Jika Khamis lalu, Berita Harian melaporkan pemain badminton nombor satu Negara, Datuk Lee Chong Wei bakal dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM), sempena menyambut Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, semalam.
Terkini, menerusi gambar yang dikongsi di laman Twitternya, Bernama melaporkan pemain badminton Negara itu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira, sebentar tadi.
Sumber foto: Twitter Bernama
Selain Chong Wei, raja pecut Asia, Rabuan Pit juga membawa gelaran Datuk apabila menerima pengiktirafan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM).
Ketua pasukan Melaka United, Ilija Spasojevic selaku penjaring terbanyak Liga Perdana menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM).
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar, anugerah itu diberi sempena menghargai jasa mereka yang mengharumkan nama Melaka dan Malaysia ke peringkat tertinggi dalam arena sukan.
Tambahnya, anugerah itu adalah sebagai penyuntik semangat kepada jaguh sukan yang lain untuk terus maju demi negeri dan negara tercinta.
"Saya mengucapkan tahniah kepada ahli sukan yang terpilih menerima anugerah kebesaran negeri kali ini," katanya. - CARI |