|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan yang bulat itu bergerak dan berpusing. Tanah didepannya kelihatan merkah. |
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
Dalam keadaan yang teragak-agak itu, mata saya terpaku ke arah benda bulat yang bergolek-golek ke arah saya. Sebelum benda itu terkena kepala lutut, segera saya tahan dengan telapak tangan. Benda itu tidak bergerak, sebaliknya tegak dengan sendiri sambil mengeluarkan cahaya yang putih. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.
“Tamar, aku dah dapat lampu picit,”
jerit Mat Prai lalu menyuluh ke arah saya.
Cahaya dari lampu picit itu terkena pada benda bulat yang tegak di depan saya.
“Tamar batu nisan orang lelaki di depan kamu,”
pekik Mat Prai.
Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan yang bulat itu bergerak dan berpusing. Tanah didepannya kelihatan merkah.
Batu nisan yang terpacak di depan saya terus hilang. Serentak dengan itu terdengar bunyi tapak kaki orang melangkah, datang dari sebelah kanan. Berpandukan pada cahaya lampu picit Mat Prai, saya terus menggolekkan badan kearahnya, melanggar apa sahaja yang ada di tanah. Saya dapat menyatukan diri dengan Mat Prai.
“Kau tengok tu,”
Mat Prai menghalakan muncung lampu picit ke kanan, saya terlihat kaki yang bahagian atasnya berbentuk macam kaki gajah.
Penuh dengan bulu tebal, tumit kakinya berbentuk agak tajam seperti taji ayam jantan, jari kakinya berjumlah tiga.
Ibu jarinya bulat dan mempunyai lekuk macam lok keris, manakala dua lagi jarinya kelihatan seperti bercantum dan mengeluarkan cairan yang berwarna putih. Saya mula terhidu bau daun sirih yang baru dipatahkan dari dahannya.
Secara mendadak lampu picit Mat Prai tidak menyala. Kedua belah bahu saya dan Mat Prai seperti ditekan dengan sebatang kayu membuat kami tidak dapat bergerak. Kalau bergerak seluruh sendi terasa sakit. Kami tiada pilihan, selain dari mengarahkan biji mata kami ke arah kaki besar yang berbulu. Kaki itu bergerak ke arah longgokan durian di kaki tangga pondok. Puas saya mencari sebelah lagi kaki yang berbulu.
“Puas aku cari sebelah lagi kakinya. Agaknya, memang makhluk ni berkaki satu,”
bisik Mat Prai.
“Agaknya,”
saya segera anggukkan kepala.
“Makhluk apa ni?”
rungut Mat Prai lagi, sebaik sahaja Mat Prai selesai merungut, seluruh kawasan sekitar kami terang macam keadaan terang bulan.
Beberapa ekor kelawar berterbangan di atas kepala kami bersama dengan suara lolongan anjing dan jeritan burung hantu.
Kaki besar yang berbulu berhenti bergerak. Tempatnya digantikan oleh seekor tupai yang bulunya keperang-perangan.
Besarnya lebih kurang sama besar dengan kambing dara. Mata tupai aneh itu merenung ke arah kami dengan tajam. Giginya yang tajam dan putih itu dipamerkan ke arah kami, misainya bergerak-gerak. Ekornya digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan.
“Triitttttt…,”
suara dari tupai aneh itu memekakkan anak telinga kami.
Dalam tempoh beberapa saat sahaja beratus-ratus ekor tupai berwarna hitam terjun dari ranting pokok sekitar kawasan pondok. Semuanya menuju ke arah longgokan durian.
Mulut saya dan Mat Prai ternganga. Memang tidak masuk akal dan sukar dipercayai malah akan jadi bahan ketawa kalau disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di dunia. Mereka pasti tidak percaya bila diberitahu, ada tupai hitam menjelma waktu malam untuk makan durian yang dilonggokkan. Tupai-tupai itu hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melenyapkan jumlah durian lebih dari seratus biji. Semua yang saya lihat membuat badan saya berpeluh dalam lolongan anjing dan nyanyian burung hantu yang memanjang.
“Panggil datuk kamu, aku bimbang kalau tupai-tupai itu menyerang kita,”
Mat Prai menyuarakan kebimbangannya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
“Nanti dulu,”
kata saya.
Sebab utama saya tidak mahu memanggil datuk kerana saya tidak dapat bersuara dengan lantang. Tekak saya terasa sakit dan pedih. Selain dari itu, saya jadi terhibur melihat kumpulan tupai yang sudah kekenyangan itu membawa biji-biji durian ke tempat lapang. Biji durian itu dilonggokkan di situ. Bila kerja itu sudah selesai, kulit-kulit durian pula diusung lalu dilonggokkan dekat biji durian.
Tupai yang berbadan besar tetap melihat gerak-geri anak buahnya sambil berbunyi, seolah-olah mengeluarkan perintah.
Tupai besar itu berdiri dengan ekornya dicacakkan ke tanah. Sekali pandang tupai tersebut kelihatan seperti duduk mencangkung dengan kaki depannya memeluk tubuh. Anak buahnya meletakkan tujuh ulas isi durian yang cantik di depannya. Bila dia memakan durian tersebut, anak buahnya duduk kaku, seolah-olah memberikan penghormatan padanya.
Bila tupai besar itu selesai makan, biji durian yang diluahkannya segera diambil oleh anak buahnya dan terus ditanam. Kemudian salah seekor dari anak buahnya membawa beberapa helai daun sirih hutan yang sudah dicalitkan dengan kapur sirih. Tupai besar itu segera menjilat daun sirih hutan beberapa kali. Daun sirih yang sudah dijilatnya itu diletakkan di hujung kaki kanannya, sebaik sahaja hujung kaki kanan terkena daun sirih, semua anak buahnya bertempiaran lari lalu mencari dedahan berdekatan. Apa yang saya dengar ialah bunyi suara tupai.
Bila suara tupai tidak kedengaran lagi, saya dan Mat Prai terpandangkan kaki besar yang berbulu bergerak (dalam keadaan melompat-lompat) akhirnya terus hilang. Saya dan Mat Prai cuba bangun tetapi ternyata kami tidak terdaya bergerak.
Pangkal pinggang terasa sakit, sendi-sendi terasa bisa yang amat sangat. Saya dapati pelita yang padam dalam pondok menyala kembali. Kulit durian dan biji durian yang berlonggok terus hilang. Apa yang ada ialah beberapa helai daun sirih yang sudah dicalit dengan kapur berserakan di kawasan pondok.
