|
berlakon cter aper byrah ni???
samshik Post at 17-1-2011 09:26 AM
Hani, Suraya Satu Kepala
Posted by admin | Fauzi Nawawi | Tuesday 3 March 2009 11:37 am
Oleh Nor Akmar Samudin
[email protected]
BERTEMU kerana berlakon dalam drama sama merapatkan hubungan Siti Hani Nurzara Harmie, 27, dengan pelakon baru, Hanez Suraya Abdul Aziz, 25. Malah kini Hani menjadi tempat Suraya mengadu nasib kerana dia belum tahu selok- belok sebenar dunia seni.
Suraya memilih bidang seni kerana minat, sanggup berhenti belajar di sebuah kolej swasta demi mengejar impian menjadi pelakon terkenal.
“Emak yang memahami minat saya dalam bidang lakonan dan mahu saya membuat pilihan untuk meneruskan pengajian atau berhenti. Memandangkan peluang berlakon sudah terbentang depan mata, saya membuat keputusan berlakon sepenuh masa.
“Saya bermula dengan iklan komersial antaranya iklan Digi dan Meps Cash. Penampilan sulung saya dalam filem ialah menerusi Bicara Hati arahan Datin Rosnani Jamil.
“Selepas muncul dalam filem itu saya masih aktif di pentas peragaan tetapi sekarang dengan tawaran berlakon silih berganti saya jarang dapat memperaga dan dunia pengiklanan pun terpaksa ditinggalkan.
“Namun, pengorbanan saya itu tidak sia-sia kerana kemunculan di persada seni semakin mendapat perhatian. Disebabkan itu juga saya tidak berhasrat menyambung pelajaran sebaliknya menumpukan perhatian dalam lakonan.
“Bukan tidak minat belajar lagi tetapi kalau asyik bercuti membazir wang kerana belajar di kolej bayarannya mahal. Insya-Allah jika rajin berusaha, dalam bidang apa pun pasti kita akan berjaya. Saya berjanji untuk membuat yang terbaik dalam bidang lakonan kerana banyak perkara terpaksa dikorbankan demi meneruskan hasrat menjadi anak seni,” katanya.
Suraya kini tinggal bersendirian di Kuala Lumpur (KL) kerana ibu bapa dan dua adiknya menetap di Seremban, Negeri Sembilan kerana mengusahakan kedai perabot jati di sana.
“Di samping berlakon saya berminat meneruskan perniagaan keluarga dan apabila cukup modal saya akan membuka cawangan perabot jati di KL. Perniagaan itu akan diusahakan bersama adik saya, Hanez Safira yang sedang menunggu keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
“Walaupun wanita begitu sinonim dengan perniagaan berasaskan kecantikan seperti butik, salun dan mengeluarkan produk kecantikan serta kesihatan tetapi minat saya tiada ke arah itu. Lebih baik saya meneruskan perniagaan keluarga sementelah lagi saya boleh belajar selok-belok perniagaan itu daripada emak dan ayah,” katanya.
Sekalipun baru kali pertama bertemu, Suraya tidak dapat menyembunyikan rahsia hidupnya apabila dia hampir menamatkan zaman solonya awal tahun ini. Segala kelengkapan perkahwinan termasuk baju pengantin siap ditempah namun jodohnya tidak kesampaian.
“Ada yang dengki dengan saya sehingga sanggup menghantar ilmu hitam menyebabkan saya sakit teruk. Kejadian itu terjadi tahun lalu apabila emak nampak perubahan diri saya ketika Ramadan.
“Akibat daripada itu, saya suka bersendiri dan lama tidak berlakon kerana tidak suka bertemu orang ramai. Hendak menjawab panggilan telefon pun malas. Puas berubat baru sembuh.
“Saya tidak berani menuduh siapa yang buat. Asalkan saya pulih seperti sedia kala sudah cukup bagus. Perkara lain saya serahkan kepada Allah. Hubungan saya dengan bakal suami putus selepas Aidilfitri dan sekarang kami membawa haluan masing-masing.
“Apabila pihak lelaki mahu kami segera berkahwin saya bersetuju dengan harapan dapat mengelak daripada gosip, fitnah dan maksiat. Tetapi hendak buat macam mana? Tiada jodoh antara kami. Apabila dikenang, sedih juga tapi pasti ada rahmat di sebaliknya. Daripada terus bersedih, lebih baik saya tumpukan pada kerja,” katanya.
Menurut Suraya dia mengenali Hani sewaktu mereka berlakon drama Cinta Dalam Sebiji Durian. Drama lain lakonannya, Ezora, Kain Ketat Isabella, Cahaya Dari Neraka, Suratan Terakhir dan Semanis Janji yang diterbitkan sebanyak 26 episod.
“Drama Cinta Dalam Sebiji Durian menemukan saya dengan Hani dan sejak itu saya menganggapnya seperti kakak dan apabila buntu saya selalu minta nasihat serta pandangannya.
“Saya masih baru dan banyak perkara di belakang tabir dunia lakonan yang saya tidak tahu. Bimbang juga tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman terjebak pula dalam gejala tidak baik.
