CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12
Return to list New
Author: fizziany

(NOVEL) GENG TOYOL.

[Copy link]
 Author| Post time 3-6-2016 09:23 PM | Show all posts
SARAH merenung langkah Cikgu Razali yang baru tiba pagi itu di sekolah dengan motorsikal berkuasa besarnya. Bukan main gah lagi dia berjalan.  Kalah model catwalk! Sarah tersenyum sendirian di dalam hati. Cikgu Razali mengajar pelajaran Bahasa Melayu di kelasnya. Pagi ini, kelas mereka akan dimulakan dengan pelajaran Bahasa Melayu. Sementara menanti loceng permulaan kelas dimulakan, Sarah dan Yana sekadar melepak di depan pintu kelas.

“Cikgu Zali ni bila nak kahwin ye...” kata Yana sambil memandang Cikgu Razali yang baru masuk ke bilik guru. Sarah jungkit bahu.

“Aku dengar dia pernah putus tunang...” kata Sarah pula.

“Ye ke?” soal Yana lantas memandang Sarah. Sarah angguk perlahan. Yana tersengih.

“Itu sebab dia garang semacam? Ada gangguan perasaan dalam jiwa? Orang kata...jiwa kacau...” kata Yana galak dengan sengihan di bibirnya. Sarah tergelak. Ada-ada saja si Yana ni.

“Tak baiklah kau cakap macam tu...” getus Sarah. Yana merenung ke depannya lagi. Matanya mengecil merenung ke arah sesuatu.

“Sesekali kalau kita kenakan dia...macam menarik juga kan...” kata Yana tiba-tiba lalu memandang Sarah dengan senyuman penuh makna. Pantas Sarah menoleh ke arah Yana. Tidak faham dengan kata-kata Yana.

“Kenapa nak kenakan dia pulak?” soal Sarah hairan. Selama ini, dia tidak pernah peduli dengan kerenah Cikgu Razali.

“Takdelah. Aku geram gak dengan perangai dia dalam kelas. Selalu sangat buli budak-budak perempuan. Minggu lepas, dia suruh aku bersyair depan kelas. Aku dah cakap kat dia aku tak reti bersyair, tapi dia paksa jugak.... Banyak budak perempuan pun, tak suka dia sebab dia bajet hensem!” kata Yana. Sarah ketawa kecil.

“Lantak dialah!” kata Sarah pendek. Dia malas ambil pusing dengan sikap Cikgu Razali.

“Jomla....kita kenakan dia sikit je.. Bagi dia panas sikit je...Aku nak jugak tengok muka cencurut dia..” ajak Yana lagi. Sarah memandang Yana. Dia berfikir sejenak. Mungkin seronok juga kalau dapat lihat wajah Cikgu Razali yang selalu perasan hensem itu mencuka. Sarah pandang Yana kemudian senyum meleret.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 4-6-2016 10:34 PM From the mobile phone | Show all posts
Nanti sambung lagi na tt .....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2016 12:19 PM | Show all posts
CIKGU Razali masuk ke kelas pagi itu. Dia melangkah dengan gaya gagah bersama bukunya yang dikepit di ketiaknya. Baju kemejanya rapi diseterika. Tak ada kedutan langsung. Kasutnya berkilat hingga boleh menjadi cermin. Seluarnya pula lurus dan kemas berkanji. Rambutnya disikat rapi dan ditambah pewangi. Bila dia melangkah masuk ke kelas saja, bau minyak wangi lelakinya menyerbak baunya satu kelas. Pelajar perempuan berpandangan sesama sendiri. Ada yang berkerut dahi. Ada yang saling tersenyum.

Sarah dan Yana yang duduk di barisan paling belakang memandang saja langkah Cikgu Razali yang penuh yakin dan bergaya. Cikgu Razali menghampiri meja guru di depan kelas. Meja guru dan kerusi untuk diduduki guru buatan kayu jati. Cikgu Razali meletakkan bukunya di atas meja. Dia memandang kelas sambil tersenyum lalu dia duduk di kerusi.

Jackpot! Sarah dan Yana berpandangan sambil tersenyum penuh makna. Tidak sabar melihat reaksi Cikgu Razali sebentar lagi.

“Okay.  Buka buku teks mukasurat 25. Baca karangan tu dan jawab soalan yang ada dalam buku tu...” arah Cikgu Razali seperti selalu. Pelajar-pelajar kelas itu patuh. Masing-masing mengeluarkan buku dan membuat kerja seperti yang disuruh oleh Cikgu Razali.

Cikgu Razali memandang isi kelas. Pagi-pagi seperti itu, semua peljar masih kelihatan segar dan bersemangat untuk belajar. Dia juga rasa bersemangat melihat kesungguhan di wajah pelajar. Cikgu Razali menghala pandang ke arah pelajar perempuan yang duduk di sebelah kirinya. Wajah-wajah yang muda remaja itu dipandang bahagia. Perempuan memang ciptaan terindah dalam dunia! Getus hatinya.

Buat seketika, Cikgu Razali mengerutkan dahinya.  Punggungnya terasa panas. Bahang panas terasa mula menjalar ke seluruh punggungnya sehingga ke pangkal pehanya. Makin lama makin panas hingga punggungnya terasa begitu pedih. Apa hal dengan aku ni? Dahi Cikgu Razali berkerut seribu. Dia masih menggagahkan dirinya untuk duduk di kerusi itu. Tapi, punggungnya semakin lama semakin pijar dan panas. Kali ini, dia sudah tidak dapat menahan diri dari bangun.

Punggungnya sudah tidak dapat duduk. Lantas dia bangun dan memandang ke arah seluarnya.
Basah di bahagian belakang! Cikgu Razali memegang seluarnya di bahagian punggung lalu menggosok punggungnya. Sikapnya itu membuatkan isi kelas memandangnya. Ada yang tertanya-tanya sesama sendiri dan ada yang saling tersenyum. Sarah dan Yana tersenyum meleret penuh makna.

Cikgu Razali membawa tangannya yang mengesat seluarnya tadi ke hidungnya lalu dihidunya. Bau minyak panas!

“Siapa punya kerja ni?!!!!” bentak Cikgu Razali sekaligus membuatkan isi kelas terasa mahu tercampak keluar kelas. Suaranya yang kuat bagai komando askar mengejutkan kelas itu dan kelas sebelah itu. Pelajar-pelajar tunduk menikus, tidak berani memandang Cikgu Razali.
Punggung Cikgu Razali sudah terasa terlalu panas. Celah kelengkangnya juga terasa pijar dan Cikgu Razali terasa mahu melompat-lompat. Tidak tahan!

“Kalau saya jumpa siapa buat ni, saya sekeh cukup-cukup! Ingat ni!!!” Cikgu Razali sudah tidak tertahan lagi. Dia mencapai bukunya di atas meja dan dia bergegas keluar dari kelas. Dia mahu pulang ke rumahnya dan menukar seluar baru! Termasuk seluar dalam! Rasa panas dan pijar itu tidak boleh ditahan lagi!