Dengan sedaya upaya, saya cuba bangun. Usaha saya tidak berhasil. Bila saya berjaya berdiri tegak, tempurung lutut
saya terasa lembik dan urat-urat di kaki bagaikan terputus. Saya mengalami rasa sakit yang amat sangat. Saya terus jatuh mengelepar di sisi Mat Prai. Apa yang terdaya kami lakukan adalah meniarap di bumi sambil bergerak ke kiri dan ke kanan.
Gerakan tubuh kami tidak ubah macam gerakan ular di atas jalan raya, dengan lain perkataan kami seperti berenang atas daratan. Saya terus bertempik menyeru nama datuk dengan sekuat hati. Suara saya itu menenggelamkan suara cengkerik dan lolongan anjing. Selesai sahaja saya bersuara, badan saya terus lemah. Tidak bermaya untuk menegakkan kepala. Saya letakkan kepala atas tanah. Sayup-sayup saya terdengar bunyi telapak kaki orang berlari ke arah saya.
“Astaghafilrullah, apa dah jadi dengan kamu berdua ni,”
saya membuka mata melihat datuk berdiri di hujung kepala saya.
Mat Prai sudah tidak bergerak langsung.
“Kenapa tak panggil aku di telaga,”
tambah datuk lagi sambil duduk mencangkung lalu memeriksa setiap urat nadi saya dan urat nadi Mat Prai.
“Aku tak nampak apa-apa yang datang, semuanya macam biasa. Pelik juga, kenapa aku tak dapat mengesan dengan apa yang terjadi di sini,”
datuk merungut sendirian.
Dia terus mengambil lampu suluh di tangan Mat Prai yang masih menyala.
Tanpa membuang masa datuk terus menuju ke perigi kembali. Datang kepada kami semula dengan membawa satu baldi air.
Datuk letakkan baldi yang berisi air ditengah (di antara saya dengan Mat Prai, dia mengambil beberapa helai daun yang hijau. Dimasukkan ke perut baldi. Datuk mencari ranting kayu lalu air dalam baldi dikacau.
Datuk berhenti mengacau air dalam baldi. Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, saya lihat kelopak bibir datuk bergerak, dia mula mengelilingi kami beberapa kali. Datuk duduk mencangkung menghadapi saya kembali.
“Tamar,”
katanya.
Saya pun membesarkan kelopak mata dan cuba bersuara tetapi, suara saya tidak mahu keluar. Datuk tetap bersikap tenang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
“Buka mulut kamu Tamar.”
Saya terus membuka mulut, dengan telapak tangan kiri datuk membawa air dari baldi ke mulut saya.
“Telan air ni senafas, Tamar.”
Saya buat apa yang datuk suruh. Rasa pedih dan perit di tekak segera hilang. Kedua
belah kaki dan tangan saya dapat digerakkan semula. Tidak terasa sesuatu menekan di belakang. Saya segera menelentang dan melihat langit.
“Tamar,”
seru datuk lemah.
“Ada apa tuk.”
“Hulurkan tangan kamu,”
saya pun menghulurkan tangan kanan kepadanya.
Tanpa diduga datuk terus menyentap tangan dengan sekuat hati. Kemudian datuk melepaskan tangan saya dengan tiga kali urut dimulai dari pangkal ketiak membawa ke hujung jari.
“Kau duduk diam di sini,”
datuk mengeluarkan perintah.
Saya akur dengan perintah itu. Datuk segera mendekati Mat Prai. Apa yang telah dilakukan pada saya, itu jugalah yang dilakukan oleh datuk pada Mat Prai. Usaha datuk berhasil, saya dan Mat Prai dapat duduk.
“Duduk diam-diam, jangan banyak bercakap,”
suara datuk meninggi di tengah malam yang dingin. Lolongan anjing masih kedengaran tetapi, suara burung hantu mula berkurangan.
Desiran angin malam tetap berlalu dengan lembutnya. Saya dan Mat Prai mengalami rasa kedinginan. Datuk segera menghidupkan api untuk membuat unggun.
Kulit durian yang kering dicampakkan ke dalam unggun api. Kata datuk, asap dari kulit durian yang kering dapat menghalau nyamuk.
Saya terdengar bunyi buah durian jatuh. Mat Prai berhasrat mahu mengutipnya tetapi, datuk tidak mengizinkan. Kata datuk biar hari sudah cerah baru buah-buah itu dikutip dan dikumpulkan.
“Kalau buah durian tu, memang hak kamu, takkan buah tu lari ke mana-mana,”
demikian datuk memberikan alasan bila Mat Prai minta keizinan darinya.
“Ingat, sebagai manusia yang beragama Islam, jangan sekali-kali kita hilang pedoman kerana harta,” sambung datuk lagi. Dan Mat Prai terus mematikan hasrat untuk mengutip buah durian. Walaupun demikian, setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, Mat Prai tetap nampak resah dan gelisah.
“Sekarang apa yang dah jadi hingga menyebabkan kamu berdua berenang atas bumi,” datuk mengajukan pertanyaan. Biji matanya silih berganti menatap wajah saya dan Mat Prai. Saya tidak berani untuk mengingati peristiwa yang terjadi, saya membuat keputusan untuk menutup mulut.
“Cakap kenapa membisu?”
sergah datuk sambil menjegilkan matanya ke arah saya.
Cepat saya menundukkan kepala merenung bumi.
“Ceritakan pada aku Mat Prai,”
datuk mendekatkan batang hidungnya dengan batang hidung Mat Prai.
Kelihatan hidung mereka seperti berlaga dan mata datuk tetap merenung anak mata Mat Prai. Saya menarik nafas kelegaan kerana saya sudah arif dengan perangai datuk, bila dia berbuat demikian secara tidak langsung datuk cuba menguasai perasaan dan hati Mat Prai melalui pernafasan.
“Ceritakan pada Ayah Alang, Mat,”
nada suara datuk cukup lembut, cuping telinga kanan Mat Prai dihembusnya.
Saya lihat Mat Prai menganggukkan kepala dua tiga kali.
Kemudian dengan petah Mat Prai mengungkapkan peristiwa yang terjadi pada datuk. Selesai sahaja Mat Prai bercerita, datuk segera membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan pondok disuluh dan diteliti. Datuk terus duduk di tangga pondok.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
Baru dia sedar durian yang berlonggok sudah tiada. Dia melihat daun sirih hutan yang tercalit dengan kapur bertabur di mana-mana.
“Pelik, aku tak dengar apa yang terjadi, sedangkan jarak pondok dengan perigi tidaklah jauh sangat,”
datuk mengedutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
“Bukankah masa aku mandi tadi, kamu datang bercakap dengan aku, Mat, kamu bercerita tentang masalah keluarga kamu pada aku,”
datuk terus bangun.
