dengan teliti. Memang bukan datuk, cuma bentuk tubuh dan wajahnya hampir menyamai datuk
"Kau puas Tamar?"
"Ya. Saya puas hati, buka datuk saya."
Saya segera anggukkan kepala. Amjal Kamal tersenyum. Dia suruh saya merenung ke arah dada kiri patung. Apa yang disuruhnya saya patuhi. Bila saya renung ke arah dada kiri patung itu, kelihatan cahaya berkelip-kelip macam cahaya batu delima. Betul-betul berada di bahagian jantung. makin lama direnung, mata jadi silau dan kepala terasa pening. Timbul keinginan dalam diri saya untuk memiliki benda yang memancar seperti batu delima itu.
"Tamar, dengar sini. Ini perintah, dari hati, dari perasaan dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh, Tamar," terdengar suara Amjal Kamal bergema dari setiap sudut.
Wajahnya tidak dapat saya lihat.
Suara Amjal Kamal makin lama, makin kuat dan nyaring. Saya kira, kalau tidak dijawab, suara itu tidak akan berhenti lalu saya membuat keputusan:
"Ya, aku patuh pada perintah kamu."
"Bagus, kau pengikut yang setia."
"Apa perintah untuk aku?"
"Kamu mesti menikam ke atah dada orang yang bercahaya itu."
"Mahu ditikam dengan apa?"
"Dengan pisau."
"Dengan pisau? Perintah bodoh. Mana ada pisau pada aku?"
"Ada, kau raba bawah ketiak kamu."
Perintah itu saya turuti. Memang benar, sebilah pisau pendek saya temui di bawah ketiak sebelah kanan. Hulu pisau saya pegang erat-erat. Suara ghaib terus bergema memerintah saya menikam ke arah benda bercahaya. Saya tidak ada pilihan lain. Dengan sepenuh tenaga, saya balingkan pisau ke arah benda yang berkelip itu. Tepat pada sasarannya. Terdengar jeritan dan benda yang berkilat itu hancur berkecai, badan patung berkecai dan berterbangan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
Melihat kejadian yang tidak pernah diduga, saya terkejut. Seluruh badan saya menggeletar. Badan saya terasa kecil dan mula terpisah dari keadaan yang saya alami. Telinga saya mula terdengar suara orang bercakap. Antara sedar dengan tidak, saya cuba menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan. Tidak mahu memandang ke langit lagi.
"Curahkan air ke mukanya, dia masih khayal." saya mendengar suara datuk.
Belum pun sempat saya mengeluh atau bersuara. Satu baldi air tercurah ke muka. Saya seperti terpinga-pinga melihat jamung yang marak menyala. Saya ditempatkan atas pengusung yang dibuat dari buluh. Kedua belah tangan dan kaki saya diikat dengan rotan.
Saya lihat Mat Daud dan Azizi Jabar masih berdiri di tepi kolam ikan milik Haji Sulung. Kedua-duanya membimbit baldi kosong. Salah satu dari baldi itu digunakan untuk mencurahkan air dari kolam ikan ke muka saya.
"Macam mana saya boleh berada disini?" Tanya saya pada Uda Lamat yang berdiri dekat pengusung.
Orang tua itu tersenyum. Saya cuba menggerakkan jejari tangan dan kaki yang terasa kaku dan kebas.
"Kamu lari satu ladang ni sambil bertempik macam gajah hilang anak." ujar Uda Lamat, disambut dengan ketawa oleh beberapa orang yang berada di situ.
"Nak tangkap kamu terpaksa di jala." celah Mat Daud yang tiba-tiba diri dekat Uda Lamat.
"Kemudian dihumban ke dalam kolam ikan, lepas itu diikat pada pengusung, kalau tak dibuat macam ni, entah kaki gunung mana kamu pergi." tambah Uda Lamat lagi.
