“Aja ok, mak. Jangan bimbanglah,”
“Mestilah mak bimbanglah. Aja kat sana sorang-sorang. Sakit..demam..siapa yang nak jaga?,”
Najwa mengukir senyum.
“Aja dah besar, mak,”
“Dah besar, dah tak jadi anak mak ke?,”
Najwa tergelak kecil. Luqman sekadar tersenyum. Paparan di hadapannya jauh benar dari cerita-cerita yang meniti di bibir Zarith. Hatinya yakin, inilah Najwa yang sebenar. Kesal rasanya melihat gadis sebaik Najwa terpaksa lalui lorong sehitam ini.
“Makcik, surau di mana ya?,”dia mencelah tiba-tiba.
“Luqman nak ke surau ke?,”
Luqman tersenyum.
“Ingat nak Maghrib di surau,”
“Nanti boleh ikut sekali Hafizi dengan Hafizul. Rehatlah ya. Makcik nak siapkan makan malam. Tapi,makan cara orang kampung ajelah, Luqman,”
Luqman sekadar mengukir senyum.
“Aja tolong mak, ya,”
“Aja temankan Luqman minum dulu. Kesian Luqman sorang-sorang nanti,”
Najwa diam. Tidak jadi mengangkat punggung mengikut ibunya yang sudah melangkah ke ruang dapur.
“Terima kasih bang,”
“Terima kasih kenapa pula ni?,”
“Untuk semuanya. Budi abang saya tak akan lupa sampai mati,”
“Sudahlah tu. Jangan fikir sangat. Nanti pening…,”usik Luqman sekadar mahu melihat gadis itu tersenyum. Najwa tersenyum kecil.
“Saya ke dapur ya. Abang nak mandi ke? Beg pakaian abang, saya letak dalam bilik tu. Bilik Hafizul dengan Hafizi,”
“Yalah,”balas Luqman bersama senyum dan dia terus bersandar menyaksikan suasana kampung di remang senja melalui jendela yang masih terbuka. Serentak dia mendengar riuh suara di halaman. Dia menjenguk. Senyum kecil menghias bibir melihat seorang remaja perempuan dan sepasang kembar di halaman. Pasti adik-adik Najwa.
“Mak! kereta siapa ni?!,”laungan itu membuat dia senyum lagi.
**** |