|
Artis kutuk artis
Selalunya peminat yang suka menambah perisa dengan komen entah apa-apa pada laman sosial atau blog hingga membuatkan artis bengang lalu sekat mereka.
Namun, situasinya kini berubah pula apabila artis sendiri jadi penambah perisa. Tentu sakit hatinya bertambah pedih apabila rakan seperjuangan berbuat begitu, bukan?
Kalau dalam bahasa ‘omputihnya’ ‘pathetic’! Kot-kot ada yang tak faham maksud, sila buka kamus dan cari sendiri! Cik Pang cukup tak faham dengan segelintir manusia yang langsung tak boleh tengok orang lain senang.
Bukan tujuan Cik Pang nak pertahankan mana-mana artis cuma apabila timbul sesuatu isu, kenapa rakan artis tidak tolong jernihkan keadaan?
Sebaliknya, mereka tambah keruhkan lagi dengan komen memburukkan nama artis hanya kerana terpengaruh dengan kata-kata orang lain.
Bila jadi macam ni, sah-sah peminat masing-masing akan tambah pelbagai lagi perisa. Kalau teguran positif atau motivasi, rasanya sesiapapun boleh terima dengan hati terbuka.
Terbaru apabila kepada aktres cantik, Nora Danish yang tiba-tiba saja jadi panas. Cik Pang akui memang ada saja kisah panas mengenai Nora.
Kali ini ada artis lain yang masuk campur dan mengutuknya hanya kerana Nora baik dengan anak teman lelakinya, Nedim.
Ikutkan hati Cik Pang, mahu saja ‘sound setepek’ biar berbuih mulut artis-artis itu yang lebih sudu dari kuah. Masalahnya, kalau lebih-lebih nanti, ada pula yang cop Cik Pang kipas ‘bontot’ artis tertentu.
Maaf ya, Cik Pang tegur mana-mana artis yang kurang bijak dalam memberi contoh terbaik kepada peminat. Apakah kalian tidak ada kerja lain nak dibuat atau memang kehidupan kalian sangat menyedihkan?
Menariknya, ada artis selamba kutuk sesama artis seolah-olah kehidupan mereka terlalu sempurna dan tidak ada masalah.
Kalau yang mengutuk dan bercakap buruk pasal artis itu datangnya dari peminat, tidak hairan sangat sebab peminat memang ada banyak jenis.
Malah, tidak semua peminat tahu susah payah yang terpaksa dilalui kebanyakan artis tempatan untuk berada di tempat mereka. Percaya atau tidak, ada artis terpaksa me­ngorbankan kebahagiaan sendiri demi kebahagiaan orang lain.
Nasihat Cik Pang kepada artis yang suka jaga tepi kain orang lain, cermin diri sendiri dulu. Jangan apabila terkena batang hidung sendiri, baru tahu langit tinggi rendah.
Namun kalau nak sangat bercerita pasal artis lain, meja Cik Pang memang sentiasa terbuka untuk mereka menjalankan tugas bergosip.
Sekurang-kurangnya adalah masa terluang untuk kalian ‘menganyam ketupat’ sambil tunggu tawaran berlakon.
Credits: hmetro.com.my
|
|