HIBURAN
Lakonan rezeki terpijak Azlee
PERNAH pelakon muda yang duduk berdepan penulis di set penggambaran drama popular Love You Mr. Arrogant, Azlee Khairi menjadi bualan ketika awal kemunculannya dua tahun lalu kerana mirip pelakon popular Remy Ishak. Pernah juga terpampang kisah Azlee mempunyai pertalian darah dengan pelakon Ashraf Muslim dan Rushdi Ramli. Sekali lagi diasak situasi sama yang sekali gus telah memperkenalkan diri Azlee kepada khalayak, dalam nada kurang selesa pelakon kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu membuat penegasan. "Dakwaan itu satu beban kepada saya dan saya pun sudah mengulas mengenai perkara itu. Saya tiada sebarang pertalian darah atau kaitan sama ada dengan Remy, Ashraf atau Rushdi. "Cuma saya tidak faham kenapa orang masih menilai saya sebagai mereka dan masih mahu samakan kami. Jujur, kita tidak boleh puaskan hati orang," getus Azlee yang ditemui di set penggambaran drama bersiri popular itu di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini. Sasaran Sambil melabuhkan punggung membetulkan kedudukan, ruang perbualan semakin selesa. Azlee mula bercerita matlamat dan perjuangannya dalam dunia lakonan. Kata Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee, 24, berlakon cuma platform untuk dia terjun ke bidang pengarahan apabila tiba waktu yang sesuai kelak. "Boleh saya katakan lakonan ini rezeki terpijak kerana saya tiada niat pun untuk menjadi seorang pelakon sebelum ini. Mula kerjaya saya pun sebagai krew produksi dan orang belakang tabir saja. "Saya menganggap bidang lakonan ini satu platform untuk saya menjadi pengarah nanti tapi sebelum mencapai impian itu saya harus memantapkan kualiti lakonan saya. TIDAK kisah dengan soal populariti, Azlee lebih mementingkan mutu lakonannya.
|
"Soal populariti bukan prioriti saya sebab saya jadi artis bukan nak popular. Dunia populariti itu merimaskan! Sekarang pun ruang privasi saya sudah semakin menipis apatah lagi kalau menjadi bintang yang jadi tumpuan orang tapi inilah jalan yang saya pilih," jelas pendukung watak Irham dalam Love You Mr. Arrogant. Ditanya sasarannya dalam tempoh lima tahun akan datang, jawab Azlee, dia menjangkakan tempoh itu sudah cukup ranum untuk bersandar di kerusi pengarah. "Tidak melampau kalau saya melihat diri saya sebagai seorang pengarah dalam tempoh lima tahun akan datang kerana daripada angan-angan itu terbit cita-cita dan keinginan," tambah lulusan Diploma Seni Layar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu. Populariti Bagi yang tidak mengenali siapa Azlee Khairi, sebelum bekerja di belakang tabir beberapa buah produksi di sekitar Kuala Lumpur, anak kedua daripada enam beradik itu pernah menjadi pemain bola sepak mewakili pasukan bawah 18 tahun negeri Perak sejak tingkatan tiga lagi. Radius kariernya mula berubah wajah apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas watak sampingan dalam drama rantaian Impian Sunsilk 2. Sejak itu tawaran lakonan mula bercambah dan lebih ramai produser filem serta drama mula mengintai bakat anak muda itu. "Pelakon ada tiga jenis. Pertamanya berlakon kerana mahu mencari populariti, kedua berlakon untuk mengumpul duit dan ketiganya berlakon kerana bekerja. "Saya meletakkan diri dalam kelompok ketiga iaitu berlakon kerana bekerja. Kalau letak untuk popular mungkin orang susah nak pandang kerana tiada rasa ikhlas. "Tapi kalau orang sedar bahawa saya tidak bagus saya boleh belajar daripada kesilapan untuk membuktikan sejauh manakah keupayaan diri sendiri," katanya yang pernah hampir berputus asa apabila langsung tiada tawaran berlakon ketika menuntut di universiti. LAKONANNYA dalam drama rantaian Love You Mr. Arrogant bersama Zara Zya mendapat sambutan hangat.
|
Sensasi Tidak semua bintang baharu yang berjaya mencuri tumpuan seperti Azlee. Harus diakui kebanyakannya lebih gemar mencuri perhatian melalui kisah kontroversi atau sensasi. Tidak bagi Azlee, katanya semahu-mahu dia cuba mengelak daripada menjadi bidikan gosip liar yang nyata sekali boleh menjejaskan reputasi bersihnya selama lima tahun dalam industri. "Apabila bermula daripada bawah, gelora yang datang daripada segenap sudut membuatkan kita lebih kental. Pekakkan telinga saja. "Soal cinta saya tolak tepi dahulu dan saya tidak mahu mengeksplorasi perkara itu. Saya enggan menjadi buah mulut kepada orang sekeliling yang selama ini mempercayai saya sebagai seorang pelakon yang bekerja. "Tidak ada tekanan daripada keluarga saya untuk mencari cinta pada usia muda dan mereka sangat memahami. Saya pun tidak memberikan satu jangka masa untuk diri sendiri mencari cinta atau menamatkan zaman bujang. "Tapi tidak dinafikan adalah normal untuk ada rasa mahu bercinta. Saya akui saya memang menjalinkan hubungan dengan seorang gadis, dia pun ada terbabit dalam bidang lakonan, nyanyian dan pengarahan tapi biarlah bukan perkara itu menjadi pokok bicara. "Apa yang penting, saya sendiri perlu pandai mengawal diri agar tidak terbabit dengan sebarang kontroversi atau kisah sensasi dan perlu beringat pesan ibu bapa kerana itu senjata utama saya," simpul Azlee mengakhiri perbualan.
[url=]
[/url]
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2ifc6RUlj
Hakcipta terpelihara
|