Ketua Umno Sungai Besar itu berkata beliau sebelum ini tidak jelas mengenai penggunaan van jenazah.
VIDEO INSIDE
SHAH ALAM: Selepas ditegur Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan penyalahgunaan van jenazah milik masjid, Datuk Seri Jamal Yunos berjanji beliau tidak akan mengulangi perbuatannya membawa kenderaan jenazah untuk tujuan demonstrasi.
Bagaimanapun, Jamal enggan memohon maaf seperti mana digesa seorang pemimpin DAP Selangor.
Ini kerana, menurutnya, namanya langsung tidak disebut Sultan Selangor.
“Jelas dalam surat itu saya baca sendiri dan tidak ada menyebut nama saya atau individu tetapi (sultan) tujukan kepada ahli jawatankuasa masjid dan saya tidak mahu mengulas lebih daripada apa yang telah dititahkan Tuanku Sultan,” katanya, mengulas kenyataan Bendahari Pemuda DAP Selangor, Muhammad Shakir Ameer supaya Jamal memohon maaf kerana mencemar institusi masjid dengan menggunakan van jenazah dalam satu protes pada 14 Februari.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata, ahli jawatankuasa kariah atau jawatankuasa masjid di Selangor diminta supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan masing-masing dan tidak menyalahgunakan kenderaan itu.
“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah disalah guna selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendali jenazah.”
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar pada 14 Feb membawa 16 van jenazah bagi membantah apa yang didakwanya penyelewengan peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Selangor.
Penyokongnya turut mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan SUK Selangor di Shah Alam.
Jamal hari ini berkata beliau sebelum ini tidak jelas mengenai penggunaan van jenazah.
“Mungkin sebelum ini perkara tersebut tidak jelas dan hari ini saya menyokong penuh titah Sultan Selangor untuk memastikan selepas ini tidak ada lagi berlakunya penyalahgunaan van jenazah,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukannya ialah sesuatu yang “simbolik kepada isu duit orang meninggal disalahgunakan”.
Jamal berkata tindakannya membawa van jenazah itu mendapat perhatian Sultan Selangor.
“Saya yakin baginda amat prihatin tentang perkara ini dan perkara yang saya bawa ini juga telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat,” katanya.