Selamat petang Malaysia, kata Marty Rabu, 22 Mac 2017 @ 6:41 PM
Langkawi: “Selamat petang Malaysia, kami amat bangga untuk memperkenalkan anda Dassault Rafale (Rafale), perwira di angkasa. Terima kasih.”
Itulah yang diungkapkan juruterbang pesawat pejuang tempur Perancis, Rafale, Kapten Jean Guilaume Martinez, 40.
Walaupun baru pertama kali berkunjung ke Langkawi dan menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17), beliau yang mesra disapa Marty mampu bertutur dalam bahasa Melayu.
Ketika menerbangkan pesawat itu dalam tempoh tertentu, beliau memperlahankan pesawat dan mengungkapkan ayat berkenaan dan boleh didengari pengunjung menerusi pembesar suara yang disediakan.
Marty berkata, beliau kagum dengan keindahan Pulau Langkawi dan menjanjikan aksi pertunjukan aerobatik terbaik kepada pengunjung LIMA '17.
Katanya, beliau sudah 20 tahun berkhidmat dalam tentera udara Perancis dan sudah melakukan penerbangan sebanyak 3,300 jam di mana 1,400 masa penerbangan dilakukannya menerusi Rafale.
"Saya pertama kali datang ke Langkawi dan berasa sangat kagum ketika membuat penerbangan di sini kerana pulau ini sangat cantik dan penduduk juga mengalu-alukan kedatangan kami.
"Saya akan cuba membuat yang terbaik untuk pertunjukan aerobatik kali ini yang bagi menunjukkan keupayaan Rafale yang mampu melakukan pelbagai misi seperti rondaan, pertahanan, serangan ke permukaan, anti perkapalan, pencegahan nuklear dan peninjauan tanpa perlu mengoperasikan pelbagai jenis pesawat untuk lain-lain misi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.