CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mbhcsf

Tahqiq al masail # 1- Analisis ilmiah Permasalahan Agama & Huraiannya - qa

[Copy link]
 Author| Post time 7-2-2017 04:06 AM | Show all posts
Antara ulama yang berpendapat seperti ini ialah:

  • Imam Ibn Hazm al-Andalusi (Al-Muhalla, 11/376).
Kata Imam Ibn Hazm Rahimahullah: Sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga keluar dari waktunya maka orang ini tidak akan mampu untuk mengqadhakannya buat selamanya. Hendaklah dia memperbanyakkan amalan kebaikan dan solat-solat sunat untuk dia memberatkan timbangan amalannya pada hari kiamat. Serta dia perlulah bertaubat dan beristighfar kepada Allah.

Kata beliau lagi: Hujah bagi membenarkan pendapat kami adalah firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: Maka binasalah bagi orang-orang yang solat. Yang mana mereka itu lalai terhadap solat mereka.
Surah Al-Ma’uun (4-5)
Sekiranya seorang yang meninggalkan solat dengan sengaja itu dikira mudrik (orang yang melakukan solat) setelah keluar dari waktunya, nescaya tidak akan ada kebinasaan untuknya.
Beliau juga turut berhujah bahawa: Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan bagi setiap solat fardhu itu waktunya yang tertentu kepada dua bahagian. Ia masuk pada waktu yang tertentu dan ia juga terbatal pada waktu yang tertentu. Maka tidak ada beza seseorang yang melakukan solat sebelum masuk waktunya dengan seseorang yang solat setelah tamat waktunya kerana kedua-duanya menunaikan solat bukan pada waktunya. Dan ini bukanlah qiyas salah satu ke atas yang lainnya, bahkan kedua-duanya sama telah melanggar batasan-batasan Allah. Allah SWT telah berfirman:
وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang melanggar batasan-batasan Allah maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.
Surah al-Talaq (1)

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2017 04:07 AM | Show all posts
Ibn Hazm juga menyebutkan bahawa qadha itu adalah mewajibkan suatu syariat. Sedangkan syariat itu tidak boleh datang daripada selain Allah melalui lidah Rasul-Nya. Maka kita tanyakan kepada kumpulan yang mewajibkan qadha ke atas orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, beritahu kepada kami tentang solat yang kamu suruh lakukan kepada orang yang sengaja meninggalkannya, adakah ia solat yang Allah SWT perintahkan untuk lakukan ataupun yang selainnya? Sekiranya mereka menjawab: Ia adalah solat yang Allah SWT perintahkan. Maka kita katakan kepada mereka: Maka orang yang sengaja meninggalkannya tidaklah dianggap bermaksiat, kerana dia telah melakukan apa yang Allah perintahkan (solat qadha). Dan tidak ada dosa mengikut pendapat kalian serta tidak ada celaan kepada sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja sehingga tamat waktunya (kerana terdapatnya solat qadha).
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:07 AM | Show all posts
Sekiranya mereka menjawab: Ia bukanlah solat yang Allah SWT perintahkan untuk dilakukan. Maka kami katakan: Kamu telah benar. Ini sahaja sudah mencukupi tatkala mereka sendiri mengakui bahawa mereka mengarahkannya melakukan apa yang Allah SWT sendiri tidak perintahkan.

Kemudian kita tanyakan lagi kepada mereka: Adakah meninggalkan solat dengan sengaja sehingga keluar waktunya itu suatu ketaatan atau maksiat ? Maka jika mereka menjawab ia adalah ketaatan, mereka telah menyanggahi ijma keseluruhan umat islam serta menyelisihi al-Quran dan al-Sunnah yang thabit. Jika mereka katakan perbuatan tersebut adalah maksiat, maka mereka telah benar. Dan di antara perkara yang batil itu adalah perbuatan maksiat menggantikan perbuatan taat.

Begitu juga Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu solat melalui lidah Rasulullah S.A.W. Serta menjadikan bagi setiap waktu solat itu ada waktu awalnya yang mana sebelumnya bukanlah waktu untuk melakukannya. Serta ada waktu terakhir bagi solat yang mana waktu selepasnya bukanlah masa untuk melaksanakannya. Ini merupakan suatu perkara yang tidak diperselisihkan oleh para imam. Sekiranya boleh untuk dilakukan setelah daripada waktunya, maka sudah tentulah penentuan Nabi S.A.W terhadap akhir waktu solat menjadi tidak bermakna. Maka nescaya ia menjadi ucapan yang lagha (sia-sia). Maha Suci Allah dari perkara sebegini.

