Kes cederakan pelajar UPNM guna seterika: Ramkarpal Singh dilantik peguam bela Amirul Iskandar
[size=14.399999618530273px]Amirul Iskandar Norhanizan - FOTO BERNAMA
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, dilantik sebagai peguam bela kepada Amirul Iskandar Nohanizan yang dituduh mencederakan seorang pelajar dengan menggunakan seterika wap panas di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada Oktober lalu. Perkara itu dimaklumkan ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. Pada prosiding terbabit, Hakim Egusra Ali menetapkan 4 Februari tahun depan bagi sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, memohon tarikh baharu untuk mengemukakan dokumen tambahan kepada pihak pembelaan. "Beberapa dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan. Pihak pendakwaan meminta mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk penyerahan dokumen yang selebihnya," katanya.
Ramkarpal yang mewakili tertuduh, tidak membantah permintaan pihak pendakwaan itu. Ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Ramkarpal memaklumkan setakat ini, pihaknya belum menerima arahan daripada anak guam untuk memfailkan representasi. Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi tadi dengan diiringi ahli keluarganya. Pada 8 November lalu, Amirul Iskandar, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, 22 Oktober lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. November lalu, media melaporkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju untuk menamatkan pengajianlima pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti itu. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik berkata mereka termasuk Amirul Iskandar sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), yang ditamatkan perkhidmatan dan perlu membayar ganti rugi RM44,600.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341778/kes-cederakan-pelajar-upnm-guna-seterika-ramkarpal-singh-dilantik
|