Dalam keadaan terkapar atas pengusung, saya terus mengingati punca kejadian itu berlaku. Semuanya jelas terbayang tetapi saya tidak menduga sama sekali yang saya mengalami keadaan seperti ini. Menggemparkan orang kampung hingga mereka terpaksa menggunakan kemampuan apa yang ada pada mereka untuk menangkap saya.
"Huh...," saya mengeluh dan tubuh mulai terasa sejuk.
"Kenapa Tamar?" Uda Lamat mendekati saya.
"Sejuk, saya sejuk," kata saya pendek.
"Pukul berapa sekarang?"
"Entah, aku tak ada jam," Uda Lamat terus memandang ke arah Mat Daud yang menyeluk saku.
Mat Daud mengeluarkan jam sakunya. Jam saku yang bulat dan berantai itu dibawanya ke bawah api jamung yang marak.
"Lagi sepuluh minit pukul sepuluh," jerit Mat Daud ke arah saya dengan kuat.
Lagi sekali saya mengeluh, sesungguhnya saya sudah membuat masa yang begitu lama dalam ladang getah," tidak mendatangkan apa-apa hasil yang menguntungkan.
Andainya saya ikut jalan raya, tentu peristiwa semacam ini tidak terjadi?
Secara spontan timbuk pertanyaan dalam diri saya. Apakah semua yang saya alami ini bernar-benar terjadi atau hanya khayalan dari perasaan saya sahaja? Lagi sekali saya menarik nafas atas pengusung.
"Bawa saja ke rumah, sampai di rumah boleh dikisahkan mana yang patut." beritahu datuk pada Mat Daud.
Selesai sahaja datuk bercakap, pengusung pun diikat. Dan malam itu saya bagaikan putera raja diarak dalam kebun getah dengan diterangi cahaya dari jamung. Sampai di rumah saya disambut oleh nenek dengan tangisan. Atas kemahuan datuk, saya diletakkan di anjung rumah. Jiran tetangga dari kaum perempuan dilarang menghampiri saya. Hati nenek bertambah hiba bila datuk mengeluarkan perintah demikian.
Lebih dari sepuluh minit saya dibiarkan terkapar atas pengusung di anjung. Kemudian datuk meletakkan telapak tangan kirinya atas dahi saya. Dari dahi telapak tanagn kiri itu digerakkan ke bawah menyentuh dada, perut dan akhirnya berhenti di hujung ibu jari sebelah kanan. Rotan yang mengikat sepasang kaki dan tangan pun dibuka. Saya disuruh duduk dan dipaksa meneguk air dingin dari labu tanah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 101 ~
Rahsia sebuah rumah tinggal
"Sekarang kamu jangan memikirkan apa yang sudah kamu rasakan." ujar datuk dengan tenang.
Saya terdiam, sukar untuk saya melupakan sesuatu keanehan yang saya alami. Walaupun, permintaan datuk tetap saya patuhi meskipun perkara itu sukar untuk saya lakukan.
"Kamu faham dengan apa yang aku cakapkan tadi, Tamar?" datuk renung seluruh wajah saya.
"Faham."
"Sekarang pergi mandi," datuk keluarkan perintah.
Matanya tertuju ke wajah nenek. Dan nenek bagaikan mengerti dengan renungan datuk itu. Tanpa membuang masa nenek segera mendekati saya. Pergelangan kaki dan tangan saya disapunya dengan sejenis minyak. Tujuan nenek berbuat demikian supaya bekas ikatan rotan di tempat tersebut tidak bengkak atau luka. Nenek memapah saya ke bilik mandi.
Nenek tidak membenarkan saya memegang gayung dan menjirus air ke tubuh sendiri. Saya disuruh meniarap atas simen dengan dagu berlapikkan tempurung jantan. Tiga kali nenek jiruskan air atas pusat. Setiap kali air menyentuh pusat, sejuknya bukan kepalang, terasa meresap hingga ke tulang belakang. Saya tidak berani membantah, mungkin apa yang nenek lakukan itu, sudah diberitahu oleh nenek terlebih dahulu kepadanya.