Hujah lain adalah, setiap amalan yang terikat dengan waktu yang tertentu, maka tidak sah dilakukan pada selain waktunya. Sekiranya ia sah dilakukan pada selain waktunya, nescayalah waktu tersebut tidak menjadi waktu untuk ia dilakukan dan ini merupakan suatu yang jelas. Rujuk Al-Muhalla Bil Athar, Ibn Hazm (2/10-11).  
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:08 AM | Show all posts
Pendapat seperti ini juga menurut Ibn Hazm dinisbahkan kepada para sahabat dan tabien antaranya:
  • Umar al-Khattab
  • Abdullah bin Umar al-Khattab
  • Sa’ad Bin Abu Waqas
  • Salman al-Farisi
  • Abdullah bin Mas’ud
  • Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar
  • Budail al-‘Uqaili
  • Muhammad bin Sirin
  • Mutarrif bin Abdullah
  • Umar bin Abdul Aziz.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:08 AM | Show all posts
Antara pendapat Umar RA ialah:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ قَالَ فِي خُطْبَتِهِ بِالْجَابِيَةِ: أَلَا، وَإِنَّ الصَّلَاةَ لَهَا وَقْتٌ شَرَطَهُ اللَّهُ لَا تَصْلُحُ إلَّا بِهِ.
Maksudnya: “Bahawa Umar bin al-Khattab berkata dalam khutbahnya di Jabiah: “Ketahuilah sesungguhnya solat baginya waktu yang Allah syaratkan dengannya dan tidak sesuai kecuali dengannya.”

Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

إنَّ لِلصَّلَاةِ وَقْتًا كَوَقْتِ الْحَجِّ؛ فَصَلُّوا الصَّلَاةَ؛ لِمِيقَاتِهَا.
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi solat adalah waktu seperti waktu haji, maka solatlah kamu dalam waktunya.”
(Lihat al-Muhalla 2/13)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:09 AM | Show all posts
Ibn Rajab al-Hanbali.


Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah berkata: Adapun meninggalkan solat dengan sengaja maka majoriti ulama berpendapat bahawa wajib qadha buatnya dan sebahagian mereka ada yang mengatakan ijma akan hal tersebut. Sebahagian mereka berdalilkan ucapan Nabi S.A.W:

اقْضُوا اللهَ الَّذِي لَهُ، فَاللهُ أَحَقُّ بِالقَضَاءِ
Maksudnya: “Langsaikanlah hak-hak bagi Allah, Sesungguhnya Allah lebih berhak untuk dilangsaikan hutang kepada-Nya.”

Sebahagian lain pula berhujah bahawa apabila kumpulan yang ada keuzuran seperti terlupa dan tertidur pun diperintahkan untuk qadha, maka golongan yang tiada keuzuran adalah lebih utama.

Imam Ibn Rajab mengkritik pendapat ini dengan katanya: Sesungguhnya orang yang mempunyai keuzuran diperintahkan untuk qadha kerana qadha tersebut menjadi kaffarah baginya. Manakala orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, qadha yang dilakukannya tidak menjadi kaffarah buat dirinya. Ini kerana dia dianggap sebagai pelaku maksiat yang memerlukan dia untuk bertaubat. Oleh kerana itulah kebanyakan ulama berpendapat, tidak ada kaffarah ke atas seseorang yang membunuh dengan sengaja serta tiada kaffarah ke atas seseorang yang bersumpah secara dusta dengan sengaja. Ini kerana kaffarah tidak menghapuskan dosa ini.

Beliau juga berkata: Demikian tidak ada dalil yang menunjukkan wajibnya qadha, kerana kita tidak mendapatkan suatu perintah baharu yang membawa kepada perlunya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, seperti terdapatnya perintah qadha ke atas orang yang tidur dan terlupa.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-2-2017 04:09 AM | Show all posts
Imam Ibn Rajab juga berkata: Mazhab Zahiriyyah atau kebanyakan mereka berpendapat bahawa tidak ada qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Serta dihikayatkan daripada Abd al-Rahman yang merupakan tokoh mazhab al-Syafie di Iraq, juga Ibn Bint al-Syafie, dan ia merupakan pendapat Abu Bakr al-Humaidi berkenaan puasa dan solat apabila seseorang itu meninggalkan keduanya dengan sengaja, maka ianya tidak sah apabila diqadhakan. Inilah yang beliau sebutkan di akhir kitab Musnadnya. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/135).

