Berkongsi apa yang terbuku di hati, kata Neelofa, 30, tatkala ini dia sentiasa bersyukur mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.
Jelas Neelofa, uniknya apabila mempunyai sebuah keluarga besar adalah tetap berasakan kemeriahan Aidilfitri walau di mana mereka berada.
“Saya beraya di Kelantan. Memang ada suasana dan perasaan yang berbeza kerana tahun ini kami kehilangan beberapa ahli keluarga. Selain datuk, saya juga turut kehilangan bapa saudara.
“Kami semua sudah sepakat untuk berkumpul pada hari raya ini dan menziarahi kubur bersama-sama. Mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai sebenarnya ada kelebihan sebab suasana itu akan sentiasa meriah.
“Tentunya tahun ini kami sekeluarga akan memberi fokus kepada nenek yang kini tinggal berseorangan,” kongsinya.
Jika Ramadan tahun sebelumnya dia memilih untuk berehat, tetapi untuk tahun ini dia agak sibuk. Malah katanya, selepas bercuti raya, dia akan kembali memberi perhatian kepada perniagaan.
Berkongsi mengenai persiapan raya, tahun ini Neelofa masih memilih kesederhanaan sebagai tema utama.
“Untuk persiapan saya sudah lakukan termasuk baju dan kuih raya. Semuanya sudah ada dalam keadaan sederhana sahaja.
“Ramadan tahun ini saya agak sibuk. Selepas cuti raya saya akan kembali bekerja memandangkan banyak perancangan untuk perniagaan akan dilakukan,” katanya.
Melihat adik-adiknya yang lain sedang dilamun cinta, namun itu tidak memberi tekanan buat wanita hebat ini yang melihat kehadiran lelaki dalam hidupnya bukan perkara yang perlu diberi perhatian.
Bagi Neelofa, menjalani kehidupan solo juga memberi lebih ruang untuk dia memfokus kepada bahagian hidupnya dahulu.
“Tahun ini masih solo. Untuk saya sendiri tidak ada masalah memandangkan sibuk dengan kerja. Soal tekanan juga tiada sebab mungkin sudah selesa dengan keadaan ini.
“Saya melihat tidak kira bila cinta itu akan datang, saya yakin tetap akan melalui perasaan yang sama. Kalau bukan jodoh di sini mungkin orangnya berada di luar negara,” katanya disulami ketawa.
Utusan