CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 16-9-2013 12:41 AM From the mobile phone | Show all posts
Bercakap dengan jin
127 - Rahsia Daun Seribu Kapit

Dingin malam mula terasa cara kebetulan pula angin mula bertiup agak lemah. Kayu dihalaman pondok terus dimamah api, suara katak dan cengkerik terus berbunyi disamping suara unggas malam yang sering bertingkah antara satu sama lain. Saya perhatikan jari jemari datuk berlari lembut dipermukaan kulit Khoja Lisut.

Bila jari jemari itu berhenti disendi-senddi tubuh untuk menyentuh urat, saya lihat Khoja Lisut menggeliat menahan kesakitan sambil merintih. Datuk tidak ambil kisah dengan semuanya itu. Makin kuat Khoja Lisut mengerang sakit, makin kerap jari jemari datuk mencari urat-urat tersimpul dalam tubuhnya. Pertama kali, saya lihat sekujur tubuh Khoja Lisut bermandikan peluh.

"Bangun."

Datuk renung biji mata Khoja Lisut dan bagaikan orang kena pukau, Khoja Lisut menurut kata datuk. Dia bangun dalam kepayahan yang amat sangat. Tiga kali Khoja Lisut mencuba dan tiga kali pula dia berdepan dengan kegagalan.

"Tamar, kamu pergi angkat air tadi atas api," mata datuk cukup tajam menikam wajah saya. Tanpa berlengah-lengah saya terus keluar dari pondok. Baldi tanah saya angkat, lalu diletakkan atas pasir. Tidak sampai lima minit kemudian datuk keluar dari pondok dengan Khoja Lisut atas bahunya.

Dengan perlahan-lahan datuk meletakkan Khoja Lisut atas pasir. Datuk terus ke belakang pondok mengambil kayu dan dicampakkan ke dalam api yang sedang marak.

Bebunga api terus naik udara. Datuk mahu seluruh halaman pondok terang dan cerah dengan cahaya api dari longgokan kayu yang terbakar itu. Bila datuk sudah puas hati dengan cahaya api yang didapati disitu, dia pun berhenti membawa kayu dari belakang pondok ketempat api yang sedang menjulang tinggi itu.

Datuk pun mengenakan baju hitam dan seluar hitam, kain bengkung dari kain berwarna kuning. Seperti biasa, kepalanya diikat dengan secebis kain merah. Perlahan-lahan dia mendirikan Khoja Lisut sambil menyuruh saya menjirus air rebusan daun seribu kapit anak kearah kedua belah tempurung lutut Khoja Lisut.

Saya melakukannya lebih kurang hampir sepuluh minit, saya menggunakan tempurung dan jumlah air yang dijirus untuk kedua tempurung lutut itu ialah berjumlah sepuluh tempurung semuanya.

Selesai saja saya melakukannya, saya merasa takjub. Khoja Lisut boleh berdiri tegak. Kecacatan lain dibahagian tubuh badannya, saya lihat beransur hilang.

"Kamu melangkah perlahan, setiap kali melangkah kamu baca Bismillah dan selawatkan Nabi," kata datuk kepada Khoja Lisut, cepat-cepat Khoja Lisut angkat kaki kanan untuk melangkah, tiba-tiba datuk menjerit.

"Nanti dulu, aku belum suruh buat."

"Maafkan saya," suara Khoja Lisut lemah.

Datuk keliling Khoja Lisut tiga kali, iaitu dari kanan ke kiri. Kemudian datuk duduk bersila atas pasir disebelah kanan Khoja Lisut.

Badan saya mula terasa seram sejuk. Angin malam kian keras bertiup. Suara cengkerik cukup hebat berbunyi. Lolongan anjing liar jelas kedengaran dibawa angin malam. Semuanya itu membuat saya resah gelisah.

"Tamar."

Saya tumpukan sepasang mata kearah datuk. Bersedia mendengar apa juga perkara yang akan diutarakan kepada saya.

"Bila saja Khoja melangkah, kau pukul kakinya dengan batang seribu kapit anak, kau pukul sekuat hati kamu," datuk keluarkan arahan. Kemudian datuk memandang kearah Khoja Lisut.

"Mula kamu berjalan, kemudian lari dan elakkan kaki kamu dari kena pukul oleh si Tamar, kamu faham tak?" cukup keras suara datuk.

"Faham," jawab Khoja Lisut.

"Kamu pula macam mana Tamar?"

"Saya juga faham tuk."

"Bagus."

Dia atas pasir terus memeluk tubuh. Sepasang matanya dirapatkan, nafasnya ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.

Deru angin terasa amat menggerunkan. Begitu juga dengan suara burung hantu, lolongan anjing dan cengkerik.

"Bersedia."

.Datuk tepuk tangan dan terus melompat. Akhirnya dia berdiri tegak macam patung sambil memeluk tubuhnya.

"Mulakan Khoja."

Khoja Lisut pun mula melangkah.

"Tugas kamu, Tamar."

Saya pun terus memukul sepasang kaki Khoja Lisut dengan batang seribu kapit anak. Saya pukul dengan sekuat hati, mungkin kerana pukulan yang tepat itu membuat Khoja Lisut mengalami rasa sakit. Dia berusaha mengelakkan dirinya dari jadi sasaran pukulan saya.

Dan saya pula berusaha untuk memukul dengan tepat seperti apa yang datuk arahkan. Antara kami sudah menjadi seperti musuh pada saat itu, saya mengejar untuk menyakitkan Khoja Lisut dan Khoja Lisut pula lari kerana tidak mahu jadi sasaran pukulan dari saya. Dalam usaha mengelakkan dirinya dari jadi korban, Khoja Lisut lupa tentang dirinya yang lumpuh. Dia seperti mengalami kekuatan luar biasa, berlari dengan kencang.

Bila saya cuba berhenti, datuk segera menjerit sambil membawa kayu panjang untuk memukul saya. Begitu juga dengan Khoja Lisut, kalau berhenti datuk akan melemparkan puntung yang terbakar kearahnya. Jadi kami terpaksa berlari.

Saya mengalami kepenatan yang amat sangat, tidak terdaya mahu melangkah. Seluruh sendi saya terasa lemah dan saya jatuh atas pasir. Sayup-sayup terdengar suara datuk memaki hamun saya, setelah itu saya tidak tahu apa yang terjadi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-9-2013 12:50 AM From the mobile phone | Show all posts
Bercakap dengan jin
127 - Rahsia Daun Seribu Kapit

Bila saya membuka mata, saya lihat hari sudah cerah. Datuk duduk bersimpuh didepan, Khoja Lisut berjalan dengan senang hati dihalaman pondok.

"Kamu pengsan."

Itu yang duduk tuturkan kepada saya.

"Khoja macam mana?"

"Sakit lumpuhnya sudah baik, dia sudah boleh berjalan seperti sediakala, begitu juga dengan sakit-sakitnya yang lain," terang datuk dengan nada suara yang lembut.

Bagi memulihkan kekuatan yang hilang, datuk suruh saya minum dari dedaun yang dibuatnya. Rasanya cukup pahit dan bagaikan tidak tertelan dan mahu muntah dibuatnya. Kerana terpaksa dan dipaksa, saya terpaksa juga minum. Setengah jam, sesudah minum air dari dedaun itu, badan saya terasa segar dan berpeluh.

"Kamu tak usah bimbang, Tamar, kamu tetap sihat," datuk memberi jaminan, dan saya amat senang sekali mendengar kata-kata itu.

"Khoja ke mari," laung datuk.

Tergesa-gesa Khoja Lisut berjalan kearah datuk.

"Jangan berjalan, kamu mesti berlari," jerit datuk.

Khoja terpaksa berlari. Bila sampai di pondok, saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap. Kepenatan terbayang di wajah. Tetapi, kecacatan yang terdapat di tubuh badannya dulu, semuanya sudah hilang.

Kini, saya dapat melihat wajah Khoja Lisut yang sebenar. Ternyata dia seorang lelaki yang tampan dan gagah. Melihat dari bentuk tubuh dan wajahnya, memanglah layak dia memegang gelaran sebagai seorang guru silat. Ciri-ciri seorang pendekar memang ada pada dirinya. Tetapi, kerana kurang sabar ilmunya tercabar, fikir saya sendirian.

"Khoja, janji aku dengan kamu sudah selesai," tutur datuk sambil menatap wajah Khoja Lisut yang terpaku didepannya. Saya lihat Khoja Lisut tunduk penuh terharu.

"Saya tahu..." Khoja Lisut tidak meneruskan kata-katanya, saya lihat dia menangis tersedu.

"Jangan menangis," datuk pun menjatuhkan telapak tangan kanannya atas bahu kiri Khoja Lisut,

"Cakaplah apa yang mahu cakapkan Khoja," sambung datuk lagi, tetapi Khoja Lisut tidak dapat menahan kesedihan.

Bagi menenangkan keadaan, datuk mengajak saya beredar keluar pondok.

Melihat dari tingginya matahari masa itu, saya dapat menduga waktu itu lebih kurang pukul lapan pagi. Andaian saya itu dikuatkan lagi dengan kehadiran burung murai dan merbah batu yang kerap menyanyi bila jam lapan pagi.

"Biarkan dia menangis," bisik datuk kepada saya.

"Kesian dia tuk."

"Aku harap apa yang berlaku akan menginsafkan dirinya," tingkah datuk lagi. Saya anggukkan kepala.

Lebih dari setengah jam saya dan datuk berada diluar pondok, barulah Khoja Lisut datang. Kali ini saya lihat wajahnya cukup riang, tidak ternampak kesan kesedihan, kehampaan dan kekecewaan diwajahnya.

Dia berdiri didepan datuk, tanpa diduga dia terus memeluk tubuh datuk dengan erat sakali.

"Dengan apa mahu saya balas budi tuan."

Saya terpampan mendengar perkataan 'tuan' yang ditujukan oleh Khoja Lisut kepada datuk, dan saya kira datuk kurang senang bila dirinya dipanggil begitu.

"Mengapa bertuan dengan saya, bukankah elok panggil saya abang saja, sesuai dengan umur aku yang lebih tua dari kamu," dengan senyum datuk bersuara.

"Dengan apa mahu saya balas budi baik abang."

"Tak payah balas, apa yang aku lakukan selama ini adalah usaha atau ikhtiar aku. Dan ikhtiar itu diperkenankan oleh Allah, pada Allah kau harus bersyukur dan berterima kasih, bukannya pada aku."

"Haa..." mulut Khoja ternganga mendengar kata-kata datuk itu.

"Tak usah banyak cerita lagi, ikut aku ke rumah. Disana kita boleh cerita panjang," datuk menarik tangan Khoja Lisut mengajak pulang. Bila saya memulakan langkah mahu mengikut mereka, saya segera dihalang.

"Kerja kamu belum selesai Tamar."

"Apa dia kerja saya tuk?"

"Timbus lubang dan padamkan api dengan air."

"Saya buat seorang saja tuk?"

"Ya."

Dengan tarikan nafas panjang, saya melihat datuk dan Khoja Lisut melangkah dengan tenang meninggalkan saya. Rasanya, mahu saja saya menjerit memprotes sikap datuk itu. Ah! Siapa yang mahu menolong dan siapa pula yang dapat mendengar jeritan saya, timbul persoalan dalam diri sendiri.