Upacara mandi malam itu diakhiri dengan mandi air daun pandan yang sudah direbus. Dijirus mulai bahu sebelah kanan, membawa ke kiri. Air itu tidak boleh menjamah kulit telapak kaki. Setelah itu tubuh saya dibalut dengan kain pelikat. Saya dibawa ke anjung kembali. Kawan-kawan datuk yang membantunya menangkap saya di ladang getah, sudah pulang kecuali Uda Lamat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Siri tok awang ngah xde k ? |
|
|
|
|
|
|
|
Ada ... nanti selepas ni baru siri Tok Awang Ngah ...
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
Entah mengapa, Uda Lamat yang pendiam dengan usianya yang muda beberapa tahuin dari datuk, masih mahu bercakap dengan datuk. Paling membosankan perkara yang dikaitkan ialah tentang diri saya. Datuk ternyata terpengaruhh dengan pendapat Uda Lamat.
“Bukan lari sebarang lari, perkara macam ni pernah saya alami masa saya muda-muda dulu,” Uda Lamat memperkemaskan silanya.
Paha kanan diletakkan diatas peha kiri. Jejari kakinya bergerak- gerak.
“Di mana?”
“Di kampung saya, anak buah saya sendiri yang mengalaminya. Menurut bomoh masa itu, anak buah saya diresapi roh jahat. Fasal tu dia buat perkara tak senonoh,” lanjut Uda Lamat.
“Kesudahannya macam mana?” Tanya Datuk lagi.
“Mati.”
Datuk terkejut, biji matanya terbeliak.
“Dia masuk ke hutan cari harimau, bawa parang mahu tetak tengkuk harimau, kesudahannya leher anak buah saya itu dipatahkan oleh harimau, saya berharap perkara macam itu tidak akan jadi pada cucu awak.”
“Saya juga harap perkara buruk tak akan terjadi,” datuk garu pangkal dagu.
Mereka berhenti bercakap. Tiba-tiba rasa cemas dan takut menguasai diri saya. Ada bermacam-macam suara datang ke lubang telinga saya.
“Apa yang saya suruh awak buat tadi, semuanya itu, petua yang dibuat oleh orang tua lelaki saya pada anak buah saya yang mengalami perkara yang saya sebutkan tadi,” cukup teratur Uda Lamat mengungkapkan kata-kata.
Dan saya mula faham, apa yang dilakukan oleh nenek pada saya di bilik mandi tadi, adalah petua dari Uda Lamat.
“Ya, petua ni kadang-kadang menjadi kadang-kadang tidak,” datuk menyanggah. Saya lihat Uda Lamat anggukkan kepala.
“Memang betul cakap awak. Satu perkara yang pasti, setiap kerja mesti kita mulakan dengan Bismillah. Kerja petua juga dimulakan dengan Bismillah sambil hati mengharapkan Allah yang maha besar menghilangkan penyakit.”
“Betul, betul,” datuk angguk kepala.
Uda Lamat hirup kopi yang disediakan oleh nenek. Malam kian larut, suasana terasa sunyi. Sesekali terdengar bunyi suara burung jampuk dan jeritan tikus liar di bawah rumah. Kesunyian malam yang kian tua itu membekalkan rasa dingin yang keterlaluan. Tetapi, saya masih mahu bertahan untuk berada di anjung dalam keadaan berbaring. Hati kecil saya bagaikan dipaksa-paksa untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Uda Lamat dan datuk.
Saya rasakan kemesraan yang diperlihatkan oleh Uda Lamat itu, adalah sesuatu yang baru. Lelaki tua berkulit hitam, berbadan tegap, berambut putih yang mengelilingi botak di tengah kepalanya itu, tidak pernah merelakan dirinya menghabiskan masa malamnya di rumah orang. Biasanya, dia merasa bahagia menghabiskan waktu malamnya dengan salah seorang isteri mudanya. Semua orang tahu Uda Lamat ada empat isteri. Isteri pertamanya sudah berusi lebih dari lima puluh tahun.
