Serangan strok, Sathiya belum mampu suap makanan
Nie Ching (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada Sathiya menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS. Turut hadir, Kamil dan Azmir. - NSTP/Rohanis Shukri
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran, Sathiya, 60, yang diserang angin ahmar ringan bersyukur apabila mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy turut memuji keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah mengabaikan anak seni lanjut usia sepertinya, malah sentiasa cakna dengan kesusahan dialami rakyat. "Kita siapa, kita rakyat biasa. Bukan senang menteri datang jumpa kita, bukan kita pergi jumpa dia. Malu juga dia datang cari kita. Tapi, apapun kita manusia. "Dulu saya ada tolong orang. Sekarang orang tolong saya. Sebelum ini, saya pernah dikunjungi oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.
Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri. Bantuan ini saya gunakan untuk tujuan kos perubatan. Saya perlukan lebih RM1,000 juga," katanya semasa menerima kunjungan Nie Ching sempena program Ziarah Seni Madani di kediamannya di Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Setapak Jaya, di sini, semalam. Mengulas keadaan terkini, Sathiya berkata, tangan kanannya masih lemah susulan strok ringan yang dialami pada 16 Julai lalu dan kini bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak. "Dulu saya suap isteri makan, sekarang isteri kena suapkan saya pula. Ini kerana tangan kanan saya sudah tak mampu hendak angkat sampai ke mulut. "Kalau angkat lama-lama nanti tangan akan menggeletar dan makanan tumpah," katanya.
Sathiya berkata, dia kini mendapatkan rawatan akupuntur di sebuah pusat rawatan di Ampang sejak sebulan lalu bagi memulihkan bahagian kanan badannya yang sukar bergerak. "Saya perlu buat rawatan tiga kali seminggu dengan kos RM60 setiap kali rawatan. Setiap minggu kena pergi kalau hendak sembuh. Rawatan selama sejam bagi setiap sesi. "Apapun, saya bersyukur kerana mulut tak lari (senget) akibat strok. Kalau mulut lari saya susah hendak cari makan kerana saya berlakon dan kena bercakap. "Dalam keadaan sekarang, saya masih jalani penggambaran drama. Pada Januari dan Februari tahun depan sudah ada tawaran lakonan. Saya hanya duduk dan bercakap sahaja," katanya. Terdahulu, Sathiya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika bersarapan di rumahnya. Bagaimanapun, pelawak itu dibenarkan keluar sehari kemudian. Selain angin ahmar ringan, Sathiya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun terkawal. Sementara itu, menerusi Program Ziarah Seni Madani, Nie Ching mengadakan lawatan ke kediaman Sathiya menerusi inisiatif Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Nie Ching menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada pelakon dan pelawak yang pernah mencipta nama menerusi watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu. Yang turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Zed Zaidi. Nie Ching berkata, kunjungannya bertujuan untuk menziarah dan membuat serahan dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan daripada FINAS dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Sathiya. "Kami nampak Sathiya dalam keadaan kurang sihat. Kami gembira berpeluang melawatnya, selain 24 Disember lalu adalah hari ulang tahun kelahirannya ke-60. "Jadi, saya ambil kesempatan ucapkan selamat ulang tahun dan harap Sathiya cepat sembuh," katanya.
Tangan kanan Sathiya masih lemah susulan serangan strok ringan dan kini bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak. - NSTP/Rohanis Shukri
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/12/1341671/serangan-strok-sathiya-belum-mampu-suap-makanan
|