Saya segera ambil cangkul dan memulakan tugas menimbus lubang. Berpeluh saya seorang diri. Saya mengambil masa hampir satu jam untuk menimbus lubang, kemudian saya beralih untuk memadamkan bara api yang masih merah. Termenung saya memikirkan bagaimana untuk membawa air sungai ke tempat bara.

"Tamar."

Khoja Lissut tercegat didepan saya.

"Datuk izinkan aku membantu kamu Tamar."

"Ini dah cukup baik, nampaknya kita kena bawa air dari sungai," kata saya.

"Tak payah, kita padamkan dengan pasir," Khoja Lisut pun mula mencangkul pasir dan ditimbus ke bara api. Saya segera membantunya dan kerja itu selesai tidak sampai dua jam.

"Aku terpaksa tinggalkan rumah datuk selepas waktu Asar," Khoja Lisut buka rahsia ketika kami sama-sama berjalan pulang ke rumah datuk.

"Sebelum aku pergi, aku terpaksa sembahyang Asar disurau, datuk kamu nak adakan kenduri kesyukuran kerana sakit aku sembuh," tambah lagi.

"Ikut saja apa katanya," sanggah saya dan kami terus melangkah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2013 03:43 PM From the mobile phone | Show all posts
128 - Api keluar dari kubur

Nenek sambut kepulangan saya dengan senyuman. Dia gelengkan kepala, bila melihat baju saya basah kuyup akibat peluh. Saya sambut geleng kepala nenek dengan senyum megah.

"Kenapa begini Tamar?"

"Saya disuruh membuat kerja berat."

"Pergi mandi, cepat."

"Mandi di perigi?"

Nenek tidak menjawab pertanyaan saya. Dahinya nampak berkerut. Jejari kanannya terus melurut rambut sebelah kanan beberapa kali. Ternyata rambut hitam sudah hampir separuh dikuasai oleh rambut putih.

"Jangan mandi di perigi, kamu mandi di sungai saja Tamar."

"Sungai jauh nek, mandi diperigi saja," saya protes cadangan nenek. Dengan tenang nenek menghela nafas, sepasang mata tuanya tertumbuk ke wajah saya. Nenek seperti berada dalam keadaan serba salah.

"Jangan mandi di perigi, datuk kamu ada hal disitu."

"Apahalnya nek?" nada suara saya meninggi.

"Aku tak tahu apa halnya. Pesannya pada aku, jangan benarkan sesiapa datang ke perigi waktu begini," terang nenek dengan tenang."Kalau kamu tak percaya dengan cakap aku, pergi tengok sendiri," sambungnya lagi.

"Hiss..." keluh saya dengan rasa serba salah.

Secara mendadak saya teringatkan Khoja Lisut. Saya berpisah dengannya dihadapan halaman rumah. Dia menuju kearah datuk yang menantinya dibawah pokok manggis. Saya menuju kearah pintu dapur kerana saya ternampak nenek tercegat disitu.

"Tak kuasa saya nak tengok sendiri nek."

"Kenapa pula Tamar."

"Takut dimarah datuk."

"Itu keeputusan yang bijak, dia memandikan tetamunya."

"Saya tahu, tetamunya tu Khoja Lisut."

"Ya," nenek anggukkan kepala.

Tanpa banyak biara, saya ambil kain basahan diampaian lalu dibelitkan ke leher. Tanpa mengucapkan sesuatu nenek, saya terus menuju ke sungai. Setelah membuka pakaian, kain basahan pun saya ikat ke pinggang. Dari tebing sungai saya melakukan terjun menjunam, macam gaya seorang tarzan.

Macam biasa, bila berada dalam perut sungai, saya bagaikan seekor memerang. Berenang dan menyelam dengan bebas. Bila kulit telapak tangan dan jari menjadi kecut, badan mengeletar kesejukkan. Barulah perut sungai saya tinggalkan. Berlari-lari anak menuju ke rumah.

Saya masuk ke rumah ikut tangga bahagian tengah. Dari situ menyelinap masuk ke kamar sendiri, tanpa disedari oleh nenek yang sibuk diruang dapur. Saya memilih kain pelikat kotak, tiga warna iaitu biru, merah dan putih. Baju Melayu potongan teluk belanga jadi pilihan untuk saya pakai pada hari itu. Rambut pun saya sikat dengan rapi.

Didepan cermin saya berdiri, mencipta jambul dikepala. Dua tiga kali saya melihat jambul dari pelbagai sudut. Saya yakin, jambul saya mirip jambul P. Ramlee. Boleh menarik perhatian orang lain andainya saya berjalan ke kedai atau ke mana-mana. Tiga empat kali saya tersengih didepan cermin, merasa diri cukup segak sekali.

"Tamarrr..."

Suara nenek keras.

Saya bergegas menuju keruang dapur. Saya lihat ada hidangan tersembunyi dibawah tudung saji. Bau dari hidangan membuka selera. Perut terasa lapar.

"Nek suruh saya makan?"

Saya terus duduk bersila didepan hidangan. Secara mendadak nenek terus ketawa terkekek melihat telatah saya.

"Belum lagi," tegah nenek, saya tidak jadi membuka tudung saji.

Memang terasa kecewa mendengar kata-kata nenek itu.

"Habis bila lagi nak makan?" tutur saya separuh kesal.

"Sembahyang Zuhur dulu, pergi ambil air sembahyang. Datuk kamu menunggu kamu diruang tengah."

"Huh..." terpancut keluhan dari kelopak bibir saya.

Saya segera mengambil air sembahyang. Kemudian melangkah ke ruang tengah. Datuk dan Khoja Lisut sudah berdiri disitu. Mereka menanti kedatangan saya untuk memulakan solat Zuhur secara berjemaah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2013 04:57 PM From the mobile phone | Show all posts
Di zaman dahulu, seorang lelaki menangis kehibaan kerana kematian saudara perempuannya yang dikasihi. Kemudian lelaki itu bersama orang-orang kampung terus menguburkan saudara perempuannya dikawasan perkuburan.

Semasa lelaki itu menimbus mayat saudaranya itu, tanpa disedari pundi-pundi yang berisikan wang dan barang-barang lain terjatuh dalam longgokan tanah.

Tidak ada seorang pun teman-teman lelaki itu melihat yang pundi-pundi berisi wang itu jatuh dan bersatu dengan tanah. Apa yang dirasakan oleh lelaki itu ialah rasa kesedihan dan kehampaan yang memanjang. Maklumlah, dia kehilangan seorang saudara perempuan yang amat disayanginya.

Setelah selesai menguburkan saudara perempuannya, lelaki itu bersama kawan-kawannya terus pulang. Sampai separuh jalan, baru disedarinya pundi-pundi berisi wang miliknya sudah hilang.

"Kamu balik dulu, aku nak ke kubur semula," kata lelaki itu pada kawan-kawannya.

Sudah tentu kata-kata itu mengejutkan kawan-kawannya.

"Kenapa?" tanya salah seorang kawannya.

"Pundi-pundi wang aku tercicir di kubur."

"Kalau begitu kata kamu, pergilah. Kami tak dapat bersama-sama kamu," jawab kawannya itu.

"Tak apalah, biar aku uruskan sendiri," balas lelaki itu, lalu meninggalkan kawan-kawannya.

Sampai di kubur lelaki itu terus mengais-ngais tanah disitu. Pundi-pundi beisi wang tidak juga ditemuinya. Lelaki itu mula menggali sebahagian dari tanah kubur. Sedang dia asyik menggali tanah (kubur), tiba-tiba keluarlah api yang menyala-nyala dari dalam kubur. Lelaki itu terkejut dan takut. Tanah kubur itu segera ditimbusnya.

Tubuh lelaki itu mengeletar ketakutan. Dia ingin segera pulang dan mahu menceritakan apa yang dialaminya kepada ibu dan saudara-saudaranya yang lain. Dengan rasa gementar, cemas dan tidak tentu arah, lelaki itu berlari pulang ke rumah.

Sampai saja dirumah, dia terus menceritakan kepada orang tuanya dan saudaranya mengenai kejadian tersebut. Saudara-saudaranya agak terkejut tetapi, ibunya tetap tenang. Lelaki itu pun terus bertanya kepada ibunya:

"Ibu! Cuba terangkan, apakah perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh saudara perempuanku itu semasa hidupnya?"

"Wahai anakku! Amal perbuatan saudara perempuanmu semasa hidupnya, suka melalaikan solat dan kadang-kadang mengakhirkannya sampai habis waktu."

Setelah mendengar penjelasan ibunya, lelaki itu bermuafakat dengan saudara-saudaranya (termasuk ibunya) berdoa kepada Allah supaya dosa saudara perempuannya itu diampuni oleh Allah.

"Dahsyatnya," keluh saya lalu menutup buku lama itu.

Saya merenung sejenak dan saya segera berfikir, begitulah kecelakaan atau keburukan yang menimpa terhadap orang-orang yang melalaikan solat. Bagi orang yang meninggalkan solat tentu lebih ganjaran yang diterimanya.

"Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala-galanya, tidak pernah mungkir janji terhadap hambanya," terpancut kata-kata dari mulut dan secara mendadak saya teringatkan sepotong ayat dari Al-Quran yang bermaksud: "TidakKu jadikan manusia dan jin, melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu."

Dan saya merasakan diri saya semakin kecil, bagaikan segumpal buih disamudera nan luas.

Saya tidak berhasrat untuk membaca hikayat-hikayat yang termuat dalam buku itu lagi, walaupun semuanya boleh dijadikan cermin dan teladan dalam kehidupan. Buku lama bertulis jawi saya campakkan ke sudut kamar. Membacanya, beerti memaksa saya berfikir. Bila sudah berfikir pasti mata tidak mahu mengantuk. Begitu rumusan yang saya buat sendiri.

Dua tiga kali saya menguap, bahang panas diluar membuat badan saya terasa bergetah. Bagi menghilangkannya saya terpaksa menggunakan cebisan kotak untuk dijadikan pengipas angin. Barulah terasa dingin tetapi, saya kehabisan tenaga untuk mengipas, seiring dengan itu mata saya mula terasa mengantuk.

Bunyi kicau burung terdengar sayup-sayup, begitu juga dengan bunyi pinggan dan piring yang dibasuh oleh nenek, berlaga sama sendiri.

Lama-kelamaan semua bunyi-bunyi itu terus mengilang. Apa yang saya alami seterusnya, saya dapati diri saya berada di sebuah padang pasir yang maha besar dan maha luas. Saya melihat ribut pasir yang amat menakutkan hingga memaksa saya berlindung disebalik pokok kurma yang hanya tumbuh sepohon saja disitu.

Saya tidak sanggup melihat ribut pasir beserta dengan bunyi yang amat menggerunkan itu. Saya tutup mata dengan kedua belah tangan saya. Pada saat itu, saya terasa bahu saya dipegang orang dari arah belakang. Saya tidak ada pilihan selain dari membuka mata untuk melihat, siapakah orang yang berani memegang bahu saya.

Sebaik saja mata terbuka, saya lihat seorang lelaki Arab tersenyum ke arah saya. Bermisai tebal, wajahnya berjambang dengan pedang terselit dipinggang. Kuda putih milik lelaki Arab itu kelihatan jinak sekali dan tidak takut dengan bunyi ribut pasir.

"Assalam-mualaikum..."

"Walaikumussalam," sahut saya.

"Nama kamu Tamar Jalis?" tanyanya lagi.