Tetapi, tiga orang lagi isterinya, berusia sekitar tiga puluhan hingga empat puluhan. Ketiga-tiganya memiliki wajah yang menarik. Kekayaannya memiliki berekar-ekar tanah sawah dan kebun getah memberi peluang padanya mempunyai isteri muda. Satu keistimewaan Uda Lamat, tiga orang isteri mudanya cacat anggota, ada yang berjalan tempang, tangan kudung dan bisu. Satu hal yang pasti mereka memiliki raut wajah yang ayu.
Kata orang, Uda Lamat kahwin bukan kerana nafsu tetapi lebih banyak didorong oleh rasa simpati mahu menolong sesama insan yang cacat. Inilah yang membuatkan orang kampung mengkagumi dan menghormati Uda Lamat. Dan Uda Lamat pula tidak pernah merasakan dirinya besar kerana penghormatan itu. Malah, dia sendiri merasakan penghormatan itu tidak pernah wujud pada dirinya.
Jam di dinding rumah berbunyi dua belas kali. Satu teko kopi tanpa susu yang disediakan oleh neneh sudah habis diminum, sedangkan saya sudah dua kali terlelap. Bualan datuk dengan Uda Lamat kian mengendur. Tidak serancak tadi. Uda Lamat sudah beberapa kali menguap panjang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
“Dah pukul dua belas malam,” Uda Lamat menggosok belakang tangan kanannya.
Datuk mendirikan lutut kanannya. Dia senyum ke arah Uda Lamat.
“Ngape, dah mengantuk ke?”
“Tidak, tapi sejuk.”
“Kalau begitu kena baliklah, kena cari kawan yang boleh menghilangkan sejuk,” datuk berjenaka lalu disambut oleh Uda Lamat dengan ketawa panjang.
Matanya berair. Dua tiga kali telapak tangan kanannya memukul lantai anjung. Usikan datuk itu amat mencuit hatinya.
“Kalau begitu nasihat awak, biarlah saya balik,” kata Uda Lamat setelah ketawanya berakhir.
Saya yang baring segera angkat kepala. Saya kira Uda Lamat pasti angkat punggung sebaik sahaja kata-katanya berakhir. Sangkaan saya meleset. Uda Lamat kian memperkemaskan silanya.
“Tunggulah sampai subuh, lepas tu bolehlah balik, kalau ada perkara yang tak baik jadi pada cucu saya, bolehlah awak beri petua,” datuk menjentik kepala lutut Uda Lamat.
“Saya rasa cucu awak tak apa-apa.”
“Tapi saya mahu awak menemani saya.”
“Tak apa, dia dah pulih, saya yakin perasaannya sudah aman dan tenteram, cucu awak dah pulih. Biarlah saya balik dulu,” Uda Lamat segera bangun.
Datuk garu hujung dagunya beberapa kali. Datuk turut bangun dan berdiri di sisi Uda Lamat.
“Saya tak berapa seronok, bila awak balik cepat. Rasanya, saya perlukan pertolongan awak, banyak perkara yang boleh awak tolong saya,” datuk luahkan perasaannya.
Tangan kanannya diletakkan atas bahu kiri Uda Lamat. Buat beberapa saat Uda Lamat genggam tangan datuk erat-erat. Perlahan-lahan tangan datuk yang tersadai atas bahu dijatuhkannya.
“Tak apa, dengan izin Allah. Cucu awak tak apa-apa. Awak bacalah Quran sampai subuh,” Uda Lamat tepuk bahu datuk berkali-kali.