“Hahahahhaha!!!!” pelajar-pelajar kelas itu ketawa riang. Ada pelajar lelaki yang melambung buku tanda riang. Cikgu Razali sudah keluar. Kelas bebas sekarang! Sarah dan Yana tersenyum lebar. Kasihan Cikgu Razali...punggungnya panas kerana duduk di atas kerusi kayu yang diletak minyak panas!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2016 12:20 PM | Show all posts
BAB 7


PERHENTIAN BAS yang tidak jauh dari sekolahnya dihampiri dengan langkah perlahan. Pulang dari sekolah tadi, berderet-deret kereta ibu bapa pelajar asrama yang datang menjemput anak-anak mereka untuk pulang ke kampung. Yana juga sudah pulang dijemput keluarganya. Kereta mewah berkilat warna merah hati milik keluarga Yana masih terbayang di matanya. Begitu juga kereta-kereta keluarga lain. Sarah cuma mampu jadi pemerhati. Dengan lemah, digalas beg sandang ke bahunya dan dia mula melangkah ke perhentian bas sendirian. Peluh yang merinik di dahi sesekali diseka.

Bila sampai di perhentian bas, Sarah duduk sementara menanti bas yang akan menuju ke kampungnya tiba. Bas terakhir pukul 5 petang. Sekarang masih jam 4.40 petang. Dia masih ada 20 minit lagi. Sesekali, kakinya dihayun perlahan melayan fikiran yang kosong. Jiwanya juga kosong. Sebenarnya, jika diikutkan hati, dia tidak mahu pulang ke kampung. Dia tidak mahu melihat hakikat hidupnya yang serba kekurangan jika dibandingkan dengan pelajar lain. Dia lebih rela tidur seorang diri di asrama.

Tapi, bila mengenangkan wajah adik-adiknya yang 2 orang itu, dia jadi rindu. Tak adil jika dia bersikap pentingkan diri sendiri. Hanya kerana tidak mahu berdepan dengan realiti hidup, rindu pada keluarga terpaksa diempang. Jadi, dia balik juga. Lagipun, dia perlukan duit dari ayahnya. Duit untuk membayar yuran makan di asrama itu yang sepatutnya dibayar minggu lepas.

Sarah menghela nafas berat. Inilah perkara paling sukar dalam hidupnya. Membuka mulut untuk meminta duit dari ayahnya jauh lebih susah dari membunuh diri. Astaghfirullah....Sarah menghela nafas berat. Dia mengangkat wajahnya dan merenung ke depan. Pandangannya tertancap pada sebatang tubuh lelaki yang lengkap berpakaian sekolah. Lebih tepat, uniform asrama sekolah berasrama penuh. Ah...Zaki???

Bibir Sarah kelu. Dia masih terus merenung Zaki yang nampaknya sedang mengatur langkah menuju ke perhentian bas. Apa lelaki ini buat di sini? Takkan ayahnya tak datang menjemputnya di asrama dengan Pajero hijau tuanya? Mengapa lelaki ini nak naik bas pula? Soalan yang bertalu-talu muncul tersekat di dada. Tak dapat dizahirkan melalui mulut. Akhirnya, Zaki kini sudah tegak berdiri di depannya.

“Hai!” Zaki mengukir senyum lantas dia duduk di bangku simen yang panjang di perhentian bas itu. Sarah terkesima. Sapaan Zaki hanya dibalas balik dengan senyuman. Buat seketika, mereka terdiam. Sarah tunduk.

“Bas dah sampai?” soal Zaki ramah pula. Sarah geleng.

“Kenapa naik bas? Ayah tak jemput?” soal Sarah perlahan. Zaki geleng sambil mengetap bibir.

“Dia ada hal sikit. Jadi, saya naik bas...” kata Zaki sambil tersenyum. Sarah angguk dengan bibir yang melopong. “Ooo...” terus Sarah tunduk sambil menggalas beg sandangnya lebih kemas.

“Lama kita tak jumpa kan? “ tiba-tiba saja Zaki bersuara dan memandangnya. Sarah terdiam. Ya, meskipun mereka sekampung, tapi jarang mereka dapat bertemu. Saat itu, bas yang mereka tunggu tiba. Sarah cepat-cepat bangun dan menggalas beg sandangnya. Tangannya menyeluk kocek baju sekolahnya dan dikeluarkan duit tambang bas. Zaki hanya memandang dari belakang.

Mereka melangkah naik ke dalam bas. Sarah duduk di hadapan, manakala Zaki pula duduk di bahagian agak belakang. Masing-masing buat hal sendiri. Sarah menarik nafas dalam-dalam. Menyedari yang Zaki ada di dalam bas bersamanya, buat Sarah rasa kekok. Selebihnya, dia banyak berdiam diri sahaja menunggu masa untuk turun dari bas. Dalam diam, Zaki merenungnya dari belakang sepanjang perjalanan itu.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2016 12:21 PM | Show all posts
ZAKI tidak tahu mengapa dia boleh sukakan Sarah. Entah bila perasaan itu berputik dalam hatinya, dia sendiri tidak sedar. Dia masih ingat, sewaktu mereka dalam darjah lima, dua minggu sebelum sesi persekolahan berakhir, cikgu kelas mereka merombak kedudukan pelajar. Cikgu kelasnya telah meletakkan Zaki duduk di sebelah Sarah.

“Kedudukan ini akan  kekal hingga darjah enam. Bila kamu masuk sekolah tahun hadapan, datang terus duduk di kelas dalam keadaan ini. Tolong ingat siapa kawan sebelah kamu. Okey?” pesan cikgu kelas mereka. Ada yang dengar, ada yang tidak. Tapi, masing-masing angguk saja.

Zaki angguk faham. Dia memang mendengar kata-kata cikgu. Tapi budak perempuan di sebelahnya yang terkenal dengan sikap tomboy itu dipandang. Budak perempuan itu sedang melipat-lipat kertas buku sekolah yang dikoyak dan sedang menjadikan kertas buku itu  kepada sebuah kapal selam. Walau cikgu tengah sibuk bercakap di depan, tapi dia sedang membuat origami di bawah meja kayu. Sibuk betul dia.

Bila cikgu habis bercakap dan keluar dari kelas saja, terus budak perempuan itu mengeluarkan kapal selam kertas yang telah separuh siap itu. Kelas mula hingar bila pelajar-pelajar lain bangun dari tempat masing-masing dan berkeliaran di dalam kelas. Mulut pula bising macam bertih jagung.

“Canggih tak? Canggih tak?” tanpa diduga, budak perempuan itu menunjukkan kapal selam kertas di depan batang hidungnya. Begitu dekat dengan mukanya. Dia tergagap-gagap menjawab.

“Canggih. Canggih..” katanya terangguk-angguk. Selepas itu, budak perempuan itu mengeluarkan warna penselnya pula. Ada 6 batang sahaja warna penselnya. Kotak warna pensel itu tidak penuh dengan warna. Barangkali ada yang telah hilang. Warna penselnya juga kontot-kontot. Melopong mulut Zaki melihatnya. Budak perempuan itu menoleh ke arahnya tiba-tiba.