"Ya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2013 05:15 PM From the mobile phone | Show all posts
Secara mendadak lelaki Arab itu memeluk tubuh saya, pipi kami berlaga, bau peluhnya tidak begitu menyenangkan saya tetapi, kerana orang sudah menunjukkan rasa persahabatan saya wajib menerimanya dengan ikhlas.

"Aku Sheikh Abu Bakar Al-Petani," lelaki itu memberitahu namanya pada saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Kemudian kami terus duduk dipasir berhampiran perdu kurma.

"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" kata saya dengan tenang..

Sheikh Abu Bakar Al-Petani tersenyum sambil mengurut-urut janggutnya.

"Tunggu sekejap, bila ribut pasir berhenti kita bercerita panjang," tutur Sheikh Abu Bakar Al-Petani dalam Bahasa Malaysia yang cukup terang.

Dengan kehendak Allah yang Maha Besar, beberapa saat kemudian ribut pasir pun berhenti.

"Ya, kita sambung cerita kita Tamar," Sheikh Abu Bakar Al-Petani menghidupkan kembali cerita yang terputus

"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" pertanyaan yang sudah saya kemukakan, saya ulangi lagi.

Tuan Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang sukar ditentukan kerakyatannya samada orang Arab tulin atau orang Melayu yang sudah lama tinggal didunia Arab dan bersikap atau berperangai lebih dari Arab.

"Kamu baru saja membaca cerita yang menarik?" soalnya dengan tenang.

"Ya, kenapa tuan Sheikh?"

"Apakah hikmah yang dapat kamu ambil untuk cermin dalam kehidupan kamu. Agar kamu jadi manusia Muslim yang baik," tanyanya lagi dengan penuh semangat.

Saya terpaksa mengerutkan dahi.

Saya sebenarnya tidak suka memikirkan apa-apa tentang cerita lama yang saya baca. Aneh! Mengapa Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang tidak ku undang, harus bertanyakan perkara tersebut.

"Saya tak dapat buat kesimpulan Pak Sheikh," jawab saya tegas.

"Begini kesimpulannya, pertama Allah memperlihatkan keburukan orang yang melalaikan solat," tuturnya.

Saya segera anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diluahkan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

"Lagi apa yang dapat kita jadikan panduan, Pak Sheikh?"

"Kejadian itu menunjukkan kekuasaan Allah untuk memperlihatkan adanya seksa kubur, supaya diketahui oleh orang ramai," sepasang biji mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merauti seluruh wajah saya.

Ada rasa gementar dan cemas bergolak dalam jantung hati saya. Dan saya tidak mahu mengajukan sebarang persoalan kepadanya.

"Kejadian itu bukan hanya menimpa mayat perempuan itu saja malah akan berlaku juga kepada mayat-mayat lain yang melalaikan solat. Cuma tidak diperhatikan oleh Allah kerana alam kubur itu adalah alam ghaib, sesungguhnya alam kubur itu bukanlah sekadar kubur melainkan alam sesudah mati iaitu alam sebelum hati akhirat.

Walaupun seseorang mati dibaham harimau, ghaib dalam laut, pasti berada dialam kubur walaupun tubuh mereka tidak ditanam kedalam bumi," begitu hebat sekali Sheikh Abu Bakar Al-Petani begitu senang dengan sikap saya itu. Dia terus menepuk bahu saya berkali-kali bersama dengan ketawa parau.

"Tamar." jeritnya keras.

Saya toleh kearahnya dengan rasa terkejut.

"Kenapa Pak Sheikh?"

"Aku nak balik, sebelum balik dengar sini..." Sheikh Abu Bakar Al-Petani menggeliat dan membetulkan hujung jubahnya yang terkena pasir.

"Kamu tahu, hikayat yang kamu baca itu memperkuatkan firman Allah dalam surah Al-Maun dalam Al-Quran, tentang seksaan bagi orang yang melalaikan solat, kamu baca dan kaji surah tu," nada suara Sheikh Abu Bakar Al-Petani cukup tinggi dan saya rasakan kata-kata yang diluahkan itu adalah sebuah arahan.

Kerana tidak mahu diri diarah atau diperintah oleh orang yang tidak saya kenali secara terperinci, saya segera memperlihatkan reaksi tindak balas.

"Bukan urusan saya mahu membacanya, Pak Sheikh."

"Apa kata kamu Tamar, kamu tidak mahu mengikut arahan aku yang baik ini?"

"Ya," saya segera bangun dan bersedia melepaskan penumbuk kalau Sheikh Abu Bakar Al-Petani bertindak kasar.

Ternyata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merasai dirinya tercabar. Dia juga bangun. Undur lima tapak kebelakang. Dia mencabut pedangnya, mata pedangnya yang tajam kelihatan berkilau-kilau bila kena sinar matahari.

"Kerana kamu tidak mahu mendengar nasihat orang untuk kebaikan kamu harus dibunuh dan ditanam dalam pasir. Biar kamu kena seksa kubur," dengan pedang ditangan, Sheikh Abu Bakar Al-Petani segera menerkam kearah saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit dengan sekuat hati, dengan harapan jeritan itu akan dapat didengar oleh orang lain. Kemudian akan datang untuk menyelamatkan saya.

"Kamu menjerit ya," ugut Sheikh Abu Bakar Al-Petani sambil melepaskan penumbuk kearah saya.

Tubuh saya rebah dipasir dan mata pedang Sheikh Abu Bakar Al-Petani kian mendekati batang leher saya. Kematian didepan mata, dengan penuh khusyuk saya mengucap dua kalimah syahdat.

"Huh, nasib baik kamu mengucap," jerit Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

Tubuhnya kelihatan menggeletar menahan kehampaan. Tanpa banyak cakap, dia terus melompat kebelakang kuda putihnya.

"Semoga kamu bahagia," tuturnya lagi sambil memasukkan mata pedang kesarungnya.

Dengan sekali tampar dibahagian punggung kudanya terus bergerak meninggalkan debu-debu pasir untuk saya lihat. Dalam sekelip mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani dan kudanya hilang dari penglihatan sayaDengan penuh tenaga saya cuba bangun tetapi, tidak berhasil. Dua tiga kali saya terjatuh hinggalah ada sepasang tangan menggoncang tubuh, barulah saya terasa badan kembali bertenaga dan kelopak mata saya boleh digerakkan dan dibuka. Nenek terpaku didepan saya.

"Bangun, dah dekat waktu Asar, pergi mandi," nenek keluarkan perintah.

Saya terus pejam celikkan kelopak mata, dahi terus saya kedutkan. Betulkah nenek yang tertonggok didepan saya atau Sheikh Abu Bakar Al-Petani menjelma menyerupai nenek.

"Ini nenek?"

"Habis kalau bukan nenek kamu, aku ni hantu.

Makan terlalu kenyang tidur siang sampai mengigau terpekik terlolong, bangun pergi mandi."

"Astagh..." kata saya dan terus bangun menuju ke perigi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2013 08:18 AM From the mobile phone | Show all posts
129 Si Tua Misteri Dari Solok

Dari ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur .Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.

“Nek dari mana?” Tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.

“Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk.”

“Kenapa tak nanti saya nek?”

“Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang,” tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.

Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata :Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar .Terima kasih nenek. Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.

“Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni,” kata nenek bersahaja. Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.

“Bukan fasal tu nek.”

“Habis fasal apa Tamar,”

“Nenek terlalu baik.”

“Sudah , jangan merepak, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba,” wajah nenek nampak serius. Dan saya segera mematuhi arahannya.

Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi. Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak.

Memang saya berhasrat, mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada datuk.Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya. Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen datuk sendiri.

Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis). Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar .Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.

“Air kopinya macam mana?” Tanya Mat Upeh.

“Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?” Sahut nenek. Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.

“Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan,” saya dan nenek segera merenung ke arah datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.

Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.

“Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya,” datuk minta kepastian.

“Bagi saya tak ada apa-apa masalah.” jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan datuk.

Saya lihat datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh datuk itu. Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata:

“Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu.”

Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringit.

“Saya terima amanah awak,” tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan datuk dengan mesra.

Waktu Asar sudah masuk, datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan datuk saya patuhi.

Sebaik saja saya menamatkan laungan azan, para jemaah datang berduyun ke surau kecil yang terletak berhampiran dengan kolam. Di hujung kolam, sebelah barat terbentang sawah padi yang sedang tumbuh menghijau.

Kerana saya berdiri di muka pintu surau, semua jemaah yang masuk menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya. Dengan penuh hormat dan bangga saya menyambutnya.

Datuk yang berdiri di tangah surau merenung ke arah saya dengan senyum. Mungkin datuk berasa puas dan bangga kerana saya pandai melayan para jemaah, pandai melaungkan azan dan sebentar lagi saya akan melakukan qamat.

Tiba-tiba hati dan perasaan saya tersentak, apabila telapak tangan seorang lelaki tua yang tidak saya kenali. Secara mendadak saya terbayangkan wajah Shiekh Abu Bakar Al-Patani yang datang dalam mimpi saya.

Setelah saya amati wajahnya ternyata lelaki tua yang sedang saya genggam telapak tangannya itu bukan Sheikh Abu Bakar Al-Patani.

Di saat fikiran dan perasaan saya berperang memikirkan siapakah lelaki tua misteri? Datuk segera mendekati saya.

“Ini cucu saya tuan haji,” beritahu datuk pada lelaki tua itu. Dia menarik telapak tangannya yang saya genggam dan terus memeluk tubuh saya.

“Kamu yang azan tadi?” Soalnya sambil melepaskan tubuh saya yang dipeluknya.

“Iya,” sahut saya sambil cuba menjauhkan diri dari lelaki tua itu.

“Tuk, siapa dia ni tuk, sebelum ni tak pernah saya tengok wajahnya,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya.

Tidak saya duga sama sekali bahawa datuk kurang senang dengan cara saya mengemukakan pertanyaan terhadapnya. Aikbatnya, datuk jegilkan biji mata serta membayangkan kemarahan di wajahnya. Tetapi, api kemarahannya segera berakhir apabila sepasang biji mata orang tua itu tertumbuk ke wajahnya.

“Jangan bengis dengan cucu sendiri,” saya terdengar orang tua itu melafazkan kata-kata. Datuk tersengih dan cuba tersenyum.

“Tamar.”

Saya yang bersedia mahu melangkah ke tengah surau untuk melakukan qamat, terpaksa membatalkan niat tersebut. Sebaliknya saya terus melangkah setapak ke arah datuk. Saya renung wajah datuk.

“Kenapa tuk?”

“Kau nak tahu Tamar, inilah Tuan Haji Yatimi. Dia ni baru datang dari Solok,” beritahu datuk kepada saya.

“Solok tu di mana tuk?”

“Di Sumatera Barat, letaknya kira-kira 24 km dari Kota Padang. Dia ni ulama besar, datuk banyak belajar darinya,” sambung datuk lagi, cukup bersemangat datuk menjelaskan tentang biodata orang tua itu di depan saya.

“Usah dikisahkan tentang aku padanya, suruh sesiapa qamat segera,” orang tua itu memotong cakap datuk.

“Cucu saya qamat,” sahut datuk.

Bagus, pergi segera,” orang tua itu terus tepuk bahu kanan saya. Dan saya pun melangkah ke tengah surau.

Beberapa saat kemudian kalimat-kalimat qamat pun bergema dalam surau. Para jemaah pun segera mengambil tempat masing-masing. Saya kira datuk yang akan menjadi imam, rupa-rupanya tetamu baru yang mengambil alih tugas datuk
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 27-9-2013 08:38 AM From the mobile phone | Show all posts
Semua orang memuji Haji Yatimi, kata mereka pembacaan doa yang dilakukannya cukup baik. Kalimat-kalimat yang disebut cukup jelas dan terang, pembacaannya cukup fasih.