Senyum datuk terukir di bibir. Saya tahu, senyum itu sekadar untuk melindungi keresahan dalam dirinya. Dia tidak berhasil menahan Uda Lamat bertahan di rumah hingga menjelang subuh.
“Biar saya pergi dulu.”
Uda Lamat menghulurkan tangan. Datuk sambut dengan perasaan yang berbelah bagi. Datuk mengiringi langkah Uda Lamat hingga ke muka pintu. Jamung di kaki tangga pun dinyalakan. Angin malam yang bertiup terus merempuh di jamung yang mula marak. Kokok ayam terdengar sayup-sayup.
“Saya balik dulu.”
“Ya, selamat jalan. Terima kasih kerana awak sanggup bersusah payah menolong saya,” suara datuk merendah.
“Itu hanya adat, hidup sekampung kenalah tolong-menolong.”
“Hanya Allah saja dapat membalas jasa awak.”
“Apa yang kita lakukan adalah atas kemahuan-Nya juga,” Uda Lamat merendahkan diri. Dia pun memulakan langkah pertamanya.
Bertemankan cahaya jamung, Uda Lamat terus membelah malan yang kian tua. Api jamung melintuk-liuk dirempuh angin. Langkah Uda Lamat tetap teratur. Makin lama, makin jauh dan mengecil api jamung yang dijulang oleh Uda Lamat dari penglihatan mata datuk. Kokok ayam kian bertalu-talu. Dan angin pun kian rancak berhembus menyentuh dedaun dan reranting pokok hingga melahirkan bunyi yang tidak menentu.
Datuk masuk ke rumah. Daun pintu dirapatkan, terus dikunci. Datuk menyuruh saya masuk ke bilik. Saya mohon padanya supaya saya dibenarkan tidur di ruang anjung.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
“Masuk ke dalam bilik,” suara datuk keras.
“Saya rasa di sini selesa, tuk.”
“Jangan bantah cakap aku, masuk ke dalam. Kalau ada apa-apa hal senang nak bertindak. Kalau tidur di luar nanti kamu melompat tingkap susah pula nanti.”
“Hmm..” Saya lepaskan keluhan kecil.
Panas rasa hati, bila datuk menyindir saya begitu. Rasa benci terhadap datuk datang meluap-luap.
Saya mula terdengar suara Amjal Kamal mengeluarkan perintah yang berbunyi: “Ini perintah, dari hati dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani. Kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh.”
Saya termanggu-manggu, suara itu datang dari segenap sudut, bagaikan mahu pecah gegendang telinga saya dibuatnya.
Saya tidak ada jalan lain, terpaksa menekup kedua belah telinga dengan telapak tangan. Suara itu masih bergema juga. Saya terpaksa melekapkan telinga ke celah paha. Usaha saya tidak juga berhasil. Batang tubuh Amjal Kamal terpamer di depan mata. Dia mengangkat tangan menyuruh saya melakukan sesuatu.
“Ya, dia musuh,” kata saya.
“Mesti dibunuh, kaulihat kerlipan di bahagian dada kirinya.”
“Ya, saya nampak saya harus membunuhnya. Saya mesti menikamnya dengan pisau belati,” sehabis sahaja saya memberikan pengakuan sebilah pisau belati jatuh di depan saya.
Segera saya ambil. Saya merasai diri saya bukan berada di dalam rumah. Tetapi, berada di satu ruang bangunan yang luas macam istana. Seorang lelaki yang kurang jelas wajahnya berdiri di depan saya. Dada sebelah kirinya mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip. Rasa marah datang meluap-luap dalam rongga dada.
Saya mendekati lelaki itu dengan pisau di tangan. Aneh lelaki itu tetap menanti saya. Inilah yang membuatkan saya bertambah marah. Saya renung benda yang bekelip-kelip di dada sebelah kiri lelaki itu. Saya terus membuat perhitungan untuk membenamkan pisau ke dada lelaki itu. Saya sudah menemui sasarannya. Dengan sekali tikam sahaja, saya yakin lelaki itu akan tergolek di lantai.
