Vida dakwa isu harta kena sita mengaibkan
KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mendakwa isu kediaman dan empat kenderaan mewah yang disita selepas gagal melunaskan hutang lebih RM1 juta seperti yang kecoh beberapa hari lalu, sebagai sesuatu yang mengaibkan dan mencalar reputasi. Vida atau nama sebenar, Hasmiza Othman, 53, bagaimanapun bersikap positif dan percaya kontroversi serta ujian yang dilaluinya itu mempunyai hikmah tersendiri. "Di sebalik ujian yang dilalui ini, saya anggap sebagai hikmah. Tuhan hendak bagi darjat kita lagi tinggi dan Dia tidak bagi percuma. "Tuhan akan bagi ujian. Maka atas aib yang dibuat ini, Tuhan lindungi saya kerana saya berada di luar negara ketika kejadian (sita) berlaku," katanya pada siaran langsung TikTok, malam tadi.
Pada sesi itu, Hasmiza turut menjawab pertanyaan netizen yang ingin mendapat penjelasan berhubung kontroversi itu. Penyanyi lagu Ku Ikhlaskan itu juga mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang didakwa sebagai sengaja mahu memalukan dirinya. "Kau (kontraktor) nak tuntut (bayaran) boleh tuntut, tapi kau pergi viralkan dengan panggil wartawan berkumpul di rumah saya itu. "Dia tak sepatutnya buat begitu. Tapi saya tak boleh nak cakap lebih-lebih nanti saya jadi macam lebih tahu dari yang tahu. "Sedangkan demi Allah, saya memang tidak tahu mengenai kejadian ini," ujarnya. Terdahulu media melaporkan, barangan rumah dan empat kenderaan mewah milik Hasmiza di Ipoh, disita selepas gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya. Sebuah akhbar bahasa Inggeris melaporkan, Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kerja ubah suai kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada 2018 bernilai RM1,060,285.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1329509/vida-dakwa-isu-harta-kena-sita-mengaibkan
|