Liza Abdullah nafi dirisik
Sebelum ini memang rakan media lain selalu bercerita kepada Cik Pang kononnya Liza Abdullah yang kini bergelar ibu tunggal akan mengakhiri zaman janda. Menurut kata cerita disampaikan, Liza tidak sempat untuk hidup sendiri lama-lama. Sebaik habis idah pelakon itu sudah diintai dan ada yang mahu menjadikannya isteri.
Berita ini sudah pun kita kongsi dengan pembaca setia kolum ini beberapa kali dengan perasaan cukup bangga.
Mana tidaknya, bayangkan kalau dalam usia 50-an, Liza masih ada yang berebut mahukannya. Maknanya, Cik Pang juga masih punya harapan untuk mengakhiri zaman solo yang kalau dikira hampir ke hujung nombornya.
Begitupun, baru-baru ini teman Cik Pang bertemu Liza dan sempat bertanya kesahihan berita yang berkali-kali diperkatakan dan sejauh mana betulnya dia mahu disunting jejaka sama kerjaya. Bukan pelakon tetapi kru penerbitan.
Setahu Cik Pang, sudah lama juga berita itu kongsi dan entah-entah waktu itu dia sudah pun bernikah dan bergelar isteri orang. Bagaimanapun, kata Liza perkara itu tidak pernah berlaku dan tidak benar sama sekali. Tegasnya, jangan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan orang keliling terutama rakan dalam produksi kerana mereka suka mengusik.
Malah cuba berlawak dengan mahu menjodoh-jodohkan dia dengan beberapa kru penerbitan bekerja dengannya yang masih bujang. Mungkin disebabkan perkara itu, cerita tersebar mengatakan ada kru penerbitan mahu menikahinya. Liza menegaskan, dia tidak pernah berkecil hati apabila ada yang cuba bergurau seperti itu kerana dia sendiri faham gurauan mereka seperti mengusik adik-beradik.
Cuma katanya, kadang-kadang gurau mereka kasar sampaikan orang luar boleh percaya.
|