Saya juga yakin, bila semuanya terlaksana dengan baik. Suara ghaib, yang memerintah saya melakukan perbuatan itu akan memuji saya. Tentu saya diberikan hadiah.
“Kau sudah sampai saatnya,” terdengar lagi perintah ghaib.
“Tapi,” perasaan saya bersuara.
“Tidak ada tapi, inilah saatnya untuk kamu membunuh musuh, tikam dengan cepat,” datang lagi suara ghaib. Saya masih berdepan dengan lelaki yang wajahnya tidak jelas.
Saya sudah nekad untuk menyelesaikan tugas yang diberikan. Secepat kilat, saya meluru ke arah lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas itu. Tanpa membuang masa, saya melepaskan tikaman dengan sekuat hati ke dada kiri lelaki yang bekelip-kelip itu.
“Tamar, kamu melawan,” satu tempikan yang kuat menyumbat ke lubang telinga saya.
Badan saya terasa bergoyang. Muka saya menerima tamparan yang kuat. Kulit muka terasa pecah kepedihannya tidak dapat saya gambarkan. Kerana tidak terdaya menahan sakit, saya rebahkan badan di lantai. Saya terdengan bunyi suara yang amat kuat macam suara deru keretapi. Saya pejamkan mata kerana dalam perhitungan saya, saat kematian sudah sampai.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
Bila suara menderu macam keretapi itu hilang. Terasa suasana jadi fana dan sepi sekali. Saya buka mata, orang pertama yang saya lihat ialah wajah datuk.
“Kenapa tuk?” Tanya saya.
“Tak ada apa-apa,” jawabnya.
Sungguhnya jawapan itu tidak dapat saya terima. Datuk menyembunyikan sesuatu dari saya. Saya kumpulkan segala fikiran untuk menyorot apa yang terjadi. Semuanya tidak berhasil. Saya tidak dapat mengingati apa-apa pun.
“Kenapa tuk?” Ulang saya lagi.
“Kau menumbuk dada aku tamar,” suara datuk kesal.
Saya terdiam, hampir mahu menangis saya mendengar kata-kata dari datuk. Dialah satu-satunya lelaki di dunia ini yang saya hormati dan saya sayangi.
“Maafkan saya tuk, saya tak sedar dengan apa yang saya lakukan,” saya berlutut di depan datuk.
“Sudahlah, aku secara tak sengaja menampar kamu,” datuk terus memeluk saya.
Pipi saya diusapnya berkali-kali. Wajah datuk nampak sungguh sedih. Dalam keaadan yang agak gawat itu dia mencium dahi saya. Tanpa disedari saya menangis.
“Sudahlah Tamar, masuk ke bilik. Pergi tidur.”
“Maafkan saya tuk, saya tak tahu dan tak ingat apa yang saya buat.”
“Sudahlah, ada sesuatu yang tak kena pada kamu, pergilah tidur,” begitu lembut nada suara datuk.
Permintaannya segera saya akur. Perasaan saya sungguh terharu, datuk sendiri mengemaskan ranjang tidur untuk saya. Datuk selimut tubuh saya.
Seperti selalu, datuk tetap mengingatkan saya untuk membaca ayat-ayat suci sebelum mengajak mata tidur. Itu pun saya lakukan. Saya baca fatihah dua puluh satu kali, baca ayat kursi tujuh kali, mengucap dan beberapa ayat lain lagi saya baca. Saya bersyukur setelah mematuhi cakap datuk itu, saya dapat tidur dengan lena. Tidak ada mimpi yang kurang menyenangkan saya alami.
“Bangun Tamar.”
Badan saya digoncang berkali-kali. Antara mahu dengan tidak, saya terpaksa membuka kelopak mata. Buang gebar tebal yang membaluti tubuh.
“Bangun sembahyang,” Sambung datuk.
