BUKAN perkara pelik apabila wanita hamil mengidam sesuatu makanan. Situasi itu turut dialami bekas juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy Anam.
Bagaimanapun, isteri penyanyi Akim Ahmad ini enggan terlalu mengikut nafsu dan dapat mengawal perasaannya.
“Lagipun, saya tak mengidam makanan pelik atau sukar ditemui. Biasanya, hanya mahu makanan Sabah tetapi itu semua boleh disediakan sendiri," katanya pada Media Hiburan.
Dia juga memahami kesibukan Akim dan tidak mahu menyusahkan suaminya dengan ragam dan keinginannya. Kini, Akim & Majistret sibuk dengan Mentor Milenia 2017 selain bakal mengadakan konsert di Dewan Filharnonik Pertronas pada 20 Februari.
“Saya tahu Akim sibuk, Kasihan dia. Lagipun, dia mencari rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya.
Biarpun suaminya sibuk, Stacy bersyukur kerana Akim tetap meluangkan masa untuk keluarga.
“Alhamdulillah, layanan tetap sama. Lagipun, Akim tak lagi ke luar daerah. Semuanya di sekitar Kuala Lumpur. “Walau lewat macam mana pun, dia tetap pulang selepas habis bekerja,” katanya yang dijangka bersalin hujung bulan ini.
Secara tidak langsung, situasi itu menghilangkan sunyi Stacy sementelah emosinya kurang stabil sejak awal kehamilan.
Katanya, tidak hanya Akim, anak mereka, Bella Valentina turut menjadi ‘bahan gaduh’. Jelas penyanyi berusia 27 tahun ini, hatinya mudah tersentuh walaupun berdepan isu remeh. “Saya jadi cepat marah atau sedih dengan tiba-tiba. Kadang-kadang rasa macam buat ‘drama’. Dengan Bella pun saya boleh bermasam muka. “Alhamdulillah, Akim sangat sabar melayan karenah saya. “Tapi, itulah kadang-kadang saya sendiri pun terkejut kenapa boleh terlalu emosi walaupun hanya kerana perkara kecil,” katanya yang turut mengalami masalah sukar tidur.
Tonton video bersalin
Mengakui berdebar menantikan kelahiran sulung, Stacy berharap akan bersalin secara normal dan mempersiapkan diri dengan menonton video kelahiran bayi supaya tahu teknik yang betul,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi Pakai Buang ini turut mementingkan amalan berpantang. “Mak mertua ada bagi nasihat mengenai kebaikan amalan berpantang. Jadi, kalau untuk kebaikan diri, saya harus mengamalkannya," katanya yang mahu cepat sembuh supaya dapat aktif dalam kariernya.
Pada masa sama, baik Stacy mahupun Akim tidak kisah jantina bayi yang bakal lahir. “Lelaki atau perempuan, kami terima saja. Apa yang penting, bayi kami sihat,” katanya yang akan berpantang di kediamannya di Puchong.
Ulang tahun kelima Bella Pasangan selebriti ini juga teruja menyambut ulang tahun kelima kelahiran anak angkat mereka, Bella, baru-baru ini.
Meskipun sarat hamil, Stacy sabar melayan karenah anaknya dan menyambut hari lahir sebelum bersalin. “Sebenarnya, hari jadi Bella pada 14 Februari, tapi majlis ini dipercepatkan hari ini,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi Bella menerima orang baru dalam keluarga, Stacy punya jawapan sendiri. “Sebelum ini, Bella agak cemburu, dia takut kami tak sayang dia lagi.
“Tapi, lepas kami cakap dengan dia, barulah Bella boleh terima. Bella pun tak sabar nak tunggu baby keluar,” katanya.
|