Dia melayan para jemaah dengan ramah, tidak kira muda atau tua. Malah, dia melahirkan rasa bangga kerana datuk menyuruh dia menjadi imam dan membaca doa kesyukuran kerana penyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut sudah sembuh.

“Enaknya,” kata Haji Yatimi sebaik saja dia menikmati hidangan yang disediakan oleh Mat Upeh untuk para jemaah. Datuk senyum panjang.

“Lepas makan ni, orang yang saya ikhtiarkan itu mahu berikrar di depan para jemaah. Dia mahu bertaubat dan tidak mahu melakukan sebarang kejahatan,” bisik datuk kepada kepada Haji Yatimi.

“Apa dia sudah bertaubat betul-betul atau main-main,” semacam ada keraguan dalam diri Haji Yatimi.

Datuk tersentak mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Dua tiga kali saya lihat datuk kerutkan kening , ekor matanya mengerling tajam ke arah Khoja Lisut yang duduk di sudut surau. Seolah-olah mahu mengasingkan diri dengan para jemaah yang sudah kenyang makan pulut kuning berlaukkan ayam.

Mat Upeh terus mengumpulkan pinggan, piring dan cawan kosong. Kulit pisang emas ditaruh dalam baldi plastik warna merah.

“Kalau dia benar-benar mahu bertaubat memang bagus. Kalau sekadar mahu main-main, nanti akibatnya memakan diri,” tutur Haji Yatimi tenang.“Orang-orang yang berubat dengan saya itu memang benar-benar mahu bertaubat,” penuh yakin datuk bersuara. Tetapi tidak semudah itu Haji Yatimi mahu menerima kata-kata dari datuk.

“Sudahkah orang itu buat sembahyang taubat?” Sepasang biji mata Haji Yatimi terpaku ke wajah datuk.

“Sudah tuan haji.”

“Bagus, mana orangnya? Doa kesyukuran sudah dibaca tetapi orangnya tak mahu diperkenalkan pada aku. Sebelum dia baca ikrar, aku nak berkenalan dengannya,” Haji Yatimi mengajukan permintaan kepada datuk.

Saya kira tanpa disedari, datuk sudah melakukan kesilapan besar kerana tidak memperkenalkan Khoja Lisut kepada tetamunya.

“Oh, maafkan saya tuan haji, saya terlupa.”

“Tak mengapa, kita ni manusia tidak lepas dari kesilapan dan lupa. Bukankah manusia itu memang tidak sempurna, manusia itu hamba Allah yang dhaif,” sambil berkata-kata, Haji Yatimi merenung setiap muka para jemaah. Semua yang hadir anggukkan kepala. Setuju dengan perkara yang dikatakan oleh Haji Yatimi.

“Khoja, ke mari kamu,” suara datuk meninggi.

Khoja Lisut segera bangun, berjalan dengan tunduk dari sudut surau menuju ke arah datuk dan Haji Yatimi. Semua biji mata para jemaah tertumpu ke arah Khoja Lisut. Ada di antara para jemaah itu berbisik sama sendiri. Khoja Lisut duduk bersila di depan Haji Yatimi dan datuk.

“Aku perkenalkan Haji Yatimi dari Solok,” suara datuk lantang. Semua yang berada dalam perut surau mendengarnya. Haji Yatimi lebih awal menghulurkan tangan kepada Khoja Lisut. Mereka bersalam erat, mata Haji Yatimi menyorot tajam ke bola mata Khoja Lisut.

Dengan sedaya upayanya Khoja Lisut cuba mengelakkan biji matanya dari bertembung dengan biji mata Haji Yatimi. Dia berasakan sinar mata orang tua itu amat tajam menusuk ke jantung kalbunya. Dadanya berdebar tanpa sebab.

“Kenapa tangan kamu menggeletar?” Tegur datuk setelah melihat lengan kanan Khoja Lisut menggeletar. Semua biji mata dalam surau tertumpu ke arah Khoja Lisut. Cepat-cepat Haji Yatimi melepaskan telapak tangan Khoja Lisut yang dirangkumnya. Wajah Khoja Lisut kelihatan pucat sekali.

“Kamu sakit Khoja?”

Pertanyaan datuk dijawab oleh Khoja Lisut dengan menggelengkan kepala.

Dalam masa yang sama Khoja Lisut memberi isyarat tangan kepada datuk menyatakan yang dia mahu kembali duduk di tempat asalnya, di sudut surau. Apa yang dilakukan oleh Khoja Lisut dapat dikesan oleh Haji Yatimi.

“Duduklah dulu, di depan saya.”

“Kurang manis rasanya duduk di sini, terkeluar dari barisan jemaah yang lain,” tingkah Khoja Lisut sambil merenung ke arah datuk untuk meminta sokongan agar permintaannya direstui oleh datuk.

“Duduklah di situ Khoja, agaknya ada hal mustahak yang nak dicakapkan Haji Yatimi kepada kamu,” kata-kata yang diucapkan oleh datuk itu amat mengecewakan diri Khoja Lisut. Dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa duduk di depan Haji Yatimi.

“Boleh aku tanya kamu?” Haji Yatimi tatap wajah Khoja Lisut.

“Silakan,” sahut Khoja Lisut.

“Bagus, aku nak tahu, kamu benar-benar nak bertaubat atau sengaja suka-suka nak bertaubat. Cakap jujur dengan aku, perkara agama tak boleh dibuat main-main begitu juga dengan perkara taubat ni, jangan diolok-olok nanti taubat makan diri,” nada suara Haji Yatimi sekejap meninggi dan sekejap merendah. Semua yang ada dalam surau terus pasang telinga.

Kata-kata itu membuat Khoja Lisut bertambah cemas. Para jemaah penuh debar menanti jawapan dari Khoja Lisut. Beberapa jemaah yang tidak mahu mengikuti perkembangan selanjutnya segera beredar. Bagi mereka itu tidak penting, apa yang penting ialah sembahyang berjemaah, menikmati pulut kuning bersama lauk ayam, pisang sudah memadai. Cuma itu yang disebutkan oleh datuk kepada mereka. Dan permintaan datuk datuk itu sudah mereka laksanakan

“Saya sudah insaf, saya tak mahu ulang perkara yang sudah saya buat,” begitu tegas suara Khoja Lisut tetapi ,dia masih belum mahu menatap wajah Haji Yatimi. Tiba-tiba para jemaah bertepuk memberi sokongan atas keazaman yang diluahkan oleh Khoja Lisut.

“Khoja....” mulut datuk terlopong, tidak dapat meneruskan kata-kata. Datuk terkejut melihat tindakan Khoja Lisut yang terus membuka bunga silat dan berdiri betul-betul di tengah surau. Beberapa orang jemaah bangun lalu menuju ke pintu."

Dengan nama Allah yang maha besar, saya berjanji mahu menjadi manusia yang baik, taat pada hukum Allah, tidak akan menganiaya sesama manusia. Jika saya melanggar sumpah ini, saudara atau sesiapa saja boleh menhukum saya..”

“Nanti,” jerit Haji Yatimi

Khoja Lisut tergamam dan terus duduk. Datuk menggigit bibir dan saya lihat jemaah yang masih ada dalam surau, lebih kurang lima orang saja.

“Kenapa tuan haji?” Tanya Khoja Lisut.

“Jangan minta orang lain menghukum diri kamu. Bila kamu berbuat macam itu, ertinya kamu tidak jujur pada diri sendiri, kamu tak payah minta orang lain menghukum kamu, sesungguhnya perbuatan kamu ini sudah menampakkan riak,” Haji Yatimi berhenti bercakap, dia menarik nafas dalam-dalam.

Datuk tidak berkata apa-apa. Lima orang jemaah yang berada di situ nampak resah. Khoja Lisut tunduk merenung lantai surau.

“Dengar sini, bila kamu sudah bertaubat, ubahlah sikap. Tak payah nak beritahu pada orang lain , kamu bertaubat dengan Allah bukannya dengan manusia, apa perlunya bila bertaubat beritahu orang lain,” Haji Yatimi seperti memberi ceramah.

Semasa Haji Yatimi mengungkapkan kata-kata itu, saya lihat datuk sentiasa berada dalam resah gelisah.Macam ada sesuatu yang tidak kena.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2013 08:47 AM From the mobile phone | Show all posts
Dari mana kamu belajar semuanya ni?” Haji Yatimi terus menyoal datuk. Dengan serta-merta Khoja Lisut merenung ke arah datuk. Renungan itu dapat ditafsirkan oleh Haji Yatimi lalu dia tersenyum.

“Kalau itu yang kamu beritahu dia, kamu sudah membuat kesilapan besar,” Haji Yatimi tujukan kata-kata itu untuk datuk.

“Inilah kesilapan saya,” datuk mengakui kesilapannya kerana memberi penerangan yang kurang tepat untuk Khoja Lisut.

“Lain kali jangan buat lagi, aku tahu ada benda yang belum selesai dalam diri orang ini, dia tidak ikhlas dengan dirinya sendiri,” terbeliak biji mata datuk mendengar ungkapan dari Haji Yatimi dan datuk menggigit bibir.

Rasa geram dan marah terhadap Khoja Lisut terpamer di wajah datuk. Datuk genggam penumbuk, dia merasakan dirinya telah diperdayakan oleh Khoja Lisut dengan cara terhormat.

Lima orang jemaah yang masih berada dalam surau mula naik bosan dengan gelagat Khoja Lisut.

Mereka pun segera angkat punggung, meninggalkan ruang surau. Sebaik saja lima jemaah itu pergi, muncul pula Mat Upeh lalu duduk tidak jauh dari saya.

“Aku cuma nak tengok saja,” bisiknya ke telinga saya. Sya pun anggukkan kepala.

“Kamu benar-benar mahu bertaubat?” Datang lagi pertanyaan dari Haji Yatimi untuk Khoja Lisut.

“Berapa kali saya mahu terangkan,” Khoja Lisut mula naik darah.

“Sudah kamu buang apa amalan yang tak baik dalam diri kamu?”

Kali ini Khoja Lisut renung kiri kanan, bagi memastikan apakah kata-kata itu memang ditujukan untuknya. Sepasang kelopak bibirnya seperti menggeletar.

“Tuan haji ni tanya kamu,” jari telunjuk datuk menunding ke arah muka Khoja Lisut.

“Saya,” suara Khoja Lisut agak cemas.

“Iya,” angguk Haji Yatimi.

Di saat Khoja Lisut berada dalam keadaan serba salah, tanpa memberitahu datuk dan Mat Upeh, Haji Yatimi terus memegang pergelangan tangan kiri Khoja Lisut lalu menarik ke muka pintu surau.

“Mahu dibawa ke mana,” tanya Khoja Lisut kepada Haji Yatimi.

“Turun ke tanah kita berbincang di halaman surau, ada sesuatu yang mesti kita selesaikan di situ.”

“Maksud tuan haji?” Tingkah datuk sambil bangun.

“Banyak perkara disembunyi dari kamu, ada ilmu jahat yang tidak dikeluarkannya,” balas Haji Yatimi. Tidak ada bantahan atau bangkangan dari dari Khoja Lisut. Ikut saja kata Haji Yatimi.