Ibn Rajab turut mengatakan: Inilah yang terdapat dalam ucapan-ucapan para ulama kami (Al-Hanabilah) yang terdahulu. Di antara mereka adalah: Al-Juzjaani, Abu Muhammad al-Barbahari, dan Ibn Batthah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:09 AM | Show all posts
Kata Ibn Batthah: Ketahuilah bahawa sesungguhnya solat itu mempunyai waktu-waktunya. Maka sesiapa yang mendahulukannya ke atas waktunya, tidak ada fardhu buatnya sama ada dengan keuzuran atau selainnya. Dan sesiapa yang melewatkannya dari waktu yang telah dipilih untuknya tanpa sebarang keuzuran, maka tidak ada fardhu baginya.

Maka beliau menjadikan solat setelah tamat waktunya tanpa sebarang keuzuran sama seperti solat sebelum masuknya waktu. Manakala ucapan beliau pada keduanya: Ia bukan fardhu. Ini bererti beliau berpendapat bahawa ia menjadi solat sunat dalam kedua-dua keadaan.

Imam Ibn Rajab juga menukilkan kata-kata Imam Hasan al-Basri yang dinukilkan daripada Muhammad bin Nasr al-Marwazi. Kata al-Hasan: Apabila seseorang lelaki itu meninggalkan satu solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia tidak mengqadhakannya. Kata Muhammad Bin Nasr: Kata-kata al-Hasan ini mengandungi dua makna:
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2017 04:11 AM | Show all posts
Pertama: Sesungguhnya beliau menganggap kufur bagi sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Demikian itulah dia menganggap tidak adanya qadha. Ini kerana orang kafir tidak diperintahkan untuk melakukan qadha terhadap apa yang dia tinggalkan semasa dia berada dalam kekufurannya.

Kedua: Sekiranya beliau tidak menganggap kufur terhadap seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya beliau berpendapat bahawa Allah SWT telah memfardhukan solat ke atas seseorang itu pada waktunya yang tertentu. Maka apabila dia meninggalkannya sehingga terkeluar waktunya, sesungguhnya dia telah melakukan maksiat. Disebabkan dia meninggalkan suatu kefardhuan pada waktu yang dia diperintahkan untuk melakukannya. Maka apabila dia menunaikan solat selepas waktunya yang diperintahkan, maka tidak ada manfaat dia lakukan sesuatu yang tidak diperintahkan.


Kata Al-Marwazi: Ini adalah pendapat yang tidak dapat disanggah, kecuali para ulama telah bersepakat dalam pendapat yang berbeza dengan ini. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab (5/137-138) serta Ta’zhim Qadr al-Solat, Muhammad Bin Nasr Al-Marwazi (2/1000).
Kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali lagi: Dan tidak diketahui suatu pendapat pun daripada kalangan para sahabat yang mengatakan adanya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Bahkan aku tidak mendapati suatu pun pendapat yang sarih daripada para tabiin, melainkan daripada Imam al-Nakhaie. Lihat Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/139).

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Dan orang yang berpandangan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja tidak perlu untuk qadha tidaklah memaksudkan bahawa dia itu lebih ringan keadaannya berbanding orang yang lupa. Bahkan dia berpandangan bahawa sekiranya disyariatkan qadha ke atas orang yang meninggalkan solat dengan sengaja maka itu akan menjadikan dirinya sama dengan orang yang terlupa sedangkan orang yang lupa itu tidak berdosa berbeza keadaannya dengan orang yang sengaja meninggalkan. Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja lagi buruk keadaannya berbanding orang yang terlupa, bagaimana mereka menjadi sama ? Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani (2/71).
  • Ibn Bint al-Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/308).
  • Abu Abd al-Rahman (Al-Asy’ari al-Syafie) sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qassar (Rujuk Tafsir al-Qurthubi (11/119).








Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:12 AM | Show all posts
Hadis Berkenaan Dengan Qadha

Kami kemukakan di sini beberapa hadis antaranya:

  • Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya.”
Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)
  • Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan tidak ada kaffarah baginya melainkan ia solat apabila mengingatinya.”
Riwayat al-Bukhari (597)
  • Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat, maka hendaklah ia mengerjakannya apabila mengingatinya.”
Riwayat Abu Daud (442), al-Tirmizi (178) al-Nasaie (613), Ibn Majah (576) dan Ibn Hibban (1555)
  • Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلَاةِ، أَوْ غَفَلَ عَنْهَا، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu tertidur daripada mengerjakan solat atau terleka dari mengerjakannya maka hendaklah ia mengerjakan solatnya apabila ia mengingatinya.”
Riwayat Muslim (684) dan Ahmad (12909


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:13 AM | Show all posts
Titik Perselisihan dan Sebab Berlaku Khilaf

Kami nukilkan di sini daripada Ibn Rushd:

Pertama: Harus qias dalam Syara’.

Kedua: Qias orang yang sengaja kepada orang yang lupa jika diterima keharusan qias.


Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (2/402)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:14 AM | Show all posts
Hujah Pendapat Yang Mewajibkannya



Berdasarkan hadis di atas antara hujah yang mewajibkannya ialah:

Qias yang orang sengaja dengan yang lupa. Jika sekiranya wajib qadha kepada orang yang lupa dimana syara’ menguzurkannya maka yang sengaja lebih aula dan utama.
Kewajipan tersebut pada bab al-taghliz (memberatkan).

Hukum berkenaan wajib qadha bagi yang lupa dan tidur adalah bersifat hukum ghalib kerana orang yang beriman tidak akan tinggal solat. Justeru bukanlah darurat atau semestinya mentansiskan atas setiap hal. Ini kerana memadai bagi syara’ mentansiskan sebahagian sahaja dan diqiaskan yang lain.

Hadis berkenaan dengan qadha bagi yang lupa dan yang tidur dikehendaki dengannya adalah menerangkan hukum waqie yang berlaku dan bukan dikehendaki dengan nafi hukum selain daripadanya.

Rasulullah SAW dalam hadis yang sahih menyebut tentang hutang Allah wajib diqadha ini berdasarkan berkenaan dengan wajib qadha haji bagi si mati.
Sabda Rasulullah SAW:

لَوْ كَانَ عَلَيْهَا دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ. قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَاقْضِ اللهَ، فَهُوَ أَحَقُّ بِالْقَضَاءِ
Maksudnya: “Kalaulah atas saudara perempuan kamu hutang adakah kamu membayarnya? Jawabnya: “Ia”. Sabda Baginda SAW: “Maka tunailah hutang Allah kerana ia lebih berhak dibayar.”
Riwayat al-Bukhari (6699)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:15 AM | Show all posts
Hujah Pendapat Yang Tidak Mewajibkannya

Antaranya ialah:

  • Zahir nas tidak menunjukkan kepada orang yang sengaja. Ini kerana istidlal dengan mantuq al-hadis.
  • Istidlal dengan mafhum al-mukhalafah[1]. Dengan makna kalaulah wajib kepada orang yang lupa dan tidur dengan sebab ada nas maka ketiadaan nas secara mafhumnya tidak diwajibkan.
  • Ia berdasarkan kaedah:

انتفاء الشرط يستلزم انتفاء المشروط
Maksudnya: “Penafian syarat membawa kepada penafian masyrut yang disyaratkan.”

  • Sesuatu perintah dengan tunai bukanlah perintah dengan qadha. Ini memberi maksud qadha yang telah luput berhajat kepada perintah yang baru.
  • Kalaulah qadha menjadi kewajipan ke atas orang yang sengaja sudah tentulah Allah tidak lupa dan rasulnya untuk memberi penerangan benarlah firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا
Maksudnya: Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.
(Surah Maryam: 64)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:16 AM | Show all posts
Tarjih