“Pinjam kaler pensel kau!” katanya tiba-tiba. Bagai lembu dicucuk hidung, Zaki mengeluarkan pensel warnanya dari kocek depan beg sekolahnya. Lalu pensel warna 24 batang yang masih panjang diletak di meja. Pantas saja tangan budak perempuan itu mengambil.

“Aku pinjam saja tau. Nanti aku pulangkan balik...” katanya. Zaki angguk. Budak perempuan itu menyeluk saku beg sekolahnya. Sebuah kapal selam kertas dikeluarkan lalu dihulur kepada Zaki.

“Nah, kau satu. Kau pun kalerlah jugak...” arahnya. Matanya tepat memandang Zaki. Zaki yang tidak biasa berkawan dengan budak perempuan, terus angguk. Dia pun turut serta mewarnakan kapal selam kertas buatan sendiri itu.

Sejak dari hari itu, mereka jadi rapat tanpa sedar. Semua miliknya, dikongsi bersama budak perempuan itu. Hingga bekal airnya dihabiskan oleh budak perempuan itupun, dia sudah tidak ambil pusing. Yang nyata, dia rasa, dia mula sayangkan budak perempaun itu. Anehnya cinta!

Tanpa sedar, Zaki mengulum senyum sendirian. Bas berhenti. Zaki menarik nafas dalam-dalam lalu menoleh sekelilingnya. Di depannya, kelihatan Sarah sedang bangun dan dia berjalan menuju ke tangga bas. Kemudian dia menuruni tangga bas dengan laju. Zaki memandang ke tepinya. Rumah Sarah sudah sedia menanti. Dan Sarah sudah hilang dari pandangannya. Zaki menghela nafas resah sendirian
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2016 12:22 PM | Show all posts
BAB 8


ENCIK KHALIL memandang lauk pauk yang terdapat di atas meja. Pinggan sayur dihulur rapat kepada Yana. Yana memandang pinggan sayur lobak merah yang sangat dibencinya itu. Dia tidak suka lobak merah! Di asrama, tiap kali ada makanan yang menghidangkan lobak merah, dia akan menyerahkan bahagiannya kepada Sarah.

“Makan sayur ni lebih sikit Yana. Biar terang mata kamu. Mudah nak belajar nanti...” kata Encik Khalil. Yana terdiam. Dia pandang Encik Khalil dan Puan Azizah. Wajah kedua orang tuanya begitu serius merenungnya. Perlahan-lahan, Yana mengambil juga sayur yang diberikan oleh ayahnya. Sayur berwarna oren itu dipandang dan disuap ke dalam mulutnya dengan hati yang jengkel. Dia tahu, dia terpaksa telan juga.

“Macam mana sekolah kamu? Seronok kat sekolah ni?” soal Encik Khalil. Sambil mengunyah, Yana angguk laju. “Seronok,” katanya lemah dengan wajah kelat.

“Dapat kawan baik?” soal Puan Azizah pula sambil menyenduk lauk ke pinggannya.

“Ada. Nama kawan Yana tu, Sarah. Dia yang paling baik dengan Yana sekarang” jawab Yana.

“Anak siapa? Papa kenal?” soal Encik Khalil lagi. Laju Yana menggeleng. “ Tak” ujarnya.

“Bapak dia kerja apa? Cikgu? Doktor?” soal Puan Azizah pula. Yana bungkam. Dia memandang kedua ayah dan ibunya. Sejujurnya, dia sendiri tak pernah bertanya lanjut tentang latar belakang keluarga Sarah. Baginya, latar belakang sesebuah keluarga tak penting, yang penting dia dan Sarah sekepala, sejiwa.

“Yana tak pernah tanya pula. Dia pun tak pernah cerita,” jawab Yana jujur. Encik Khalil dan Puan Azizah berpandangan.

“Papa nak pesan, kalau berkawan, pilih yang baik-baik sikit. Pilih yang boleh bawak kamu untuk cemerlang dalam peperiksaan nanti. Kalau kamu berkawan dengan budak yang selalu dapat C..D...E..kamu pun akan turut sama dapat macam tu. Kalau kamu berkawan dengan budak yang selalu dapat A..B...kamu pun boleh belajar dari mereka..” kata Encik Khalil.

Yana terdiam. Nasi yang dikunyah terasa pahit. Mengapa ayah dan ibunya bersikap pesimis dengan keputusan yang dibuktikan hanya di atas kertas? Kertas bukan penanda aras kejayaan dalam kehidupan.

“Jangan jadi macam arwah abang kamu...berkawan tak tentu hala, exam fail...lepas tu bunuh diri...”

“Mama!!!!” kali ini Yana terus bangun berdiri. Reaksi spontan bila kisah arwah abangnya disabitkan dalam hal ini. Encik Khalil dan Puan Azizah terpempan dengan reaksi spontan Yana. Mereka nyata kelihatan terkejut bila Yana bertempik sebegitu. Yana memandang keduanya. Nafasnya naik turun dengan laju.

“Mama tak nak kau ulang apa yang arwah abang Ikhmal kau buat!” teriak Puan Azizah. Yana menarik nafas panjang. Dia mengangkat pinggan nasinya yang masih berbaki lalu menuju ke sinki. Seleranya sudah terbantut.

“Haa...buatlah perangai panas baran macam tu! Berdosa besar kau buat perangai macam tu depan mama dan papa!” laung Puan Azizah dari ruang makan. Yana yang mendengar hanya mampu menarik nafas dalam-dalam. Amarahnya ditahan dan dipendam. Pinggan disental sekuat hati dan cepat-cepat dia bergegas naik ke biliknya yang terletak di tingkat atas banglo itu.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 13-6-2016 12:23 PM | Show all posts
BAB 9


SARAH MENOLONG ibunya mengemas pinggan mangkuk usai mereka makan malam bersama. Adik-adiknya sudah menyusup masuk ke bilik tidur. Masa yang sangat sesuai untuk Sarah berbincang dengan ayahnya perihal duit. Puan Siti Hajar sedang membancuh kopi panas untuk Encik Ismail yang sedang duduk bersila di tepi dinding memandang televisyen 21 inci mereka. Sarah duduk berdekatan ayahnya perlahan-lahan.

“Abah...” serba salah Sarah hendak memulakan bicaranya. Encik Ismail berpaling ke depan, memandang Siti Sarah. Sarah tunduk sejenak, kemudian memandang ayahnya.

“Yuran makan asrama tahun ni dah diketatkan. Kena bayar sebelum 10 haribulan setiap bulan. Tak boleh lewat. Semua kawan Sarah dah bayar abah...” kata Sarah perlahan. Encik Ismail diam, kemudian tunduk merenung tikar mengkuang peninggalan arwah ibunya. Dari duduk bersandar, kini dia duduk berteleku dengan tangannya yang ditongkat ke dahi.