Sebaik saja berada di halaman surau, Haji Yatimi segera mengarahkan datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut, sementara Mat Upeh pula diarah berdiri di kiri. Saya disuruh duduk di kaki tangga surau.

Haji Yatimi berdiri betul-betul di depan Khoja Lisut, bayangnya memanjang di tanah. Kerana matahari sudah beransur redup, datuk, Mat Upeh dan Khoja Lisut tidak merasai kepanasan. Angin petang yang bertiup lembut memberikan kesegaran kepada mereka.

“Kamu yang berdiri di sebelah kanan dan kiri mesti bertindak cepat. Lakukan apa saja, jika orang yang berada di tengah mahu melarikan diri, jatuhkan dia,” Haji Yatimi mengeluarkan perintah kepada Mat Upeh dan datuk. Saya lihat Khoja Lisut tetap berada dalam keadaan tenang.

“Kamu mahu bertaubat?” Haji Yatimi renung Khoja Lisut.

“Iya,”

“Kamu harus membuang segala ilmu pelindung, pendinding diri yang sudah sebati dengan darah daging kamu. Jika ilmu ini tidak ditawarkan, kamu yang susah nanti, di saat ajal kamu sudah sampai, nyawa kamu susah berpisah dengan badan. Walaupun tubuh kamu hampir binasa tetapi, kamu masih bernyawa.” muka Haji Yatimi kelihatan merah padam. Khoja Lisut yang tadi tenang, tiba-tiba berubah sikap, mukanya jadi bengis, matanya liar. Dia terus mendengus tidak tentu arah. Badannya nampak menggigil.

“Sebenarnya yang bernyawa tu bukannya kamu. Kamu sudah mati, roh kamu sudah tiada, apa yang dilihat oleh orang lain itu adalah ilmu syaitan yang cuba menipu orang-orang yang hidup, mahu meyakinkan orang-orang yang hidup bahawa ilmu syaitan itu lebih tinggi,” sambung Haji Yatimi.

Saya lihat Khoja Lisut bertambah resah. Dua tiga kali dia menghentakkan pangkal sikunya ke bahagian perut datuk dan Mat Upeh.

Datuk tidak menghadapi apa-apa masalah dengan tindak-tanduk Khoja Lisut itu tetapi, Mat Upeh mengalami rasa sakit dan senak di perut setiap kali Khoja Lisut menghentakkan siku ke perutnya.

“Sekarang kamu bersedia menggugurkan ilmu yang ada itu?” Haji Yatimi minta kepastian.

“Saya setuju, ilmu itu tidak saya tuntut tetapi datang sendiri waktu saya menuntut ilmu kebatinan, guru saya meresapkan kepada saya,” terang Khoja Lisut.

“Aku faham, guru kamu mahu membuang ilmu itu dan dia menggunakan kamu sebagai warisnya. Dan kamu mahu membuang ilmu itu dan sekarang berusaha untuk melepaskan pada orang lain. Betul atau tidak?”

“Iya, saya mengaku,”

Terbeliak biji mata datuk mendengar pengakuan Khoja Lisut. Mat Upeh gelengkan kepala dan saya tidak menduga sama sekali yang Khoja Lisut masih mahu menyembunyikan sesuatu dari datuk.

Setelah menerima pengakuan dari Khoja Lisut, Haji Yatimi termenung sejenak. Tumit kaki kirinya ditekan ke bumi sambil mengangkat tangan kanannya ke arah datuk dan Mat Upeh agar jangan berada terlalu dekat dengan Khoja Lisut. Angin petang yang bertiup terus menggerakkan dedaun pokok.

“Di sinilah kamu tidak ikhlas, kamu mahu menurunkan ilmu itu kepada budak ini,” Haji Yatimi segera meluruskan telunjuknya ke arah saya.“Kamu mahu memasukkan ilmu itu ke dalam dirinya secara pertukaran nafas waktu tidur, tapi kamu masih belum berpeluang.” sambung Haji Yatimi.

“Hei!!!,” pekik Khoja Lisut sekuat hati, dia terus melompat setinggi pohon kelapa dara..

Kedua belah kakinya lurus ke arah dada Haji Yatimi dan tangan kanannya bersedia untuk melepaskan pukulan ke arah leher Haji Yatimi.

Melihat keadaan yang agak gawat itu, datuk segera bertindak. Dia berlari ke arah Haji Yatimi dan berdiri di depan lelaki tua itu. Datuk pun membuka silat untuk melindungi Haji Yatimi, tetamu terhormat yang tidak diundangnya. Datuk pun membuka silat.

Datuk luruskan kedua belah lengannya. Dan sepasang telapak tangannya dikembangkan ke arah sepasang telapak kaki Khoja Lisut yang laju menuju ke dada datuk, saya lihat tubuh Khoja Lisut berputar-putar di udara lalu berpatah balik ke arah tempat dia berdiri.

Khoja Lisut jatuh tersembam di sisi Mat Upeh. Datuk segera melangkah mahu menerkam ke arah Khoja Lisut. Tetapi, Haji Yatimi bertindak dengan pantas memegang lengan kanan datuk lalu dipulaskan ke belakang.

“Kenapa tuan haji,”

“Jangan dilayan, dia tak sedar apa yang dibuatnya. Dia dikuasai oleh ilmu sesatnya,” kata Haji Yatimi lalu melangkah ke arah Khoja Lisut yang tersungkur di bumi.

“Hatinya mahu bertaubat tetapi, pendindingnya menjadi batu penghalang,” bisik Haji Yatimi ke telinga datuk. Haji Yatimi terus bertinggung di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh berdiri tidak jauh dari datuk.

Saya terdengar suara Khoja Lisut mengaum macam harimau, tubuhnya mula membongkok dan kedua belah tangannya mencakar-cakar tanah, perbuatannya itu tidak ubah macam kelakuan harimau liar. Dia terus mengaum dan cuba beberapa kali mahu mencakar muka datuk tetapi, datuk dapat mengelak dengan cepatnya. Saya mula melihat kuku di jarinya bertukar menjadi macam kuku harimau.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-9-2013 10:25 PM From the mobile phone | Show all posts
130 Mengeletek Macam Cicak

~Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya, sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.

“Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya kerana itulah dia datang jumpa kamu. Dalam kehebatannya, masih ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa manusia. Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya,” Haji Yatimi terus memberikan ceramah kecil untuk saya, Mat Upeh dan datuk.

“Apa yang mesti dibuat sekarang?” Mat Upeh bertanya.

“Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan pendinding yang sudah sebati dengan darahnya.” jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, datuk di sebelah kiri. Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.

“Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai dirinya sepenuh, inilah masanya kita menghalaunya.” tambah Haji Yatimi sambil memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.

Haji Yatimi memberi arahan kepada datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit. Menurut Haji Yatimi manusia berasal dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung pada cahaya dan akan binasa dengan api.

Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang menggeletek macam cicak. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak, bibir datuk juga bergerak. Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.

“Ya Allah, apa sudah jadi,” bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.

Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja Lisut. Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.

Khoja Lisuttidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang pergelangan kaki kiri Khoja Lisut. Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.

Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji Yatimi. Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-9-2013 10:31 PM From the mobile phone | Show all posts
Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.

“Ha! Tengok tu,” Mat Upeh mencuit bahu saya.

Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi. Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan datuk tetap mengepal tanah.

“Apa dia Pak Mat?” tanya saya pada Mat Upeh.

“Kau tak nampak apa-apa Tamar,”

“Memang tak nampak apa-apa pun.”

“Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu,” Mat Upeh menasihati saya.

Kerana percaya dengan apa yang dicakapnya, saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong dengan saya. Dia bercakap benar. Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar. Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.

Asap nipis itu naik memanjang lalu membentuk lembaga seperti bentuk kanak-kanak dalam kandungan. Lembaga itu nampak macam berada di dalam bentuk kaca yang mengeluarkan cahaya kemilau kekuningan.

Sekuruh tubuh lembaga itu berbulu dan bila berpusing ke arah saya, saya lihat wajah lembaga itu amat mengerikan dengan dua batang gigi besar di kiri dan kanan mulutnya. Lembaga itu bergerak ke kiri dan ke kanan, tidak pula melepasi kawasan jantung dan hati Khoja Lisut.

Sinar matahari petang kian runduk tetapi, muka Haji Yatimi terus dibasahi dengan peluh. Walaupun demikian dia tetap tenang cuma saya lihat datuk saja berada dalam keadaan cemas. Khoja Lisut yang terlentang di bumi tetap tidak bergerak, bagaikan tidak bernyawa lagi.

Asap nipis yang keluar dari bahagian dada tetap berterusan menyelimuti lembaga yang berada di awang-awangan. Lembaga itu semakin membesar dan kelihatan merening dan bentuk kanak-kanak yang ada dalam lingkungan asap nipis juga kian membesar. Wajahnya bertambah menggerunkan ada mirip orang Utan. Seluruh tubuh berbulu, manakala sepasang tangan seperti kaki cicak dan sepasang kaki bersisik macam sisik ular sawa.

“Dummmmmmmmm..”

Satu ledakan menguasai kawasan surau. Saya lihat lembaga yang terapung di udara hancur berkecai. Asap nipis yang melindunginya hilang entah ke mana. Cebisan dari lembaga itu bertaburan di halaman surau dalam bentuk gabus berwarna putih

. Beberapa saat kemudian gabus itu terbakar dan sukar dikesan. Tidak meninggalkan sebarang tanda di tempat gabus itu jatuh.

Haji Yatimi segera bangun. Dia memberi isyarat ke arah datuk supaya berhenti mengepal tanah. Datuk patuh dengan arahan itu.

Kemudian, saya dan Mat Upeh diarah supaya kembali ke surau. Lebih kurang lima minit kami berada di surau, kami diarah supaya berada di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh (mungkin juga datuk) terkejut besar melihat darah keluar dari ibu jari kaki kiri Khoja Lisut. Darah itu melimpah di tanah dan jika dikumpulkan jumlah melebihi dua botol.

Saya lihat Khoja Lisut pucat lesi, dia membuka membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Melihat batang hidung Haji Yatimi, mendengar suaranya membaca ayat Qursi. Kemudian Khoja Lisut merapatkan matanya kembali. Dia kelihatan amat lemah sekali.

“Dia memang tidak kenal dengan aku tetapi, aku mengenalinya. Kedatangan aku ke sini memang untuk mencarinya, bukan untuk mambalas dendam, aku nak membimbing dia ke jalan benar,” lagi sekali Haji Yatimi membuat kejutan.

“Kenapa Tuan Haji tak berterus terang dengan saya?” Sanggah datuk. Haji Yatimi tersenyum.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-9-2013 10:39 PM From the mobile phone | Show all posts
Bagi menghilangkan keraguan itu, Haji Yatimi pun menjelaskan, semasa Khoja Lisut membelasah seorang Kiai di Asahan, secara kebetulan dia baru tiba di tempat tersebut dari Solok. Dia datang ke Asahan untuk berjumpa dengan Pak Kiai yang menjadi guru agamanya.

“Dari Pak Kiai saya belajar hukum-hakam agama Islam. Dia ulama besar. Bila saya mendapat tahu Pak Kiai dibelasah guru silat yang angkuh, saya jadi marah dan mahu bertindak. Tetapi, Pak Kiai menahan saya. Katanya, orang Islam yang baik tidak mudah naik darah dan tidak mahu bergaduh sesama Islam,” Haji Yatimi memulakan ceritanya.

