|
KUALA LUMPUR: Pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 41, membatalkan hasratnya untuk mengundurkan diri daripada dunia seni apabila bersetuju menjadi pengacara sebuah program masakan. Pada Julai tahun lalu, Noorkhiriah memberitahu BH Online, beliau ingin meletakkan titik noktah pada perjalanannya sebagai anak seni. Ia juga bukan kali pertama beliau berbuat demikian kerana sekitar 2012, ibu kepada dua cahaya mata ini juga meluahkan hasrat untuk berhenti daripada kerjayanya dalam dunia hiburan. Namun, berikutan rezeki dari arena terbabit terus datang menjelma, wanita ini kembali memeriahkan persada seni dengan bakat lakonannya.
"Memang saya akui, keputusan untuk berhenti dari arena seni pada tahun lalu bagaikan kesilapan besar. Saya juga manusia biasa yang ada kalanya terbabas dari segi emosi. "Setakat ini, umpamanya, saya sudah pun memberikan persetujuan untuk mengacarakan program masakan, Kecoh Dapur musim kedua, bersama Ieda Moin. Pada musim pertama, Ieda mengendalikannya bersama Amyza Aznan. Kali ini, rezeki berpihak kepada saya pula. "Suami (Asfaidzul Atan) juga memberikan keizinan. Cuma, dalam soal lakonan saya kena bertegas. Jika kena dengan bayaran, watak dan kru yang 'best', saya tidak keberatan untuk kembali berlakon," katanya yang berpengalaman lebih sedekad dalam bidang berkenaan.
Menurut pemenang tiga kali kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH ini, jika ada undangan lakonan untuknya, beliau juga berharap watak hendak ditawarkan sesuai dengan dirinya. "Saya sedar, posisi saya sekarang bukan lagi watak utama. Namun, kalau diberi peranan pembantu sekalipun, biarlah yang setimpal dengan pembabitan saya selama ini. Janganlah buat saya seperti tidak pernah wujud sebelum ini," katanya sambil memberitahu penggambaran Kecoh Dapur akan bermula minggu depan. Noorkhiriah memberitahu, sepanjang tempoh selepas membuat keputusan untuk berhenti daripada kerja seni itu, beliau terus diuji dengan pelbagai tawaran.
Dengan izin suami, katanya, beliau harus bersikap selektif dalam menimbang tawaran yang datang. Sedar keputusannya pasti dikecam sesetengah pihak, pelakon yang terkenal dengan karakter Bedah Tong Gas itu enggan memikirkan sangat mengenai perkara terbabit. "Saya pasti akan ada yang memperkatakan mengenai keputusan saya ini. Saya hanya manusia biasa, yang tidak dapat lari daripada melakukan khilaf. Jika diikutkan, sepanjang tahun lalu selepas saya nekad berhenti, saya masih membuat penampilan di televisyen, termasuklah menjadi hos undangan untuk program CJ Wow Shop dan muncul mempromosikan Jus Bidan Dara di TV AlHijrah
"Saya juga berharap kalau ada rezeki selepas ini, pihak produksi boleh memanjangkan lagi cerita Bedah Tong Gas. Sehingga kini, empat kali cerita terbabit dihasilkan menerusi format telefilem dan sebuah drama gabungan watak Bedah dan Joyah," katanya yang juga pernah memenangi trofi lakonan pada Anugerah Skrin.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/263422
|
|