“Masa Ayah Alang mandi, kami di sini, kami tengah berdepan dengan makhluk ganjil, Ayah Alang tanya si Tamar ni.”
Ya tuk, kami berdua tak kemana-mana.”
“Jadi syaitan mana yang menyerupai kamu tadi Mat Prai, aku sudah terpedaya,”
datuk terus hentakkan kaki ke bumi.
Dengan andang daun kelapa di tangan datuk terus berlari ke perigi. Dinding perigi yang dibuat dari daun rumbia terus dibakar datuk. Api terus marak menerangi kawasan sekitar pondok durian. Asap berkepul menguasai ruang udara yang dibalut kedinginan malam. Badan datuk berpeluh kena bahang api.
Berpuluh-puluh ekor kelawar berterbangan di atas bumbung pondok. Angin yang bertiup menjatuhkan dedahan dan reranting kering ke bumi. Sesekali terdengar bunyi buah durian gugur.
“Banyaknya kelawar,”
rungut saya perlahan.
“Biarkan, itu bukan urusan kita,”
sahut Mat Prai.
Sesungguhnya, saya merasa pelik. Dari manakah kumpulan kelawar itu datang. Suara lolongan anjing kian gamat datang dari arah Pekan Kongsi. Rasa cemas dan takut masih belum reda dari perasaan saya.
“Tak apa, orang tua tu dah datang,”
Mat Prai luruskan telunjuk menghala ke arah datuk yang datang ke arah kami kembali.
Di tangannya, ada sepotong kayu yang masih berapi. Datuk renung ke arah kelawar yang berlegar-legar di bumbung pondok. Datuk balingkan kayu yang masih berapi itu ke arah kumpulan kelawar.
Aneh, kumpulan kelawar yang berlegar-legar atas bumbung segera berpecah dan terbang menuju ke arah kaki bukit yang berdekatan. Bukit yang terpegun kaku di malam yang dingin itu kelihatan amat menggerunkan. Sesekali seperti ada cahaya api di puncak bukit tersebut. Datuk segera mendekati kami.
“Kau orang dengar salakan anjing tu?”
tanya datuk.
“Dengar,”
Mat Prai dan saya menjawab serentak.
“Kamu tahu, anjing-anjing itu menyalak syaitan yang berkeliaran di udara.”
“Kenapa syaitan itu berkeliaran tuk?”
saya menyoal.
“Nanti lain kali, aku cakapkan dengan kamu, Tamar.”
“Hum…”
saya merasa kecewa dengan kata-kata yang datuk luahkan itu.
Datuk pijak tangga pondok yang bulat. Dia terus duduk dekat Mat Prai.
“Macam mana Ayah Alang?”
“Apa yang macam mana tu, Mat?”
Datuk tatap biji mata Mat Prai yang terkebil-kebil. Dia tidak mahu untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi. Memang dia tidak menduga datuk akan mengungkapkan kata-kata demikian.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
“Aku tak mahu banyak soal, tak mahu banyak tanya, kita tidur sekarang,”
suara datuk meninggi dan terus merebahkan badannya.
Tidak sampai lima minit, datuk terus terlelap. Saya dan Mat Prai segera mengikuti jejak langkah datuk.
Antara terlelap dengan tidak, saya terdengar datuk batuk berkali-kali. Kemudian dia bangun. Buat beberapa minit saya berhasil mencelikkan mata.
“Kamu tidur, jangan banyak fikir, Tamar."
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak ke perigi.”
Datuk terus menuju ke perigi yang dindingnya sudah menjadi abu. Saya kira datuk mengambil air sembahyang. Ramalan saya memang tepat, sekembalinya datuk dari perigi dia terus membaca al-Quran.
Malam yang dingin, membuat tidur terasa enak. Saya terus membengkokkan badan. Rasa takut dan bimbang langsung tidak terbayang dalam kepala saya.
“Bangun dah subuh ni,”
terasa badan saya digoyang berkali-kali,
“Pergi ambil air sembahyang. Orang yang tak sembahyang Subuh, tidurnya diapit syaitan,”
lanjut datuk lagi.
Saya tidak ada pilihan, samada mahu atau tidak, saya terpaksa bangun dan pergi ke perigi untuk mengambil wuduk. Mat Prai lebih dulu bersedia dari saya.
“Dah ambil wuduk?”
tanya saya pada Mat Prai.
“Sudah, kau pergi cepat,”
Mat Prai mendesak.
“Pergilah, tak ada apa yang nak ganggu kamu,”
datuk terus renung wajah saya.
Dia bagaikan mengerti dengan apa yang ada dalam hati saya. Dalam keadaan takut campur berani, saya menuju ke perigi.
Saya tidak pasti apakah air sembahyang yang saya ambil itu mengikut peraturan atau sebaliknya. Saya berlari ke pondok kembali.
Dan Subuh itu, datuk mengimamkan sembahyang Subuh kami. Selesai berwirid dan membaca doa, datuk memberikan kuliah Subuh yang pendek tetapi amat mengesankan. Datuk memperkatakan tentang diri manusia yang binasa kerana terlalu cinta pada harta benda dan kekayaan hingga lupa pada tugas seorang hamba terhadap Allah yang mencipta mereka.
“Nampaknya usaha kita tak berjayalah, Ayah Alang?”
Mat Prai mengajukan pertanyaan setelah datuk menamatkan kuliah Subuh di pondok durian.
Datuk tersenyum sambil memandang keluar, melihat hari yang mula beransur cerah.
“Masih ada masa untuk berusaha,”
jawab datuk.
“Hum…,”
Mat Prai menarik nafas panjang.
Ada rasa kecewa terpamer di wajahnya. Kicau burung menyambut kehadiran matahari pagi mula terdengar. Jalur sinar matahari mula jatuh pada dedaun yang masih ada kesan air embun.
“Aku nak berjalan di seluruh kawasan ni, aku nak mandi embun dan nak buat senaman. Kau ikut aku Tamar.”
“Saya macam mana Ayah Alang?”
tanya Mat Prai.
“Kau pergi tengok buah durian yang jatuh,”
datuk mengeluarkan arahan pada Mat Prai.
Tanpa banyak soal jawab, Mat Prai mematuhi arahan itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
Matahari kian meninggi, embun di hujung daun yang disentuh cahaya matahari nampak bersinar-sinar, bagaikan ketul berlian di tengah padang. Datuk terus mandi embun dan melakukan senaman yang gerak dan gerinya memperlihatkan unsur silat ‘Burung Rajawali’ saya cuba mengikutinya. Bila pergerakan itu dilakukan dengan pantas oleh datuk, saya tidak dapat mengikutinya. Saya jadi penonton sahaja.
“Tamar,”
jerit datuk.
