Kes Belasah Murid, Kedua-Dua Pihak Berdamai
Published on Feb 28, 2017
SUSULAN kes seorang pelajar pusat latihan perindustrian di Jitra, Kedah dikasari tenaga pengajar sehingga tersebar di media sosial, kedua-dua pihak mengambil keputusan menyelesaikan kes itu secara berdamai di antara pihak yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, mangsa dan bapanya serta tenaga pengajar terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu jam 11.45 malam tadi bukan untuk membuat laporan berhubung kes tersebut, sebaliknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.
“Saya dimaklumkan kes itu hanya salah faham kerana berlaku kecuaian ketika pemasangan pendingin hawa itu sehingga menimbulkan kemarahan tenaga pengajar berkenaan.
“Penuntut dan tenaga pengajar terbabit bagaimanapun bersepakat untuk berdamai dan menyelesaikan kes itu secara dalaman tanpa memanjangkan sehingga menjadi kes polis,” katanya memetik Harian Metro.
Beliau berkata, disebabkan kes itu tular di media sosial, pihaknya turut menghantar detektif ke pusat latihan itu semalam untuk mengambil keterangan mangsa.
Mangsa juga dibawa ke Hospital Jitra untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya mengadu pedih di bahagian pipi.
Walaupun begitu, mangsa boleh membuat laporan polis pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuas hati atau ada sebarang masalah berhubung kes tersebut.
Justeru, Abd Hadi menasihatkan orang ramai tidak terus menyebarkan kejadian itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai kerana kes itu telah diselesaikan di antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, rakaman seorang penuntut pusat latihan perindustrian ditendang dan dikasari tenaga pengajarnya ketika sedang memasukkan gas ke dalam kompresor pendingin hawa, mengundang kemarahan netizen yang mendakwa tindakan tenaga pengajar itu agak keterlaluan. -MYNEWSHUB.CC
Video: Guru Tendang, Sepak Dan Pukul Kepala Pelajar Published on Feb 27, 2017
RAKAMAN video memaparkan kebiadapan seorang guru menendang dan memukul kepala pelajarnya kini menjadi tular di laman sosial.
Menurut pemuat naik video, Muhamad Azhan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah institusi latihan kemahiran awam di utara namun tidak dinyatakan tarikh dan lokasi sebenar kejadian.
“Patut ke ajar anak murid kau macam tu. Tahu lah kau bagi ilmu tapi hormat anak murid juga. Jangan sampai anak murid pijak kau balik,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Berdasarkan rakaman, lelaki berbaju merah itu pada mulanya dilihat sedang memantau pelajarnya yang sedang menjalani latihan amali mengisi gas pendingin hawa.
Tidak beberapa lama kemudian, mangsa secara tiba-tiba ditarik telinga, dipukul pada bahagian kepala dan ditendang sehingga menyebabkan pelajar itu terduduk. Malah, lelaki itu turut melemparkan perkataan ‘bodoh’ terhadap mangsa.
Tindakan guru lelaki itu diperhatikan sahaja oleh beberapa pelajar yang lain yang tidak mampu berbuat apa-apa.
Netizen di media sosial mempertikaikan guru lelaki berkenaan yang dianggap tidak wajar kerana cara didikan seperti itu agak kasar dan sudah ketinggalan zaman.
Justeru, netizen menggesa pihak berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan. –MYNEWSHUB.CC