Cemas ‘Dikejar’ Pemandu Bas Ekspres Samseng Published on Mar 20, 2017
@kakiselit SIAPA yang tidak takut apabila kenderaan dinaiki ‘dikejar’ dan diekori sebuah bas ekspres yang dipandu dalam keadaan berbahaya.
Itu yang dialami seorang pengguna Instagram, Tunku Khalsom Ibrahim @khalsomsom yang berkongsi detik mencemaskan itu di laman Instagramnya.
Dalam video berkenaan memaparkan pemandu bas lelaki syarikat Darul Naim Express memandu dalam keadaan berbahaya, mengejar kenderaan Tunku Khalsom serta menunjukkan isyarat tangan dalam kejadian di Lebuh Raya Karak, Pahang.
Menurutnya, dalam kejadian pada 18 Mac lalu, dia bersama bayinya berusia satu tahun dan ibunya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Genting Highland.
Jelasnya, pemandu bas ekspres terbabit yang memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran WWU5909 telah memandu pada lorong paling laju ketika melepasi terowong, yang dipercayai berdekatan dengan Genting Sempah.
“Dia datang dengan laju (dan) telah mengejutkan semua orang dalam kenderaan kami. Emak saya yang memandu kenderaan tersebut bertindak membunyikan hon kepada pemandu bas itu supaya dia boleh memperlahankan pemanduannya. (Namun), dia mula membunyikan hon semula kepada kami.
“Marah dan bimbang memandangkan bersama (dalam kereta) kami adalah anak saya berusia satu tahun, emak saya cuba menjauhkan diri daripada situasi berbahaya tersebut,” katanya.
Katanya, situasi semakin mencemaskan apabila pemandu bas ekspres itu seolah-olah tidak berpuas hati dan bertindak mengejar kenderaan dipandu ibunya serta beberapa kali cuba memotong kenderaan mereka.
“Dia langsung tidak memberi isyarat (ketika menukar lorong), hanya menukar dari satu lorong kepada satu lorong dengan pemanduannya yang mengarut.
“Dia berjaya memintas dan saya meminta ibu memperlahankan kenderaan kerana anak saya di dalam kereta, jadi dia berjaya memotong kenderaan kami,” tulisnya.
Akhirnya, mereka berjaya melepas situasi cemas tersebut dan menjauhkan diri daripada pemandu bas ekspres itu selepas melepasi tol.
Berdasarkan video yang dikongsi secara jelas menunjukkan pemandu bas ekspres itu memandu dalam keadaan berbahaya apabila secara melulu menukar lorong dan memotong beberapa kenderaan lain tanpa memberikan sebarang isyarat, selain kelihatan pemandu bas itu menghimpit kereta dipandu mangsa sehingga mengakibatkan mereka hampir terlanggar pembahagi jalan.
“Kami bersyukur kerana tiada kejadian buruk yang berlaku, tetapi kami tahu berapa banyak nyawa yang melayang membabitkan kemalangan bas.
“Kepada pemandu bas, anda telah membahayakan nyawa saya dan keluarga dan semua pengguna jalan raya.
“Itu adalah sesuatu yang memalukan dan anda tidak patut dibenarkan memandu,” tulisnya.
Jelasnya, aduan berhubung insiden penuh dramatik dan berbahaya itu telah dibuat kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun setakat ini masih belum mendapat sebarang respon.
Insiden berkenaan menimbulkan reaksi pelbagai dalam kalangan netizen yang mengecam tindakan biadab dan berbahaya pemandu bas terbabit memandu dalam dalam keadaan tidak berhemah. –MYNEWSHUB.CC
Pemandu Bas Ekspres Samseng Digantung Kerja
Published on Mar 20, 2017
PADAH memandu dalam keadaan berbahaya dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, seorang pemandu bas ekspress digantung kerja serta merta semalam.
Pemandu bas yang sudah lima tahun bekerja di syarikat Darul Naim Express itu digantung kerja serta merta sejak Ahad lalu dan bakal berdepan dengan tindakan berhenti kerja jika didapati bersalah.
Sebuah portal berita melaporkan, pengurus operasi syarikat Darul Naim Express, Saripah Mohamad berkata, pihaknya mengambil serius mengenai kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu bas berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya masih menunggu makluman aduan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Saripah berkata, menerusi penjelasan pemandu bas tersebut, kejadian yang dipercayai berlaku di Genting Sempah itu tercetus apabila pemandu kenderaan jenis Hilux dikatakan keluar dari simpang secara melulu hingga menyebabkan pemandu bas terbabit berang.
Menurutnya, ketika kejadian bas tersebut membawa kira-kira 30 penumpang yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba kira-kira jam 6 petang.
“Namun, kami tidak setuju dengan sikap pemandu bas tersebut yang memandu dengan laju dan mengejar kenderaan itu.
“Kami bersetuju dengan komen netizen iaitu pekerja kami tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian, siapa pun salah, sebagai pemandu bas, dia tidak sepatutnya bertindak sebegitu kerana boleh mengancam keselamatan penumpang dan pemandu jalan raya lain,” katanya.
Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial apabila penumpang kereta Hilux berkenaan memuat naik video aksi cemas ‘dikejar’ pemandu bas di laman Instagramnya.
Tunku Khalsom Ibrahim @khalsomsom mendakwa pemandu bas ekspres itu memandu dalam keadaan berbahaya selepas ibunya membunyikan hon apabila menyedari bas tersebut dipandu dalam keadaan laju di Leburaya Karak, Pahang pada 18 Mac lalu.
Susulan kejadian itu, Saripah berkata, pihaknya sudah membuat permohonan maaf kepada pengadu menerusi khidmat pesanan mesej yang dihantar di laman sosialnya, namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Dengan ini, kami secara terbuka memohon maaf kepada pengadu dan pengguna jalan raya lain berhubung kelakuan pekerja kami.
“Pemandu perlulah mempunyai pengalaman, berdisiplin dan berkelakuan baik,” katanya.
Jelasnya, pihak syarikat sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan begitu teliti dalam pengambilan pekerja.
Katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut. –MYNEWSHUB.CC
Post time 20-3-2017 03:02 PMFrom the mobile phone|Show all posts
slalu aje tengok lahanat gini di plus hiway
suka main potong aje..laju plak tu....
depa besaq kan...kalau langgar jalan..xke haru..mau dua lorong terhalang