Serentak dengan itu saya melihat seketul kayu yang penjangnya kira-kira dua kaki menuju ke arah saya.
“Tangkap atau elakkan,”
terdengar lagi suara datuk.
“Oooppp,”
saya melompat lalu meyambar kayu tersebut.
Terasa badan saya seperti dibawa oleh kayu itu ke kiri, mendekati pokok langsat. Saya tercungap-cungap. Datuk segera mendekati saya sambil ketawa.
“Kamu masih ingat dengan gerak langkah yang aku ajar,”
datuk terus menepuk bahu saya berkali-kali.
Dengan wajah manis dia mengajak saya mengelilingi dusun durian milik Mat Prai. Terpesona saya melihat buah durian yang bergantungan lebat di dahan. Beberapa ekor tupai melompat dari ranting ke ranting dengan bebas. Matahari terus memancar.
“Sungai, jernih airnya,”
jerit saya bila berdiri di tebing sebatang anak sungai.
Anak-anak ikan berenang bebas di celah-celah batu di tengah sungai. Tanpa membuang masa saya menuruni tebing dan terus membasuh muka. Terasa sejuknya meresap ke tulang pipi.
“Sudahlah jangan lama-lama di situ, aku nak sampai cepat ke pondok,”
tempik datuk dari atas tebing.
Saya segera berlari ke arahnya. Kami meneruskan perjalanan dan terpaksa melintasi kaki bukit yang ditujui oleh kumpulan kelawar malam tadi.
Memang terdapat hutan tebal di situ dengan pokok-pokok besar yang digayuti oleh akar-akar hutan sebesar lengan kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sepuluh tahun. Monyet-monyet liar bergayutan di situ.
“Hati-hati Tamar,”
datuk mengingatkan.
Saya segera anggukkan kepala.
“Hutan macam ni, jadi sarang binatang buas,”
lanjut datuk lagi.
Saya anggukkan kepala lagi. Matahari yang memancar agak terik membuat badan saya berpeluh.
Secara mengejut datuk menarik tangan kanan saya ke perdu buluh hutan. Saya jadi cemas dan takut.
“Kenapa tuk?”
“Dalam rimbunan pokok kecil tu, aku macam ternampak pintu gua. Cuba kau pastikan,”
kata datuk sambil jari telunjuknya mengarah kepada pokok-pokok kecil yang merimbun dan tingginya lebih dari tujuh kaki.
Memang sukar untuk memastikannya. Tetapi, tiupan angin yang menggerakkan reranting dan dedaun lebat itu memberi peluang pada saya untuk merenungnya dengan teliti.
“Apa yang kau nampak, Tamar?”
“Saya nampak macam pintu gua tua.”
“Pelik juga ya, selalunya gua pada gunung, bukit yang aku tahu tak ada gua. Tanah bukit tu ditebuk.”
“Agaknya, terowong tinggal tuk,”
kata saya tenang, tanpa merasa sebarang kecurigaan.
Datuk mengigit bibir sambil menelan air liur. Dia sedang memikirkan sesuatu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 107 ~
Nesan bergerak
“Boleh jadi juga terowong. Mungkin terowong tu ditebuk oleh askar Jepun masa perang dulu atau ditebuk oleh orang-orang komunis untuk tempat mereka berlindung,”
itu pendapat datuk.
“Mari kita periksa tuk.”
“Jangan terburu-buru,”
nada suara datuk meninggi.
Dia renung kiri dan kanan. Kemudian dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.
“Lain kali saja kita tengok, Tamar,”
satu keputusan yang amat mengejutkan dari datuk,
“Mari kita ke pondok Mat Prai,”
sambungnya lalu menarik tangan saya.
Macam selalu saya tidak akan membantah dengan apa yang datuk katakan.
Kami segera bergerak arah ke utara, menjauhkan diri dari kawasan kaki bukit. Datuk tidak menyatakan apa-apa kepada saya kenapa dia berbuat demikian.
Berjalan dalam kebun durian yang tidak begitu bersih keadaannya memang menyulitkan. Saya sering terlanggar tunggul dan akar.
“Ikut sana senang tuk.”
Datuk berhenti melangkah. Dia dongakkan muka ke langit melihat awan yang bersih.
Kesempatan itu saya gunakan untuk duduk di atas tunggul buruk bagi menghilangkan penat.
“Maksud kamu, kita berjalan dalam kebun getah?”
soal datuk.
“Ya, tuk.”
“Kalau begitu marilah.”
|
|
|
|
|
|
|
|
mesti rumah geng-geng tupai jadian..awat tak bubuh ja umpan kat depan lubang pintu tuh |
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 108 ~
Ilmu Suhaimi Karabla
Saya dan datuk terpaksa mengubah haluan jalan. Kami terus ke kawasan kebun getah. Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai. Di celah-celah nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut orang tua. Melihat keadaan kebun getah tersebut, saya yakin pemiliknya adalah seorang yang cukup rajin.
"Bila tengok pokok-pokok getah ni, teringat pula aku dengan kebun getah kita," datuk bersuara.
Saya segera anggukkan kepala.
"Hati-hati Tamar, ular kapak bodoh suka duduk di bawah daun kering," datuk mengingatkan saya yang melangkah tanpa mahu merenung ke arah permukaan bumi.
"Macam mana rupanya ular kapak bodoh tu tuk?".
"Warnanya macam daun getah kering, dia selalu duduk berlingkar di bawah timbunan daun getah, tersepak atau terpijak dia terus mematuk."
"Bisakah patukannya tuk?".
"Boleh membawa maut, kalau tak maut boleh jadi tokak," jelas datuk sambil melihat pucuk-pucuk koko yang menghijau dan melintuk-liuk disentuh angin.
Kami terus melangkah sambil menikmati nyanyian burung-burung pagi di reranting getah.
"Aku sudah memberikan kamu petua berjalan di tempat-tempat semacam ini. Aku juga sudah memberikan doa bila berjumpa dengan binatang berbisa. Kenapa tidak kau amalkan," mendadak sahaja datuk bersuara.
Saya tahu, dari nada suaranya itu ternyata ada rasa kesal bermain dalam diri datuk.
"Kadang-kadang saya jadi lupa."
"Bukan lupa, kamu tak bertanggungjawab, tidak tahu memanfaatkan benda berharga yang diberikan kepada kamu," kali ini suara datuk cukup tinggi.
Saya jeling wajahnya. Dari air mukanya ternyata dia sedang marah. Saya terus membisu.
"Jangan melangkah Tamar, diam di situ jangan bergerak, kalau bergerak mati," kata datuk separuh menjerit.
