Data Simulator Zaharie Telah Dipadam Pada 3 Feb Diterbitkan: Rabu, 19 Mac 2014 6:57 PM Simulator milik Zaharie yang dirampas dan sedang dikaji oleh pakar termasuk polis.
(Ubah saiz teks)
SEPANG: Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dikesan telah memadam kesemua data latihan pada simulator Boeing 777 pada 3 Februari lalu, iaitu lebih sebulan sebelum kejadian kehilangan penerbangan MH370. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tidak banyak data hasil latihan pada simulator yang dibina sendiri oleh Zaharie ketika ini. "Apa yang kami temui daripada permainan itu adalah kesemua datanya telah dipadam pada 3 Februari, oleh itu pakar sedang mengkaji kenapa ia dipadam. "Pakar forensik polis termasuk mereka dari Suruhanjaya Siber Sekuriti, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan pakar luar negara sedang berusaha mengembalikan data yang dipadam," katanya pada sidang media di Hotel Sama Sama di sini pada Rabu. Simulator tersebut telah dirampas dari rumah Zaharie di Shah Alam dan dipasang semula di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dikaji oleh pakar. Khalid memberitahu, terdapat tiga permainan pada simulator Zaharie iaitu Flight Simulator X, Flight Simulator 9 dan X Flight Simulator. Sementara itu, pada sidang media sama, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengesahkan bahawa pakar sedang berusaha mendapatkan kembali data yang telah dipadam. "Kami sedang mendengar semua maklumat berkaitan dengan kes itu bersama-sama dengan agensi antarabangsa yang berkaitan. Kepakaran tempatan dan antarabangsa telah digunakan untuk memeriksa simulator juruterbang terbabit," katanya. Beliau bagaimanapun mengingatkan semua pihak bahawa juruterbang itu bukan pesalah selagi ia tidak dibuktikan sebagai pesalah. "Semua penumpang, anak kapal dan kakitangan yang terlibat sedang disiasat. Kesemua mereka juga tidak bersalah sehingga kesalahan dibuktikan," tegasnya.
|