|
KUALA LUMPUR, 7 Nov — Penggiat seni wajar diberikan pelepasan cukai bagi menampung kos "penampilan diri" agar sesuai status mereka sebagai selebiriti, saran Nora Danish.
Pelakon itu, yang bercinta dengan anak menteri, meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menimbangkan saranannya kerana penggiat seni perlu berbelanja besar untuk kekal cantik.
"Bagi saya sebagai rakyat Malaysia memang ini adalah tanggungjawab kita [membayar cukai]. Cuma apa yang saya harap ada sikit pelepasan buat selebriti macam kami ini," katanya kepada Utusan Malaysia.
"Bukan apa, dalam waktu sekarang kami banyak mengeluarkan wang untuk penampilan diri.
"Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja dan ia barangkali boleh dimasukkan sebagai kos kerja kami," kata heroin filem Suami Aku Ustaz.
Menurutnya lagi, pelepasan cukai untuk "penampilan diri" baik untuk artis dan selebriti yang bergantung kepada penampilan dan personaliti diri apabila muncul di khalayak.
Nora, yang mengeluarkan jenama tudung OwlbyND, bagaimanapun tidak mempunyai masalah dengan cukai pendapatan kerana sering konsisten membayarnya.
|
|