“Hani banyak memberi tunjuk ajar. Saya perlukan seseorang untuk berkongsi cerita. Kelakarnya saya anak sulung dan Hani pula anak bongsu namun kami sekepala dan boleh berkongsi cerita. Hani cekal dan banyak pengalaman kerana keluarganya orang seni,” katanya.
Sementara itu, Hani pula terpaksa menunda tarikh pertunangannya kerana dia dan buah hatinya itu sibuk dengan kerjaya serta ingin memantapkan kewangan terlebih dulu.
“Memang usia saya sudah layak untuk berkahwin tetapi selepas difikirkan semula kami perlu mengukuhkan kedudukan kewangan sebelum mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, selama enam tahun berkawan hubungan kami berjalan baik dan dia sangat memahami saya. Demi kesejahteraan pada masa depan, apa salahnya saya menunggu setahun dua lagi,” katanya.
Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai kerjaya seninya, anak bongsu Julie Dahlan itu agak terkilan kerana perjalanan kerjaya seninya agak perlahan.
“Saya berlakon sejak berusia lima tahun dalam drama Kaca Kaca Terhempas. Kemudian pada usia 11 tahun saya muncul dalam filem Harry Boy dan menerusi filem itu saya mendapat Anugerah Pelakon Kanak Kanak Terbaik pada FFM10 (Festival Filem Malaysia ke-10). Selepas itu saya banyak berlakon drama sehingga sekarang.
“Mungkin belum rezeki saya untuk duduk sebaris dengan pelakon popular sedia ada. Pun begitu selain berlakon drama terbitan syarikat sendiri, JD Productions (Julie Dahlan Production), saya sedia terima tawaran daripada produksi luar. Bagaimanapun, selepas bertahun berada dalam persada seni, lakonan saya dalam drama bersiri Kaizer agak menonjol.
“Watak jahat saya dalam drama itu menjadi sehingga dibenci penonton. Wajah dan perwatakan saya sesuai untuk watak jahat walaupun ada kala teringin membawa watak perempuan baik,” katanya.
Terbaru Hani muncul dalam Gerak Khas membawakan watak Detektif Linda. Dia juga tampil dalam drama Laila Majnun, Dua Marhalah, Aku Juga Wanita, Ketupat Penyek, Roda Roda Kuala Lumpur serta telefilem Dendam Adam dan 90 Minit.
“Menerusi drama Dua Marhalah, saya dan Fauzi Nawawi menjadi ibu dan bapa ayam. Cerita itu berkisar kepada pelacur kelas atasan lakonan Zizie Ezette,” katanya.
Walaupun jalan yang dilalui Hani berliku tetapi dia tidak berhasrat melupakan bidang lakonan kerana ia sudah sebati dengan dirinya. Katanya, dia minat berlakon sejak kecil lagi dan menjadikan ibunya sebagai idola.
“Walaupun saya anak Julie Dahlan, langkah saya dalam bidang ini sukar. Jadi tidak betul jika ada yang berkata saya menumpang ‘nama’ mama. Saya berusaha sendiri untuk mencapai segalanya.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Yusof Haslam yang kebelakangan ini banyak mengambil saya berlakon drama terbitannya. Saya turut berlakon dalam filem Bohsia arahan anaknya, Shamsul.
“Kalau sebelum ini mungkin ramai ingat saya hanya berlakon dengan syarikat sendiri, sangkaan itu salah kerana mama akan terima saya berlakon jika ada watak sesuai. Saya bukan pelakon tetap JD Productions.
“Untuk mengembangkan bakat, saya sedia bekerja dengan mana-mana produksi. Selain bekerja dengan Skop Production saya juga pernah bekerja dengan Global Station dan Pena Kreatif.
“Demi mengejar sebuah kejayaan saya perlu bekerja dengan ramai pengarah kerana setiap daripada mereka ada cara masing-masing ketika mengarah yang dapat memperkayakan lagi ilmu lakonan saya,” katanya.
Profil
NAMA: Hanez Suraya Abdul Aziz
UMUR: 25
TARIKH LAHIR: 22 Ogos 1985
ASAL: Shah Alam, Selangor
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Bicara Hati
DRAMA: Ezora, Kain Ketat Isabella, Cinta Dalam Sebiji Durian, Cahaya Dari Neraka, Suratan Terakhir dan Semanis Janji
IKLAN: Digi dan Meps Cash
HOBI: Membeli-belah
NAMA: Siti Hani Nurzara Harmie
UMUR: 27
TARIKH LAHIR: 24 November 1981
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon dan Penerbit Eksekutif Julie Dahlan Productions
FILEM: Harry Boy dan Bohsia
DRAMA: Kaca Kaca Terhempas, Gerak Khas, Laila Majnun, Dua Marhalah, Cinta Dalam Sebiji Durina, Din dan Dina, Roda Roda Kuala Lumpur, Dendam Adam dan 90 minit
Harian Metro tahun 2009 punyer....... |
|