Saya patuh dengan cakapnya. Badan saya mengeletar, seekor ular melintas di depan saya. Bila ular tedung hilang dari pandangan barulah saya melangkah kembali. Datuk berhenti dekat sebatang pokok getah di bucu nirai. Datuk membelek-belek kulit pohon getah itu dengan teliti.
"Nampaknya pokok-pokok getah ini masih muda, kulitnya lembut. Setahun dua lagi baru boleh ditoreh," datuk memberikan komentar.
"Saya rasa pun macam tu juga. Umurnya tak jauh beza dengan pokok getah kita."
"Ya," datuk menggangguk.
Kami meneruskan perjalanan dan saya berharap datuk tidak akan melencong ke mana-mana. Saya mahu segera sampai ke pondok.
Sambil melangkah saya membayangkan yang Mat Prai sedang membuat kopi untuk kami. Saya juga membayangkan yang isterinya menghantar nasi lemak atau kuih ke pondok untuk habuan perut saya. Saya tersenyum sendirian, bila saya gambarkan dalam kepala yang kami bertiga sedang menikmati sarapan pagi dengan wajah yang tenang.
"Oooppp..."
Datuk melompat tinggi melepasi kepala saya. Bila berdiri tegak saya lihat tangan kanannya ada dahan getah. Datuk mencampakkan dahan itu ke pangkal pokok getah.
"Nasib baik aku terdengar bunyinya masa dahan itu masih ada di atas. Aku melompat menyambarnya, kalau aku lambat dah tentu dahan patah menimpa tengkuk kamu. Tengkuk kamu boleh patah Tamar," datuk melepaskan nafas tercungap-cungap, mukanya nampak merah padam.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 108 ~
Ilmu Suhaimi Karabla
Saya terus merenung ke arah datuk dengan harapan datuk dapat melindungi dari saya, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Kalau nak tunjuk lagak ayam jantan, jangan masuk kampung orang ikut suka hati," lelaki itu menghalakan kata-kata itu ke arah datuk.
Dia mula menendang apa sahaja yang ada dekatnya. Lagaknya memang mahu mencari gaduh. Datuk tidak ambil peduli dengan sikap lelaki itu. Datuk tetap memperlihatkan sikap persahabatan.
"Kami tak mahu mencari musuh, biarlah kami pergi," datuk menundukkan kepalanya dan terus melangkah.
Lelaki itu tidak puas hati dengan sikap datuk.
"Ah..." terdengar suara lelaki itu meninggi.
Dia lari mengelilingi pokok getah dan berhenti di depan datuk. Belum pun sempat datuk mengucapkan sesuatu, lelaki tu mengeluarkan golok pendek dari dalam bajunya.
"Saya tak mahu gaduh," rayu datuk sambil menyuruh saya mencari tempat berlindung. Belum pun sempat saya mencari tempat yang selamat, lelaki itu terus menyerang datuk bertalu-talu dengan goloknya.
Datuk lebih banyak mengelak dari melakukan serangan. Dia tidak melepaskan buah silat yang kemas dan tajam. Ini berlainan dengan lelaki itu yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu membunuh datuk.
"Sudahlah saudara, saya tak mahu bergaduh, kita tidak pernah bermusuh, kenapa mesti berkelahi," dalam keadaan termengah-mengah datuk bersuara.
Semuanya tidak dipedulikan oleh lelaki itu. Dia terus menyerang dan melepaskan tetakan ke arah datuk. Dalam satu tetakan yang kencang, datuk berjaya mengelak, mata golok terkena akar getah dan terus terlekat di situ.
Kesempatan itu datuk gunakan untuk melarikan diri. Saya terus mengekori datuk berlari dengan kencang. Masa berlari itu saya gunakan telinga untuk mendengar sesuatu dari arah depan dan belakang. Saya terdengar bunyi dengung yang panjang memburu langkah saya. Dengan cepat saya menoleh ke belakang, saya lihat seketul kayu betul-betul dekat batang leher saya.
"Appp."
Serentak dengan suara itu saya rebahkan badan dari ketuk kayu itu hingga terkandas di pohon getah lalu patah dua. Rupanya, lelaki itu menggunakan semua kekuatannya membalingkan ketul kayu itu ke arah saya.
Bila saya bangun, datuk ketawa kecil. Ternyata datuk lebih cekap dari saya, dia lebih awal dapat mengesan bunyi itu dan tahu apa yang mesti dilakukan. Dia segera berlindung di balik pokok tempat kayu yang dibalingkan oleh lelaki itu terkandas.
"Lelaki itu tak memburu kita, kita tak perlu lari lagi," ujar datuk.
"Siapa lelaki itu tuk?"
"Entah, agaknya orang gila. Usah pedulikan tentang dirinya."
"Boleh jadi orang gila, boleh jadi hantu," saya terus merungut panjang.
Datuk tidak memberikan sebarang pendapat terhadap komentar yang saya luahkan. Datuk terus berjalan dengan laju.
"Kenapa lambat?"
Dari kaki tangga pondok Mat Prai mengajukan pertanyaan. Dia menatang talam kecil. Manakala di atas pondok, isterinya duduk berjuntai kaki. Dua orang anaknya membaling biji dan kulit durian ke mana sahaja, sesuka hati mereka.
"Seronok mandi embun," jawab datuk.
Mat Prai ketawa lalu meletakkan talam kecil atas pelantar. Dia terus duduk bersila di situ.
"Mari minum," ajak Mat Prai, dia terus tuangkan air kopi ke dalam cawan,
"Sekarang dah dekat pukul lapan, sepatutnya kita minum pagi pukul tujuh lebih," sambung Mat Prai. Datuk hanya tersenyum dan terus duduk di pelantar.
Isteri Mat Prai turun dari pondok, membuka bungkusan kuih dan diletakkan dalam piring.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 108 ~
Ilmu Suhaimi Karabla
"Dah sejuk goreng pisang ni," rungutnya.
"Tak mengapa asalkan barang-barang tersebut boleh dimakan. Kita ini terjumlah orang-orang yang bernasib baik kerana dapat makan pagi," ujar datuk dengan tenang.
"Ya," angguk Mat Prai. Dia terus meghirup air kopi.
"Kamu Tamar, ambillah. Apa main tengok-tengok aje," isteri Mat Prai ajukan pertanyaan. Dia segera menghulurkan cawan kopi segera saya sambut.
"Cepatnya berhenti, kenapa tak makan pisang goreng," Mat Prai renung muka datuk.
"Memang menjadi kebiasaan saya, sebelah pagi minum kopi saja," datuk menolak piring goreng pisang yang dihulurkan oleh Mat Prai kepadanya.
"Ada pantang larang agaknya," soal isteri Mat Prai.
