Sumber foto: http://www.duniainter.net
Makanan bergoreng seperti ayam, keropok lekor, cucur dan sebagainya sememangnya lazat dimakan panas-panas ketika masih rangup. Menggunakan minyak masak yang sama berulang kali sudah menjadi tabiat masyarakat terutama peniaga di warung atau di kedai makan. Nak jimat kos katanya.
Bagaimana pula dengan isi rumah? Berapa kerap anda guna minyak masak yang sama berulang kali? Atau adakah anda berulang kali menggunakannya sehingga minyak yang jernih itu bertukar menjadi hitam?
Sumber foto: Carian Google
Penggunaan minyak masak yang sama berulang kali akan memudaratkan kesihatan. Minyak masak yang dipanaskan pada suhu tinggi akan mengalami tindak balas kimia yang akan menjejaskan kualiti minyak. Sebab itu warna dan rasa minyak berubah selepas diguna berulang kali.
Selepas penggunan yang berulang, minyak masak itu akan kehilangan nutrien yang diperlukan, malah pengambilan minyak tersebut akan memberikan kesan toksik kepada kesihatan. Menurut Dr. Siti Khadijah, pensyarah farmakologi di sebuah universiti tempatan, penggunaan minyak masak berulang kali menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kerosakan tisu pada jantung.
Wanita juga terdedah kepada risiko menghidap penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis selepas menopaus kerana penurunan aras hormon estrogen yang mempunyai pelbagai kesan perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Amalan penggunaan minyak masak berulang kali juga menyebabkan penyakit lain seperti barah, kerosakan hati serta osteoporosis.
Untuk menjimatkan kos, masyarakat kita akan berulang kali guna minyak masak yang sama dan hanya akan menggantikan minyak itu apabila warnanya berubah gelap kehitaman. Jadi, penting bagi individu untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai bahaya amalan ini kepada masyarakat, khususnya kepada wanita menopaus. - CARI |