Rahsia Gaun Merah Jambu Tiz Zaqyah Disiapkan 2 Hari
KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2012: Pertama kali menggayakan gaun rekaan pereka fesyen WanPa, penampilan Tiz Zaqyah ketika perlantikannya sebagai duta terbaru produk mandian May baru-baru ini nampaknya berseri-seri bak bidadari dari kayangan.
Kerdipan gabungan batu Swarovski, mutiara laut selatan dan kristal yang terhias di atas kain lycra Jepun merah jambu sepanjang tujuh meter, telah menyerlahkan kemunculan Tiz Zaqyah di hadapan para tetamu.
Namun percaya atau tidak, gaun drapping yang menjadi identiti tersendiri WanPa itu telah disiapkan dalam masa cuma dua hari, sebelum majlis sebenar pengumuman itu diadakan.
Bercakap kepada portal murai.com.my, pereka fesyen di bawah label WanPa, Rashid Omar berkata, dia amat berbesar hati apabila diberi peluang menyarungkan gaun glamor buat aktres popular sehebat Tiz Zaqyah.
Apatah lagi, pihak May telah mendekatinya sendiri supaya merealisasikan penampilan Tiz Zaqyah agar tampak glamor serta tersendiri tetapi tidak keterlaluan dengan usia aktres itu yang masih muda serta memiliki personaliti mempersona.
"Memang ini adalah pertama kali Tiz Zaqyah menggayakan daripada rekaan WanPa dan khabarnya itu juga adalah pengalaman pertamanya menggayakan gaun dari fabrik lycra Jepun. Khabarnya dia sangat teruja dan cukup selesa.
"Fabrik merah jambu itu kami pilih kerana bersesuaian dengan tema majlis dan itulah juga yang diinginkan oleh pihak May.
"Alhamdulillah, Tiz Zaqyah tampak begitu menawan.Terus- terang sepanjang bekerjasama dengannya, kami tidak mengalami sebarang kesukaran. Dia tidak cerewet dan cukup mudah didekati," Jelas Rashid Omar.
Sementara itu, Tiz Zaqyah ketika ditemui, dapat dilihat keselesaannya menggayakan gaun labuh itu, malah personanya sangat berseri-seri.
Kala sesi fotografi berlangsung, buah hati kepada aktor Remy Ishak itu cukup pandai menggayakan gaun yang dipakainya di hadapan lensa kamera, ditambah lagi dengan solekan nipis tetapi tetap mengetengahkan ciri-ciri glamor.
"Saya memang tidak suka menggunakan bedak asas bila bersolek, tetapi cukuplah sekadar dilapis dengan bedak muka saja. Ini kerana saya memiliki kulit yang kering.
"Saya menjaga kulit saya seperti biasa seperti mencuci muka, menggunakan toner, pelembab dan tak ketinggalan sunblock. Tapi saya akan pastikan menggunakan celak mata, maskara dan gincu yang nipis. Itu saja rahsia kecantikan saya.
"Sekarang ini pula, dengan menggunakan krim mandian May yang terbaru, saya dapati kulit tubuh saya menjadi lebih halus, lembab dan terjaga," katanya berkongsi rahsia kecantikan.