"Tak ada pantang larang, agaknya ini sudah menjadi kebiasaan saya," jelas datuk dan segera bangun.
Datuk segera pergi menemui kedua-dua anak Mat Prai dibelakang pondok.
Entah apa yang dicakapkan oleh datuk kepada kedua kanak-kanak itu hingga mereka berhenti melemparkan biji dan kulit durian ke arah semak-semak dekat pondok. Saya, Mat Prai dan isterinya terus memerhatikan gelagat datuk melayani kedua kanak-kanak itu.
"Apa yang dibualnya tu," isteri Mat Prai juihkan bibir ke arah datuk.
"Entah," balas saya.
"Agaknya datuk kamu ni memang sukakan kanak-kanak," tanya Mat Prai sambil mengeliat. Matanya tetap merauti wajah saya.
"Dia memang suka dengan budak-budak kecil, dia suka menasihati budak-budak sambil bercerita kisah binatang," jawab saya penuh jujur.
Mat Prai dan isterinya terus anggukkan kepala.
Bila isteri Mat Prai melihat datuk memisahkan diri dengan anak-anaknya, dia segera tersenyum. Dengan suara yang lantang dia menyebut nama kedua-dua anaknya. Bagaikan dikejar sesuatu kedua kanak-kanak itu menerpa kearahnya.
"Kenapa emak?"
"Tak ada apa-apa, emak cuma nak tanya apa yang datuk tu cerita pada kamu berdua."
"Macam-macam, datuk tu pesan dalam dunia ni, kita mesti buat baik dengan manusia dan binatang."
"Bagus, kamu berdua mesti ingat pesannya, sudah, mari kita balik ke rumah," tambah perempuan dua anak yang tidak pernah membantah sebarang perintah dari suaminya.
"Sekarang juga mak?" tanya salah seorang dari anaknya.
"Ya, kamu ingat bila?" isteri Mat Prai jegilkan biji mata ke arah anak yang bertanya.
Si anak tidak berani bertanya lagi, apa lagi menentang mata si ibu. Mereka hanya menurut perintah sahaja.
"Semoga anak-anak kamu akan jadi manusia, Mat," ujar datuk ketika melihat kedua-dua anak Mat Prai melangkah meninggalkan kawasan pondok durian.
Mereka berlari kecil di kiri dan kanan denai.
"Berilah didikan agama secukupnya dan jangan pula kau didik mereka menbenci dunia," sambung datuk.
"Ya, saya ingat pesan Ayah Alang tu."
"Sekadar ingat saja, tak memberi kesan tetapi, aku mahu kau melaksanakannya. Anak-anak harus dibentuk ketika rebung."
"Saya setuju dengan Ayah Alang dalam hal ini, saya mahu memimpin mereka supaya menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan tanah air," itu azam yang diluahkan oleh Mat Prai yang disambut dengan rasa bangga oleh datuk.
Saya segera menegakkan ibu jari kanan bila Mat Prai segera beralih tempat duduk. Dari pelantar ke atas bangku yang dibuat dari kayu bulat di bawah pokok rendang. Datuk juga turut berubah tempat tetapi, saya masih bertahan di pelantar. Membiarkan peluh-peluh yang meruap di dahi mengalir ke pipi. Tidak lama datuk duduk di kayu bulat kerana Mat Prai mengajak datuk melihat buah durian yang dikumpulnya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 108 ~
Ilmu Suhaimi Karabla
"Ayah Alang dengan Tamar pergi mandi embun, saya pula kumpulkan wang, cuba tengok," suara Mat Prai lantang.
"Banyak juga jumlahnya," kata datuk
"Boleh tahan juga," jawab Mat Prai lemah.
"Kau nak jual pada peraih."
"Ya tapi bukan semua, enam tujuh biji saya nak buat nasi durian. Kita tunggu sampai peraih datang, kemudian kita ke rumah," Mat Prai mengemukakan permintaan dan datuk tidak keberatan memenuhi permintaan itu.
"Tapi, bila kita balik, siapa pula nak kutip durian yang jatuh," secara mendadak datuk mengajukan pertanyaan.
"Budak yang balik malam tadi ambil alih tugas saya," dalam senyum Mat Prai menjawab.
Datuk anggukkan kepala.
Lebih kurang pukul sepuluh setengah pagi, peraih dari bandaraya George Town pun sampai ke pondok Mat Prai dengan sebuah lori kecil tanpa bumbung. Peraih berbangsa Cina itu cukup fasih bercakap bahasa Malaysia loghat Pulu Pinang. Orangnya cukup peramah. Setelah membeli durian Mat Prai dia segera pergi ke dusun durian orang lain pula.
Tepat pukul sebelas pagi, kami pun meninggalkan pondok durian Mat Prai. Sebaik sahaja sampai dekat rumpun buluh kuning, kami terserempak dengan dua pemuda yang diupah oleh Mat Prai menjaga dusun duriannya. Badan mereka basah dengan peluh. Masing-masing membawa buluh kuning yang panjangnya kira-kira enam kaki. Bahagian hujung buluh dipecahkan. Kenapa mereka berbuat demikian, saya sendiri tidak tahu, ulu golok yang tersangkut di tali pinggang dari kulit kerbau nampak terbuai-buai.
"Apa macam malam tadi bang? tak ada apa-apa yang datang," tanya salah seorang dari mereka.
Mat Prai segera merenung ke arah datuk. Kamudian dia bersuara.
"Susah nak cakap."
"Kenapa bang?" soal pemuda yang lagi satu.
"Hum," Mat Prai mengeluh,
"Dinding perigi kita dah hangus terbakar," tambah Mat Prai lagi.
Kedua-dua pemuda itu berpandangan sama sendiri.
"Siapa yang membakarnya bang?" desak kedua-dua pemuda serentak. Mat Prai cuma tersenyum.
Dia menyuruh saya dan datuk meneruskan perjalanan. Kedua-dua pemuda tadi meneruskan langkah ke pondok durian.
"Heeiii."
Kami bertiga berhenti melangkah. Di depan kami terpancul seorang lelaki berbadan tegap memakai lilit kepala dari kain batik. Memakai seluar hitam dan berkasut capal. Kain pelikat berkotak kecil terselipang dari atas bahu ke dada. Dia menghunus keris panjang ke arah kami. Muka Mat Prai kelihatan pucat.
Saya alihkan pandangan ke arah datuk, serentak dengan itu saya kenyitkan mata ke arahnya. Datuk segera anggukkan kepala tanda faham dengan maksud hati saya, bahawa lelaki yang berdiri di depan tu adalah lelaki yang menyerang saya dan datuk di kebun getah, beberapa jam tadi. Apakah dia akan membunuh saya dan datuk? timbul pertanyaan dalam hati.
