Bawang putih yang merupakan bahan penting dalam masakan Malaysia telah mengalami kenaikan harga secara mendadak. Bawang putih dijual pada harga antara RM4 hingga RM5 sekilogram pada dua atau tiga tahun lalu, tetapi harganya meningkat kepada lebih RM12 sekarang. Disebabkan bekalan bawang putih di Malaysia adalah bergantung sepenuhnya kepada import dari China, faktor negara itu turut menjejaskan harga jualan di Malaysia. Antara faktor yang menyebabkan kenaikan harga bawang putih termasuk perubahan cuaca yang menjejaskan hasil tuaian, permintaan antarabangsa yang meningkat, kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan kos buruh. Presiden Persatuan Eksport dan Import Makanan Kering Malaysia, Datuk Chuah Poh Khiang berkata, seperti dengan durian, bawang putih adalah hasil tanaman bermusim yang dituai sekali setahun terutamanya antara Mei dan Julai, tetapi hasil tuaian boleh disimpan setahun hingga dua tahun. "Bukan sahaja negara Asia, satu dunia pun mahu membeli bawang putih dari China. "Semua negara mahu merebut bawang putih kerana hasil dari China berkurangan berikutan perubahan iklim," katanya kepada China Press. Ditanya kemungkinan berlaku kegiatan menyorok bawang putih yang menjejaskan harga, Poh Khiang menafikan keadaan itu berlaku dalam kalangan pemborong di Malaysia, tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut di China. "Bawang putih memang mempunyai nilai pasaran dan mungkin ada yang terlibat dalam spekulasi sehingga harga melonjak. "Harga bawang putih di Malaysia memang sudah meningkat," katanya.
http://malaysiagazette.com/ms/akhbar-cina/harga-bawang-putih-naik-berganda
|