Dia juga menceritakan kepada kami, bagaimana Pak Kiai menghembuskan nafas terakhir di depan matanya. Sebelum itu, Pak Kiai berpesan kepadanya supaya mencari guru silat yang membelasahnya, bukan untuk membalas dendam tetapi, mengajak guru silat yan banyak mengamalkan ilmu batin yang bertentangan dengan ajaran Islam kembali ke jalan yang benar.

Jika tidak dibetulkan mungkin guru silat itu akan mengajar ilmu songsang kepada anak muridnya. Malah akan menyebarkan ajaran sesat yang akan merugikan orang-orang Melayu, menimbulkan perpecahan sesama sebangsa.

“Kerana itu aku cari dia, aku gembira aku gembira bila mendapat tahu kamu berikhtiar mengubati penyakitnya. Allah memperkenankan permintaan kamu, tetapi dia tidak ikhlas,” sambung Haji Yatimi lagi.

“Sekarang macam mana?” tanya Mat Upeh.

“Dengan izin Allah, nampaknya aku berjaya mengeluarkan amalannya. Darah yang kamu tengok tu, adalah darah kotor bersendikan syaitan yang mengalir dalam tubuhnya,” Haji Yatimi segera menggosok kedua belah telapak tangannya.

Dia mengambil sebatang ranting yang berada dekatnya, ranting itu dilemparkan ke arah darah yang keluar dari ibu kaki Khoja Lisut. Sebaik saja ranting jatuh di situ, maka keluarlah api lalu membakar darah tersebut hingga hilang tanpa kesan.

Memang di luar dugaan kami, tiba-tiba saja Khoja Lisut bangun. Kalau tadi, wajahnya nampak gerun dan menyeramkan dengan sinar mata yang tajam, kulit tubuhnya kelihatan tegang. Kini, semuanya itu bagaikan tiada pada dirinya. Khoja Lisut kelihatan lesu, wajahnya nampak tua dan kulitnya berkedut.

“Kamu sekarang berada dalam keadaan yang sebenar. Kamu tak boleh selama-lamanya menipu sesama manusia,” turut Haji Yatimi lalu bangun. Berdiri bertentang wajah dengan Khoja Lisut.

“Kamu.”

Haji Yatimi segera meletakkan telapak tangan kiri ke bahu kanan Khoja Lisut. Lima jari Haji Yatimi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut dengan keras sekali.

Berkerut muka Khoja Lisut menahan rasa sakit dan dia hampir mahu rebah ke bumi tetapi, Khoja Lisut tetap berusaha agar dirinya berdiri terus.

Rebah ke bumi bererti kalah dan Khoja Lisut tidak mahu kalah lagi. Tidak rela masa lampaunya yang hitam diperkatakan oleh Haji Yatimi dengan sewenang-wenangnya di depan Mat Upeh, di depan saya dan datuk. Makin kuat Khoja Lisut mempertahankan diri dari rebah ke bumi, sekuat itu juga Haji Yatimi memaut tulang selangka Khoja Lisut.

Sebenarnya, antara Haji Yatimi dengan Khoja Lisut sedang berlangsung sebuah pertarungan yang tidak rasmi. Saya tidak tahu kenapa Khoja Lisut harus memperlihatkan kemampuannya yang tidak seberapa itu kepada Haji Yatimi, sedangkan dia sudah bertaubat untuk jadi orang baik-baik.

Barangkali dia terpaksa bertindak demikian setelah mengetahui yang Haji Yatimi adalah kenalan Kiai yang dibelasahnya di Asahan dulu. Mungkin dia memikirkan kedatangan Haji Yatimi untuk membalas dendam. Khoja Lisut merasakan Haji Yatimi mahu memperdayakan dirinya? Semua persoalan itu berlegar dalam tempurung kepala saya.

Khoja Lisut tidak dapat bertahan, sedikit demi sedikit dia merendahkan tubuhnya. Demi menjaga maruah diri, Khoja Lisut terpaksa membenkokkan kakinya dan menggunakan kekuatan sepasang lutut bagi menahan diri dari rebah ke bumi. Cengkaman Haji Yatimi teetap berterusan. Berpeluh Khoja Lisut menahan rasa sakit.

Mungkin kerana terlalu sakit, Khoja Lisut tidak ada pilihan lain. Dia terus meraung dengan sekuat hatinya, bagaikan raungan gajah yang naik minyak.

“Ya Allah, apa sudah jadi Tamar?” Keluh Mat Upeh

Semua biji mata tertumpu ke arah Khoja Lisut. Datuk urut dada dan saya menarik nafas dalam-dalam bersama rasa cemas dan takut.

“Apakah aku bermimpi Tamar?” Mat Upeh bersuara sambil menggosok-gosok kelopak matanya beberapa kali.

“Kamu tak bermimpi Mat,” kata-kata yang dituturkan oleh datuk memaksa Mat Upeh mengerutkan dahinya.

Raungan Khoja Lisut terus bergema. Haji Yatimi tidak ambil kisah, dia tetap tenang. Sambil jejarinya mencengkam tulang selangka Khoja Lisut, mulutnya terus berkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Dari lubang hidung Khoja Lisut keluar darah yang sudah agak membeku. Dari kedua belah cuping telinganya berguguran butir-butir pasir menyerupai intan, berkilau-kilau disuluh matahari petang yang kian redup.

Dari celah belah sikunya kelihatan seperti serpihan emas berjatuhan atas bumi lalu hilang entah ke mana. Saya jadi panik melihat keadaan yang berlaku di depan mata saya. Raungan Khoja Lisut berhenti dan jari-jari Haji Yatimi tidak lagi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut.

“Sekarang sudah selesai,” kata Haji Yatimi sambil menatap wajah datuk dengan serius.

“Apa benda yang keluar dari cuping telinga dan dagunya tu.”

“Tuan Haji?” tanya datuk.

“Yang keluar dari lutut tu ialah susuk untuk tenaga, yan kamu nampak jatuh macam keping emas tu, sebenarnya tahi besi yang diserapkan ke dalam setiap sendi tubuhnya,” balas Haji Yatimi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2013 12:35 AM From the mobile phone | Show all posts
Buat beberapa saat, semua yang ada di situ tidak bersuara. Datuk menggosok-gosok batang hidung beberapa kali. Mat Upeh menekan sepasang tumit kakinya ke bumi. Haji Yatimi terus berpeluk tubuh dan sepasang matanya merenung ke arah pepohon yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Dia masih juga membelakangi Khoja Lisut.

“Sekarang kamu dah sedar tentang kesilapan kamu?”

Saya lihat Khoja Lisut terkejut mendengar ungkapan dari Haji Yatimi itu. Dia pasti kata-kata ditujukan kepadanya.

“Ya, sekarang sudah nyata cakapnya tak betul,” Khoja Lisut bersuara.

Dengan serta- merta Haji Yatimi memusingkan badannya lalu menatap menentang biji mata Khoja Lisut.

Datuk dan Mat Upeh segera bergerak ke arah surau. Pada anggapan mereka, tugas membantu Haji Yatimi sudah selesai. Tetapi, hati kecil saya keberatan untuk meninggalkan Haji Yatimi sendirian di situ.

“Apalagi ilmu yang kamu simpan? Kalau ada, sila cakapkan pada aku dengan ikhlas dan jujur. Demi kebaikan kamu,” terpamir rasa simpati di wajah Haji Yatimi.Sinar matanya seolah-olah membayangkan kesungguhan untuk membebaskan diri Khoja Lisut dari belenggu ilmu syaitan.

“Tak ada apa-apa lagi yang saya simpan,” Khoja Lisut telan air liur, bulu keningnya nampak bergerak,

“tak tahulah pula, kalau ada ilmu yang diserapkan diluar pengetahuan diri,” sambung Khoja Lisut.

“Kamu sudah diiktiraf sebagai Khalifah?”

“Belum lagi.”

“Buktinya yang kamu belum iktiraf sebagai Khalifah,” Haji Yatimi terus merisik rahsia.

Khoja Lisut dongakkan wajah ke langit. Dia melihat awan dan langit petang. Dengan tenang dia menarik nafas untuk menghirup udara yang berlegar-legar di sekitar kawasan halaman surau. Khoja Lisut ubah pandangan lalu menatap ke arah Mat Upeh dan datuk yang sedang berdiri dekat tangga surau. Kemudian pandangannya itu dialihkan ke wajah Haji Yatimi.

“Buktinya? Mahu buktinya?” Ulang Khoja Lisut.

“Iya,” angguk Haji Yatimi.

“Saya tidak diberi songkok tinggi baldu merah berlilit kain putih. Kalau sudah diberi songkok macam itu, bolehlah mengeluarkan petua baru tentang sembahyang, puasa, zakat dan ambil haji.”

“Biasanya, hukum-hukum itu berlainan dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang Islam, malah memang bertentangan, pengikut Khalifah yang dianggap macam Imam paling agung, mesti disanjung, makan pakai, rumah harus disediakan oleh pengikut. Apa yang Khalifah mahu mesti ditunaikan. Kalau engkar nanti kena kutuk, mati berdarah, ada yang kena petir, mati lemas atau terbakar. Bukan begitu.”

“Tepat sekali,” Khoja Lisut seperti terpaku. Dia kagum kerana Haji Yatimi dapat menyatakan apa yang menjadi rahsia dirinya secara terperinci.

“Tolong, jangan buat apa-apa dengan saya.”

Khoja Lisut terkam ke arah Haji Yatimi dan terus melutut sambil mengangkat sepuluh jari paras hidung, macam orang suruhan dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka menyembah sultan. Perbuatan itu tidak disenangi oleh Haji Yatimi dan dia terus memarahi Khoja Lisut.

“Jangan sembah aku,” bentak Haji Yatimi, “berdiri lurus, cakap apa yang kamu nak cakap,” kali ini nada suara Haji Yatimi lembut, penuh kemesraan bersama senyum persahabatan. Khoja Lisut segera patuh dengan permintaan Haji Yatimi itu.

“Jangan, buat apa pada saya. Memang saya diarah cara halus supaya menetang sesiapa saja yang menentang cita-cita. Maafkan saya. Ampunkan saya jangan mengapa-apakan saya,”

“Aku ke mari bukan nak balas dendam kerana kamu menyeksa guru aku, tapi...” Haji Yatimi berhenti bersuara. Khoja Lisut bertambah resah. Dia berada dalam ketakutan yang amat sangat.

“Tapi, apa tuan haji” Tanyanya lembut.

“Menyempurnakan amanat guruku, dia memaafkan kamu. Tetapi, dia juga menyuruh anak muridnya mencari kamu. Berikhtiar mengajak kamu kembali ke jalan benar.”

“Kamu tidak menipu.”

“Orang Islam tidak pernah menipu, apa yang ada di hati, itu yang dicakapkan. Seseorang Islam berhak dan dituntut supaya mengembalikan saudaranya yang sesat ke jalan yang benar.”

“Buktinya?” Khoja Lisut minta kepastian.

“Buktinya, aku tidak buat tak senonoh pada kamu, sekarang aku bersyukur pada Allah kerana hamba yang sesat kembali ke jalan yang benar.”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2013 05:25 PM From the mobile phone | Show all posts
132 - BUKAN MUNTAHDARAH

Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khija Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat. Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

“Kenapa?”

Saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

“Semuanya sudah habis, Tamar.”

“Maksudnya,” saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu.

Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

“Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar.”