“Abah tak ada duit lagi ni Sarah. Sarah pun tahu kan...abah dapat gaji hari. Sehari RM20 saja. Awal-awal tahun ni...banyak pakai duit nak hantar korang semua sekolah. Bukan Sarah sorang je yang sekolah. Tu..Suri..adik Hisyam...nak pakai duit jugak. Kalau cikgu kata tak boleh bayar lewat, kalau macam tu, biarlah. Bulan depan saja kita bayar yuran makan tu..” keluh Encik Ismail. Sarah mula kecewa.

“Tapi abah..RM45 saja. Kalau tangguh bulan depan, dah jadi RM90. Lagi banyak kena bayar...” keluh Sarah. RM90 tu bukan angka yang kecil bagi bapanya yang hanya bekerja sebagai buruh kasar di tapak binaan.

“Kalau tak boleh sabar, minta cikgu yang bayarkan dulu. Takkan cikgu tak tahu yang kita ni susah?” sampuk Puan Siti Hajar pula yang datang dengan menatang dulang air kopi. Sarah mengeluh. Takkan cikgu nak tolong bayarkan pulak??? Kalau ada 10 orang pelajar susah macam dia, adakah cikgu nak bayarkan sekaligus untuk 10 orang itu? Tak masuk akal! Cikgu pun ada tanggungjawab sendiri juga....Mahu saja Sarah meluahkan bicara di hatinya itu, tapi, dia masih hormatkan ibu dan ayahnya.

“Sabarlah dulu. Bulan depan kita bayar..” kata Encik Ismail. Harapan Sarah punah saat itu. Dia tunduk kecewa.

“Kamu belajarlah rajin-rajin. Biar sampai masuk universiti. Kita ni orang susah. Abah dan mak tak ada harta nak tinggalkan untuk kamu dan adik beradik. Hanya ilmu yang boleh mengubah nasib kita...ingat tu Sarah..” pesan Encik Ismail untuk kali yang ke seratus empat puluh empat. Sarah angguk lemah. Kata-kata  itu sudah tertanam di dalam mindanya sejak dia darjah satu lagi. Sarah berfikir sejenak. Dia angkat wajahnya memandang ibu dan ayahnya.

“Abah...boleh tak Sarah nak kerja part time? Hari tu, Sarah ada nampak kedai ubat cina kat pekan nak pakai pekerja! Boleh tak?” pinta Sarah dengan harapan menggunung. Besar impiannya agar keinginannya itu dapat dipenuhi oleh ibu bapanya.

“Kamu nak kerja masa bila?” soal Encik Ismail hairan. Puan Siti Hajar menghirup kopi perlahan-lahan.

“Sarah tak payah duduk asramalah! Sarah ulang-alik naik bas ke sekolah. Lepas sekolah, Sarah boleh kerja sampai malam...” kata Sarah penuh harap. Namun, pantas permintaannya itu disambut dengan gelengan kepala Encik Ismail.

“Abah hantar kamu duduk asrama sebab abah nak kamu belajar betul-betul. Abah tak nak kamu duduk di rumah sebab abah tahu, keadaan kat rumah ni tak cukup lengkap untuk kamu belajar. Nanti kamu sibuk tolong mak kamu kat dapur. Sekarang, kamu minta nak duduk rumah sebab nak kerja pula! Abah tak bagi!” tegas keputusan Encik Ismail.

“Tapi bah...” Sarah berasa kecewa yang teramat sangat. Dia masih terbayangkan wajah adik bongsunya yang hanya mampu merenung penjual aiskrim yang lalu di hadapan rumah mereka petang tadi. Dia tahu, adiknya itu mahukan aiskrim, tapi takut nak meminta dari ibu bapa mereka. Kalau dia bekerja, dapatlah dia berikan apa saja yang adiknya mahukan.

“Tak ada tapi-tapi. Kamu duduk asrama tu...belajar baik-baik. Jangan fikir sangat bab duit ni...” kata Encik Ismail tegas. Sarah diam. Dia tahu, dia sudah kalah berperang. Dengan langkah longlai, dia bangun perlahan-lahan dan menyusup masuk ke biliknya. Bilik yang turut dikongsi bersama adik perempuannya yang sedang bersekolah dalam tingkatan tiga di kampung mereka.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2016 12:24 PM | Show all posts

“DAPAT?” soal Suri, adik Sarah bila wajahnya muncul di pintu bilik mereka. Suri tersenyum sungging dengan bibir kening yang terangkat. Sarah menggeleng lemah sambil menutup pintu bilik. Dihenyakkan badannya ke tilam kekabu yang terhampar di lantai bilik. Tidak ada katil di rumah mereka. Hanya ada tilam kekabu yang emak yang buat hasil mengutip kekabu di hutan.

“Suri dah cakap dari awal...” bebel Suri bila Sarah tidak mahu mendengar kata-katanya tadi. Idea kakak sulungnya untuk bekerja sudah disangkal dari awal. Tapi Sarah tetap mahu mencuba nasib meminta izin dari ibu dan ayah mereka. Sarah menghela nafas berat. Dia merenung bumbung rumah tanpa siling. Kayu besar yang menjadi tunggak bumbung rumah dipandang lama dengan jiwa yang kosong.

“Aku tak faham kenapa abah tak bagi aku kerja. Dah sah-sah kita perlukan duit sekarang. Tapi abah masih ingat dia boleh selesaikan masalah duit seorang diri...” keluh Sarah. Suri memandang kakaknya simpati. Faham apa yang bergelodak dalam jiwa remaja kakaknya.

“Apa salahnya aku kerja? Kau rasa ada masalah ke?” soal Sarah tidak puas hati.

“Abah takut pelajaran along terabai,” kata Suri. Sarah mengeluh kasar.

“Kau ingat, aku duduk asrama tu tenang? Kepala otak aku serabut tau..” keluh Sarah lagi. Suri diam.

“Apa nak serabut. Sekurang-kurangnya, kat asrama ada makanan yang enak-enak. Tak macam kat rumah...” keluh Suri pula. Sarah bingkas bangun merenung adiknya.

“Itulah yang aku runsingkan. Aku kat sana makan 5 kali sehari bercatu, korang kat sini nak makan pun susah. Aku kat sana lauk hari-hari bertukar, korang kat rumah makan lauk yang sama hari-hari! Abah kerja gaji RM20 sehari...cukup-cukup untuk bayar duit minyak motor pergi kerja dan selebihnya beli barang dapur. Aku pulak, dengan senang hati nak minta RM45 untuk bayar yuran makan asrama dan RM50 untuk duit poket aku. Korang kat rumah? Pergi sekolah nak bawak RM1 pun berkerat leher...kau fikir aku tak serabut dengan semua ni???” marah Sarah tiba-tiba. Nada suaranya diperlahankan. Bimbang jika didengari oleh ibu dan ayahnya yang berada di luar.

Suri terdiam. Dia terkebil-kebil bila angin Sarah naik. Dia menghela nafas berat.
“Itu bukan tanggungjawab kita pun untuk fikir. Tugas kita belajar sajalah kak...” pujuk Suri untuk meredakan amarah Sarah. Sarah menghela nafas lemah. Direnung wajah Suri yang muram. Ya, itu memang bukan tanggungjawabnya untuk memikirkan masalah keluarga. Tapi, sebagai anak sulung, beban yang menimpa keluarga turut terkena tempias ke bahunya. Dia bukan buta kayu yang hanya menidakkan apa yang berlaku di depan mata. Segala-galanya terbentang di depan mata hingga menyesakkan jiwanya.