Setelah diteliti kami lebih cenderung kepada pendapat yang mewajibkannya qadha solat bagi orang yang sengaja meninggalkannya. Ini kerana banyak hujahan yang dikemukakan, antaranya ialah ijma’[2].
  • Dinukilkan daripada Ibn Qudamah berkata:
لا نعلم بين المسلمين خلافاً في أن تارك الصلاة يجب عليه قضاؤها
Maksudnya: “Kami tidak mengetahui dalam kalangan umat Islam sebarang khilaf[3] bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja hendaklah qadha.” Lihat al-Mughi (2/158)
  • Imam al-Nawawi juga berkata: “Telah ijma’[4] bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib qadha.”
  • Hujah dari segi bahasa: Dalam Lisan al-Arab oleh Ibn Manzur menyebut: “Maksud nisyan (lupa) terbahagi kepada dua pertama dengan makna lupa dan yang kedua dengan makna sengaja meninggalkannya.” Justeru bahasa sendiri juga menunjukkan bahawa wajib qadha berdasarkan kepada makna yang kedua.
  • Hujahan berkenaan dengan mafhum al-Mukhalafah, maka ia adalah lemah di sisi ulama usul. Dikatakan hanya boleh berhujah dengan mafhum al-Mukhalafah jika menepati enam syarat. Sedangkan jika ternafi satu sahaja maka mereka membatalkan beramal dengan mafhum al-Mukhalafah. Atas asas inilah mereka sepakat untuk tidak beramal dengan mafhum al-Mukhalafah dalam hadis ini. ini kerana tiga syarat telah terbatal iaitu:
  • Janganlah yang bersifat maskut (didiamkan) itu lebih aula hukum daripada yang mantuq (yang dinyatakan). Contohnya: Memukul ibu bapa adalah harus berbanding dengan haram menyatakan uff.
  • Janganlah yang bersifat maskut (didiamkan) itu ditinggalkan kerana jahil dengannya. Contoh: Seorang berkata: Nafqah wajib bagi usul dan furu’, sedangkan dia jahil berkenaan hukum nafqah ke atas cabangan seperti adik beradik. Justeru tidak boleh beramal dengan mafhum seperti itu.
  • Janganlah yang mantuq keluar daripada hukum ghalib. Contoh: Anak tiri jika bukan dibawah jagaannya harus nikahnya melainkan mafhum bukan berkehendak begitu.
Bagi mereka yang meninggalkan solat di samping mengqadhanya hendaklah membanyakkan amalan yang soleh seperti doa, sedekah, istighfar dan taubat.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:17 AM | Show all posts
Kenyataan Mufti Wilayah

Kami melihat isu ini dan juga menekuninya dan mendapati bahawa pendapat jumhur ulama adalah lebih kuat dan lebih tepat serta arjah. Ini kerana pendapat tersebut:

  • Lebih ahwat atau dari sudut ihtiyatnya lebih baik.
  • Meraikan pengangan mazhab Syafie di negara kita.
  • Jika seseorang yang terlupa pun wajib qadha solat maka adalah lebih utama bagi orang yang sengaja untuk mengqadhakan solatnya. Ini dinamakan sebagai Qias Aula.
  • Sebahagian ulama menukilkan sebagai ijma’[5] seperti Imam al-Nawawi, Imam Ibn Qudamah dan lain-lain. Justeru hujahan ijma’ adalah mempunyai kekuatan yang tersendiri.
  • Penggunaan kaedah mafhum al-Mukhalafah sepatutnya tidak bercanggah dengan semua syarat-syaratnya. Ini memberi maksud meninggalkan solat secara sengaja lebih aula daripada mantuq dengannya iaitu meninggal solat dengan sebab lupa. Kerana itu qadha adalah wajib bagi yang meninggalkan solat dengan uzur seperti tidur atau lupa yang diangkat qalam dan gugur taklif, maka wajib ke atas yang meninggalkan solat tanpa uzur mim bab al-aula (lebih utama).
  • Justeru situasi khilaf seperti ini sudah berlaku semenjak zaman salaf lagi sehingga kini. Ia berkisar kepada sudut pandangan pendalilan atau wajh al-Istidlal dalam kalangan fuqaha’ dan ulama usul.
  • Kami mengingsafi perselisihan yang berlaku antara para ulama ummah ini. Justeru itu kami cuba mengambil sikap untuk mengharmonikan perselisihan yang berlaku
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:17 AM | Show all posts
Kami nukilkan di sini daripada kitab Siyar A'laam al-Nubala:

Al-Imam Al Izz Ibn Abd al-Salam Rahimahullah berkata:

“Tidak pernah aku melihat pada kitab-kitab ilmu di dalam Islam ini yang seumpama dengan Al-Muhalla karya Ibn Hazm serta kitab Al-Mughni karya Ibn Qudamah.”