“Ya,” saya terus bangun. Duduk mencangkung di bibir ranjang.
“Sebelum ambil air sembahyang, buat senanam dulu Tamar.”
“Ya,” jawab saya pendek.
Senaman yang biasa saya amalkan terus saya lakukan. Datuk melakukan sembahyang sunat subuh. Selesai senaman, saya pun mahu bergegas ke bilik mandi. Tetapi, saya tidak meneruskan langkah tersebut.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Kita Sembahyang sendirian.”
“Baiklah tuk,” saya pun meneruskan langkah yang terhenti.
Rancangan yang sudah disusun mengalami gangguan sebentar. Pintu bilik air tertutup rapat. Nenek sedang mandi, saya terpaksa menunggu.
Sementara menanti nenek keluar, saya duduk di bangku tidak jauh dari bilik air. Pada mulanya saya berjuntai kaki, kerana tidak tahan disebabkan kedinginan, kaki segera saya letakkan diatas bangku. Saya berpeluk tubuh. Sepatutnya, saya tidak mengalami rasa kedinginan, saya sudah bersenam dan peluh pun sudah pecah.
Barangkali angin pagi bertiup kencang di luar, fikir saya dalam hati sambil menguap panjang. Rasa mengantuk masih terasa.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
“Tamar.”
Saya merenung wajah nenek. “datuk kamu di mana?” Sambung nenek.
“Di atas.”
“Dia biarkan kamu seorang diri di sini?”
Nenek tidak berpuas hati dengan tindakan datuk. Saya tersenyum dan saya harus bertindak dengan bijak agar tidak berlaku sebarang ketegangan antara datuk dengan nenek yang berpunca dari saya.
“Saya yang minta datuk, jangan ikut saya.”
“Kamu ni, dah sihat benarkah?”
“Sihat, saya memang tidak apa-apa nenek.”
“Hum tak ada apa-apa, bila kau memekik dan nak lari tu bukan apa-apa namanya,” nenek jegilkan biji mata ke arah saya. Tidak ada jawapan yan dapat saya berikan untuk menafikan kata-kata yang nenek ungkapkan itu.
“Pergi, biar aku tunggu kamu di sini.”
“Tak payah tunggu saya nek, saya tak apa-apa. Kalau nenek tunggu, saya tak mahu masuk ke bilik air,” saya menggunakan senjata ugutan.
Malu rasanya sudah besar begini, masih ditunggu nenek.
“Kamu memang keras kepala, tak apalah aku tak tunggu tapi, ada apa-apa cepat-ceoat beritahu aku,” kata nenek.
“Saya tahu, nenek.”
“Hisss.....” nenek menjuihkan bibir ke bawah.
Kemudian melangkah kebiliknya. Saya tersenyum lalu bersiul kecil sambil melangkah ke bilik air.
Pada mulanya, saya bercadang mahu mengambil air sembahyang sahaja. Tetapi, bila sudah berada dalam bilik air, seluruh tubuh terasa panas. Saya membuat keputusan mengejut. Ambil gayung lalu jirus air ke tubuh. Sebaik sahaja air satu gayung menyentuh badan, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari. Saya tergamam dan gayung di tangan tidak jadi menyeduk air dalam kolah.
“Tamar, kau buat apa tu,” terdengar suara nenek.
“Saya mandi.”
“Selalunya kau tak mandi pagi, kenapa kau mandi pagi kali ni, Tamar.”
“Nek, saya sedar apa yang saya buat,” kata saya lalu membuka pintu bilik air.
Saya hulurkan kepala untuk nenek melihat keadaan saya yang sebenar. Ternyata perbuatan saya itu dapat menyakinkan nenek yang saya masih waras. Masih berada di alam nyata. Tanpa diduga, tindak-tanduk saya itu membuatkan nenek ketawa terkekeh. Agaknya, dia terasa lucu. Nenek kembali ke tempatnya. Pintu bilik mandi saya rapatkan. Mandi yang tergangu, saya teruskan kembali.