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.Saya dan Khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

“Kenapa muka kamu berubah, Khoja?” tanya datuk.

“Kau nampak aku sudah cukup tua?”

Dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

“Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun,” semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.

“Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri,” sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya.

Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan datuk dan Mat Upeh.

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2013 05:32 PM From the mobile phone | Show all posts
132 - BUKAN MUNTAHDARAH

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung legan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

“Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?”

Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

“Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?”

“Tidak,” jawab Khoja Lisut.

“Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka,” Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

“Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak,” sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut. Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan datuk jangan mendekatinya.

Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.

“Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ.”

Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi. Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.

“Kenapa tak boleh bantu dia?”

Ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin. Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh datuk.

“Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur?”

Tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat datuk. Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya. Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari datuk singgah ke pipi. Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hintungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat pergelenggangan datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi. Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah datuk.

“Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya,” Haji Yatimi melepaskan lengan tangan datuk yang dipegangnya.

Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: ‘Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.’ Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran datuk itu.

“Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya,” itulah penjelasan yang datuk berikan kepada Haji Yatimi.

“Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?”

“Tapi…,” sanggah datuk.

“Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu."

“Saya faham,” datuk seperti mengalah.

Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah. Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.

“Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah.”

“Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” Saya pintas cakap Haji Yatimi.

Saya jeling ke arah datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2013 05:36 PM From the mobile phone | Show all posts
132 - BUKAN MUNTAHDARAH

“Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya.”

“Saya faham,” kata saya.

“Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya.”

“Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang,” kata saya. Mat Upeh dan datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.

“Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?” Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada datuk.

“Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepasa Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar,” aneh skali, bukan datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.

“Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau,” ada keraguan di wajah Khoja Lisut.

“Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan. ”Mungkin ada yang mahu ikut sama,” tingkah datuk.

“Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat,” sampuk Mat Upeh.
“Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis,” nada suara Haji Yatimi mula meninggi.

“Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya.”

“Syukur pada Allah,” jerit Mat Upeh. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.

Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib. Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.

“Nak ke mana Tamar?”

“Balik, tuk.”

“Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu.”

“Baik tuk,” kata saya.

Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh datuk. Secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang. Saya segera menoleh, datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.

“Kenapa tuk?”

“Aku terlupa nak cakap dengan kamu,” datuk berhenti bercakap. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.“Apa dia perkara yang datuk terlupa nak cakapkan tu,” ulang saya.

“Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju melayu dan dua helai kain basahan,” tutur datuk dengan tenang.

Saya terkejut mendengar permintaan datuk itu. Lama juga saya termenung, brfikir kenapa datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin datuk mahu pergi ke mana-mana.

“Buat apa semuanya tu datuk?”

“Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju.”

“Kain basahan pula?”

“Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja.”

Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.

“Barang-barang tu, kamu hantar sekarang.”

“Ha..” mulut saya ternganga.

Terkejut dengan arahan baru datuk itu. Tidak diduga begitu cepat datuk mahukan barang-barang tersebut. Pada awalnya, saya kira datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.

“Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa.”

“Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?”

“Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?” Suara datuk mula meninggi, dia terus menjengilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.

“Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang datuk mahu tu.”

“Hum, cepat datang.”

Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah. Dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2013 05:41 PM From the mobile phone | Show all posts
132 - BUKAN MUNTAHDARAH

Seperti yang dijadualkan ‘Qiamullail’ malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali. Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya diperlihara dengan baik.

Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana datuk neneknya memang beragama Islam. Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan. Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang muslim sejati.

Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya. Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari datuk neneknya.

Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnmya. Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelh mendengar pendapat Haji yatimi terhadap Khoja Lisut.

Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh. Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat datuk. Dia minta datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.

Matahari bersinar lembut, menjamah reruput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering. Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk nerangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.“Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu,” Haji Yatimi mengemukakan cadangan.

“Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar.”

“Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama.”

“Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian.”

“Aku doakan kamu bahagia,” kata Haji Yatimi.

“Aku juga begitu,” celah datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.

“Apa bendanya ni?” Tanya Khoja Lisut.

“Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik.”

“Terima kasih.”

“Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumahtangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan. Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya.”

“Mana tuan haji tahu semuanya ni?’

“Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya.”

Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat. Bila perasaannya sudah tenang, diapun bersalam dengan datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.

“Selamat tinggal.”

“Selamat jalan,” kata kami serentak.

Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik. Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.

Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut. Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam tehadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemsraan.Dia saya anggap sebagai datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji yatimi datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran datuk terus menurun.

Haji Yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawan, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya.

Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya,
“Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya,” itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.

Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada datuk. Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.

Sebaik sahaja datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar. Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.

“Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku,” kata datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.

“Tak ada apa-apa,” balas saya.

“Hmmm..” suara datuk mendatar. Tetapi senyum sinis yang terukir dibibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya. Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.

“Saya nak tanya datuk satu perkara.”“Apa dia, Tamar?”

Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.

“Apa dia Tamar?” Ulang datuk.

“Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang,” nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh datuk. Saya sekadar senyum sahaja.

Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan petanyaan, datuk angkat cawan kopi lalu mengirupnya dengan tenang. Kemudian dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.

“Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal.”

“Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje,” nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.

“Saya nak tanya tentang Pak..”

“Haji yatimi?” Datuk segera memintas percakapan saya.

“Iya Tuk.”

“Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?”

“Tak ada tuk,” jawab saya seraya menggelengkan kepala.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-10-2013 10:30 PM From the mobile phone | Show all posts
133 - RAHSIANYA MULAKETARA

Datuk termenung sejenak. Kemudian dia basuh tangan dan mengakhiri minuman petangnya. Nenek membawa cawan dan piring kosong ke dapur untuk dibersihkan.

Datuk mengajak saya duduk di ruang anjung rumah. Datuk minta saya membantunya meraut bilah buluh untuk dibuat lukah. Permintaan itu saya tunaikan.

“Pada aku dia tidak cakap apa-apa, tiba-tiba dia menghaibkan diri,” keluh datuk tanpa merenung ke arah saya, pisau kecil ditangannya terus meraut bilah buluh.

“Pelik juga tuk, apa silapnya kita tuk?.”

“Tak ada yang silap tapi…,” datuk tidak meneruskan kata-kata.

Dia berhenti meraut bilah buluh, keningnya dikedutkan, macam ada sesuatu yang difikirkannya,

“tapi Mat Upeh ada beritahu aku yang Haji Yatimi nak pergi ke sebelah utara dan pantai timur. Dia minta Mat Upeh sampaikan berita pada aku, dia juga kirim salam pada kau,” sambung datuk dengan wajah tenang.

“Buat apa dia ke sana tuk?” soal saya.

“Dia memang selalu macam tu, kalau dah datang ke sini, dia mesti ke Kedah, Perlis ke Kelantan dan Terengganu, ramai kawan-kawannya di situ,” jelas datuk.

“Jangan-jangan dia balik ke kampung halamannya tuk.”

“Semuanya tu boleh jadi, usah fikirkan tentang dirinya Tamar. Bila kita ke Sumatera kita cari dia. Dunia ini bukannya luas, panjang umur dan diizinkan Allah bertemu juga.”

“Hum…,” saya menghela nafas. Cukup mudah datuk menyelesaikan masalah.

Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan kehilangan Haji Yatimi itu.

Lebih kurang setengah jam lagi mahu sampai waktu Maghrib, saya dan datuk meninggalkan rumah menuju ke surau.

Seperti selalu bila masuk waktu Maghrib, saya disuruh oleh datuk melaungkan azan. Selesai sembahyang Maghrib, sementara menanti waktu Isyak, saya dan datuk bersama penduduk-penduduk kampung mengikut pengajian Tauhid dari seorang guru agama yang datang dari daerah Krian. Guru itu keturunan Banjar yang datuk neneknya berasal dari Kalimantan.

Disamping mengajar agama di surau dan masjid, guru tersebut menulis buku-buku agama yang jadi bahan rujukan guru-guru pondok di tanah air, di Patani, di Kemboja (Kampuchia) dan di beberapa kepulauan Indonesia. Buku agama itu dicetak di Pulau Pinang dalam tulisan Jawi lama.

Menurut cerita datuk, guru agama itu dilahirkan di Banjamasin tetapi sejak berusia lapan bulan dibawa oleh kedua orang tuanya ke Teluk Medan, dekat Bagan Serai. Bersekolah Melayu di situ dan masuk pengajian pondok di Kelantan. Menghabiskan masa lebih kurang dua tahun menuntut ilmu agama dan belajar bahasa Arab di Makkah dan Madinah. Khabarnya, semasa di bumi Arab Saudi itu, dia berkawan dengan cendiakawan dari Kuala Lumpur iaitu Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.

Bila pulang ke Bagan Serai, dia dilantik menjadi guru agama di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan pernah berkhidmat di bawah pemerintahan tiga sultan. Bila berhenti, ditauliahkan untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak secara percuma.

Pengajian Tauhid yang disampaikan secara mudah itu ternyata meninggalkan kesan pada yang hadir malam itu. Semua pertanyaan agama dijawab dengan mudah. Sesuatu yang berkesan di hati saya, bila guru agama itu mengingatkan para jemaah supaya jangan memusuhi orang-orang yang tidak seagama dengan kepercayaan dan kebebasan mereka harus dihormati selagi mereka tidak mengganggu-gugat agama Islam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-10-2013 10:38 PM From the mobile phone | Show all posts
Setelah menunaikan sembahyang Isyak, para jemaah menikmati hidangan ringan yang disediakan. Kemudian para jemaah bersalaman dengan guru agama yang mahu pulang ke kampungnya dengan kereta Austin Eight hitam yang dipandu oleh cucunya.

“Bulan depan saya datang lagi,” katanya pada Ketua Kampung sebelum masuk ke kereta.
“Kami nanti kedatangan tuan guru.”

“Terima kasih, dengan izin Allah apa yang saya katakan tu akan jadi,” tuan guru terus masuk ke kereta.

Setelah memastikan semua tingkap dan pintu surau dikunci, saya pun segera mendapatkan datuk yang menunggu di kaki tangga.

“Sudah kunci semuanya, Tamar.”

“Sudah tuk.

Sebelum meninggalkan surau, datuk menghalakan muncung lampu picitnya ke arah pepohon dan hutan kecil yang berada tidak jauh dari surau.

Cahaya lampu picit itu menangkap sinar mata kucing yang menanti mangsanya di tepi belukar. Saya juga melihat musang melarikan diri dari cahaya lampu picit datuk. Suara cengkerik dan bunyi suara kucing jantan memanggil kucing betina jelas kedengaran. Dedaun terus bergerak disentuh angin malam.

“Tamar.”

Saya menoleh ke kanan, di situ tercegat Haji Yatimi lengkap dengan pakaian hajinya. Datuk segera menghalakan muncung lampu picit ke wajahnya.

“Aku terlambat, aku ingat aku sempat berjemaah Isyak dengan orang-orang kampung,” tutur Haji Yatimi.

“Awak dari mana?” tanya datuk.

“Aku dari Kedah, sampai ke Taiping dah petang. Selepas sembahyang Maghrib di Taiping aku naik teksi ke sini. Entah macam mana, teksi yang aku naik buat hal di Batu 10 Terong, itulah yang menyebabkan aku lambat sampai ke sini.”

“Tak apalah, sudah begitu kehendak Allah,” balas datuk.

Mungkin kerana mahu melakukan amalan waktu malam atau tidak mahu mengganggu rumah orang yang ditumpanginya, Haji Yatimi minta kebenaran datuk untuk bermalam di surau.

