Teguran Rita Rudaini Di Laman Sosial Bukan Mahu Cari Perhatian
 Rita Rudaini nafi tagih perhatian di media sosial.
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini menegaskan dia tidak berniat untuk meraih simpati mahupun perhatian daripada orang ramai apabila sering memuat naik status-status rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara menerusi laman sosial miliknya.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, berkata, tindakannya berbuat demikian ada bersebab supaya setiap perkara yang dilaluinya boleh menjadi pengajaran buat pengikut-pengikutnya di Instagram, Facebook dan Twitter.
"Ada yang mengatakan saya sengaja ingin mencari perhatian daripada orang ramai. Bukan macam itu!
"Sebenarnya apabila ada isu-isu semasa yang berbangkit sebagai contoh seperti masalah servis syarikat telekomunikasi, masalah anak-anak ataupun isu-isu semasa lain, kita boleh berkongsi pendapat dengan orang ramai tentang masalah-masalah yang sering kita hadapi.
"Tetapi ada juga yang salah faham kononnya saya suka buat bising di sosial media," katanya kepada mStar Online.
Baru-baru ini, Rita telah memuat naik foto yang mengandungi kata-kata tidak puas hatinya terhadap sebuah syarikat perkhidmatan.

Rita Rudaini
Kemudian, beberapa hari selepas itu, dia sekali lagi membuat luahan perasaan mengenai seorang individu yang bersikap kurang ajar ketika bertanyakan informasi sebuah pra sekolah.
Luahan perasaan tersebut membuatkan Rita dianggap sengaja ingin mencari perhatian orang ramai. Bagaimanapun, ada juga yang memberi respons positif dengan menyokong pelakon itu mengenai tindakannya mendedahkan kepada umum.
|