|
Kelantan Terikat 1-1 Di Paroi
Kelantan seri 1-1 dengan pasukan tercorot Liga Super 2013, Negeri Sembilan dalam aksi ketiga kumpulan C Watson Piala Malaysia 2013 yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi.
Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan beraksi dengan agak baik yang mana menyaksikan serangan 'bergilir-gilir' disajikan kepada lebih 10,000 penyokong yang hadir.
Pada minit ke-15, hantaran cantik dari Badri Radzi kedalam kotak penalti gagal disempurnakan Dickson Nwakaeme setelah pemain import dari Nigeria itu tergelincir semasa ingin melakukan sentuhan terhadap bola tersebut.
Selang 2 minit kemudian, hantaran lintang Eddy Helmi gagal dibaca pertahanan Kelantan yang menyaksikan Nazrin Nawi hampir membuka tirai jaringan untuk tuan rumah, walau bagaimanapun, Khairul Fahmi tangkas di gawang menepis percubaan itu.
Penantian yang ditunggu oleh penyokong kito akhirnya terburai apabila Dickson Nwakaeme menjaringkan gol pada minit ke-40 setelah beberapa kali cuba 'menebuk' pintu gol Negeri Sembilan. Kedudukan 1-0 kekal sehingga babak pertama tamat.
Bersambung babak kedua, Indra masuk ganti Faiz.
Minit ke-60 menyaksikan Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol jaringan Fabio. Tersentak dengan gol itu, Bojan Hodak melakukan pertukaran mengeluarkan Fakri dan meletakkan Zairo.
Walau bagaimanapun, usaha itu menemui kebuntuan apabila kedudukan terikat 1-1 sehingga perlawanan tamat.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|