“Di rumah kita saja,” pelawa datuk.

“Biarlah di sini saja, itupun kalau dibenarkan.”

“Mesti boleh, surau milik orang yang mahu beribadat,” balas datuk. Ternyata Haji Yatimi berbesar hati atas kerelaan datuk itu.

Saya terpaksa menghidupkan lampu surau, membentangkan tikar dan menyediakan bantal (tikar, bantal dan selimut memang disediakan untuk guru agama yang mahu bermalam di surau) untuk Haji Yatimi.

“Lepas sembahyang Subuh, aku nak balik ke Solok,” sepasang anak mata Haji Yatimi tertumpu ke wajah datuk.

“Cepat sangat nak balik, duduklah empat lima bulan di sini,” suara datuk parau.

“Lain kali aku datang lagi.”

“Apa yang boleh saya tolong Subuh esok.”

“Macam selalu.”

Datuk termenung sejenak, ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk renung bebintang di dada langit. Kemudian datuk tatap wajah Haji Yatimi bersama senyuman kepuasan. Keinginan Haji Yatimi sudah dapat dikesan oleh datuk.

“Maksudnya, saya tunggu di pantai Teluk Senangin?”

“Iya, memang tepat,” Haji Yatimi anggukkan kepala.

“Kalau kamu datang jemaah, kita sama-sama bertolak dari surau ni. Aku harap kamu tak menghampakan harapan aku.”

“Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, saya tetap menanti haji. Usahlah bimbang,” datuk memberikan kata putus.

Saya lihat Haji Yatimi tersenyum riang dengan tenang dia menepuk bahu datuk beberapa kali.

“Pulanglah aku nak ambil wuduk,” Haji Yatimi menggenggam jari-jemari datuk dengan erat sekali.

“Silakan, kalau tak selesa tidur di surau, pintu rumah saya terbuka untuk tuan haji.”

“Terima kasih, dengan izin Allah, saya selesa di surau. Selamat jalan. Jangan lupa beramal malam dan jangan lupa dengan janji kita.”

“Insya-Allah, Tuhan beserta kita,” nada suara datuk cukup riang.

Dan Haji Yatimi pun kami tinggalkan. Semoga amalannya diberkati Allah dan tidurnya lena tidak diganggu mimpi yang menakutkan. Doa hati kecil saya.

Sepanjang jalan menuju ke rumah fikiran saya didatangi dengan berbagai-bagai pertanyaan. Kenapa Haji Yatimi mesti pulang ke Sumatera waktu Subuh? Bukankah waktu Subuh itu menyulitkan dengan keadaan hawa yang sejuk, pandangan agak terhad kerana cuaca masih gelap.
Mungkinkah ini merupakan syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh Haji Yatimi. Kenapa dia harus merahsiakan kepulangannya dari para jemaah yang lain?

“Barangkali ada tetamu datang tuk?”

“Tetamu? Mustahil,” datuk gelengkan kepala.

Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah pintu rumah yang terdedah.

“Ha, lapang dada aku.”

Saya agak terperanjat mendengar kata-kata datuk itu. Tanpa membuang masa saya tatap wajahnya. Mata datuk tidak berkedip merenung ke arah pintu. Dia memerhatikan gerak-geri nenek yang muncul di muka pintu dari arah sebelah kiri, nenek membawa tepak sirih dan gobek.

Sebelum duduk, nenek terlebih dahulu meletakkan golok perak di atas lantai. Bila nenek duduk bersila, golok perak itu berada betul-betul di hujung kepala lutut kanannya.

“Bijak nenek kamu, dia bawa senjata untuk keselamatan dirinya,” dalam tenang datuk bersuara tetapi, keresahan hatinya masih tergambar di wajah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-10-2013 10:42 PM From the mobile phone | Show all posts
“Pelik juga, kenapa dia buka pintu dan menunggu di situ, mesti ada sesuatu yang tidak kena,” datuk menyambung kata yang terputus.

“Agaknya menanti kawan tuk,” kata saya.

“Tak mungkin, Tamar.”

“Agaknya dia buat begitu, biar cahaya lampu sampai kehalaman rumah. Tujuannya untuk memudahkan kita pulang.”

“Pendapat yang tak dapat aku terima, Tamar.”

“Entah, kenapa nenek buat macam tu, saya pun tak tahu tuk,” saya segera mengangkat kedua belah bahu saya sambil menggigit lidah.
Perjalanan yang terhenti kami teruskan.

“Hai! Kenapa didedahkan pintu, ada janji dengan lelaki lain,” jerit datuk sebaik saja berada tidak jauh dari kaki tangga.

Saya tahu kata-kata itu merupakan gurauan. Sesungguhnya, begitulah cara datuk mengusik atau bergurau dengan nenek. Bunyinya agak kasar dan keras. Tetapi, dalam kasar dan keras itu teriring kemesraan yang cukup kental. Tidak boleh dihancurkan oleh rasa cemburu melulu, fitnah atau hasutan. Saya lihat nenek terus menerpa ke ambang pintu, berdiri di situ dengan senyuman.

“Kalau janji dengan orang lain, bukan begini caranya, disuruh masuk ikut pintu belakang cara sembunyi, hati masih belum berubah,” kata nenek lalu disambut dengan ketawa oleh datuk. Saya tersenyum riang.

“Jadi kenapa dibuka pintu?” tanya datuk.

“Masa saya sembahyang ada benda mengacau saya, pintu rumah diketuk berkali-kali kemudian digoncang dengan kuat, sembahyang saya jadi tak khusyuk,” terang nenek bersungguh-sungguh.
Kata-kata yang dituturkan oleh nenek tidak mendatangkan rasa cemas atau terkejut pada datuk. Dia buat acuh tak acuh saja. Datuk pijak anak tangga dan akhirnya melabuhkan punggung di bendul.

“Kamu tunggu apalagi di situ Tamar? Naiklah,” dalam sinar lampu gasolin, sepasang biji mata datuk tertumbuk ke wajah saya.

Tanpa membuang masa saya terus panjat mata tangga. Melintas di depan datuk dan nenek berhati-hati. Penuh sopan santun. Saya menuju ke ruang dapur. Tudung saji saya buka. Aduh! Makan malam yang disediakan oleh nenek amat menyelerakan. Saya ambil pinggan dan bersedia untuk mengambil nasi.

“Tamar.”

Tangan saya terhenti mahu mengambil nasi.

“Tunggu, kita makan sama-sama, mari ke sini dulu,” sambung nenek.

Dengan wajah kesal, pinggan saya letakkan ketempatnya dan tudung saji terus menutup hidangan. Dengan langkah yang longlai saya segera datang ke bahagian depan rumah. Duduk dekat nenek. Datuk masih lagi bertenggek di bendul. Matanya tetap merenung ke arah halaman rumah.

“Tutup pintu Tamar,” datuk segera berdiri dan dalam beberapa detik saja dia sudah berada di dalam rumah.

Saya segera mematuhi arahannya. Daun pintu saya rapatkan, saya kunci. Kayu palang pintu saya masukkan ketempatnya. Dari segi teguh, memang sudah teguh, tidak mudah dipecahkan dari luar. Itulah kesimpulan yang saya buat terhadap pintu rumah datuk. Saya segera melangkah ke ruang dapur mengikut datuk dan nenek.
Sambil melangkah, saya bayangkan keenakkan makan ikan terubuk bakar, cicah air asam. Bawah tudung saji yang saya lihat tadi, memang sudah tersedia ikan terubuk bakar bersama air asam. Malam ini, saya mahu makan sekenyang-kenyangnya, fikir saya sendirian.

“Paaaaannnnnnnngggggggg…”

Saya segera melompat sambil mencipta langkah silat, menghalakan wajah dan dada ke arah pintu rumah. Saya yakin pintu rumah dipukul dengan kayu dari luar.
Datuk menerpa ke arah saya. Tubuh saya dipeluknya.

“Kau tak kena apa-apa, Tamar?”

“Saya tak apa-apa tuk.”

“Alhamdulillah, cucuku selamat,” datuk berhenti dari memeluk tubuh saya. Datuk pun melangkah untuk memeriksa daun pintu. Setiap inci papan pintu ditelek, diraba dengan teliti. Bila hatinya sudah puas, barulah datuk mendekati saya semula.

“Aku sangkakan tadi, rumah kita kena tembak dengan senapang,” tutur datuk dengan nada suara yang lemah.

Nenek tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di ruang depan. Dia asyik dengan tugasnya di dapur.

“Saya pun pada mulanya menyangkakan begitu tuk.”
“Rumah kita dibaling orang dari luar, Tamar.”

“Kerja siapa tu tuk?”

“Entah.”

Datuk gelengkan kepala sambil mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa, datuk terus menuju ke pintu. Kunci dan kayu penyelak pintu dibuka. Amat mengejutkan bila datuk membuka daun pintu lebar-lebar.

Datuk berdiri di tengah-tengah pintu, bercekak pinggang. Dia kelihatan bagaikan seorang pendekar merenung ke halaman rumah. Datuk tarik nafas dalam-dalam seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ahhh…”

Serentak dengan pekikan itu, saya lihat datuk melompat dan menepis sepotong kayu arang yang dilemparkan kearahnya dari luar. Kayu arang yang ditepis oleh datuk itu terkena dinding lalu terdampar atas lantai.

Perlahan-lahan datuk memalingkan mukanya ke kanan melihat kayu arang di lantai. Sinar matanya nampak tajam sekali tetapi, keresahan dan kebimbangannya tidak dapat saya kesan, dibunuh oleh senyuman yang terukir di kelopak bibir datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-10-2013 10:43 PM From the mobile phone | Show all posts
“Buangkan kayu arang tu Tamar.”

Saya jadi ragu-ragu, sama ada mahu mematuhi arahan datuk itu atau sebaliknya. Saya bimbang kalau kayu arang itu disentuh akan terjadi sesuatu pada diri saya.

“Tuk saaayyyaaaaaa…,” kata-kata tidak dapat saya teruskan, bila sepasang biji mata datuk menikam wajah saya.

Tiba-tiba saja saya jadi resah gelisah tidak menentu.
Bila melihat saya teragak-agak dan serba salah, datuk terus menjerit dengan sekuat hatinya.

“Jangan banyak dalih lagi, ambil cepat.”

Jeritan datuk membuat saya melompat dan bagaikan kilat tangan saya menjamah kayu arang. Entah kenapa saya merasa gementar dengan tiba-tiba. Bahu kanan saya terasa lemah, macam ada sesuatu menekan sendi lengan hingga terasa sengal-sengal tulang.
Rupa-rupanya jeritan datuk sebentar tadi menarik perhatian nenek. Dia bergegas melangkah dari ruang dapur ke ruang tengah. Berdiri di tepi dinding melihat gerak-geri saya dan datuk dengan tenang.

“Bawa kemari Tamar.”

Kayu arang yang panjang lebih kurang satu hasta itu saya serahkan kepada datuk. Buat beberapa saat datuk terus menatap kayu arang itu dari pelbagai sudut.

Kerana yakin datuk tidak akan mengeluarkan sebarang arahan untuk saya, cepat-cepat saya beredar dari sisinya mendekati nenek. Perlahan-lahan datuk mengalihkan tubuhnya, wajah dan dadanya dihalakan ke halaman rumah yang dikuasai malam pekat
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 05:14 AM GMT+8 , Processed in 0.057312 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list