Imam al-Zahabi berkata: “Benar kata-kata Syeikh Izzuddin. Yang ketiganya adalah Sunan al-Kubra karya Al-Baihaqi dan yang keempatnya adalah al-Tamhid karya Ibn Abd al-Barr.”

فمن حصل هذه الدواوين وكان من أذكياء المفتين وأدمن المطالعة فيها فهو العالم حقا
Maksudnya: “Maka sesiapa yang mendapati karya-karya ini dan dia merupakan antara mufti yang paling bijak serta dia berterusan dalam menelaah kitab-kitab ini maka dialah sebenar-benar orang alim.”
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2017 04:18 AM | Show all posts
Lihat: Siyar A'laam al-Nubala (18/193).

Alangkah indahnya mauqif dan sifat ulama terdahulu dalam memahami nas dan menyanjungi dalam ruang lingkup kefahaman ilmu masing-masing maka saling hormat menghormati pendapat yang berlawanan tanpa melukakan maruah sementelahan dengan bahasa yang amat tidak sesuai.

Semoga dengan jawapan ini akan memberikan sebuah kelegaan dalam berinteraksi dengan dalil dan nas serta kefahaman yang diasaskan oleh kaedah usuliyyah dan fiqhiyyah.

Kami sejujurnya mengharapkan dengan penjelasan ini akan dapat merungkai isu ini dengan lebih baik. Kami mengakhiri dengan doa:

اَللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيْلَ
اَللّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطَلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

6 Februari 2017 bersamaan 9 Jamadil Awal 1438 Hijrah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:18 AM | Show all posts
_________________________________________

[1] Pada bahasa bahasa mafhum al-mukhalafah bermaksud makna yang difahami daripada lafaz secara berlawanan. Manakala pada istilah pula bermaksud makna yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat yang tidak disebut berlawanan dengan yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat percakapan. Secara umumnya juga mafhum al-mukhalafah ialah makna yang tersirat berlawanan dengan makna daripada lafaz yang tersurat.

[2] Ulama Usul berkata: “Jika ijma’ mustanadnya daripada kitab dan sunnah secara nas maka ia adalah harus dengan sepakat dalam kalangan ulama. Sebaliknya jika ianya dengan qias maka hukumnya harus di sisi kebanyakkan ulama.

[3] Ia merupakan antara martabat dalam ibarat nafi khilaf yang paling tinggi dan kuat.

[4] Perkataan ini mengikut kaedah usul termasuk dalam ijma’ yang sarih (nyata) selama mana tidak ada qarinah sebaliknya. Ia memberi maksud pendapat jumhur atau ijma’ yang terbatas pada mazhab yang tertentu atau negeri yang tertentu.

[5] Dalam perbincangan kami dengan al-Syeikh Habib Umar bin Hamid al-Jailani salah seorang ulama Syafie yang terkenal di kota Suci Mekah pada 4 Februari 2017 antara menyebut: “Ijma’ juga perlu dilihat dalam bentuk mazhab dan juga sebagian tempat tertentu. Bukan dengan maksud ijma’ qatie dan sarih yang menjadi hujah yang mutlak.”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:30 AM | Show all posts
cer kita aware bebenda ni :

semua berdasarkan  elemen elemen

kalamullah - Al Quran
Hadis hadis Nabi

kemudian ada pendapat -  yg berdasarkan sumber sumber pertama dan  ijtihad - ni ijtihad terpimpin - ini lah Islam yg memetingkan panduan dan formulasi dibuat berdasarkan sumber pertama dan kedua...

so siapa kata Islam tak galakkan ijtihad?
tapi tengok juga taraf keilmuan  golongan yg berijtihad dalam memberikan hukum - depa ni tokoh tokoh yg belajar menguasai ilmu ilmu knowledge based dulu

dan  elemen  bersandarkan sumber sumber  dari para sahabat nabi tabi'in.

nampak  aliran sanad keilmuan tu diturunkan ...dari kalamullah kepada baginda saw kepada sahabat dan  golongan sahabat dan seterusnya  generasi yg selepas sahabat...


u see the beauty? tradisi keilmuan sejak 1 400 tahun lalu dan of course ...kita boleh trace kitab kitab mereka...

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2017 04:31 AM | Show all posts
tahqiq...

al masail tu ape actually ?

apa maksudnya ye?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 02:38 AM GMT+8 , Processed in 0.071527 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list