|
LONDON: Bekas pemain Liverpool dan kapten England, Steven Gerrard mengumumkan persaraannya daripada kerjaya bola sepak profesional semalam, pada usia 36 tahun.
Gerrard menghabiskan masa selama 17 tahun beraksi bersama kelab tempat kelahirannya, Liverpool dan dipilih sebanyak 12 kali sebagai kapten.
Dia juga berjaya menjulang sembilan gelaran juara termasuk trofi Liga Juara-Juara pada 2005 sebelum menamatkan kerjayanya dengan beraksi bersama LA Galaxy selama 18 bulan.
"Susulan spekulasi yang dibuat berhubung masa depan, saya mengesahkan persaraan saya daripada kerjaya bola sepak profesional.
"Saya melalui tempoh kerjaya yang menakjubkan dan berterima kasih di atas setiap memori sepanjang bersama Liverpool, England dan LA Galaxy," kata Gerrard dalam kenyataan, semalam.
Walaupun gagal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris, Gerrard bagaimanapun berjaya menjuarai Piala FA sebanyak dua kali, Piala Liga (tiga kali), Piala UEFA (sekali), Piala Super UEFA (sekali) dan Perisai Komuniti (sekali).
Kemuncak aksinya adalah ketika di Istanbul pada Mei 2005 apabila dia membantu Liverpool kembali bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada babak pertama ketika menentang AC Milan sebelum menjuarai Liga Juara-Juara menerusi penentuan sepakan penalti.
Secara keseluruhannya, dia membuat 710 penampilan bersama Liverpool - ketiga tertinggi di belakang Ian Callaghan dan bekas rakan sepasukan, Jamie Carragher termasuk menjaringkan 186 gol.
Gerrard membuat 114 penampilan bersama England, ketinggalan di belakang Peter Shilton, Wayne Rooney dan David Beckham selain menjaringkan 21 gol di pentas antarabangsa.
Dia membantu England pada kempen Piala Dunia 2010, Euro 2012 dan Piala Dunia 2014.
"Saya bertuah kerana melalui pengalaman yang menakjubkan sepanjang kerjaya saya. Saya bangga dapat bermain lebih 700 perlawanan bersama Liverpool, kebanyakannya sebagai kapten dan memainkan peranan membantu kelab kembali meraih gelaran utama ke Anfield," katanya.
Gerrard dikaitkan bakal berada dalam barisan kejurulatihan Liverpool dan pengurus, Jurgen Klopp menyatakan pintu sentiasa terbuka untuk pemain berkenaan menyumbangkan khidmatnya.
"Pintu sentiasa terbuka untuk dia. Jika dia mahu melalui pengalaman berbeza dalam kerjayanya, kami sedia membantu," kata Klopp. - AFP
|
|