“Entahlah Suri...aku pun tak tahu nak cakap apa...” keluh Sarah lalu baring di tilam. Kecewa. Suri bangun perlahan-lahan lalu menarik selimut. Suri merebahkan badannya di sebelah Sarah. Mereka sama-sama merenung bumbung rumah.

“Duit buku sekolah Suri pun, abah belum bayar...cikgu dah 2 kali tanya...” keluh Suri tiba-tiba. Perasaan Sarah terhenyak dengan keluhan Suri. Dipejamkan matanya rapat-rapat. Dia faham perasaan Suri bila diajukan soalan tentang yuran yang tidak berbayar oleh cikgu. Lebih-lebih lagi bila cikgu menyoal soalan itu di hadapan isi kelas. Rasa macam nak lipat muka masuk bawah meja saja!

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-6-2016 08:19 AM | Show all posts
bila nak sambung ni..
Reply

Use magic Report

Post time 28-6-2016 09:05 AM | Show all posts
nanti sambung ek tt....
Reply

Use magic Report

Post time 31-8-2016 05:52 AM From the mobile phone | Show all posts
Xde sambubgan ke
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-9-2017 03:29 PM | Show all posts
BAB 10


SEMENTARA MENANTIKAN pelajar-pelajar lain datang memenuhi asrama,  Sarah yang pulang awal pagi tadi duduk di bangku besi di bawah pokok ketapang yang selalu menajdi tempat lepak pelajar-pelajar asrama perempuan. Lokasinya strategic  kerana terletak betul-betul menghadap jalan masuk ke sekolah itu  Dari  jauh, Sarah nampak kereta milik keluarga Yana mula memasuki pagar sekolah perlahan-lahan. Bibirnya menguntum senyum. Diperhatikan saja kereta itu hinggalah kereta itu akhirnya berhenti di depan asrama mereka. Yana keluar dari perut kereta.
Kelihatan ibunya melambai-lambaikan tangan pada Yana bila Yana mengambil begnya keluar.

Pintu kereta ditutup rapat dan Yana terus melangkah masuk ke dalam kawasan asrama. Kereta merah milik keluarga Yana akhirnya membuat pusingan U di depan tapak perhimpinan sekolah dan terus keluar dari pagar sekolah.

“Awal kau balik!” sapa Yana sebaik menghampiri Sarah. Sarah senyum, sekadar menjungkit bahu. Yana tidak jadi hendak masuk terus ke dalam asrama, sebaiknya begnya diletakkan di bangku besi depan Yana. Dia pun turut melepak di depan Yana.

“Kau dah makan?” soal Yana sambil membuka zip begnya yang agak besar. Sarah menggeleng.

“Tunggu makan tengahari kang kat dewan makan la,” kata Sarah.

“Nak makan nasi dagang? Mak aku masak pagi tadi. Aku tapau lebih sikit untuk kita. Jom...” kata Yana sambil meletakkan bekas makanan plastik berwarna jernih di atas meja besi antara mereka. Mata Sarah membuntang. Bila bekas makanan itu dibuka, bau nasi yang harum dan kari ikan tongkol menerjah ke hidung.

“Wah, sedap ni!” puji Sarah. Yana menyerahkan sudu plastik yang dibawanya dari rumah kepada Sarah lalu terus dia mencedok Nasi Dagang itu. Sarah juga turut berbuat demikian.

“Makan..makan...aku lapar betul ni,” ujar Yana dengan mulut yang penuh dengan nasi.

“Kenapa kau tak makan tadi?” soal Sarah yang sedang mengunyah.

“Aku tak lalu nak makan kat rumah...” kata Yana pula. Sarah sekadar diam meneruskan makan. Nasi Dagang itu kelihatan sungguh menyelerakan.

“Makan..makan...hari ni je kita boleh makan waktu siang. Esok dah puasa. Tak boleh makan waktu siang dah..” kata Sarah lagi. Yana ketawa.

“Kau bawak apa untuk bekal bulan puasa?” soal Yana. Kebiasaannya, untuk menghadapi bulan puasa, pelajar-pelajar asrama akan membawa bekalan makanan kering untuk kegunaan waktu-waktu malam bagi mereka yang malas bangun sahur dan bersiap ke dewan makan.

“Aku tak bawa apa pun..” keluh Sarah. Manalah dia ada banyak duit untuk membeli barang-barang keperluannya. Hidupnya bergantung penuh pada dewan makan itu sahaja.

“Takpe. Aku bawa banyak stok meggi dan biskut. Kita boleh share,” kata Yana. Sarah angguk saja. Sikap Yana yang pemurah menyenangkannya. Tapi, kadangkala dia naik segan juga dengan kebaikan hati gadis itu. Beberapa kereta masuk ke perkarangan asrama menandakan lebih ramai pelajar telah pulang. Yana melempar pandang ke jalan depan.

“Wow...kau tengok tu...” kata Yana sambil memuncungkan bibirnya ke arah jalan. Sebuah kereta BMW berwarna oren pekat dan sporty menyusur masuk ke kawasan asrama perlahan-lahan.

“Kereta siapa tu? Gila punya lawa!” getus Yana dengan mata yang tak lepas memandang ke arah BMW itu. Sarah masih makan.

“Itu Kak Anne..” jawab Sarah bersahaja. Dalam asrama itu, Kak Anne yang merupakan pelajar tingkatan enam adalah pelajar yang nampak paling kaya antara pelajar lain. Mana taknya, dia sering dihantar oleh kereta – kereta mewah. Pakaiannya juga jarang sama. Bajunya penuh satu almari dan dia sering dilihat menggunakan pelbagai barang keperluan diri yang serba mewah. Bedaknya saja bukan bedak Johnson’s & Johnson’s seperti yang lain. Entah jenama apa pun mereka tak pernah tahu.

“Kak Anne ni bapak dia kerja apa?” soal Yana perlahan. Bimbang perbualan mereka didengari oleh Kak Anne yang sedang turun dari kereta. Sarah jungkit bahu.

“Entah. Aku jarang nampak bapak dia. Yang selalu hantar dia balik sini tu, abang dia..” kata Sarah. Yana pusing 2 kali ke arah kereta itu.

“Abang dia yang muda tu dah pakai BMW sporty macam tu? Kerja apa? Ini macam punya kaya, aku tak rasa dia kerja biasa-biasa ni...Paling koman pun, jual kapal laut..” kata Yana berseloroh. Sarah dan Yana sama-sama ketawa.

“Suka hati kau je nak jual kapal laut...” Sarah menyampuk. Diam tak dia, Nasi Dagang sudah hampir habis.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-9-2017 03:31 PM | Show all posts
BAB 11

MANSUR MASIH galak bersembang dengan Kak Ina yang tua darinya hanya 5 tahun. Sementara menanti waktu makan malam jam 6 petang itu, Mansur mengambil kesempatan untuk berbual dengan kakak yang bekerja di dewan makan itu.