Baru lima gayung air membasahi tubuh, saya terasa sejuk dan terus mengigil. Gigi atas dengan gigi bawah terus berlaga hingga mengeluarkan bunyi. Saya berhenti mandi dan mengambil air sembahyang, kesejukan yang menguasai tubuh membuat saya merasa kurang selesa untuk berjalan atau bergerak ke mana-mana.
Ini merupakan gangguan yang kurang menyenangkan. Tetapi saya terus melawan rasa sejuk itu dengan melakukan senaman dan berlari hingga sampai ke dalam bilik tidur. Saya sarung kain, pakai baju dan songkok.
Saya melangkah dari bilik tidur untuk melakukan sembahyang subuh. Datuk masih duduk tertonggok membaca al-Quran. Suaranya cukup jelas dan nyaring. Sebaik sahaja saya melangkah bendul pinti bilik, kaki kiri saya terasa berat untuk menerusan langkah ke arah sejadah yang terbentang di sisi datuk. Telapak kaki saya bagaikan melekat di papan. Rasa cemas dan mengelabah mula datang ke dalam diri, darah gemuruh mula terasa. Saya jadi marah dengan keadaan yang saya lalui. Saya kumpulkan tenaga, fikiran dan perhatian untuk melawan keadaan yang melingkari diri saya ketika itu.
Dalam saat yang genting itu, saya merasai seluruh tubuh badan terumbang-ambing, perasaan dan fikiran saya seperti berada dalam satu tempat atau suasana yang berlainan, seolah-olah saya berada dalam dunia yang serba asing.
Diri saya berada dalam satu ruang dewan yang cukup luas. Penuh dengan bangku-bangku yang tersusun rapi tidak diduduki oleh manusia. Ada irama muzik yang lembut. Di pentas, seorang lelaki dengan wajah yang tidak berapa jelas berdiri di situ.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 102 ~
Jamung tengah malam
Sekali imbas, wajah lelaki itu menyerupai wajah datuk tetapi bila direnung lama-lama wajah itu bertukar menjadi samar-samar serta tidak begitu jelas.
Saya jadi terpaku dengan apa yang saya hadapi. Saya jadi bodoh, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan. Dalam keadaan terpinga-pinga itu, saya terdengar bunyi deru keretapi malam yang memekakkan anak telinga, kepala terasa sakit, ruang dewan nampak bergegar. Bangku-bangku kosong berlaga sesama sendiri. Saya tutup telinga dengan telapak tangan. Saya pejamkan sepasang kelopak mata dengan serapat-rapatnya.
Saya berusaha berhempas pulas untuk melepaskan diri dari keadaan yang tidak menyenangkan itu. Dalam pergelutan itu, tanpa diduga wajah Amjal Kamal muncul beberapa detik di ruang mata. Bila wajanhnya hilang, bunyi yang tidak menyenangkan itu juga turut hilang. Suasana teramat amat sepi. Kalau sebatang jarum jatuh pun pasti dapat didengar.
Dalam suasana yang hening itu terdengar suara Amjal Kamal bergema dari sudut ruang, mengeluarkan perintah: “Ini perintah, dari hati dair perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Minta maaf nak tanya. cerita ni macam sambung dari cerita lain saja.
ada link rumah sebelum ni tak?
thank you.
|
|
|
|
|
|
|
|
stonez145 posted on 5-6-2013 12:42 PM
Minta maaf nak tanya. cerita ni macam sambung dari cerita lain saja.
ada link rumah sebelum ni tak? ...
sory2 dah jumpa.
|
|
|
|
|
|
|
|
Okay ... enjoy ...
Terima kasih ...
Banyak lagi yang ada ....
Buat masa sekarang sedang sibuk buat perawatan ... |
|
|
|
|
|
|
| |
|