"Adik beradik kamu?"
Dengan wajah yang garang lelaki itu jegilkan biji mata ke arah Mat Prai. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Mat Prai.
"Adik beradik kamu?" jerit lelaki itu.
"Ya," sahut Mat Prai.
"Beritahu dia jangan nak intip tempat duduk aku. Kalau dibuat lagi sekali, kedua-duanya aku bakar hidup-hidup," sambil bercakap lelaki itu menghalakan hujung keris ke arah saya dan datuk.
Rambut panjangnya sengaja dijatuhkan ke atas kedua belah bahunya. Dua tiga kali dia mengacukan penumbuk kiri ke arah saya. Apa yang boleh saya lakukan ialah tunduk berlagak macam orang bodoh.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 108 ~
Ilmu Suhaimi Karabla
"Eh, orang sekampung, beritahu adik-beradik kamu," untuk sekian kalinya lelaki itu mengherdik Mat Prai.
"Saya bagi pihak kaum keluarga saya minta maaf," ujar Mat Prai.
"Hum, ingat pesan aku, kalau dilanggar dusun dan tanah kamu jadi padang jarak," dengan nada suara yang meninggi lelaki itu mengeluarkan ancaman. Gerak gerinya bagai pahlawan.
"Saya ingat," kata Mat Prai.
"Hum."
Lelaki itu masukkan keris panjang ke sarung lalu diselitkan ke pinggang. Kemudian dia terus bertepuk tangan dengan sekuat hati. Bunyi tepukannya itu macam bunyi petir. Lubang telinga saya terasa bengang.
"Haiii..."
Dia menjerit sekuat hati sambil membuka silat macam silat Kungfu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 109 ~
Kura kura mata hijau
Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.
"Kenapa Mat Prai," datuk segera menggoncangkan tubuhnya.
"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."
"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya pada orang lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput.
Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.
Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu menerima apa yang datuk katakan itu.
"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.
"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk matanya menentang biji mata datuk.
"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya. Percayalah dia tidak ada kuasa," datuk memberikan semangat.
"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan maish ragu-ragu.
Datuk terus gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.
"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang larangnya berkesan atau tidak," datuk mendesak Mat Prai.
Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat. Dan datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini datuk tidak mahu meentang biji mata Mat Prai.
"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.
"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."
"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."
"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki hamunnya dengan semahu hati.
"Berhenti Mat, berhenti."
Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang melintang di tepi denai.
"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan datuk kepada Mat Prai.
" Kita tunggu sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.
"Nah kau tengok masanya," datuk menyerahkan jam saku kepada saya,
"sampai sepuluh minit beritahu aku."
Saya segera patuh pada perintahnya itu.
Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket. datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan sya tepat atau sebaliknya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 109 ~
Kura kura mata hijau
"Bagaimana Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada kuasa," bisik datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia menggelengkan kepala.
"Kenapa Mat?"
"Sebabnya tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab itulah sumpahnya tak menjadi."
Datuk tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit dahi dan muka saya terasa pedih.
"Kau selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi, engkau tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri, kamu kata aku ada ilmu pedinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak ada pada aku. Apa yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah," datuk mula memberikan pendapatnya, dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat diterima oleh Mat Prai atau sebaliknya.
Pokoknya, dia harus menyedarkan diri Mat Prai yang terlalu percayakan pada hal yang karut-marut.
"Bagi aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus datuk.
"Baik Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."
"Tak payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.
Teruskan perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau takut-takut datuk terus bersuara.
Mat Prai jadi termangu-mangu dan serba-salah.
"Jalan cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu," datuk tolak belakang Mat Prai.
Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa meneruskan perjalanan. Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik orang lain. Perjalanan selanjutnya tidak ada perbualan. Antara kami bertiga, tiada seorang pun yang berminat mahu bertanyakan itu dan ini. Masing-masing melayani khayalan diri sendiri.
"Aduh!"
Datuk yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya menekan pangkal belikat sebelah kiri. Mat Prai segera memangku tubuh datuk agar jangan tersembam ke bumi. Saya memicit belakang datuk.
"Kenapa tuk?"
"Ada orang baling benda tajam ke arah aku," jelas datuk.
Saya segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing sepanjang dua kaki di hujung kaki kanan datuk. Buluh itu sudah patah dua dan bahagian yang ditajamkan sudah hancur.
"Carikan aku Daun Dukung Anak," ujar datuk pada saya.
Tanpa membuang masa saya segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu saya temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.
"Sapukan di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," datuk keluarkan arahan.
Saya segera selak baju datuk. Memang ada garisan memanjang yang melukakan kulit tubuh datuk. Darah mula keluar dari kult yang terkoyak itu.
"Aku dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang datuk sambil menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak tangan.
Atas arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat yang tergaris sesudah membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.
Lebih dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila datuk sudah pulih, kami meneruskan perjalanan pulang. tetapi baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di depan kami dengan beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.
"Jangan di lawan"
Itu perintah datuk untuk saya dan Mat Prai. Peluh yang menguasai setiap sendi membuatkan saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 109 ~
Kura kura mata hijau
"Tengah rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga saya.
"Entah," jawab saya.
"Diam jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat kita lari," datang lagi arahan dari datuk.
Saya dan Mat Prai anggukkan kepala. Datuk juga menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi Keraba.
"Kamu yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke arah datuk.
"Kamu jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai.
Suhaimi Keraba terus berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris panjangnya. Dua tiga kali diacukannya ke arah saya.
"Aku yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku dengar," Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya.
Dan Mat Prai terus merenung ke arah datuk, seolah-olah engatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah benar.
Melihat kami semuanya membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin. Dia mula memaki hamun datuk dan menyifatkan datuk dari keturunan orang yang tidak bertamadun. Datuk tetap membisu. Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi datuk tetap bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan. dia mula menyerang datuk dengan buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah kami. Satu kebolehan yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga lain yang membantu Suhaimi Keraba. Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai terpaksa berlindung di balik pokok durian.
Datuk tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk tubuhnya. Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak seperti menyebut sesuatu.
Lebih dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada datuk. Tidak satupun yang mengenai tubuh datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain. Ada yang melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya. Suhaimi Keraba berhenti dari melakukan sesuatu pada datuk. Dia termenung sejenak. Datuk tetap berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Suhaimi Keraba terus memintas arah belakang datuk sambil membalingkan buluh runcing secara curi. Tetapi, sebelum hujung buluh runcing menjamah kulit, terlebih dulu untuk menyambarnya. Buluh runcing itu segera dibenamkan oleh datuk ke bumi. serentak dengan itu Suhaimi Keraba menjerit. Kedua belah tangan tergapai-gapai seolah minta tolong. Suhaimi Keraba jatuh ke bumi.
Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang memeluk tubuhnya. Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi. Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.
"Bangunlah, sahabatku," kata datuk.
Suhaimi Keraba merenung marah ke arah datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya melepaskan diri.
"Kekuatan sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar datuk lagi.
"Hisss..." desis Suhaimi Keraba.
"Saudara sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."
"Sudahlah." Balas Suhaimi Keraba.
Terima kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu bersahabat," datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.
"Kamu bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.
"Saudara, kita mahu bersahabat."
"Tidak ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu," Suhaimi Keraba mula mencemek.
Saya dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian.Kami segera mendekati datuk yang kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba terhadap dirinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 109 ~
Kura kura mata hijau
"Saya tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata datuk dalam nada suara yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya dengan Suhaimi Keraba.
Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan cita-cita datuk. Dia terus melangkah kami dengan wajah seribu dendam. Kami meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya dengan pelbagai pertanyaan. Kenapa kami lambat sampai. Mat Prai memberi jawapan yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan. Ternyata alasan itu dapat diterima oleh isteri Mat Prai.
Makan nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika makan nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai. Tetapi apa yang kurang menyeronokkan ialah sikap datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan
'secukup kenyang!' satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.
Tetapi saya masih beruntung Mat Prai memberika kerjasama yang baik. Bila dia melihat pinggan yang kosong. Secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam pinggan saya dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Tengah hari itu, saya makan betul-betul. Lepas makan saya tersandar di dinding dan datuk cuma terdaya menjeling marah ke arah saya.
Pada petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang kecil. Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah pala. Saya juga dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk berehat. Tempat tersebut, bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang ternakan buaya ( kini khabarnya ladang buaya itu sudah diberhentikan atas arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai)
Lebih kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke rumah. Kami dapati datuk tiada di rumah. Kata isteri Mat Prai, tidak lama setelah kami meningalkan rumah, datuk terus menuju ke arah masjid. Saya dan Mat Prai terus ke masjid. Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di tengah ruang masjid membaca al Quran.
Oleh kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan melakukan sunat tahyatul masjid. Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai bilal terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan. Dalam kesempatan itu juga Mat Prai memperkenalkan datuk dengan iman masjid tersebut.
Setelah menunaikan sembahyang Asar datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima atau sepuluh tahun lebih tua dari datuk. Dari Imam tersebut datuk memperolehi cerita yang terperinci tentang dir Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang berlaku di dusun durian beberapa orang penduduk.
"Setahu saya kejadian itu sudah berkurangan, kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."
"Apa nasihatnya Pak Imam?" Tanya datuk.
"Perbuatan tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara lemah.
"Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca yasin tujuh malam di dusun orang malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya membayar fitrah kalau memperolehi pendapat lebih, itu saja syaratnya," sambung Pak Imam.
"Hasilnya bagaimana Pak Imam?" Tanya datuk.
"Dengan izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.
"Pak Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," datuk terus menepuk bahu Mat Prai yang berada disisinya.
Pak Imam renung muka Mat Prai.
"Dia ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak tahu apa yang berlaku, selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka kena kacau," ujar Pak Imam dengan wajah yang selamba. saya menoleh ke arah Mat Prai.
Dia tersenyum tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia dirinya telah terbongkar.
"Dulu dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan orang-orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari datuk neneknya lagi. Dia orang sini," Pak Imam meluahkan suara hatinya.
Mat Prai tunduk tidak berkata apa-apa pun.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 109 ~
Kura kura mata hijau
Sebelum berpisah datuk bersalaman dengan Pak Imam dengan penuh mesra. Datuk sempat memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dudun durian Mat Prai. Pada mulanya Pak Imam itu menolak permintaan datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu mahu ikut serta ke pondok Mat Prai. Malam itu, setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak di masjid, saya dan datuk serta Pak Imam terus menuju ke pondok durian Mat Prai. Mat Prai pergi lebih awal dari kami. Perjalanan kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh. Sampai di pondok, Mat Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas. Dua pemuda dari Pulau Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang. Kali ini datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di luar kira-kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal. Di situ datuk dirikan empat batang tiang dan atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar. Tidak sampai dua jam datuk berusaha mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok mainan kanak-kanak. Kami disuruh duduk di situ. Manakal datuk dan Pak imam duduk di pondok besar. Mereka terus membaca Quran.
Saya tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ saya berada. Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai tidak berhasrat mahu mengutipnya.
"Ular," jerit saya.
Biji mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia lapan tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki. Ular itu terus menuju ke arah pelita minyak tanah. Mat Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada bahagian belakangnya.
Ular itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam kegelapan. Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari ditemui. Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam menyusup di bawah dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana. Tempat ular itu hilang segera diganti oleh seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning keemasan.
Biasanya kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya. tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan kepalanya sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak tersembul dan mengeluarkan cahaya hijau.
"Kenapa semuanya mesti terjadi masa datuk kamu tak ada bersama kita, kubunuh kura-kura laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura dengan kayu yang digunakan untuk memukul ular.
"Jangan."
"Kenapa Tamar?"
"Biarlah dia pergi sendiri."
"Hum..." Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.
Saya hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam badannya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 110 ~
Kelawar hisap darah
Kalaui diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura yang tertonggok macam besi buruk itu. Akhirnya saya sedar, bahawa saya tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.
“Macam mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar,” Mat Prai mempamerkan kemarahan. Sepasang matanya segera diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang badan kura-kura.
“Jangan.”
Saya segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.
“Kenapa Tamar?”
“Biar dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini kura-kura jelmaan,” tutur saya lagi.
Dedaun hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke tanah akibat disentuh angin.
Aneh! Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi suara tupai.
Semuanya mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam. Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa ekor kelawar berterbangan dalam pondok.
Salah seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu dengan badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja. Bentuk kelawar yang jatuh itu agak berbeza dengan kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.
Bentuk badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan biji matanya tersembul seperti memancar-mancarkan cahaya api.
“Kamu tengok giginya.”
Saya segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya tersirap melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan. Giginya yang putih dan besar menyeringai ke arah saya.
“Ini kelawar puntianak jenis penghisap darah, “ kata saya pada Mat Prai.
“Berbahaya,” jawab Mat Prai cemas, “biar aku bunuh Tamar.”
Sebaik Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring. Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam pondok kecil. Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah turut menyaksikan apa yang dilakukan oleh kelawar itu..
|
|
|
|
|
|
|
| |
|