“Banyak jambu...bagilah saya sikit kak..” kata Mansur bila terpandangkan sebesen buah jambu yang berada di lantai dapur. Kak Ina tersenyum sambil melirik ke arah buah jambu itu.

“Itu menu untuk esoklah!,” kata Kak Ina. Wajah Mansur mencurut.

“Ala...nak sebiji je...buat makan-makan malam ni sebelum tidur. Esok dah nak puasa..” pujuk Mansur lagi. Kak Ina ni lembut hati sikit dengan pelajar lelaki. Kalau kena gaya mengayat, bolah dapat free biskut-biskut. Kak Ina diam sejenak. Mak Bedah yang menjadi tukang masak tiada waktu itu.

“Aku bagi kau sikit je...tapi jangan tunjuk kat orang lain...” pesan Kaki Ina lalu menuju ke besen jambu. Beberapa biji buah jambu batu diambil lalu diberikan kepada Mansur. Tersengih lebar Mansur menerima buah-buah itu.

“Dah..pergi simpan cepat! Nanti orang lain nampak...” kata Kak Ina yang segera menghalau Mansur. Tanpa lengah, Mansur berlalu ke bilik asramanya.

“Terima kasih kak!” laung Mansur riang. Kak Ina menggelengkan kepala. Mansur ni memang nakal! Tapi, dia sukakan Mansur!

Dari jauh, 2 pasang mata yang sedang menghampiri dewan makan  hanya memerhati.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-9-2017 03:32 PM | Show all posts

“CEPAT sikit boleh tak? Orang nak solat dah nu!!” marah Sarah pada Yana yang masih terkedek-kedek mencari telekungnya.

“Kejaplah...” ujar Yana geram. Pelajar-pelajar lain sudah pun ke surau untuk solat Maghrib berjemaah. Malam ini solat Terawikh yang pertama.

“Sarah...Yana...tak keluar lagi?” soal Kak Asmah yang merupakan ketua biro disiplin asrama. Kerjanya, memastikan pelajar-pelajar asrama mengikuti setiap program asrama dengan tepat.  Pantas Sarah menoleh.

“Yana ni kak...telekung dia tak jumpa...” kata Sarah. Kak Asmah berhenti di tepi Yana.

“Letak kat mana?” soal Kak Asmah melihat Yana yang memunggah beg.

“Haa..dah jumpa,” kata Yana tiba-tiba bila melihat telekungnya yang tersorok di dalam timbunan bajunya. Sarah dan Kak Asmah menggeleng.

“Cepat! Azan dah bunyi. Nanti korang kunci  pintu ye,” pesan Kak Asmah pada Sarah dan Yana. Dia sudah berlalu dari situ. Mana-mana pelajar perempuan yang tidak boleh sembahyang, mereka dikehendaki berada di bilik menonton televisyen. Kawasan asrama akan dikunci sepanjang waktu Maghrib hingga habis Terawikh bagi mengelakkan sebarang kes kecurian.

“Cepatlah...Aku tinggal kau kat sini!” kata Sarah geram lalu berlau keluar dari asrama. Yana yang baru menyarung telekung terkocoh-kocoh mengejar Sarah. Dia tidak mahu tinggal seorang diri di dalam asrama itu.

“Tunggula...” jerit Yana. Namun Sarah nampaknya sudah berjalan ke depan.

“Woi...tolong aku tutup lampu! Kunci pintu asrama!!” laung Yana di muka pintu asrama.

“Kau lewat...kau buatlah sendiri...” Sarah sengaja mengenakan Yana yang selalu lambat. Kali ini, mungkin kena ajar dia supaya dia cepat sikit. Dibiarkan Yana menyudahkan kerja-kerja itu seorang diri. Yana menjerut rasa geram. Dimatikan semua lampu dan suis kipas asrama. Kemudian dia keluar lalu mengunci pintu asrama yang mana kuncinya dipegang oleh Kak Asmah. Dengan langkah pantas, dia berlari-lari anak mengejar Sarah yang sudah sampai ke tangga surau. Lahabau Sarah ni! Tak nak tunggu aku!!!

Dari jauh, Sarah sengih nakal bila dia sudah sampai dahulu ke surau. Tanpa menunggu Yana, terus saja Sarah naik ke surau. Yana berlari laju ke tangga surau. Cepat-cepat diletakkan seliparnya di sebelah selipar Sarah. Bila terpandangkan selipar Sarah, idea nakalnya timbul.

Diambil selipar Sarah sebelah saja dan direnung penuh senyuman. Padang bola jaring yang terletak di sebelah surau dipandang. Hihi...kau carilah sampai mati....Dengan laju, Yana membaling selipar jepun Sarah ke arah padang bola jaring. Selipar jepun itu terbang bak piring terbang UFO. Tinggi dan laju lalu mendarat dengan selamat di tengah-tengah padang. Kih...kih...kih...Yana puas hati. Cepat-cepat dia masuk ke surau bila jemaah sudah hendak mula hendak bersembahyang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-2-2018 02:37 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-2-2018 02:40 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-2-2018 02:42 PM | Show all posts
Tajuk: GENG TOYOL
Terbitan : Februari 2018
Penulis: Fizziany
Penerbit: Fizziany
Harga : RM30 (SM) / RM33 (SS)
ISBN No.: 978 967 15670 0 5

TEASER:

YANA tersenyum-senyum sendirian. Dia sudah siap berpakaian. Hari masih awal. Dia mula memasang telinga mendengar suara Zairul di bilik mandi. Selepas bersiap, dia sekadar baring di katil dengan kedua belah tangan diletakkan ke bawah kepalanya. Dia hanya merenung siling bilik tidur dengan hati yang senang. Macam tak ada apa-apa yang berlaku!

“Arghhhhh!!!!” jeritan Zairul bergema di dalam bilik air secara tiba-tiba. Mengalahkan bunyi pancuran air. Yana ketawa lucu di dalam hati. Rasa riang memuncak dalam jiwa.

“Arriana!!!!!” kali ini jeritan itu semakin kuat. Serentak dengan itu, pintu bilik mandi yang terletak di tengah-tengah bilik mereka berdua diketuk kuat. Gedegang!!! Yana menghala pandangannya ke arah pintu bilik air. Zairul tiba-tiba membuka pintu bilik air dari arah biliknya. Bunyi pancuran air yang kuat tadi telah berhenti. Suasana diam dan tegang. Zairul pantas mengitari ruang bilik Yana. Dilihatnya Yana sedang enak bergolek di atas katil.

Pandangan Yana dan Zairul bersatu. Zairul berdiri tegak dengan tubuh yang basah. Hanya tuala kecil yang membaluti tubuhnya dari pusat ke lutut. Dia bercekak pinggang, memberi isyarat bahasa tubuh bahawa dia sedang marah. Yana memandang wajah Zairul yang sudah bertukar merah macam udang kena bakar. Sedikit pun Yana tidak terkesan dengan wajah tegang si Zairul kala itu. Yana masih bermuka selamba.

“Awak letak ubat gigi dalam pencuci muka saya ke?” soal Zairul kasar dengan wajah bengis. Yana diam. Pura-pura tidak dengar. Belum sempat dia hendak mencipta kata bohong untuk menyelamatkan diri, Zairul terlebih dahulu melangkah laju menghampirinya. Zairul terus merapatkan wajahnya ke wajah Yana yang sedang terlentang di katil.

“Tengok!!! Awak tengok betul-betul!!!” tunjuk Zairul ke arah kulit wajahnya yang sudah bertukar merah. Yana menelan air liur. Gugup. Titisan air dari rambut Zairul yang basah jatuh menitik ke wajah Yana. Sejuk. Bola mata keduanya berlawan dalam tegang.

“Saya bergurau sajalah!” laung Yana kuat sambil menolak tubuh Zairul menjauhinya. Lantas dikesat wajahnya yang basah. Yana bingkas bangun. Zairul kini duduk di sisinya.

“Bergurau? Macam ni ke bergurau? Tahu tak kulit muka saya ni sensitif? Tahu tak?” soal Zairul geram. Yana memanjangkan lehernya menjauhi wajah Zairul yang dirasakan terlalu dekat dengan wajahnya.

“Manalah saya tahu muka awak sensitif. Lain kali awak tulislah kat dahi awak yang kulit muka awak tu sensitif. Baru saya tahu. Alah...tak payah nak marah sangat...nanti saya teman awak pergi buat facial...ye sayang...” cepat-cepat Yana menolak tubuh Zairul agar keluar dari biliknya dengan segera.

“Awak buat lawak? Time ni nak buat lawak lagi?” bila Yana menjawap macam makan kacang, macam mudah saja baginya semua perkara, darjah kemarahan Zairul mula meningkat naik melebihi paras 100 darjah Celcius panasnya.

“Saya tak buat lawaklah! Awak yang anggap ni lawak. Dah! Dah, keluar. Nanti terburai tuala tu, siapa yang susah? Pak cik jaga dekat pagar depan tu juga yang susah....” Yana pantas membuka pintu biliknya dan terus menolak tubuh Zairul. Hendak tak hendak, terpaksa juga Zairul keluar dari bilik itu dengan hati yang sakit.

“Agak-agaklah nak buat lawak pun...” masih berbaki marah Zairul. Yana hanya sengih lalu dengan pantas dia menutup pintu bilik. Takut! Manakala Zairul pula terus menuju ke biliknya dengan muka yang pijar kepanasan dan hati yang terbakar kemarahan. Mujur tak lama!

#YANA&ZAIRUL
#GENGTOYOL

“Astaghhhfirullah!!” Sarah pantas mengurut dada. Dia terkejut. Zaki tersenyum sinis merenungnya tajam. Beberapa helai baju kotor miliknya diserahkan kepada Sarah. Dada Sarah berdegup laju melihat renungan Zaki yang seakan mahu menembusi jantungnya. Pantas Sarah tunduk sebaik menerima baju kotor itu. Namun, Zaki masih tegak di situ. Sarah mula gelisah. Perlahan-lahan, Sarah memberanikan diri memandang Zaki. Nyata, renungan Zaki membelah hatinya saat itu. Redup pandangan Zaki sukar untuk ditafsirkan. Macam kita cari maksud sesuatu perkataan dalam kamus, tapi asyik tak jumpa maknanya sahaja. Macam itulah! Bibir Sarah menjadi kelu. Dia mula gugup.

“Kau ni jahat. “ tiba-tiba Zaki bersuara. Sarah terkedu. Wajah tegang Zaki direnung penuh tanda tanya.

“ Jahat! Sangat! Kau tahu tak? ” sambung Zaki. Sarah terpempan merenung Zaki di hadapannya. Sungguh, dia menjadi bingung dengan kata-kata sinis Zaki.

“Kau tahu kebenaran, tapi kau sembunyikan dari aku,” tambah Zaki dalam nada keras. Sarah terkesima. Matanya terkebil-kebil merenung Zaki memohon pengertian. Apabila melihat wajah Sarah yang kebingungan, Zaki mendengus. Kemudian dia berlalu dari situ. Sarah kejang sendirian di tepi mesin basuh, puas mencerna maksud kata-kata Zaki.

Sikap Zaki memang sukar ditafsir. Di hadapan Puan Zaiton, dia bermanis muka dan selamba menegur Sarah. Masakan Sarah dipuji melangit di hadapan Puan Zaiton. Katanya, Inspektor Azhan beruntung kerana bakal mendapat isteri yang pandai memasak macam Sarah. Tapi bila Puan Zaiton beredar ke ruang tamu dan meninggalkan Zaki dan Sarah sendirian, Zaki mengutuk masakannya pula. Tak sedap! Pahit! Masin! Semua yang buruk-buruk, semua ada.

Begitu juga baju yang dibasuh. Sarah rasa dia dah rendam Softlan begitu lama dan begitu banyak, tapi Zaki asyik merungut dengan mengatakan bahawa baju yang dibasuhnya busuk. Kadang-kadang Sarah rasa macam nak suruh si Zaki ni basuh baju sendiri sahaja! Baju yang diseterika pula, dikutuk Zaki masih berkedut. Sarah rasa mahu saja dia sembur kanji ke baju t-shirt Zaki. Padahal itu cuma baju t-shirt! Baju t-shirt pun mahu diseterika dengan begitu telitikah? Bagi Sarah, kalau sudah hilang kedutan baju, itu sudah cukup. Tapi Zaki nampaknya buat muka toya dengan penjelasannya.
Masuk kali ini, sudah kali ke tiga t-shirt Zaki yang ini Sarah seterika. Pintu bilik Zaki diketuk dari luar. Sesekali, Sarah jenguk ke luar rumah. Puan Zaiton sedang membaja pokok-pokok bunga kertasnya di halaman rumah pagi itu.

Tok!Tok! Masuk kali ke tiga pintu bilik Zaki diketuk, barulah Zaki membuka pintu. Sarah memandang Zaki lalu menelan air liur pekat. Baju t-shirt yang sudah diseterika terus dihulur kepada Zaki.

“Dah siap...” kata Sarah perlahan. Zaki memandang huluran baju yang tergantung di penyangkut baju lalu mengambilnya. Dibeleknya baju itu. Wajahnya masam. Langsung tidak senyum. Kemudian dia memandang Sarah.

“Apa fasal bau baju ni macam hangit?” soal Zaki. Sarah menghela nafas geram.

“Dah tonyoh 3-4 kali dengan seterika panas...memanglah baju tu naik hangus...” getus Sarah perlahan. Dia memang nak marah sebenarnya. Tapi dia masih takut memandang renungan Zaki. Zaki terdiam. Tidak menjawab. Dia merenung wajah Sarah di hadapannya. Sarah menarik nafas resah. Zaki angguk, lantas mahu berlalu masuk ke dalam bilik.

“Kebenaran apa yang awak nak tahu?” soalan Sarah menghentikan langkah Zaki. Tangannya tidak jadi hendak menutup pintu biliknya. Zaki mengetap bibir, kemudian berpaling semula menatap wajah Sarah di muka pintu bilik.

“ Apa yang saya sembunyikan dari awak?” sambung Sarah tegas. Dada Sarah bergendang kuat. Jujur, dia takut berhadapan dengan Zaki. Tapi dia tak betah membiarkan dirinya tertanya-tanya sendirian dengan soalan Zaki sebelum ini. Zaki menarik nafas resah sambil merenung wajah Sarah. Wajah gadis itu kelihatan sedikit berani dari biasa. Barangkali dia sudah marah sebab kena buli dengan aku? Hahhahaa...mungkin juga.

“Awak lebih tahu dari saya...” jawap Zaki berahsia. Sarah memandang tepat ke wajah Zaki. Dahinya berkerut.

“Apa yang lebih?” soal Sarah tegas. Mata keduanya berpandangan. Situasi menjadi tegang.

“Apa yang awak harapkan dari saya hingga awak anggap saya lebih tahu dari awak?” soal Sarah menyambung soalan pertamanya tadi.

“Masa silam saya. Masa silam kita..” jawab Zaki tegas. Sarah dan Zaki saling berpandangan dengan bibir terkunci. Sarah mula gementar dan gelisah. Apakah Zaki telah ingat segala-galanya? Semuanya? Jantung Sarah berdegup laju.

“Masa silam tak penting. Apa yang berlaku sekarang dan masa depan adalah penting. Dan apa yang berlaku sekarang, semuanya satu kebenaran...” ujar Sarah merenung Zaki. Ada nada cemas dalam lirih suaranya. Zaki tersenyum sinis seakan mengejek.

“Dan saya masih cintakan awak hingga sekarang. Saya masih menanti cinta awak hingga sekarang. Itu satu kebenaran. Itu tidak penting?” tingkah Zaki dengan wajah tegang. Sarah terkesima. Bibirnya beku menatap renungan Zaki yang dalam. Kini Sarah semakin tersepit.

“Mungkin Inspektor Azhan lebih penting pada awak...” ujar Zaki memecah kebisuan antara mereka . Zaki lantas menyusup masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup kasar. Bedegang! Sarah terpempan bila pintu terhempas.

Dadanya seakan terasa pecah bak kaca. Ombak jiwanya menggulung tinggi dan tidak tentu arah di laut pedih. Nafasnya naik turun, hilang ritmanya. Sarah memandang sekeliling. Airmatanya sudah mula hendak tumpah. Dia perlu pergi dari situ sekarang!

#SARAH&ZAKI
#GENGTOYOL

SINOPSIS:

Mereka kecil. Tapi berjiwa besar. Mereka nakal, tapi berhati ikhlas. Mulut mereka jahat, cakap main lepas. Sikap mereka bebas, tak ada peraturan yang tak boleh dilanggar. Dunia bagi mereka luas, takkan ada sempadan yang mampu menyekat. Cinta itu satu pagar dosa, tapi mereka redah hingga terbabas.

“Aku tak tahu sejak bila aku mula suka dia. Yang aku tahu, bila aku pandang langit, aku nampak muka dia. Bila aku pandang tv, aku nampak muka dia. Bila aku tak nampak muka dia, hati aku meronta-ronta nak pergi rumah dia, nak lalu depan rumah dia...nak tengok dia. Sejak dari itu, aku jadi ketagih nak pandang dia. Kalau sehari aku tak nampak bayangnya, aku sasau. Saat tu, baru aku tahu yang hati aku ada pada dia. Sejak dari itu, aku mula jadi pencintanya dalam diam saja hingga sekarang. 6 tahun, perasaan itu sama saja dan tak pernah berubah..” – Sarah.

Geng Toyol dilabel kepada mereka lantaran kenakalan mereka yang melampaui batas. Sarah dan Yana memang tidak dapat dipisahkan. Mana si Toyol 1 pergi, pasti ada si Toyol 2 di sisi. Keakraban, keriangan dan keberanian mereka buat penghuni asrama sekolah jadi irihati. Asrama itu mereka punya! Bila timbul kes buruk, merekalah kambing hitamnya!

“Kau kata kau jahat? Aku lagi jahat! Sekarang ni aku hidup untuk seronok saja! Aku tak nak fikir banyak. Usia remaja kita ni, pendek saja. Esok lusa, bila kita dewasa, semua kenakalan Ini akan jadi satu memori manis untuk dikenang..” – Yana.

Namun, di sebalik mata kasar yang memandang, ada cerita duka yang tersirat dan pahit. Di sebalik gurau senda, tawa dan hingar, ada hati yang luka tercalar. Di sebalik kenakalan dan otak jahat, ada rahsia yang tidak terungkap. Geng Toyol berperang dengan perasaan sendiri demi kehendak keluarga. Luarannya mereka tampak bahagia, tapi hati penuh derita. Mereka diuji di luar batasan sehingga Geng Toyol meraung dalam tawa. Sarah dihimpit kemiskinan. Yana dipaku dengan undang-undang tidak bertulis. Hanya dengan Geng Toyol, segala derita dapat dilupakan. Alpa menerjang dunia, satu peristiwa membekukan mereka selama-lamanya. Mereka terperangkap dalam dimensi jiwa lara.

Meski bertahun-tahun telah berlalu dan mereka telah meningkat dewasa, namun bayang memori silam sukar terpadam dan terus mengejar kehidupan mereka. Geng Toyol semakin tenat memendam rindu setelah bertahun terpisah tanpa rela. Yana nekad, menerima tawaran ibunya untuk berkahwin dengan Zairul, lelaki pilihan keluarga. Meski tanpa cinta, dia nampak itu sahaja jalan keluar baginya untuk mencari Sarah.

Nasib Sarah bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Malang menyapa satu demi satu hingga dia terasa putus asa untuk bernyawa. Di saat dia hampir rebah mengalah, dia ditawarkan menjadi orang gaji di rumah Zaki, satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati sejak azali. Namun sayang, ingatan Zaki mati.

Apakah peristiwa yang menyebabkan Sarah dan Yana terpisah?

Apa akan terjadi kepada Sarah selepas ingatan Zaki pulih?

Apakah Yana akan berjaya menemui Sarah?

Apakah suami Yana akan mencurigai hubungan Yana dan Sarah?

Mengapa GENG TOYOL? Bukan GENG BASIKAL atau GENG SURAU atau GENG MASJID?

ANDA WAJIB DAPATKAN NASKHAH INI UNTUK KETAHUI CERITA SEBENAR!

UNTUK PESANAN:
WHATSAPP:
011-1163 9631
011-1163 9631
011-1163 9631

KUOTA TERHAD. 500 NASKHAH SAHAJA!
KUOTA TERHAD. 500 NASKHAH SAHAJA!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-2-2018 02:43 PM | Show all posts

buku ni terbit juga akhirnya.
kalau ada yang berminat, boleh beritahu saya. versi cetak ada perbezaan sedikit berbanding versi kat forum.
Reply

Use magic Report

12
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 05:25 AM GMT+8 , Processed in 0.069257 second(s), 40 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list